KUALA LUMPUR, 30 Jun 25 – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Ekonomi Malaysia mendakwa prestasi Bursa Malaysia makin merosot dengan pelaburan asing bergerak keluar dalam tempoh lima minggu berturut-turut adalah petanda membimbangkan.
Presidennya, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, secara keseluruhan, aliran keluar bersih pelaburan asing melebihi RM2.4 bilion dalam masa kurang dua bulan.
“Ini merupakan satu angka yang membimbangkan dan menandakan kehilangan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap prospek Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan.
Armin berkata, trend pelabur asing ‘angkat kaki’ dari pasaran tempatan yang bukan berlaku dalam vakum sebaliknya mencerminkan pelbagai kegagalan dasar dan kelemahan institusi yang makin ketara.
Antara yang dibangkitkan adalah dasar fiskal yang tidak konsisten dan tidak mesra perniagaan berikutan ketidaktentuan dalam pelaksanaan cukai, perbelanjaan kerajaan yang boros, serta ketidaktelusan peruntukan fiskal melemahkan minat pelabur.
Selain itu, berlaku ketidakpastian hala tuju ekonomi negara berikutan tiada pelan strategik jangka panjang yang jelas untuk memulihkan keyakinan pelabur selepas pandemik dan krisis geopolitik.
“Retorik politik melebihi reformasi sebenar, laungan reformasi oleh kerajaan hanya tinggal slogan, dengan prestasi institusi masih lemah dan rasuah masih berleluasa.
“Kegagalan menstabilkan ringgit dan kawalan kos sara hidup dengan nilai ringgit kekal lemah pada sekitar RM4.75 berbanding USD, manakala kadar inflasi makanan dan bahan asas terus meningkat.
“Realiti ekonomi bertentangan dengan retorik kerajaan,” tambahnya.
Pihaknya juga terkejut dalam keadaan itu, ketika pelabur asing menarik diri dan pasaran saham melemah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mendakwa kononnya pentadbirannya telah “menyelamatkan RM20 bilion.”
“Namun, dakwaan ini tidak disertakan dengan sebarang angka rasmi atau laporan audit, sekaligus dilihat sebagai cubaan untuk mengaburi mata rakyat daripada hakikat sebenar bahawa ekonomi negara sedang kehilangan momentum.
“Retorik sedemikian amat membimbangkan, kerana ia membayangkan satu pentadbiran yang terpisah daripada realiti pasaran dan keperluan mendesak rakyat dan pelabur,” tambahnya lagi. @politiko.my
Artikel ini pertama di keluarkan di https://politiko.my
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~