Responsive Ad Slot

Slider

PERPADUAN MELAYU YANG DIGAGALKAN: BAGAIMANA ZAHID MENGUBAH HALA TUJU UMNO.


PERPADUAN MELAYU YANG DIGAGALKAN: BAGAIMANA ZAHID MENGUBAH HALA TUJU UMNO.

Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

“Perpaduan Melayu tidak runtuh secara semula jadi. Ia dilemahkan sedikit demi sedikit melalui percaturan politik yang mengutamakan kelangsungan kuasa berbanding penyatuan bangsa.”

1. Satu ketika dahulu, UMNO berdiri sebagai tunjang utama kuasa politik Melayu. UMNO bertindak sebagai institusi politik yang menjadi benteng dominasi Melayu dalam pemerintahan negara.

2. Namun selepas PRU15 dan pembentukan kerajaan perpaduan, landskap itu berubah sepenuhnya.

3. Di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, UMNO bukan lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan penyatuan kuasa politik Melayu secara menyeluruh. 

4. Sebaliknya, UMNO semakin dilihat sebagai instrumen politik untuk memastikan kelangsungan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan DAP.

5. Ironinya, keadaan inilah yang suatu ketika dahulu paling kuat ditentang oleh UMNO sendiri.

6. Sebelum PRU15, slogan dan sumpah laknat “No Anwar, No DAP” digunakan secara terbuka dan meluas oleh Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan UMNO sebagai reaksi terhadap dakwaan penganalisis dan pemerhati politik mengenai kewujudan kerjasama politik atau electoral pact antara Zahid dan Anwar Ibrahim.

7. Dakwaan tersebut akhirnya dilihat menjadi kenyataan apabila Zahid membawa UMNO menyertai kerajaan bersama Pakatan Harapan dan DAP selepas PRU15.

8. Langkah ini bukan sekadar perubahan strategi politik biasa. Ia mengubah keseluruhan orientasi perjuangan UMNO.

9. Rekod politik Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan corak yang semakin jelas bahawa kelangsungan kedudukan politik peribadi sering mengatasi kepentingan strategik UMNO sendiri. 

10. Hakikatnya, UMNO berada dalam kedudukan yang jauh lebih stabil ketika Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri. 

11. Ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, UMNO sebenarnya berada dalam kedudukan paling kuat sejak kejatuhan BN pada PRU14. Namun peluang untuk memulihkan dominasi politik Melayu akhirnya bertukar menjadi perebutan kuasa dalaman.

12. Rakyat tidak lupa bagaimana Ismail Sabri, seorang Perdana Menteri daripada UMNO sendiri, akhirnya dilemahkan oleh Zahid dan tekanan dalaman dalam partinya. 

13. Ironinya, UMNO tidak kehilangan jawatan Perdana Menteri kerana ditewaskan oleh lawan politik semata-mata. Dalam pandangan ramai akar umbi, jawatan itu terlepas akibat percaturan dalaman parti sendiri.

14. Yang akhirnya rugi bukan sekadar Ismail Sabri, tetapi UMNO sendiri.

15. Selepas Ismail Sabri dijatuhkan dan kerjasama politik antara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim terbentuk selepas PRU15, Zahid dan UMNO memperoleh jawatan Timbalan Perdana Menteri.

16. Kes Yayasan Akalbudi yang membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA). Matlamat Zahid dilihat tercapai.

17. Namun apabila kedudukan politik Zahid mula dilihat berpotensi menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Anwar, kes tersebut kembali menjadi perhatian apabila proses perundangan dan semakan kehakiman terhadap keputusan DNAA itu dibuka semula.

18. Sebab itu ramai melihat Zahid dan UMNO kini berada dalam keadaan yang semakin terkompromi dari sudut politik, kerana kelangsungan kedudukan mereka dilihat terlalu bergantung kepada survival kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

19. Zahid juga pernah dipelawa oleh Dato’ Seri Hamzah Zainudin untuk bersama membentuk ‘payung besar Melayu’ anjuran Tun Dr Mahathir. 

20. Pada peringkat awal, Zahid dikatakan bersikap terbuka dan menerima idea tersebut. Namun akhirnya, sekali lagi beliau memilih haluan berbeza.

21. Daripada membawa UMNO kembali ke arah penyatuan politik Melayu, beliau sekali lagi mengikat parti itu kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dan DAP, sambil memperkenalkan naratif ‘Rumah Bangsa’ dan secara tidak langsung menggagalkan inisiatif payung besar melayu.

22. Apakah makna sebenar ‘Rumah Bangsa’ jika pada masa yang sama Zahid terus memberi jaminan bahawa UMNO akan pertahankan kerajaan Anwar-DAP?

23. Penyatuan Melayu tidak boleh berlaku sekadar melalui slogan baharu jika struktur politik yang memecahkan kuasa Melayu terus dikekalkan.

24. Sebab itu ramai melihat ‘Rumah Bangsa’ bukan sebagai platform penyatuan Melayu, tetapi sebagai naratif alternatif yang akhirnya melemahkan momentum pembentukan payung besar Melayu.

25. Hakikat yang semakin jelas hari ini ialah ancaman terbesar kepada dominasi politik Pakatan Harapan dan DAP bukanlah UMNO secara bersendirian, tetapi penyatuan blok Melayu-Islam secara menyeluruh melibatkan UMNO, PAS, Bersatu dan pelbagai kumpulan nasionalis Melayu lain.

26. Sebab itu apabila Muafakat Nasional muncul pada tahun 2019, gabungan UMNO dan PAS berjaya mencetuskan kebangkitan semula sokongan Melayu selepas kejatuhan Barisan Nasional pada PRU14. 

27. Ketika itu, buat pertama kali dalam tempoh lama, wujud potensi penyatuan politik Melayu dalam skala besar.

Namun perpaduan itu akhirnya gagal.

28. Dan titik perpecahan itu bermula dari dalam UMNO sendiri.

29. Ia gagal kerana Zahid dan kepimpinan UMNO sendiri yang memilih jalan berbeza.

30. Masalahnya, politik Malaysia masih sangat dipengaruhi realiti demografi dan keseimbangan kuasa kaum. Dalam keadaan parti-parti bukan Melayu semakin tersusun dan strategik, perpecahan kuasa politik Melayu hanya melemahkan kedudukan Melayu sendiri dalam menentukan hala tuju negara.

31. Inilah paradoks besar yang sedang berlaku.

32. Di hadapan akar umbi Melayu, UMNO masih bercakap tentang agenda Melayu dan Islam. Tetapi dalam realiti politik kuasa, UMNO adalah sebahagian daripada struktur politik yang bergantung kepada sokongan DAP untuk kekal berkuasa.

33. Lebih memburukkan keadaan, ramai pemimpin UMNO yang kritikal terhadap hala tuju ini disingkirkan atau dipinggirkan. Tokoh seperti Khairy Jamaluddin, Noh Omar dipecat, manakala beberapa pemimpin lain seperti Hishammuddin Hussein, Shahril Hamdan digantung selepas mengkritik kepimpinan Zahid. 

34. Ini memperlihatkan bagaimana ruang perbahasan dalaman UMNO semakin tertutup selepas parti itu memasuki kerajaan perpaduan.

35. Akibatnya, UMNO mula kehilangan identiti ideologinya sendiri.

36. Dahulu DAP digambarkan sebagai ancaman kepada agenda Melayu. Hari ini istilah ‘UMDAP’ pula semakin digunakan secara meluas oleh pengkritik politik bagi menggambarkan hubungan rapat antara UMNO dan DAP dalam kerajaan perpaduan. 

37. Malah ia digunakan dengan megah oleh pimpinan UMNO dan DAP sendiri.  

38. Dahulu Anwar Ibrahim digambarkan sebagai ancaman kepada kestabilan politik Melayu. Hari ini Zahid menjadi antara penyokong paling penting kepada kelangsungan kuasa Anwar.

39. Sebab itu ramai pengundi Melayu mula beralih kepada PAS dan Bersatu. Mereka mungkin tidak melihat parti-parti itu sempurna, tetapi mereka melihat UMNO sudah terlalu jauh terkompromi dan terpesong demi kuasa.

40. Pilihan raya negeri 2023 menjadi petunjuk jelas apabila sokongan Melayu terhadap UMNO merosot dengan ketara. Banyak analisis politik menunjukkan faktor terbesar penolakan itu ialah kegagalan akar umbi menerima kerjasama UMNO dengan DAP dan Pakatan Harapan.

41. Dalam usaha mempertahankan survival politik jangka pendek UMNO dan kepimpinan Zahid sendiri, beliau secara tidak langsung telah membantu menjayakan strategi politik paling penting DAP sejak sekian lama iaitu memastikan kuasa politik Melayu terus berpecah dan tidak kembali bersatu sebagai satu blok dominan.

42. Selagi Melayu terpecah kepada UMNO, PAS, Bersatu dan pelbagai serpihan lain, selagi itulah tiada satu blok dominan Melayu yang cukup kuat untuk menentukan keseluruhan arah politik negara secara bersendirian.

43. Apa yang berlaku hari ini bukan lagi sekadar soal strategi pilihan raya. Ia melibatkan arah masa depan politik Melayu sendiri. Sama ada Melayu mahu kekal sebagai kuasa politik dominan yang bersatu, atau terus berpecah kepada blok-blok kecil yang akhirnya bergantung kepada percaturan pihak lain untuk membentuk kerajaan.

44. Dalam persepsi sebahagian besar pengundi Melayu hari ini, sokongan kepada UMNO semakin dilihat sebagai sokongan tidak langsung kepada kelangsungan dominasi politik Pakatan Harapan dan DAP.

45. Orang Melayu akhirnya perlu membuat keputusan besar tentang masa depan politik kita sendiri.

46. Sama ada terus berpecah kepada blok-blok kecil yang saling melemahkan, atau kembali membina satu gagasan besar Melayu yang mampu menyatukan kekuatan politik, ekonomi dan institusi bangsa secara lebih tersusun.

47. Perpaduan Melayu gagal bukan kerana rakyat Melayu menolaknya, tetapi kerana elit politik Melayu sendiri memilih survival kuasa.

~ Dr Armin Baniaz Pahamin
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo