Responsive Ad Slot

Slider

Berita Harian: Guna mata wang tempatan dalam perdagangan ASEAN mampu ubah ekonomi serantau' - GEM

Berita Harian: Guna mata wang tempatan dalam perdagangan ASEAN mampu ubah ekonomi serantau' - GEM

Oleh Ilah Hafiz Aziz - Julai 6, 2025 @ 3:54pm


KUALA LUMPUR: Reformasi perdagangan ASEAN menggunakan mata wang tempatan dilihat mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan sistemik kepada struktur kewangan negara anggota.


Malaysia juga harus menjadi pemacu utama dalam merealisasikan transformasi itu melalui dasar fiskal dan monetari yang progresif, pelaburan dalam digitalisasi kewangan serta diplomasi ekonomi serantau yang konsisten.


Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz Pahamin, berkata meskipun langkah itu memerlukan masa dan pembangunan infrastruktur kewangan yang kukuh, tetapi ia mesti dimulakan sekarang demi mewujudkan satu sistem kewangan lebih adil, seimbang dan bebas pengaruh geopolitik unilateral.


Katanya, Malaysia mesti berani tampil sebagai peneraju membina sistem kewangan yang lebih berdaya tahan dan bebas daripada dominasi unilateral, khususnya hegemoni dolar Amerika Syarikat (AS).


"Ini kerana ASEAN terdedah kepada turun naik nilai mata wang dan dasar monetari AS, tetapi melalui mata wang tempatan dalam perdagangan, ia boleh mengurangkan risiko kadar pertukaran dan mengelak ketidaktentuan yang berpunca dari luar rantau.


"Cadangan ini dilihat mampu mewujudkan kestabilan serantau melalui pengukuhan pasaran modal domestik, meningkatkan kecairan dan menyumbang kepada sistem kewangan lebih berdaya tahan dan kendiri," katanya kepada BH, di sini hari ini.


Semalam, dalam Forum Perniagaan BRICS di Rio de Janeiro, Brazil, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN sudah mengambil langkah mereformasikan kumpulan itu dengan cara bukan saja meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara anggota, tetapi juga menggunakan mata wang tempatan.


Katanya, usaha itu meningkatkan langkah konkrit ke arah sistem kewangan lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.


Dalam pengukuhan itu, Armin Baniaz berkata, Malaysia harus memimpin transformasi ini melalui pelbagai tindakan, antaranya penubuhan ASEAN Local Currency Clearinghouse (ALCC) di Kuala Lumpur bagi membolehkan transaksi rentas sempadan diselesaikan terus dalam mata wang tempatan tanpa perlu menukar kepada dolar AS.

"Selain itu, pemerkasaan sistem pembayaran digital rentas sempadan menggunakan kod QR antara sistem nasional seperti DuitNow, PromptPay dan QRIS bagi menyokong urus niaga mikro dan runcit merentas sempadan.


"Cadangan mewujudkan Dana Kewangan Serantau (ASEAN Monetary Fund) atau peluasan Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) bagi menyediakan talian hayat kecairan dalam mata wang ASEAN ketika krisis.


"Pemeteraian perjanjian perdagangan dua hala dalam Ringgit Malaysia dengan negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Filipina perlu dilakukan untuk memulakan fasa perintis penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, AS pasti bertindak balas sekiranya ASEAN mengambil langkah itu, namun tindakan itu sebenarnya dilihat mampu mengukuhkan kedaulatan kewangan serantau dan membebaskan daripada pengaruh kuasa besar.


Katanya, rancangan Dasar Pandang Ke Timur yang dilakukan negara sebelum ini turut mendapat kecaman dunia tetapi ia perlu dimulakan dan ASEAN, khususnya Malaysia, perlu menjadi peneraju.


"Inisiatif oleh Anwar dilihat sebagai langkah strategik untuk membina sistem kewangan lebih berdaya tahan dan bebas daripada dominasi unilateral, khususnya hegemoni dolar AS. Ia juga menjadi permulaan kepada anjakan struktur dalam sistem kewangan serantau ke arah yang lebih berdaulat, stabil dan lestari," katanya.


Perkembangan sama dikongsi pakar ekonomi yang juga Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman, yang berkata ASEAN harus berhati-hati dengan tindakan yang boleh diambil AS apabila perdagangan antara kumpulan anggota ini tidak lagi menggunakan dolar AS.


Namun, beliau berkata, reformasi perdagangan ASEAN ini dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan negara anggota terhadap nilai dolar AS.

"Cadangan dinyatakan Perdana Menteri ini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS yang kita tahu tidak begitu stabil hari ini.


"Malah kita melihat ia mampu memberi kesan perubahan positif yang mana pedagang tidak lagi terdedah kepada keadaan tidak menentu berpunca daripada dolar AS.


Artikel asal di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1416424/guna-mata-wang-tempatan-dalam-perdagangan-asean-mampu-ubah-ekonomi?source=widget

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo