Responsive Ad Slot

Showing posts with label PEDA CONSTITUTION. Show all posts
Showing posts with label PEDA CONSTITUTION. Show all posts

PERLEMBAGAAN PEDA (Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia) PEDA Constitution

PERLEMBAGAAN PEDA (Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia)
PEDA (Proton Edar Dealers Association Malaysia) Constitution


Peraturan 1 NAMA DAN TEMPAT URUSAN

1.1 Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Proton Edar Dealers’ Association of Malaysia) (PEDA) selepas ini disebut ‘Persatuan’.

1.2 Alamat berdaftar dan tempat urusan Persatuan ialah 15 & 17, Jalan Petaling Utama 11, Taman Petaling Utama, Batu 7, Jalan Kelang Lama, 46000 Petaling Jaya, Selangor D.E. atau di tempat lain atau tempat-tempat lain di dalam Semenanjung Malaysia yang akan ditetepkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa. Alamat berdaftar dan tempat urusan Persatuan boleh diubah dengan syarat mendapat kebenaran Pendaftaran Pertubuhan terlebih dahulu.


Peraturan 2 DEFINISI

Perkataan Maksud

‘Ahli’ Ahli persatuan termasuk Ahli-ahli Biasa dan Ahli-ahli Bersekutu sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

‘Proton Edar’ Proton Edar Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang didaftar di bawah Pendaftar Syarikat yang mengedar kenderaan buatan Malaysia.

‘Jawatankuasa’ Badan pentadbiran Persatuan yang tertinggi, yang diundi dan dilantik di bawah Peraturan 9 Perlembagaan ini.

‘Persatuan’ Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Proton Edar Dealers’ Association of Malaysia) (PEDA).

‘Pemegang Pemegang Amanah Persatuan.
Amanah’

‘Penaung’ Penaung Persatuan yang diundang oleh Jawatankuasa untuk memegang jawatan tersebut.

‘Setiausaha Agung’ Setiausaha Agung Persatuan dilantik di bawah Peraturan 9 Perlembagaan ini.
‘Wakil Ahli’ Wakil individu yang dilantik oleh ahli-ahli Persatuan.


Peraturan 3 OBJEKTIF-OBJEKTIF

3.1 Menyatupadukan perniagaan menjual produk yang diedarkan oleh Proton Edar dan mereka yang terlibat dalam perusahaan kereta untuk kepentingan faedah ekonomi ahli.

3.2 Memperjuangkan kepentingan hak ahli-ahli dari segi perusahaan atau perindustrian, ekonomi sosial dan undang-undang.

3.3 Menyelaraskan aktiviti-aktiviti semua ahli dan menyelesaikan jika diminta secara bertulis selisih faham yang timbul di antara ahli-ahli.

3.4 Membuat perhubungan dengan badan-badan lain yang berdaftar yang mempunyai tujuan-tujuan yang sama dengan Persatuan.

3.5 Menerbitkan majalah-majalah atau risalah-risalah yang berkaitan dengan perusahaan, menjual dan menyewa kereta, dengan syarat mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pihak yang berkenaan, jika perlu.

3.6 Menganjur kelas-kelas dan apa-apa projek pelajaran berhubng dengan perusahaan kenderaan dan aktiviti-aktiviti berkenaan, jika perlu.

3.7 Membeli, menjual, meminjam, menggadai, memajak, menyewa dan membuat lain-lain urusan bersangkutan dengan tanah-tanah atau lain-lain harta bagi mencapai objektif Persatuan.

3.8 Menggalakkan ahli-ahli menubuhkan syarikat untuk menjalankan perniagaan sokongan yang berkaitan dengan perniagaan Proton Edar.

3.9 Menjalankan aktiviti berbentuk perniagaan dan ekonomi secara sah atas nama Persatuan dengan syarat semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-semata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Persatuan ini dan tidak sebahagian pun daripada wang dan keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada ahli Persatuan. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja Persatuan ini dengan syarat mereka telah memberikan perkhidmatan kepada Persatuan.


Peraturan 4 KEAHLIAN

4.1 Persatuan ini mempunyai dua (2) jenis keahlian iaitu:-

(a) Ahli Biasa

Ahli Biasa terbuka kepada syarikat-syarikat pengedar atau wakil-wakil penjual yang berdaftar yang dilantik oleh Proton Edar di seluruh Malaysia.

(b) Ahli Bersekutu

Ahle Bersekutu terbuka kepada semua pengedar alat-alat pengganti Proton Edar secara francais dan semua pengusaha pusat service Proton Edar secara francais. Ahli Bersekutu tidak berhak mengundi dan diundi untuk memegang jawatan dalam Persatuan.

4.2 Syarikat-syarikat pengedar dikehendaki melantik dua individu yang sekurang-kurangnya memegangn jawatan pengurus di dalam syarikat ahli yang bertaraf warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas sebagai wakil untuk menghadiri sebarang mesyuarat dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan.

4.3 Tiap-tiap permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

4.4 Tiap-tiap pemohon yang yang permohonannya telah diluluskan seperti yang disebut di atas akan diterima menjadi ahli Persatuan setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan seperti yang ditetapkan.


Peraturan 5 YURAN

5.1 Bayaran masuk keahlian dan yuran yang perlu dibayar adalah seperti berikut.

Ahli Biasa Ahli Bersekutu
Bayaran Masuk RM200.00 RM100.00
Yuran Tahunan RM300.00 RM150.00


5.2 Yuran tahunan hendaklah dibayar kepada Bendahari terlebih dahulu sebelum 31 hb. Januari tiap-tiap tahun.
5.3 Ahli yang membiarkan hutang yuran tertunggak selepas 31 hb Mac akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung atau wakil Setiausaha Agung, dan hak-hak sebagai ahli Persatuan akan digantung sehingga hutangnya telah dibayar.

5.4 Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi dua (2) tahun dengan sendirinya terlucut daripada menjadi ahli Persatuan. Jawatankuaaa boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut segala tunggakan.

5.5 Jawatankuasa mempunyai kuasa uintuk menetapkan yuran masuk semula beserta dengan sebarang denda yang difikir munasabah bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang

5.6 Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.


Peraturan 6 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

6.1 Ahli yang ingin berhenti sebagai ahli Persatuan hendaklah memberi sekurang-kurangnya dua (2) minggu notis bertulis kepada Setiausaha Agung dan menjelaskan segala hutangnya

6.2 Mana-mana ahli yang gagal mematuhi perlembagaan Persatuan atau bertindak dalam cara yang mencemarkan nama baik Persatuan bolehlah digantungkan keahliannya untuk sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.

(a) Sebelum menggantungkan keahlian, ahli berkenaan itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantung tersebut secara bertulis.

(b) Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk menerang dan membela dirinya secara bertulis tidak lewat dai 30 hari dari tarikh pergantungnya. Jika tiada pembelaan bertulis dibekalkan pada jawatankuasa dalam jangkamasa tersebut, pergantungan itu hendaklah dilaksanakan.

(c) Penarikan Pergantungan atau pemecatan ahli yang digantung hanya boleh dilakukan pada Mesyuarat Agung.


Peraturan 7 PERSATUAN BUKAN BADAN POLITIK

7.1 Persatuan ini bukanlah badan politik dan tidak boleh terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan politik atau parti politik.

7.2 Ahli yang bertanggungjawab membawa Persatuan terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam politik atau parti politik adalah ditaksir sebagai gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan dan tindakan akan diambil mengikut Peraturan 6.2 Perlembagaan ini.


Peraturan 8 MESYUARAT AGUNG

8.1 Kuasa tertinggi dalam Persatuan adalah pada ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung. Keputusan atau resolusi yang diputuskan oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung adalah muktamad dan menjadi dasar kepada pentadbiran dan pengurusan Persatuan.

8.2 Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung. Sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada jumlah wakil Ahli Biasa yang berhak mengundi atau dua kali jumlah Ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang hendaklah hadir dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mensyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat

8.3 Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyaurat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih darpada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah Perlembagaan.

8.4 Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat dari 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

(a) Menerima Laporan Tahunan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun lalu;

(b) Menerima Laporan Tahunan Bendahari dan Penyata Kira-kira yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-kira bagi tempoh dua tahun yang akan datang (untuk tahun pemilihan sahaja); dan

(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

8.5 Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli notis Mesyuarat Agung sekurang-kurangnya 21 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung.

8.6 Notis Mesyuarat Agung tersebut semestinya mengandungi satu agenda termasuk salinan-salinan peringatan mesyuarat dan laporan-laporan, borang cadangan usul dan borang pencalonan untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa (untuk tahun pemilihan sahaja) berserta dengan penyata kewangan Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat berdaftar atau pejabat urusan Persatuan.

8.7 Pencalonan-pencalonan untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa dan usul-usul secara bertulis untuk dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Agung tidak lewat dari 14 hari sebelum tarikh mesyuarat.

8.8 Mesyuarat Agung Luarbiasa bagi Persatuan boleh diadakan,

(a) Bila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa atau

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu per lima (1/5) daripada jumlah Ahli Biasa yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan srbab-sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung Persatuan..

8.9 Mesyuarat Agung Luarbiasa yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

8.10 Notis dan agenda untuk Mesyuarat Agung Luarbiasa itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8.11 Peraturan 8.2 dan 8.3 di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Luarbiasa, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Luarbiasa atas permintaan ahli-ahli, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan daripada tarikh itu Mesyuarat Agung Luarbiasa atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan sama tidaklah boleh diadakan.


Peraturan 9 JAWATANKUASA

9.1 Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dua (2) tahun sekali secara undi sulit:

- Seorang presiden
- Seorang Timbalan Presiden
- Tiga Belas (13) orang ahli Jawatankuasa Biasa

(a) Presiden hendaklah melantik dari ahli Jawatankuasa Biasa yang dipilih oleh Mesyuarat Agung untuk mengisi jawatan tersebut:

i. Dua (2) orang Naib Presiden,
ii. Seorang Setiausaha Agun,
iii. Seorang Bendahari Kehormat,
iv. Seorang Penolong Setiausaha Agung,
v. Seorang Penolong Bendahari Kehormat

(b) Jawatankuasa Eksekutif adalah terdiri daripada:-

i. Presiden,
ii. Timbalan Presiden,
iii. Kedua-dua Naib Presiden,
iv. Setiausaha Agung,
v. Bendahari Kehormat,
vi. Penolong Setiausaha Agung,
vii. Penolong Bendahari Kehormat
viii. Dua (2) orang ahli Jawatankuasa Biasa yang dilantik oleh Presiden dari ahli Jawatankuasa Biasa yang dipilih oleh Mesyuarat Agung
dan mempunyai tanggungjawab seperti yang terkandung di dalam fasal 9.6.

(c) Presiden berkuasa melantik empat (4) orang ahli Jawatankuasa Biasa dari mana-mana wakil ahli.

(d) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas pemerintah dalam Persatuan hendaklah terdiri daripada warganegara Malayssia



9.2 Pemilihan atau perlantikan ahli Jawatankuasa adalah tertakluk kepada
syarat berikut:

(a) Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah terdiri daripada pengarah atau pemegang saham syarikat ahli.

(b) Semua Ahli Jawatamkuasa hendaklah terdiri daripada wakil ahli.

(c) Semua Ahli Jawatankuasa boleh dipilih atau dilantik semula apabila tamatnya tempoh perkhidmatan.

(d) Presiden Persatuan tidak boleh memegang jawatan lebih dari tiga (3) penggal [enam (6)tahun] secara berterusan.

(e) Ahli Jawatankuasa yang meletak jawatannya sebelum tamat penggalnya tidak dibenarkan bertanding semula untuk penggal yang berikutnya.

9.3 Jawatan seseorang Ahli Jawatankuasa akan dikosongkan sekiranya:-

(a) Ianya gila atau fikirannya tidak siuman,

(b) Ahli diwakilinya berhenti daripada menjadi Ahli Persatuan,

(c) Ianya tidak menghadir diri dalam mesyuarat-mesyuarat Jawatanakuasa sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa kebenaran daripada Presiden Persatuan,

(d) Ian memberi notis kepada Persatuan mengenai keinginannya untuk meletak jawatan,

(e) Ianya telah dilucutkan Jawatan oleh resolusi Mesyuarat Agung Persatuan,

(f) Ianya tidak lahi menjadi wakil ahli,

(g) Ia diisytiharkan muflis oleh mahkamah, atau

(h) Ia disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh mahkamah.

9.4 Tanggungjawab Jawatankuasa Eksekutif ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan dengan tidak terkeluar dari Perlembagaan ini dan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa Eksekutif tidak boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu mendapat mandat daripadanya dan Jawatankuasa Eksekutif mestilah sentiasa taat kepada keputusan Mesyuarat Agung.

9.5 Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tiga (3) bulan. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli sekurang-kurangnya lima (5) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat tersebut. Presiden dengan bersendirian, atau tidak kurang dari satu per tiga (1/3) daripada Ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengan daripada bilangan Ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum masyarakat.

9.6 Cara pengundian dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa ialah dengan mengangkat tangan untuk menunjukkan persetujuan dan setiap ahli berhak untuk satu undi sahaja. Keputusan adalah berdasarkan kepada undi yang terbanyak dan Pengerusi mesyuarat mempunyi undi pemutus dalam undian yang seimbang.

9.7 Seseorang Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletak jawatan di dalam Jawatankuasa.

9.8 Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakan kelulusan Ahli Jawatankuasa dan mesyuarat Ahli Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Agung bolehlah mendapat kelulusan daripada Ahli Jawatankuasa melalui pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat yang berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan ahli Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima.

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan jelas di dalam surat pekeliling yang dihantar kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka kepada cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.



9.9 Jika Ahli Jawatankuasa biasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, Presiden berkuasa melantik wakil ahli untuk memenuhi kekosongan itu.

9.10 Jawatankuasa boleh melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan perlu. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Ahli Jawatankuasa, atau kerana sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan. Segala pengurus dan kakitangan akan melaporkan pekerjaan mereka kepada Setiausaha Agung dan diuruskan olehnya.

9.11 Jawatankuasa ini boleh menubuhkan Jawatankuasa-jawatankuasa kecil jika difikirkan perlu dan memberikan kewajipan-kewajipan khas kepada Jawatankuasa tersebut.

9.12 Jawatankuasa berkuasa untuk mengubah undang-undang kecil dan peraturan-peraturan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persatuan.

9.13 Jawatankuasa hendaklah memberi laporan tahunan berkenaan kegiatan-kegiatannya kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

9.14 Jawatankuasa Eksekutif berkuasa untuk menubuhkan Jawatankuasa Disiplin bagi meguruskan hal-hal disiplin ahli. Presiden hendaklah melantik salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa sebagai pengerusi Jawatankuasa Disiplin.


Peraturan 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN AHLI JAWATANKUASA

10.1 Presiden dalam masa menyandang jawatannya hendaklah menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

10.2 Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaanya dan beliau diberi kuasa penuh Presiden sepanjang masa ia menjalankan tugas tersebut.

10.3 Setiausaha Agung hendaklah mengurus atau menjalankan kerja-kerja pentadbiran Persatuan mengikut Perlembagaan dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat-mesyuarat Agung dan Mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan-catatan mesyuarat. Setiausaha Agung hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan Penyata Tahunan Persatuan Kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966. Ia juga bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua dokumen kecuali kira-kira dan buku-buku kewangan. Di antara dokumen yang perlu disimpan adalah:-

(a) Buku daftar ahli yang mengandungi nama dan nombor pendaftaran syarikat, alamat perniagaan dan nombor telefon;

(b) Surat Perlantikan wakil ahli yang mengandungi nama dan nombor kad pengenalan wakil ahli yang dilantik.

10.4 Penolong Setiausaha Agung hendaklah menolong Setiausaha Agung menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Agung.

10.5 Bendahari bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya.

10.6 Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari Kehormat menjalan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari Kehormat.

10.7 Kewajipan-kewajipan Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa menjalankan tugas yang diarah olehnya.

10.8 Naib-Naib Presiden hendaklah menjalankan tugas-tugas yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dari masa ke semasa.


Peraturan 11 KEWANGAN

11.1 Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi peraturan ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuk belanja pentadbiran bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji dan upah memeriksa kira-kira tetapi walau bagaimanapun tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

11.2 Bendahari atau Setiausaha Agung dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih dari RM500.00 (ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu hendaklah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

11.3 Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua (2) penandatangan samada Bendahari, Presiden atau Setiausaha Agung.

11.4 Perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu Sahaja) dan tidak melebihi RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Seratus Ribu Sahaja) kepada satu-satu penerima bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar tanpa kelulusan majoriti dua pertiga (2/3) dari ahli Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Seratus Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha Agung dan Bendahari.

11.5 Penyata Kewangan yang diterima dan dibelanjakan beserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa pleh Pemeriksa kira-kira yang dilantik mengikut Peraturan 12 Perlembagaan ini, dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinan-salinan hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat berdaftar Persatuan.

11.6 Tahum kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.


Peraturan 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA

12.1 Sebuah frima audit akan dilantik dalam Mesyuarat Agung sebagai Pemeriksa Kira-kira Persatuan. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula di Mesyuarat Agung Tahunan.

12.2 Pemeriksa kira-kira yang dilantik adalah dikehendaki memeriksa Kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Ia / mereka harus juga dikehendaki (jika diperlukan) pada bila-bila masa oleh Presiden atau Jawatankuasa, memeriksa kira-kira Persatuan bagi mana-mana di dalam tempoh jawatan ia / mereka akan membuat laporan kepada Jawatankuasa.




Peraturan 13 PENGAMANAH

13.1 Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun bolehlah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu SURAT AMANAH (‘Deed of Trust’).

13.2 Pengamanah tidak boleh menjual, atau menarik balik atau menukar milik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung.

13.3 Seseorang Pengamanah boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana sebab lain yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau perlucutan seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru dilantik di dalam Mesyuarat Agung.


Peraturan 14 PEMILIHAN JAWATANKUASA

14.1 Jawatankuasa hendaklah menubuhkan satu Jawatankuasa Kecil Pemilihan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (Untuk Tahaun Pemilihan sahaja).

14.2 Tanggungjawab mereka adalah terdiri daripada:

(a) Mengelolakan dan mengawasi Pemilihan Jawatankuasa Persatuan.

(b) Menentukan semua syarat-syarat Pemilihan Jawatankuasa Persatuan dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding.

(c) Mempastikan semua borang-borang pencalonan diisi dengan betul dan memenuhi syarat-syarat peraturan pemilihan ahli Jawatankuasa Persatuan.

(d) Mempastikan hanya wakil ahli Persatuan yang sah boleh mengundi dan menjadi calon atau menjadi pencadang dan penyokong kepada calon-calon.

(e) Mengira dan mengumumkan keputusan Pemilihan ahli Jawatankuasa Persatuan kepada Mesyuarat Agung Tahunan.

Peraturan 15 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

15.1 Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh mentafsirkan Perlembagaan ini dan Jawatankuasa boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini.

15.2 kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa mengenai tafsiran Perlembagaan adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


Peraturan 16 PENASIHAT / PENAUNG

16.1 Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik mana-mana orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik ini menyatakan persetujuannya secara bertulis.

16.2 Bekas Presiden boleh dilantik menjadi penasihat Persatuan hingga tahun pemilihan berikut.



Peraturan 17 LARANGAN

17.1 Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, video games, Poh Peb Bin, Belankai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong. Dua puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah. Semua permainan dadu banker’s game, semua permainan video dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

17.2 Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.

17.3 Persatuan ini tidak boleh menjalankan kegiatan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau atas nama Ahli Jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

17.4 Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahli Persatuan.

Peraturan 18 PINDAAN PERLEMBAGAAN

18.1 Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftaran Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai dari tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan.

18.2 Notis bertulis selama satu bulan perlu dihantar kepada semua ahli sekiranya hendak meminda sebarang fasal yang terkandung di dalam Perlembagaan ini.


Peraturan 19 PEMBUBARAN

19.1 Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah Ahli Biasa yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya:

19.2 Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujukan dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

19.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.



Peraturan 20.0 PENYERAHAN NOTIS ATAU / DAN DOKUMEN

20.1 Penyerahan sebarang notis kepada Persatuan seharusnya dibuat secara berikut:

(a) Dengan meninggalkan notis atau / dan dokumen di alamat berdaftar; atau

(b) Penghantaran melalui AR Daftar.


20.1 Penyerahan sebarang notis dari Persatuan kepada Ahli boleh dibuat secara berikut:

(a) Dengan meninggalkan notis atau / dan dokumen di alamat berdaftar; atau

(b) Penghantaran melalui AR Daftar; atau

(c) Melalui talian faks.



.
© all rights reserved
made with by templateszoo