Responsive Ad Slot

Showing posts with label Kerajaan Perpaduan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan Perpaduan. Show all posts

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 5 - KERAJAAN PERPADUAN PENYELESAIAN KRISIS


SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 5 - KERAJAAN PERPADUAN PENYELESAIAN KRISIS

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1.    Kadar pengangguran telah dicatatkan hampir mencecah 1 juta dan dianggar akan meningkat dengan lebih mendadak pada tahun hadapan. Sekitar jalan masuk ke rumah saya di Sungai Penchala, kelihatan banyak penjaja-penjaja baru menjual makanan, buah-buahan, sayur-sayuran, air, burger dan pelbagai lagi. Ia tanda rakyat sudah semakin terdesak mencari pendapatan alternatif. Di kawasan lain, pramugara yang kehilangan pekerjaan pula membuka gerai menjual kuew teow goreng.

2.    Ada juga kenalan membawa masuk dan menjual ikan bilis dari Sabah dengan membuka bonet kereta di tepi jalan untuk mencari rezeki yang halal. Beliau kehilangan kerja.



3.    Kita bukan sahaja dilanda masalah pengangguran, tetapi sektor hartanah juga amat terjejas. Prestasi pasaran harta tanah kediaman mencatatkan penurunan mendadak pada separuh pertama 2020 (H1 2020) berbanding tempoh yang sama tahun lalu (H1 2019). Hartanah kediaman tidak terjual terus meningkat dengan jumlah 31,661 unit siap dibina tidak terjual. Setiap pemaju tanah menggunakan pinjaman bank untuk menyiapkan projek perumahan. Setiap rumah tidak terjual akan mengeringkan aliran tunai sesebuah syarikat dengan pembayaran faedah kepada bank.

4.    Hartanah komersial mengalami masalah penghunian dengan hanya 74.3% dari 22.95 juta meter persegi (2,548 bangunan) mempunyai penghuni. Ini, sebelum penambahan 2.25 juta meter persegi lagi dari 48 bangunan baru yang akan siap dan dilancarkan tidak lama lagi. Dimerata tempat kita melihat pelekat iklan ‘untuk disewa/dijual’ ditampal di rumah, kondominium, rumah-kedai dan ruang pejabat yang kosong.

5.    Walaupun hartanah komersial atau kediaman kosong dan tiada penyewa, pemilik terpaksa membayar ansuran pinjaman kepada bank. Dengan prestasi ekonomi negara yang menguncup pada kadar 17.1%, dikhuatiri pemilik hartanah terpaksa melelong jual hartanah mereka untuk mengelak dari diisytiharkan bankrap oleh bank. Ramai penyewa juga menamatkan perjanjian sewa apabila bisness mereka terjejas akibat keadaan ekonomi dan sesetengah mereka menyahut cadangan kerajaan untuk bekerja dari rumah.

6.    Sektor automotif secara keseluruhan juga terjejas dengan keadaan ekonomi yang merudum dan akibat Covid-19. MAA menyasarkan prestasi jualan kereta baru akan jatuh tahun ini sebanyak 22% kepada 470,000 unit daripada 604,000 unit pada tahun 2019.

7.    8 juta peminjam individu dan syarikat yang mendapat manfaat dari moratorium pinjaman kini terumbang-ambing. Kesan ketara akan dirasai pada awal tahun 2021.

8.    70 menteri kabinet telah dilantik dan hampir seratus pengurusan tertinggi agensi, badan kerajaan dan GLC telah ditukar. Tetapi keadaan semakin bertambah parah bukan sebaliknya.

9.    Rakyat mengambil maklum dan taat dengan titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong supaya satu kerjasama perpaduan dibentuk. Titah Tuanku adalah untuk semua ahli Dewan Rakyat menyokong usul belanjawan tanpa mengira parti atau berpihak kepada kepentingan politik, seumpama satu endorsement atau sokongan kepada kerajaan perpaduan.

 

10.    Konsep kerajaan perpaduan ini pertama kalinya dicadang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Februari lalu. Kini, ramai penganalisa politik seperti Associate Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Mantan YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin, pengamal undang-undang dan veteran-veteran politik juga telah memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan.

11.    Permintaan kami rakyat marhaen supaya pucuk pimpinan diterajui oleh seorang yang berpengalaman dalam menangani krisis sedahsyat ini. Dalam sejarah Malaysia, hanya seorang pemimpin sahaja yang pernah menyelamatkan Malaysia dari krisis yang mampu meranapkan ekonomi Malaysia dan hampir dijajah oleh IMF.

12.    Tiuplah semboyan untuk Tun Dr Mahathir kembali menerajui satu kerajaan perpaduan demi masa depan negara. Sekurang-kurangnya sehingga wabak pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dapat diatasi dan Parlimen dapat dibubarkan.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan 

 

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

 

© all rights reserved
made with by templateszoo