KUALA LUMPUR 3 Julai 2025 – NGO Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyatakan kebimbangan pada perkembangan semasa berkaitan pendedahan laporan seramai 222 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang disahkan positif HIV.
Menurut Presiden GEM, Dr Armin Baniaz Pahamin, statistik tersebut cukup membimbangkan dan ia seharusnya menjadi amaran nasional agar segera bertindak.
GEM memandang berat laporan Buletin TV3 bertarikh 1 Julai 2025 yang mendedahkan seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan positif HIV sepanjang tahun lalu, dengan majoriti mereka berusia antara 18 hingga 19 tahun.
Statistik ini amat membimbangkan, dan wajar dijadikan amaran nasional terhadap situasi kesihatan awam serta keruntuhan nilai moral dalam kalangan generasi muda.
Armin berkata bahawa masalah ini menggambarkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial dalam menyampaikan pendidikan kesihatan termasuk kesihatan seksual.
Fenomena ini bukan sekadar masalah perubatan, tetapi turut mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual yang berkesan serta nilai-nilai akhlak yang mendalam.
Golongan pelajar seharusnya menjadi tonggak masa depan negara, bukan terjerumus ke dalam kancah risiko jangkitan penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS.
Isu ini bukan semata-mata soal kesihatan, tetapi merupakan krisis kepimpinan sosial dan nilai yang memerlukan tindakan holistik dan tegas oleh semua pihak – termasuk kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, dan masyarakat. Katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan beberapa tindakan perlu segera dilakukan antaranya pendidikan seksual bersepadu berlandaskan agama dan budaya sebagai subjek wajib di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Kementerian Kesihatan dan KPT harus berganding bahu untuk melaksanakan program saringan HIV berkala, kaunseling dan pendidikan pencegahan di semua IPT.
Mobilisasi komuniti ibu bapa dan NGO dalam memperkukuh sistem sokongan terhadap pelajar yang berisiko. Tambah beliau.
Selain daripada itu, GEM berpendapat keajaan juga perlu menubuhkan pusat intervensi awal dan kaunseling di setiap universiti dan kolej termasuk penguatkuasaan terhadap gejala seks bebas, aktiviti tidak bermoral serta penjualan kondom dan ubat perangsang secara terbuka.
Kehilangan generasi muda kepada krisis seperti HIV bukan sahaja merugikan negara dari segi modal insan, tetapi turut mencerminkan kelemahan dasar dan pelaksanaan sistem sokongan sosial.
Kita perlu segera bertindak sebelum kerosakan menjadi tidak terkawal. Tegasnya.
Baru-baru ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu bahawa seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan menghidap jangkitan HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas.
Rekod menunjukkan sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024. @politiko.my
Artikel in pertama dikeluarkan di https://politiko.my/222-pelajar-hiv-positif-perkembangan-yang-membimbangkan-ngo
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~