Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengulangi dakwaan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh. Sebelum ini, beliau secara terbuka melabelkan Tun Mahathir sebagai “pengkhianat negara.” Kini, dalam sidang Dewan Rakyat bertarikh 22 Julai 2025, Perdana Menteri menyatakan bahawa Tun Mahathir "sememangnya bersalah" atas keputusan Kabinet 2018 berkaitan penarikan semula semakan kes Batu Puteh, tetapi tindakan undang-undang tidak diambil atas alasan usia Tun yang kini mencecah 100 tahun.
Persoalan pokok yang timbul ialah: di manakah mahkamah yang membuktikan Tun Mahathir bersalah? Di manakah bukti bahawa Tun telah melakukan pengkhianatan atau kesalahan jenayah seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri?
1. Tiada Penghakiman Mahkamah, Tiada Sabitan Kesalahan
Kenyataan Perdana Menteri secara berulang-ulang yang mengisytiharkan Tun Dr. Mahathir “bersalah” adalah tidak berasas dan berniat jahat. Tiada mana-mana mahkamah, sama ada di dalam atau luar negara, yang pernah mensabitkan Tun Mahathir atas apa-apa kesalahan berkaitan Batu Puteh. Malah, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga tidak menyebut bahawa Tun adalah “pengkhianat negara,” apatah lagi mencadangkan bahawa beliau perlu didakwa.
2. Keputusan Kabinet, Bukan Keputusan Individu
Laporan RCI dan minit rasmi Kabinet pada 23 Mei 2018 membuktikan bahawa keputusan menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah keputusan Jemaah Menteri secara kolektif. Ia bukan keputusan unilateral oleh Tun Mahathir. Oleh itu, sebarang tanggungjawab politik atau pentadbiran perlu dipikul bersama oleh seluruh anggota Kabinet yang terlibat ketika itu.
3. Kenyataan Bersifat Fitnah dan Tidak Bertanggungjawab
Sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menjadi contoh teladan dalam menjaga integriti dan kebenaran. Sebaliknya, beliau telah menggunakan platform rasmi Parlimen untuk melemparkan tuduhan serius tanpa asas perundangan. Kenyataan ini bukan sahaja bersifat fitnah dan memburukkan reputasi, malah boleh dianggap satu bentuk penyalahgunaan kuasa serta penghakiman politik terhadap seorang tokoh negarawan yang telah banyak berjasa.
4. Tindakan Tegas Wajar Diambil dan Permohonan Maaf Diperlukan
Kami mendesak YAB Perdana Menteri untuk segera menarik balik kenyataan-kenyataan berunsur fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebarang perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencemarkan nama baik seseorang tanpa asas undang-undang. Sekiranya Perdana Menteri terus mengulangi kenyataan seumpama ini, tindakan undang-undang sivil berkenaan fitnah (defamation) wajar dipertimbangkan oleh pihak yang terkesan.
5. Rakyat Semakin Hilang Kepercayaan dan Akan Bangkit Secara Aman
Kepalsuan yang disengajakan serta dendam politik yang berterusan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila digabungkan dengan amalan nepotisme dan kronisme yang semakin ketara, merupakan antara faktor utama yang menyebabkan rakyat semakin muak, cuak dan hilang sepenuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Madani yang dipimpinnya.
Rakyat berhak bersuara. Maka, seruan untuk turun berhimpun secara aman pada 26 Julai 2025 sebagai tanda penolakan terhadap penyalahgunaan kuasa dan tuntutan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan adalah sah, wajar, dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Kita mesti mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, bukan undang-undang yang ditentukan oleh Dato Sri Anwar Ibrahim. Tun Dr. Mahathir dan rakyat berhak mendapat keadilan dan perlindungan daripada sebarang bentuk fitnah atau penindasan politik. Perdana Menteri tidak boleh menggunakan Parlimen sebagai medan untuk menjatuhkan maruah lawan politiknya melalui naratif tanpa bukti.
Setiausaha Agung - Sekretariat Tanahair

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~