Responsive Ad Slot

Slider

Agenda Kereta Nasional Perlu di Struktur Semula


Adakah agenda kereta nasional masih relevan? Agenda kereta nasional di tubuhkan untuk memacu ekonomi negara dengan memperolehi dan memiliki teknologi pembuatan, membina rantaian pembekal dalam ekosistem automotif, mewujudkan rangkaian pengedar jualan dan pengusaha pusat servis telah jauh tersasar dari matlamat asal dasar automotif negara.

 

Dasar automotif negara sekarang lebih memihak kepada sistem `re-badging’ atau penjenamaan semula model kereta sedia ada untuk dinamakan kereta nasional. Penukaran jenama kereta tidak menjadikan kereta tersebut sebagai kereta nasional. 

 

Akibat dari dasar automotif baru yang tidak menyeluruh khususnya terhadap hala tuju kereta nasional, ekonomi negara terkesan. Yang paling terkesan adalah golongan profesional seperti jurutera dan juga pembekal. Jumlah jurutera yang diperlukan berkurangan kerana kebanyakan R&D di buat di luar negara oleh jurutera luar dan ramai jurutera juga di import dari negara China. 

 

Kereta yang dilahirkan hasil dari R&D jurutera tempatan adalah kereta model Proton Saga, Proton Persona, Proton Exora, Proton Iriz yang masih menjadi tonggak dan tulang belakang Proton sehingga hari ini dengan jumlah jualan hampir 80% dari jualan keseluruhan kereta Proton. 

 

Kereta-kereta buatan Malaysia ini adalah penyumbang besar kepada ekonomi negara dari berbagai segi kerana inovasi, R&D dan rantaian bekalan komponen dan alat ganti kereta ini adalah buatan Malaysia. Ini juga membuktikan kita mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk membuat kereta dengan jayanya.

 

Semua model kereta terbaru Proton seperti X70, X50 dan X90 adalah kereta `re-badging’ dari syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, China dengan jumlah jualan 20% dari jumlah jualan keseluruhan kereta Proton. Kereta terbaru ini adalah buatan dan hasil kepakaran jurutera dari China. Kereta-kereta terbaru ini sepatutnya menjadi tonggak jualan Proton dengan sasaran jualan melebihi 50% jualan keseluruhan tetapi ia tidak berlaku walaupun Proton memberi tumpuan kepada re-badging untuk model-model baru. 

 

Tanpa model-model kereta baru yang dikeluarkan hasil dari R&D tempatan, permintaan untuk kepakaran jurutera-jurutera dan juga pembekal tempatan akan mengecil kerana kereta re-badging tidak memerlukan jumlah jurutera yang ramai seperti keperluan jurutera, pembekal dan inovasi untuk mengeluarkan kereta model baru dari papan lukis (drawing board) kepada pengeluaran (production). 

 

Akibat dari hala tuju ke arah re-badging, permintaan untuk jurutera berkurangan dan ini terbukti apabila ramai graduan jurutera tidak mendapat kerja kerana memang tiada keperluan dan permintaan dari syarikat-syarikat pemasangan kereta. Baru-baru ini tersebar kisah seorang wanita bernama Husna, 24 tahun, graduan lulusan ijazah sarjana muda jurutera mekanikal terpaksa bekerja di kedai 7 Eleven apabila tidak berjaya mendapatkan kerja sebagai jurutera. Husna adalah seorang dari ramai graduan jurutera yang terpaksa bekerja di luar bidang pengajian kerana tiada permintaan untuk jurusan tersebut. 

 

Keadaan ini berbeza jika syarikat pembuat kereta pesat membangun dan hala tuju automotif negara menghala ke arah pembuatan dan bukan pemasangan kereta.

 

Ekonomi negara kita tidak akan maju seperti mana Malaysia dikenali sebagai Harimau Asia suatu ketika dahulu jika hala tuju dasar automotif kita dipandu ke arah pemasangan (assembly). Kereta-kereta re-badging tidak memerlukan jurutera, kepakaran yang tinggi dan inovasi.

 

Kereta nasional adalah salah satu dari penyumbang utama dan amat penting kepada ekonomi negara dan menyumbang 4% Keluaran Dalam Negeri Kasar. Ekosistem automotif membuka beratus ribu peluang pekerjaan, meningkatkan permintaan kemahiran teknikal, pindahan teknologi milik Malaysia dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat dan pembekal asing. Ciri-ciri ini terutamanya pemilikan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing perlu diterap untuk dipanggil kereta nasional. 

 

Kereta nasional mempunyai tanggung-jawab untuk menjayakan dasar, kewajipan sosial dan hala tuju ekonomi. Salah satu dari dasar automotif dan kewajipan sosial yang penting ialah untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dalam Proton dan ekosistem Proton, membuka peluang perniagaan sebagai pembekal, pengedar jualan dan pengusaha pusat servis, baiki dan cat kepada rakyat Malaysia. 

 

Agenda kereta nasional menjadi tidak relevan apabila lebih ramai pembekal asing di lantik, lebih ramai pekerja asing di ambil, lebih ramai pengedar dan pengusaha pusat servis di tamatkan perkhidmatan.

 

Sebagai pemegang saham majoriti Proton, DRB-Hicom yang juga syarikat berkait kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan untuk mengutamakan agenda kereta nasional kerana tidak mungkin pengurusan asing akan memberi keutamaan kepada agenda tempatan. 

 

Armin Baniaz Pahamin

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia


0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo