Responsive Ad Slot

Slider

Cadangan IMF akan bebankan rakyat, industri - Sinar Harian



Cadangan IMF akan bebankan rakyat, industri
Sinar Harian | Oleh AISYAH BASARUDDIN | 19 Jun 2023

SHAH ALAM - Langkah kerajaan bagi mendapatkan bantuan teknikal daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berhubung strategi hasil jangka sederhana (MRTS) akan membebankan lagi keperitan rakyat dalam suasana ekonomi tidak menentu dan kadar inflasi yang tinggi.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin berkata, terdapat banyak faktor yang mengakibatkan kemerosotan hasil kutipan cukai kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti struktur dan hala tuju ekonomi, pimpinan kerajaan korup serta rasuah.

Menurutnya, jumlah 11 peratus itu adalah yang terendah dalam kelompok ASEAN-5 dengan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Mengikut Laporan Perundingan-Konsultasi dan Kakitangan Artikel IV 2023 yang dikeluarkan pada 1 Jun, IMF mencadangkan dasar monetari Malaysia perlu diperketatkan lagi berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) bukan sahaja membebankan rakyat tetapi juga syarikat khususnya sektor mikro, kecil dan sederhana.

“Majoriti mereka dibelenggu pinjaman tinggi dan amat sensitif kepada pertukaran kadar faedah pinjaman,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kenaikan kos akibat kadar faedah meningkat akan menaikkan lagi harga perkhidmatan atau produk menyebabkan operasi sesetengah syarikat terjejas sehingga mendorong kepada tahap inflasi yang meninggi.

Tambahnya, hasil negara boleh ditingkatkan melalui sumber pendapatan lain seperti duti eksais dan levi tanpa membebankan rakyat di samping kerajaan mengetatkan lagi penguatkuasaan barangan seludup serta cukai pekerja asing yang semakin berleluasa.

“Kerajaan rugi besar akibat barang yang di seludup masuk secara haram sehinggakan kerugian hasil negara dari penyeludupan rokok sahaja dianggarkan bernilai RM6 bilion tidak termasuk ubat-ubatan, minuman keras dan sebagainya.

“Walaupun jumlah pekerja asing berdaftar melebihi 2.1 juta tetapi pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggarkan mencecah 1 juta, ini bukan sahaja menjejaskan hasil negara tetapi juga bersangkut paut dengan masalah ekonomi, sosial, keselamatan dan ketenteraman,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kerugian besar melalui pendapatan, levi dan ekonomi haram di jana oleh PATI misalnya levi adalah salah satu daripada lima sumber perolehan yang boleh dipertingkatkan untuk menambah hasil negara ekoran pendapatan dari cukai tertinggi dikenakan ke atas keuntungan syarikat.

Beliau menambah, kerajaan harus mengutamakan dasar yang lebih mesra dan memperkasakan syarikat serta perniagaan kerana apabila kelompok itu berdaya saing dan maju, hasil kerajaan akan bertambah.

Menurutnya lagi, dasar yang melemahkan syarikat seperti gaji minima atau progresif, penarikan subsidi dan kenaikan kadar faedah pinjaman harus diteliti halus sebelum di laksana serta dikuatkuasakan.

Jelasnya, sektor swasta masih belum pulih sepenuhnya dari kesan pandemik lantaran apabila keuntungan atau kos terjejas, pekerja adalah golongan pertama yang merasa tempias sehingga syarikat tersebut terpaksa kecilkan operasi dengan memberhentikan staf.

“Snowball effect akan menjejaskan ekonomi negara dari pelbagai aspek,” ujarnya.

Beliau turut bersetuju, pandangan IMF mengenai belanjawan tahunan Kementerian Kewangan tidak selari dengan keperluan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), malah kurang berkait semenjak beberapa tahun lepas, walhal perkara tersebut amat penting untuk pembangunan serta masa depan negara.

Ujarnya, satu formula tidak boleh di guna pakai untuk semua negara kerana Malaysia adalah unik, mempunyai masalah tersendiri, berbeza dan paling utama ialah dari segi kepimpinan serta struktur ekonomi berbanding yang lain.

“Syarikat gergasi Panasonic Manufacturing Berhad mengecilkan operasi dengan penutupan dua kilang di Shah Alam, begitu juga rangkaian kedai buku Borders yang telah menutup terus operasi di Malaysia, memberi isyarat jelas bahawa dasar ekonomi negara tidak berjaya mengekalkan permintaan,” kata beliau dalam kenyataan sama. 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo