Responsive Ad Slot

Slider

NGA KOR MING SALAH TAFSIR LAPORAN ATHI NAHAPPAN DEMI AGENDA POLITIK


1. Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bahawa Laporan Suruhanjaya Diraja Athi Nahappan hanya mengesyorkan penangguhan sementara pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akibat Konfrontasi Indonesia–Malaysia merupakan satu tafsiran sejarah yang tidak tepat dan bersifat reduktif. 

2. Tafsiran sedemikian memberikan gambaran seolah-olah negara telah gagal memahami laporan berkenaan selama lebih lima dekad, sedangkan hakikatnya keputusan menghentikan pilihan raya PBT adalah keputusan struktur negara yang dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap implikasi perlembagaan, sosial dan tadbir urus dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia. 

3. Laporan Athi Nahappan bukan sekadar dokumen keselamatan sementara, tetapi sebuah penilaian serius mengenai risiko politisasi pentadbiran tempatan, ketidakseimbangan demografi bandar, ketegangan kaum serta kelemahan kapasiti institusi — faktor-faktor yang kekal relevan sehingga ke hari ini.

4. Walaupun laporan tersebut mengakui bahawa pilihan raya kerajaan tempatan adalah diingini secara prinsip dalam keadaan ideal, sokongan itu bersifat bersyarat dan disertai dengan amaran yang jelas mengenai risiko politisasi pentadbiran, ketegangan kaum di kawasan bandar, ketidakseimbangan demografi pengundi, serta kelemahan kapasiti institusi dan kewangan pihak berkuasa tempatan. 

5. Sokongan Suruhanjaya terhadap pilihan raya PBT bersifat bersyarat dan disertai amaran yang jelas, bukan mandat mutlak untuk pelaksanaan semula. 

6. Hakikat bahawa pilihan raya PBT tidak dikembalikan selepas tamat Konfrontasi pada 1966, malah dimuktamadkan melalui sistem pelantikan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976, membuktikan bahawa keputusan negara adalah keputusan struktur berasaskan kepentingan perlembagaan dan kestabilan nasional, bukannya kecuaian sejarah seperti yang cuba ditonjolkan.

7. Dalam masa yang sama, hujah perbandingan dengan bandar-bandar seperti Bangkok, Jakarta, London atau New York yang sering dibangkitkan adalah bersifat retorik populis dan tidak relevan secara perlembagaan. 

8. Ini kerana Malaysia bukan negara unitari seperti Thailand atau Indonesia, mempunyai kontrak sosial tersendiri serta peruntukan afirmatif seperti Perkara 153, dan dibentuk oleh sejarah konflik kaum yang memerlukan pendekatan tadbir urus yang berbeza.

9. Menggunakan contoh bandar asing untuk mewajarkan perubahan struktur kuasa tempatan di Malaysia jelas mengabaikan realiti perlembagaan negara sendiri. 

10. Begitu juga, melabelkan cadangan ini sebagai “kajian kebolehlaksanaan akademik” melalui penglibatan UIAM tidak mengubah hakikat bahawa pilihan raya PBT dan pemilihan Datuk Bandar merupakan agenda ideologi lama Democratic Action Party (DAP) yang telah lama dimasukkan ke dalam perlembagaan dan manifesto parti, kemudiannya diserap ke dalam manifesto gabungan, dan kini cuba dilaksanakan melalui kuasa eksekutif.

11. Dalam konteks ini, kajian akademik tidak boleh dijadikan alat untuk menghalalkan projek politik yang membawa implikasi besar terhadap struktur kuasa negara dan kedudukan Melayu bandar, apatah lagi apabila sejarah dan laporan Suruhanjaya Diraja sendiri ditafsir secara selektif demi memenuhi kepentingan manifesto politik tertentu.

12. Untuk mengembalikan pilihan raya Datuk Bandar dan kerajaan tempatan pada hari ini hakikatnya adalah bertentangan secara langsung dengan semangat dan amaran jelas yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Athi Nahappan. 

13. Laporan tersebut bukan sekadar membincangkan aspek pentadbiran, tetapi secara tegas memberi peringatan bahawa pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan, khususnya dalam konteks bandar yang berdemografi tidak seimbang, berpotensi mencetuskan polarisasi kaum, mempolitikkan pentadbiran akar umbi, dan melemahkan usaha pembinaan negara dalam masyarakat majmuk. 

14. Menghidupkan semula pilihan raya Datuk Bandar dan PBT tanpa mengambil kira amaran ini bukan sahaja menyalahi rasional asal laporan tersebut, malah merupakan satu langkah yang mengabaikan pengajaran sejarah dan realiti perlembagaan Malaysia, seolah-olah risiko perkauman yang dikenal pasti secara rasmi oleh sebuah Suruhanjaya Diraja kini dianggap tidak lagi relevan, sedangkan tanda-tanda polarisasi sosial dan politik bandar hari ini jauh lebih ketara berbanding ketika laporan itu disediakan.

15. Sebagai jalan ke hadapan yang lebih konstruktif, Kerajaan MADANI wajar mengalihkan fokus daripada usaha menghidupkan pilihan raya Datuk Bandar atau kerajaan tempatan kepada pengukuhan mekanisme pelantikan yang profesional, telus dan berasaskan merit. 

16. Daripada mempolitikan pentadbiran bandar melalui mandat pilihan raya, lebih wajar diwujudkan garis panduan kelayakan yang jelas dan ketat bagi pelantikan Datuk Bandar, merangkumi kelayakan akademik dan profesional, pengalaman pengurusan berskala besar, rekod integriti serta kefahaman mendalam terhadap kerangka perlembagaan dan sensitiviti masyarakat majmuk. 

17. Pelantikan sedemikian hendaklah disertai dengan kontrak prestasi yang terukur, penilaian berkala oleh jawatankuasa bebas, serta mekanisme akauntabiliti yang telus kepada Parlimen dan pihak berkuasa berkaitan. 

18. Pendekatan ini bukan sahaja lebih selari dengan sifat teknokratik jawatan Datuk Bandar, malah mampu memperkukuh tadbir urus bandar tanpa menjejaskan kestabilan perlembagaan, mengelakkan politisasi yang tidak perlu, dan memastikan kepentingan semua komuniti, khususnya orang Melayu bandar, terus dilindungi. 

19. Inilah reformasi sebenar yang lebih praktikal, bertanggungjawab dan sesuai dengan realiti negara, berbanding memperkenalkan eksperimen politik yang berisiko tinggi terhadap struktur kuasa dan keharmonian sosial.

Salam hormat,

Dr Armin Baniaz Pahamin 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo