Baru-baru ini, Saudara Rosli Abdullah daripada Biro Ekonomi Pejuang Kota Bharu telah menziarahi Siti Nur Syazwani binti Mohd Azman, atau lebih mesra dipanggil Wani. Beliau merupakan seorang wanita berusia 22 tahun yang menyara keluarga dengan mengambil upah memotong rumput. Kisah Wani mula mendapat perhatian apabila disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 3 April 2022 (pautan di bahagian komen).
Wani ialah anak kedua daripada enam beradik. Beliau sendiri menghidap penyakit buah pinggang serta darah tinggi. Suaminya bekerja sebagai buruh binaan, manakala abangnya berhijrah ke Pulau Pinang dua bulan lalu untuk bekerja di sebuah kilang. Adiknya yang ketiga, seorang gadis berusia 20 tahun yang hanya sempat bersekolah hingga Tingkatan Dua, kini mengasuh anak jiran dengan upah RM200 sebulan. Adik-adik yang lain masing-masing berusia 16 tahun, 11 tahun, dan 7 tahun masih bersekolah.
Dengan hanya berbekalkan upah sekitar RM300 hingga RM350 sebulan daripada kerja memotong rumput, Wani memikul tanggungjawab besar menjaga adik-adiknya. Ayah mereka telah meninggal dunia akibat kanser, manakala ibu pula berpindah ke Johor selepas berkahwin lain.
Kehidupan keluarga ini amat daif serta serba kekurangan, termasuk dari segi keperluan asas dan barangan dapur. Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya merayu kepada sahabat handai, kenalan serta keluarga agar dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Wani serta menyediakan sedikit bekalan menjelang Aidilfitri.
Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki, memberkati kehidupan, dan melindungi tuan-tuan serta puan-puan di dunia dan akhirat.
Selain bantuan kewangan, kami juga sedang berusaha mendigitalkan kemahiran Wani dalam kerja-kerja memotong rumput supaya beliau dapat memperoleh lebih ramai pelanggan dan meningkatkan pendapatan. Bagi mereka yang ingin menggunakan khidmat Wani, bolehlah memuat turun aplikasi Hyred untuk menempah perkhidmatan memotong rumput (serta pelbagai servis lain) secara terus.
Terima kasih atas sokongan anda.















