KENYATAAN MEDIA
PELAN SPV MILIK KERAJAAN UNTUK MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR 5G BERJUMLAH RM15 BILION AKAN TERDEDAH KEPADA SALAHGUNA KUASA DAN RASUAH
1. Baru-baru ini, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan untuk mencapai beberapa sasaran berteraskan tiga (3) fasa sehingga 2030.
2. Kami mengalu-alukan cadangan membina infrastruktur 5G di seluruh negara untuk membangunkan ekonomi digital dan menjadikan Malaysia salah satu negara termaju dari segi infrastruktur digital. Ini juga boleh membantu syarikat-syarikat teknologi ‘Start-up’ dan ekosistem telekomunikasi untuk lebih berdaya saing.
3. Tetapi dengan perbelanjaan yang cukup besar untuk peningkatan hanya 4.6% dalam jangka masa 5 tahun amat membimbangkan sedangkan sumbangan ekonomi digital telah pun mencapai 18% KDNK (RM270 bilion) dan saiz digital ekonomi global kini berjumlah USD12 trilion.
4. Rancangan kerajaan untuk membina infrastruktur 5G berjumlah RM15 bilion di seluruh negara melalui sebuah entiti khusus ataupun ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) milik kerajaan Malaysia dan bukan melalui proses tender terbuka amat membimbangkan dan mencurigakan. Malah, entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G.