Responsive Ad Slot

Slider

Cadangan IMF bebankan rakyat - Utusan Malaysia


Cadangan IMF bebankan rakyat
Utusan Malaysia | Oleh NURFARAHIN HUSSIN | 20 Jun 2023, 7:50 am

SEBARANG langkah mengetatkan lagi dasar monetari bakal memberi kesan lebih serius kepada rakyat yang kini berdepan tekanan kenaikan kos hidup.

PETALING JAYA: Cadangan Ta­bung Kewangan Antarabangsa (IMF) agar Malaysia memperketatkan lagi dasar monetari disebabkan cukai yang rendah, boleh menambah keperitan rakyat dalam suasana ekonomi tidak menentu dan kadar inflasi yang tinggi.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, terdapat ba­nyak faktor yang mengakibatkan ke­merosotan hasil kutipan cukai kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti struktur dan hala tuju ekonomi selain pimpinan kerajaan yang korup.

Kata beliau, hasil kutipan cukai 11 peratus adalah yang terendah dalam kelompok ASEAN-5 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Katanya, sebarang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bukan sahaja akan membebankan rakyat tetapi juga syarikat khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dibelenggu pinjaman tinggi dan amat sensitif kepada pertukaran kadar faedah pinjaman.

“Kenaikan kos akibat daripada kadar faedah yang mening­kat akan menaikkan lagi harga perkhidmatan dan produk.

“Operasi sesetengah syarikat akan terjejas apabila tidak dapat meneruskan kontrak pembekalan dengan kenaikan kos tanpa persetujuan untuk menyemak semula nilai kontrak.

“Ini juga boleh mendorong kepada tahap inflasi yang mening­gi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas Laporan Perundingan-Konsultasi dan Kakitangan Artikel IV bagi Malaysia: 2023 yang dikeluarkan pada 1 Jun lalu, di mana IMF mencadangkan dasar monetari Malaysia perlu diperketatkan lagi kerana hasil cukai yang rendah.

Antara cadangan IMF adalah memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menaikkan OPR dan me­laksanakan cukai karbon yang dapat menyumbang anggaran 1.0-3.0 peratus daripada KDNK setahun dalam hasil fiskal menjelang 2030.

Tambah Armin, sumber hasil negara boleh ditingkatkan me­lalui sumber pendapatan negara yang lain seperti hasil duti eksais dan levi pekerja tanpa membebankan rakyat.

“Kerajaan boleh mengetatkan lagi penguatkuasaan barangan seludup dan levi pekerja asing yang semakin berleluasa. Tambahan pula, kerajaan kerugian besar akibat dari barang yang diseludup masuk secara haram.

“Kerugian hasil negara daripada penyeludupan rokok sahaja dianggarkan bernilai RM6 bilion tidak termasuk penyeludupan ubat-ubatan, minuman keras dan lain-lain,” katanya.

Justeru, Armin berpanda­ngan, kerajaan harus terus me­ngutamakan dasar-dasar yang lebih mesra dan memperkasakan syarikat dan perniagaan kerana apabila syarikat berdaya saing dan maju, hasil kerajaan akan bertambah.

Katanya, dasar-dasar yang me­lemahkan syarikat seperti ga­ji minimum, gaji progresif, penarikan subsidi, kenaikan kadar faedah pinjaman harus diteliti sebelum dikuatkuasakan.

“Sektor swasta masih belum pulih sepenuhnya dari kesan pandemik. Apabila keuntungan atau kos operasi syarikat terjejas, pekerja adalah golongan pertama yang akan terjejas apabila syarikat mula mengecilkan operasi (downsizing).

“Apabila syarikat terpaksa mengecilkan operasi dan pekerja diberhentikan, hasil negara daripada cukai pendapatan juga akan terjejas daripada pelbagai aspek,” ujarnya. – UTUSAN 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo