Responsive Ad Slot

Showing posts with label Media. Show all posts
Showing posts with label Media. Show all posts

HENTIKAN PEMBERIAN TANAH KERAJAAN, MB PEMEGANG AMANAH TANAH MELAYU


HENTIKAN PEMBERIAN TANAH KERAJAAN, MB PEMEGANG AMANAH TANAH MELAYU

 

Kuala Lumpur. Kaedah pemberian tanah kepada syarikat milik swasta untuk membiayai projek Kerajaan Negeri Selangor ala ‘land swap’ perlu di hentikan segera kerana ianya hanya merugikan kerajaan dan rakyat. Menteri Besar sepatutnya menjadi ‘custodian’ atau pemegang amanah dan penjaga kepada tanah-tanah melayu dan seharusnya membangunkan tanah-tanah Selangor untuk membuka lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat bumiputera tetapi tanah-tanah tersebut di beri kepada syarikat bukan-bumiputera. 

 

Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin Shari pada 6 Mac melalui satu sidang media telah mengesahkan bahawa mesyuarat kerajaan negeri Selangor telah meluluskan kaedah membiayai projek RM700 juta pedalaman sungai Klang projek Gerbang Maritime Selangor melalui pemberian tanah seluas 202.34 ekar tanpa perlu membayar apa-apa premium dan tanpa perlu membayar balik hutang pinjaman kepada kerajaan Selangor. 

 

Melalui kaedah ini dengan mudahnya syarikat swasta Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) dapat memiliki tanah Selangor dengan nilai RM117 juta dan melangsaikan pembayaran premium tanah yang tertunggak serta hutang pinjaman. Difahamkan dari sumber, tarikh kelulusan tanah tersebut luput bulan Januari 2023 dan sepatutnya telah di bayar. 

 

Tanah-tanah tersebut mempunyai unjuran pembangunan bernilai RM10 bilion. Kaedah yang di panggil round tipping exercise ini merugikan negeri dan rakyat Selangor. Anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) hanya memiliki 45% saham dalam LLB.

 

Kami di fahamkan tanah 202.34 ekar itu hanya sebagai permulaan dan Menteri Besar Incorporated telah bersetuju melalui perjanjian bertulis untuk memberi tanah lebih dari 600 ekar termasuk tanah rizab melayu kepada LLB.

 

Pada 14 Mac, Menteri Besar Selangor telah mengumumkan kaedah yang sama ‘Land Swap’ pemberian tanah di Klang dan Hulu Selangor untuk membina  Kompleks Sukan Shah Alam. 

 

Pada bulan Januari 2023, 536 ekar tanah milik PKNS yang di Pengerusi oleh Menteri Besar telah di jual kepada Gamuda Berhad melalui Joint Venture Agreement diantara PKNS dan IGB Berhad.

 

Pada 30 Ogos 2021, 536.7 hektar tanah di hutan simpanan Utara Kuala Langat di nyah warta untuk pembangunan kepada syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd. Walaupun projek ini telah ditarik balik tetapi ia menunjuk kecenderongan Menteri Besar menganugerah tanah Selangor kepada syarikat bukan bumiputera. 

 

Tanah-tanah di bawah milikan kerajaan adalah tanah melayu dan Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menukar status tanah dan menjual tanah tersebut. Kami menggesa Menteri Besar untuk berhenti menggunakan tanah-tanah Selangor untuk membiayai pembangunan negeri tetapi membangunkan tanah-tanah tersebut bersama usahawan bumiputera. 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Sekretariat Tanahair

4 April 2023


CAPAI PERSETUJUAN DENGAN AMANAH IKHTIAR MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA (EDARAN SEGERA)

1. Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan media yang telah dibuat pada 11.10.2021 dan 8.11.2021 yang mana telah dibuat membabitkan Amanah Ikhtiar Malaysia (“AIM”) di atas kapasiti saya selaku Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti PEJUANG.

2. Sepanjang perjalanan proses Mahkamah yang melibatkan perkara-perkara yang diadukan di dalam kenyataan-kenyataan media saya tersebut dan berdasarkan perkembangan terkini tindakan di Mahkamah tersebut, PEJUANG menerima penjelasan-penjelasan daripada pihak AIM dan dengan itu tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini dengan lebih lanjut.

3. Matlamat PEJUANG yang menjunjung nilai-nilai murni dengan berteraskan prinsip memerangi rasuah dan menolak kleptokrasi serta melaksanakan hak untuk bersuara bagi tujuan semak dan imbang ke atas pentadbiran dan pengurusan badan-badan Kerajaan, telahpun dilaksanakan selaras dengan sistem demokrasi negara ini.

4. Oleh yang demikian, kedua-dua pihak AIM dan saya telah mencapai persetujuan dan persepakatan untuk menghentikan tindakan Mahkamah tersebut dan memfokuskan ke arah perkhidmatan kepada rakyat.

Sekian, salam hormat.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Mantan Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Mantan Ketua Biro Ekonomi Pusat
Parti Pejuang Tanahair
18.01.2023

EKONOMI DAN MASA DEPAN ORANG-ORANG MELAYU LEBIH TERPELIHARA DIBAWAH GTA

 EKONOMI DAN MASA DEPAN ORANG-ORANG MELAYU LEBIH TERPELIHARA DIBAWAH GTA

  1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan jelas membuktikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak faham konsep dan matlamat penubuhan Gerakan Tanah Air tetapi lebih memberi fokus kepada pegangan kuasa, isu politik dan menyokong perasuah-perasuah dan penyalahguna kuasa.

  2. Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)di SMK Sultan Ismail. Mengikut beliau, Parti PAS tidak akan menyertai GTA dengan alasan GTA bukanlah daripada parti dominan dan telah pun mempunyai gabungan sendiri.

  3. GTA adalah gerakan orang-orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa Melayu dan bukanlah satu permainan politik. Kemiskinan pasca pandemik adalah satu realiti dan hakikat yang perlu diterima dan diatasi, dan ia tidak mungkin akan selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.

  4. Kalau Parti PAS mengutamakan ekonomi dan masa depan orang-orang Melayu, Parti PAS harus bersama dengan GTA dan bersama untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu.

  5. Di Kelantan negeri yang diterajui oleh Parti PAS, kitaran kemiskinan amat nyata dan tiada penyelesaian. Kebanyakan generasi-generasi muda terhindar dari kemajuan akibat kemiskinan. Anak-anak di bangku sekolah terpaksa membantu ibu dan bapa berniaga untuk mencari sesuap nasi dan tidak dapat memberi fokus dan tumpuan kepada sekolah dan pembelajaran. Ramai yang tidak sempat tamat pelajaran sekolah menengah atau tamat dengan keputusan peperiksaan yang lemah.

  6. Tanpa pengajian tinggi, anak-anak mereka akan mengalami nasib yang sama seperti ibu bapa mereka dan kitaran ini akan berterusan ke generasi-generasi akan datang.

  7. Struktur dan halatuju ekonomi negeri Kelantan juga tidak dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dan tidak dapat menjana permintaan untuk mewujudkan pekerjaan atau ekosistem perniagaan. Kerajaan Negeri terpaksa menggadai tanah-tanah balak dan mengeluarkan permit-permit menjual pasir yang tidak menguntungkan negeri Kelantan.

  8. Pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil langkah yang mudah untuk mentadbir dengan menswastakan tempat letak kenderaan dengan caj bayaran dan denda yang jauh lebih tinggi dari negeri-negeri yang lebih maju. Caj-caj dan bayaran denda ini juga tidak menguntungkan kerajaan negeri tetapi lebih menguntungkan syarikat swasta itu dan

UNTUK EDARAN SEGERA

membebankan rakyat. Penswastaan ini juga mengurangkan peluang kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil yang lebih.

  1. Peratusan tanah rizab Melayu di negeri Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negeri- negeri lain. Walaubagaimanapun, kami risau apabila menerima laporan tanah-tanah rizab Melayu ini dengan jumlah yang agak besar, telah di pajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan dari orang tempatan. Dengan jumlah tanah yang dipajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan tempatan, peluang untuk orang-orang Melayu menjana pendapatan dari tanah-tanah negeri Kelantan semakin tipis.

  2. Oleh sebab itu, memartabatkan kuasa pembeli dan ekonomi orang-orang Melayu menjadi salah satu dari matlamat utama gerakan orang-orang Melayu di bawah GTA. Prinsip bersih, cekap dan amanah akan memastikan perlaksanaan yang telus tanpa rasuah, salah guna kuasa dan lebih berkesan. Penyatuan orang-rang Melayu termasuk ahli dan penyokong PAS dalam memperjuangkan ekonomi dan taraf hidup orang-orang Melayu akan lebih menjamin perubahan terutamanya dari segi struktur ekonomi.

  3. GTA juga di sertai oleh individu-individu dan NGO-NGO Melayu dari berbagai kluster. Pembabitan NGO dari 12 kluster berlainan ini dapat memberi impak yang besar kerana NGO tersebut adalah pihak yang punyai kepakaran yang relevan dan lebih peka kepada keperluan dan isu-isu industri. Kalau kebiasaannya NGO terpaksa membentangkan masalah mereka kepada Kementerian-Kementerian untuk dipertimbangkan, melalui GTA mereka akan menjadi sebahagian dari pembuat dasar. Ini akan menjadi pemangkin kepada struktur ekonomi baru yang akan diperkenalkan.

  4. Kami percaya ahli dan penyokong PAS juga sudah bosan dengan masalah air di Kelantan dan Kedah, dan mahukan sebuah Kerajaan yang mampu menanganinya. Jelas Kerajaan Negeri pimpinan PAS gagal untuk menggalas tanggungjawab ini.

  5. Perubahan hanya boleh berlaku melalui gerakan orang-orang Melayu yang bersatu.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat |
Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang Tanahair 13.09.2022





SEGERAKAN SIASATAN GESA PEJUANG KEPADA TAN SRI NOH OMAR

SEGERAKAN SIASATAN GESA PEJUANG KEPADA TAN SRI NOH OMAR SELAKU MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI


1. Parti Pejuang Tanahair menggesa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk segera mengambil tindakan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan terbaru dan semua dakwaan salah laku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia.


2. Pada 26 Ogos 2022, pihak kami telah menerima satu laporan melalui pautan umum yang mendakwa timbul isu penyelewengan wang rakyat Amanah Ikhtiar Malaysia dan Koop Sahabat berhubung projek balak di Hutan Simpan Berkelah Jerantut Pahang 6,591.7 ekar bernilai RM40,738,520.00 dengan sebuah Yayasan di Pahang.


3. Projek balak tersebut didakwa tidak wujud tetapi bayaran telah dibuat. Projek itu sepatutnya mendapat pulangan RM7.0 juta sejak tahun 2018 tetapi sebaliknya Syarikat Gemalai Plantation Sdn Bhd (GEMALAI PRIMARY INDUSTRY SDN. BHD) terus rugi sehingga tahun 2021.


4. Parti Pejuang Tanahair telah mengeluarkan dua kenyataan media pada 11 Oktober 2021 dan 8 November 2021 untuk menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat dakwaan salahlaku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia berdasarkan laporan-laporan yang kami terima. 


5. Sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh kerajaan mahupun Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang bertanggung jawab keatas Amanah Ikhtiar Malaysia. 


6. Sebaliknya saya di saman pada 17 Februari 2022 oleh Amanah Ikhtiar Malaysia melalui peguamnya Tetuan Kamarudin & Partners yang tentunya dibawah arahan mereka yang didakwa terlibat.


7. Dengan dakwaan terbaru ini, kami menggesa YB Tan Sri Noh Omar selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas dan bekerjasama dengan SPRM dan PDRM untuk mempastikan segala dakwaan penyelewengan dan salah laku di kenalpasti dan nama baik institusi Amanah Ikhtiar Malaysia dapat di bersihkan


ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Pejuang

29.08.2022 




RAKYAT HARUS MENILAI DASAR EKONOMI PARTI-PARTI POLITIK PADA PILIHANRAYA UMUM KE 15

DASAR-DASAR EKONOMI HARUS MENJADI KEUTAMAAN PADA PILIHANRAYA UMUM.

1. Kuala Lumpur. Pilihanraya Umum ke 15 adalah penentu kepada masa depan ekonomi negara dan rakyat harus peka dan cakna terhadap dasar-dasar dan polisi parti-parti politik. Dasar-dasar ekonomi parti politik harus menjadi keutamaan kepada pengundi semasa pilihanraya umum ke 15 nanti.
2. Dasar-dasar yang akan diperkenalkan dan perlaksanaan dasar tersebut menjadi tunggak kepada struktur ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia kembali sebagai Harimau Asia dan ini hanya boleh tercapai dengan memilih calon Perdana Menteri yang berkemampuan berdasarkan wawasan dan pengalaman.
3. Kemerosotan ekonomi Malaysia semakin tidak terkawal dengan kenaikan harga barangan, matawang yang semakin susut nilai, pengangguran yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin terkebelakang berbanding dengan negara-negara jiran dan negara Asia lain.
4. Walaupun pembangunan ekonomi adalah sasaran tetapi ianya akan lebih bermakna apabila rakyat mendapat manfaat dari pembangunan tersebut. Pembangunan ekonomi sekarang banyak memberi manfaat kepada pelabur luar dan kurang memberi fokus terhadap perlaksanaan dasar- dasar untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berdaya saing.
5. Ini terbukti dengan kemerosotan pemilikan ekuiti Bumiputera dari 23.4% pada 2011 kepada 17.2% berasaskan nilai pasaran tahun 2019. Pegangan asing pula meningkat dari 37.2% kepada 45.5%. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera juga jatuh dari 34.8% kepada 25% (namaan 12.3%). Bukan sahaja bangsa Melayu tetapi rakyat bukan Bumiputera juga tidak mendapat manfaat terutamanya akibat dari perlaksanaan dasar yang lemah.
6. Peratusan pemilikan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12% dan semakin mengecil. Kami risau Tanah Rizab Melayu akan pupus menjelang tahun 2050. Terbaru, tanah rizab Melayu di Kampung Sungai Baru di paksa jual dengan harga yang zalim. Dasar-dasar seperti ini merugikan orang Melayu dan tidak akan memberi manfaat dalam memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu yang semakin miskin di bawah pentadbiran kerajaan Melayu.
7. Peratusan pembabitan Bumiputera dalam berbagai industri juga semakin menguncup. Sebagai contoh, peratusan Bumiputera dalam rangkaian pengedar kereta nasional Proton juga telah jatuh kurang dari 20% dari lebih 60% beberapa tahun yang lepas.
8. Pemilikan Bumiputera dalam perusahaan industri kecil pula berjumlah 37% tetapi 88% dari jumlah itu berada di tahap usahawan mikro iaitu syarikat yang mempunyai jualan kurang dari RM300,000 setahun dan mempunyai kurang dari 5 orang pekerja. Bantuan dan penyampaian bantuan yang lebih efektif dan mudah perlu disalurkan kepada perniagaan mikro untuk mengembang dan melonjakkan mereka ke tahap industri kecil.
9. Malaysia memerlukan reset halatuju ekonomi supaya industri-industri utama negara dapat di manfaatkan kepada lebih banyak usahawan tempatan dan ini hanya boleh berlaku semasa pilihanraya umum ke 15. Rakyat harus lebih cakna dan pandai menilai dasar-dasar Parti Politik semasa pilihanraya dan bukan memilih mengikut nafsu.
10. Yang pasti pemimpin yang korup dan terpalit dengan rasuah harus ditolak sama sekali demi masa depan negara. Parti Pejuang Tanahair ditubuhkan bukan untuk melawan rakyat bukan Bumiputera tetapi untuk melawan pemimpin Melayu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Ini tentunya akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan dan bukan sahaja kepada bangsa Melayu.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti PEJUANG Tanahair
01.08.2022



STRUKTUR EKONOMI NEGARA TIADA HALA TUJU JELAS DAN PERLU DI UBAH


KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA

 

MALAYSIA PERLU MENSTRUKTUR SEMULA EKONOMI 

 

1.     PETALING JAYA. Parti Pejuang Tanahair berpendapat hala tuju dan ekonomi negara perlu distrukturkan semula supaya ekonomi negara dapat mewujudkan kembali berbagai permintaan barangan dan pekerjaan yang boleh memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi. Ukuran untuk inflasi dan kemiskinan juga perlu dikemaskini kerana ianya tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat yang semakin terdesak dalam mengharungi kehidupan seharian.

 

2.     Terkini, 288,000 rakyat Malaysia telah di isytihar muflis setakat bulan Februari 2022, 50,000 kontraktor telah gulung tikar dan 1.5 juta rakyat tergolong dalam kategori B5 yang dikenali sebagai ‘economically dead’ atau miskin tegar iaitu golongan yang tiada pendapatan, tabung simpanan dan tidak dapat meneruskan kehidupan harian.

 

3.     Keadaan negara yang juga tidak dapat mengawal nilai mata wang ringgit dari terus merosot, harga barang yang semakin mahal dan ura-ura kadar faedah OPR akan dinaikkan, akan terus membebankan lagi kesejahteraan rakyat.

 

4.     Masalah kemiskinan dan juga masalah pengangguran di negara kita berpunca dari struktur ekonomi yang tidak dipandu dengan baik dari segi hala tuju dan juga perlaksanaan. Malaysia gagal mencapai negara perindustrian seperti sasaran wawasan 2020 dan dengan industri perindustrian yang belum matang ini, hala tuju ekonomi telah dipandu-ubah, lebih menghala ke sektor perkhidmatan. 

 

5.     Akibatnya jurang kenaikan gaji bagi sektor-sektor tertentu seperti perkilangan, semakin meningkat dan ini  terbukti apabila ramai graduan profesional seperti jurutera tidak mendapat gaji setimpal dengan latar-belakang akademik, pengalaman dan tugas kerjanya. Jurutera siswazah dilaporkan menerima gaji statik dan tidak berubah semenjak hampir 20 tahun.

 

6.     Jurang terbesar peningkatan produktiviti berbanding dengan kenaikan gaji pekerja dalam sektor perkhidmatan adalah yang paling ketara. Lebih merisaukan semenjak tahun 2020 dan pasca pandemik, sektor perkhidmatan telah menunjukkan peningkatan produktiviti yang tinggi tetapi gaji pekerja yang dibayar semakin merosot. 


7.     Ini menyumbang kepada jumlah kemiskinan yang semakin meruncing dan ianya hanya boleh diselesaikan melalui penstrukturan semula ekonomi. Penstrukturan semula ekonomi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan akan mengambil kira faktor-faktor seperti:

 

i.       Keselamatan makanan, 

ii.     Akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti untuk masa depan negara; 

iii.    Perumahan mampu milik khususnya mereka dalam golongan B40; 

iv.    penstrukturan semula pendidikan untuk membuka peluang pekerjaan berpandukan permintaan ekonomi; dan 

v.     Teknologi 

 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia 

Parti PEJUANG Tanahair 

04.07.2022





 

RINGGIT LEMAH MENJADI PENGUKUR KEBERKESANAN PENTADBIRAN KERAJAAN

 KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA

RINGGIT LEMAH MENJADI PENGUKUR KEBERKESANAN PENTADBIRAN KERAJAAN

 

1.     PETALING JAYA. Parti Pejuang Tanahair menggesa kerajaan untuk bertindak segera mengawal nilai mata wang ringgit dari terus merosot. Dasar-dasar kerajaan dalam industri dan sektor yang terus bergantung kepada komoditi import perlu digubal untuk mengurangkan kebergantungan kepada import.

 

2.     Malaysia terlalu bergantung kepada barangan dan bahan mentah import dan nilai ringgit yang lemah akan melonjakkan harga terutamanya barangan pengguna dan mentah yang diimport. Pengguna akan dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi akibat dari peningkatan kos import. 

 

3.     Malaysia juga bergantung kepada bahan makanan import untuk bekalan domestik. Komoditi makanan ternakan seperti makanan lembu, ayam, itik, burung, ikan dan binatang peliharaan juga amat bergantung kepada komoditi import dan akan turut terjejas. Harga ternakan tempatan seperti daging dan ayam juga telah meningkat dan akan terus meningkat kerana kos makanan ternakan bergantung kepada import dan kos ini akan terjejas akibat nilai ringgit yang lemah. Kos sara hidup akan terus menjadi beban terutamanya kepada golongan B40. 

 

4.     Kebergantungan kepada barangan import tidak hanya terhad kepada komoditi makanan, barangan pengguna tetapi juga kepada industri berat seperti automotif kerana bekalan pengeluaran banyak di import. Walaupun PROTON belum memutuskan kenaikan harga susulan dari peningkatan kos bahan mentah, dua pengeluar kenderaan sudah pun membuat pelarasan semula harga beberapa model keluarannya setakat ini dengan harga meningkat sehingga tujuh peratus.

 

5.     Malaysia bukan sahaja bergantung kepada komoditi dan makanan import tetapi juga bergantung kepada tenaga kerja import dan beroperasi dalam ekosistem kartel yang memonopoli keluaran barangan tertentu seperti gula, minyak masak, beras dan lain-lain. Faktor-faktor ini menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup. 

 

6.     Banyak dasar-dasar yang perlu digubal demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat. Sebagai contoh dasar larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia sepatutnya diambil sebagai batu locatan untuk merancakkan industri minyak sawit tempatan. Malaysia perlu mengambil peluang untuk meraih semula pasaran dunia berikutan larangan eksport itu melalui usaha usaha yang difikirkan sesuai.

 

7.     Semasa krisis mata wang Asia 1997/98, Tun Dr Mahathir mengubah dasar automotif negara untuk meningkatkan R&D dan Proton diarah untuk mengeluarkan enjin sendiri tanpa bergantung kepada enjin Mitsubishi dan Renault yang di import kerana negara terkesan teruk akibat susut nilai ringgit. Tun Dr Mahathir juga telah mengikat nilai ringgit pada kadar RM3.80 bagi setiap AS$1 untuk mengelak ekonomi negara dari parah terjejas.

 

 

 

8.     Dasar, insentif dan program pada industri dan sektor yang bergantung kepada import seperti pertanian juga perlu di gubal untuk mengurangkan kebergantungan kepada komoditi import dan juga untuk memastikan bekalan dari keluaran tempatan mencukupi. Pada tahun 2020, Malaysia mengimport sebanyak RM55.4 bilion sayur sayuran. 

 

9.     Isu food bank negara juga perlu diberi perhatian yang serius. Sekadar mengeluarkan lebih banyak permit import tidak akan menyelesaikan masalah bekalan rantaian makanan tetapi akan menjadi pendokong kepada kos sara hidup yang akan meningkat semakin tinggi akibat nilai ringgit yang lemah.

 

10.  Naik turun mata wang termasuklah mata wang ringgit adalah pengukur kepada kekuatan ekonomi dan kestabilan politik sesebuah negara. Apabila ekonomi sesebuah negara kukuh dan stabil, nilai mata wangnya akan meningkat lebih tinggi. 

 

11.  Sejak tahun 2015 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, nilai ringgit mula jatuh sehingga lebih buruk daripada masa krisis mata wang 1997/1998. Di bawah pentadbiran kerajaan terkini, nilai ringgit terus merosot berbanding dolar dengan kadar sekarang sekitar RM4.34 bagi satu dolar.

 

12.  Apakah pelan tindakan jangka masa terdekat kerajaan untuk mengikat ringgit, atau apakah pelan jangka masa Panjang dalam memperkasakan ekonomi negara? Adakah pelan-pelan menarik untuk pleabur dan dimanakah potensi Malaysia dalam sektor ekonomi dunia?

 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia 

Parti PEJUANG Tanahair 

11.05.2022








Jenayah Scam Perlu di Banteras

KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA

 

JENAYAH SCAM PERLU DIBANTERAS

 

1.     PETALING JAYA. Parti Pejuang Tanahair memandang serius isu jenayah ‘Macau Scam’ yang semakin meningkat di seluruh negara. Jenayah Macau Scam ini telah berleluasa semenjak beberapa tahun dan setiap tahun, ia semakin berkembang. 

 

2.     Di Negeri Sembilan sahaja, kes meningkat 336 peratus berbanding tahun sebelumnya; melibatkan kerugian kira-kira RM4.56 juta bagi tempoh Januari hingga 21 April lepas. Di Johor pula, kes meningkat dengan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM9.5 juta setakat 18 April 2022.

 

3.     Kebiasaannya modus operandi Macau Scam ialah dengan menyamar sebagai anggota Polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri atau sebagai kakitangan kerajaan. Mereka mendakwa orang yang dihubungi mempunyai kes dengan jabatan tertentu sebelum meminta butir-butir dan maklumat dari mangsa.

KARTEL BANGLA PERLU DIMANSUHKAN



KARTEL BANGLA PERLU DIMANSUHKAN

PETALING JAYA. Parti Pejuang Tanahair memandang serius isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menguasai banyak perniagaan di bandar-bandar besar. Kami difahamkan, kira-kira 7 juta hingga 11 juta PATI berada di Malaysia.
Dengan jumlah PATI yang teramat besar ini, mereka telah mendominasi perniagaan peruncitan, pertanian, pemborongan, bengkel kereta dan juga reka bentuk dalaman rumah serta pejabat. Kami menyokong cadangan Ahli Majlis Tertinggi Clean Malaysia Movement (CMM), Zahir Khan Mohamad Ali dalam kenyataan beliau dalam akhbar Kosmo pada 27 Mac 2022, supaya isu ini perlu disiasat, dikaji, dan dihentikan.
Pihak kami juga menerima banyak laporan harga-harga hasil pertanian yang di jual di pasar-pasar borong di kawal dan di bekalkan oleh ‘Kartel Bangla’ dan ini telah menjejas perniagaan peniaga-peniaga tempatan dan meninggalkan kesan terhadap pengguna yang terpaksa membayar harga yang mahal untuk keperluan harian.
Parti Pejuang tidak menafikan keperluan pekerja asing di sesetengah sektor khususnya sektor perladangan tetapi pemantauan dan penguatkuasaan permit kerja mereka harus diperketatkan supaya ia tidak mengganggu ekosistem perniagaan di sektor-sektor lain.

SASAR BANTUAN KEPADA 100,000 MASYARAKAT MENGANGGUR DAN KOMUNITI PERNIAGAAN

 KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA

PARTI PEJUANG TANAHAIR MENSASAR BANTUAN KEPADA 100,000 MASYARAKAT MENGANGGUR DAN KOMUNITI PERNIAGAAN

Kajang, 2 Januari 2022. Parti Pejuang Tanahair mensasar untuk membantu 100,000 penganggur dan usahawan melalui program gerakan ekonomi Pejuang yang dilancarkan pada 19 Disember 2021.

Gerakan ekonomi Pejuang merupakan satu program yang menggerakkan semua jentera-jentera parti untuk membantu masyarakat yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan dan membantu komuniti bisnes dan usahawan dengan mendigitasikan perniagaan atau kemahiran mereka serta menyediakan platfom pemasaran dan latihan. Sasaran utama kami adalah kepada golongan B40 terbawah.

Kami telah berjaya mendigitasikan lebih 2,000 kemahiran melalui program GIG, mendaftar 2,000 perniagaan dan memberi penempatan kerja kepada lebih 1,000 orang terutamanya di negeri Kelantan, Selangor dan Perak dan bercadang untuk menggerakkan jentera parti di seluruh Malaysia untuk membantu lebih ramai masyarakat.

PELANCARAN GERAKAN EKONOMI PEJUANG UNTUK MEMBANTU MASALAH PENGANGGURAN YANG SEMAKIN MENINGKAT

 KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA


PELANCARAN GERAKAN EKONOMI PEJUANG UNTUK MEMBANTU MASALAH PENGANGGURAN YANG SEMAKIN MENINGKAT MELALUI PENEMPATAN KERJA, PENDIDIKAN, PENGKOMERSIALAN KEMAHIRAN DAN PENDAFTARAN PERNIAGAAN

  1. Selangor, 19 Disember 2021. Parti Pejuang Tanahair amat bimbang keadaan rakyat yang semakin terdesak akibat kehilangan kerja dan tiada sumber pendapatan. Terkini lebih 59,000 rakyat kehilangan kerja dan jumlah pengangguran telah meningkat melebihi paras 800,000. Kami risau keadaan mereka terutamanya dengan kenaikan harga barang keperluan asas yang teramat tinggi.

  2. Oleh itu, Parti Pejuang Tanahair dengan kerjasama Pertubuhan Gerakan Ekonomi Malaysia hari ini melancarkan Gerakan Ekonomi Pejuang Kebangsaan diseluruh negara bermula dengan Negeri Selangor. Pelancaran gerakan ekonomi pejuang disempurnakan oleh Armin Baniaz Pahamin selaku ahli Majlis Eksekutif Pusat merangkap Ketua Biro Ekonomi Malaysia bersama YB Tuan Harumaini Hj Omar Ketua Pimpinan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor disertai oleh Dato Hj Mohd Zaidi bin Hj Llamdin, Ketua Biro Ekonomi Selangor.

KOS MENGURUS NEGARA PERLU DI KURANGKAN UNTUK MENGATASI MASALAH HUTANG NEGARA

 KENYATAAN MEDIA

PENGERUSI BIRO EKONOMI PUSAT PARTI PEJUANG TANAHAIR

KOS MENGURUS NEGARA PERLU DI KURANGKAN UNTUK MENGATASI MASALAH HUTANG NEGARA

  1. Kuala Lumpur, 6 Disember 2021. Belanjawan 2022 berjumlah RM332.10 bilion telah diluluskan tanpa apa-apa langkah drastik yang diperkenalkan untuk mengurangkan kos mengurus dan hutang yang telah meningkat . Belanjawan juga diluluskan tanpa hubung kait dengan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12). Malah RMK12 juga tiada sasaran yang menarik yang boleh penambah- baik hasil negara terutamanya untuk menjelaskan pembayaran hutang yang tinggi. Kos mengurus negara berjumlah RM233.50 bilion perlu dikurangkan untuk mengatasi masalah hutang negara yang sangat membimbangkan.

  2. Hasil negara juga banyak terjejas akibat pandemik dan Parti Pejuang Tanahair berpendapat kerajaan boleh mengurangkan perbelanjaan mengurus dan yang paling nyata adalah eperti berikut:

    1. Menghentikan semua lantikan jawatan bertaraf Menteri, mengurangkan jumlah

      Kementerian dan jumlah Menteri, Timbalan Menteri, Penasihat Perdana Menteri dan

      Menteri serta pegawai-pegawai Khas Menteri.

RATIFIKASI CPTPP HANYA JADI LIABILITI KEPADA NEGARA - ARMIN PEJUANG

RATIFIKASI CPTPP HANYA JADI LIABILITI KEPADA NEGARA - PEJUANG | Oleh Wartawan MalaysiaGazette - 29 October 2021
“Ratifikasi CPTPP hanya jadi liabiliti kepada negara - Pejuang”
KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Kerjasana Trans Pasifik (CPTPP)) setelah mendapati terma dan syarat perjanjian ini bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang dan hala tuju negara.
CPTPP juga akan menjadi satu liabiliti kepada negara pada masa hadapan dengan membolehkan syarikat swasta negara asing untuk menyaman kerajaan Malaysia berbilion ringgit di atas pelbagai sebab walaupun ianya bertentangan dengan dasar-dasar, akta-akta dan perlembagaan negara.
Pengerusi Biro Ekonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, penolakan itu berdasarkan 3 faktor utama dengan faktor pertama merupakan dasar senarai negatif perjanjian CPTPP yang meliberalisasikan semua sektor termasuk pengliberalisasian perolehan kerajaan dan hanya tidak meliberalisasikan sektor yang dimasukkan secara rasmi dengan bertulis dalam senarai negatif mengikut perjanjian.
”Adalah mustahil untuk sesebuah kerajaan menyenarai dengan penuh dan lengkap semua sektorsektor yang perlu di kecualikan dan tanpa senarai yang lengkap, ianya boleh meninggalkan impak kerugian yang besar kepada industri khususnya industri mikro, kecil dan sederhana.

PEJUANG MENOLAK SEKERAS-KERASNYA RATIFIKASI PERJANJIAN CPTPP

 KENYATAAN MEDIA

BIRO EKONOMI PUSAT PARTI PEJUANG TANAHAIR

PEJUANG MENOLAK SEKERAS-KERASNYA RATIFIKASI PERJANJIAN KOMPREHENSIF DAN PROGRESIF BAGI PERKONGSIAN TRANS PASIFIK (‘COMPREHENSIVE AND PROGRESSIVE TRANSPACIFIC AGREEMENT ‘(CPTPP))

  1. Parti Pejuang Tanahair menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Kerjasana Trans Pasifik (Comprehensive and Progressive TransPacific Partnership (CPTPP)). Ratifikasi ini juga ditolak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pejuang semasa beliau menjadi Perdana Menteri dibawah kerajaan Pakatan Harapan. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menetapkan bulan Oktober 2021 untuk memberi keputusan berkenaan dengan ratifikasi perjanjian CPTPP.

  2. Setelah mengkaji dan mengadakan berbagai sesi libat urus bersama pakar-pakar ekonomi dan dewan-dewan perniagaan, kami dapati terma dan syarat perjanjian CPTPP bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang dan hala tuju negara kita.

  3. CPTPP juga akan menjadi satu liabiliti kepada negara pada masa hadapan dengan membolehkan syarikat swasta negara asing untuk menyaman kerajaan Malaysia berbilion ringgit di atas pelbagai sebab walaupun ianya bertentangan dengan dasar-dasar, akta-akta dan perlembagaan negara.

PENJUALAN BEBERAPA KATEGORI BARANGAN LUAR NEGARA DI PLATFORM E-DAGANG MALAYSIA PERLU DISEKAT

 KENYATAAN MEDIA

BIRO EKONOMI PUSAT PARTI PEJUANG TANAHAIR

PENJUALAN BEBERAPA KATEGORI BARANGAN LUAR NEGARA DI PLATFORM E-DAGANG MALAYSIA PERLU DISEKAT UNTUK MEMBANTU INDUSTRI MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA DIWAKTU PEMULIHAN EKONOMI.

  1. Parti Pejuang Tanahair menyaran supaya kerajaan menyekat penjualan beberapa kategori barangan luar dalam platfom e-dagang untuk membantu dan melindungi usahawan tempatan terutamanya dalam industri mikro, kecil dan sederhana untuk kembali pulih dari krisis ekonomi yang telah menggugat banyak perniagaan.

  2. Rakyat Malaysia membeli barangan China melalui platform atas talian bernilai AS$49.4 bilion pada tahun 2020 dan merupakan negara keempat pembeli atas talian terbesar dari segi nilai dagang kasar pada promosi jualan 11.11 tahun lepas. Jumlah ini lebih besar berbanding dengan Singapura (AS$28.2 bilion), Jepun (AS$13 bilion), Amerika Syarikat (AS$12.8 bilion), dan Taipei China (AS$10.3 bilion). Aliran tunai ke luar negara berjumlah AS$49 bilion atau RM220 bilion itu adalah jumlah yang besar yang boleh dibelanjakan untuk barangan tempatan.

  3. Terdapat 14.4 juta pengguna e-dagang di Malaysia dan dijangka meningkat hampir 4 juta pengguna e-dagang baru menjelang 2025. Jumlah ini mewakili 77% dari jumlah populasi negara kita. Purata pembelian atas talian setiap pengguna e-dagang berjumlah AS$383 setahun dan dijangka akan meningkat menjadi AS$530 setahun menjelang 2025. Jika sektor-sektor tempatan tidak dibendung dari awal, kami khuatir bukan sahaja usahawan tempatan tetapi ekonomi Malaysia juga terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah ekspot.

© all rights reserved
made with by templateszoo