Responsive Ad Slot

Slider

Cadangan IMF supaya OPR dinaikkan bebankan rakyat, industri - Berita Harian

 Cadangan IMF supaya OPR dinaikkan bebankan rakyat, industri

Majoriti rakyat dan syarikat mikro, kecil dan sederhana dibelenggu pinjaman yang tinggi - Foto hiasan
Majoriti rakyat dan syarikat mikro, kecil dan sederhana dibelenggu pinjaman yang tinggi - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Cadangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya Malaysia mengetatkan dasar monetari yang antara lain dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan membebankan rakyat dan juga syarikat khususnya sektor mikro, kecil dan sederhana.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin, berkata mengikut Laporan Perundingan-Konsultasi dan Kakitangan Artikel IV bagi Malaysia: 2023 yang dikeluarkan pada 1 Jun lalu, IMF mencadangkan dasar monetari Malaysia perlu diperketatkan lagi.

"Majoriti rakyat dan syarikat mikro, kecil dan sederhana dibelenggu pinjaman yang tinggi dan amat sensitif kepada pertukaran kadar faedah pinjaman.

"Kenaikan kos akibat daripada kadar faedah yang meningkat akan menaikkan lagi harga perkhidmatan dan/atau produk, operasi sesetengah syarikat akan terjejas apabila tidak dapat meneruskan kontrak pembekalan dengan kenaikan kos tanpa persetujuan untuk menyemak semula nilai kontrak.

"Ini juga boleh mendorong kepada tahap inflasi yang semakin tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Armin berkata, langkah kerajaan mendapatkan bantuan teknikal daripada IMF berhubung dengan strategi hasil jangka sederhana (MRTS) akan membebankan lagi keperitan rakyat dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi yang tinggi.

"Terdapat banyak faktor yang mengakibatkan kemerosotan hasil kutipan cukai kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antaranya adalah struktur dan hala tuju ekonomi. Angka 11 peratus ini adalah yang terendah dalam kelompok ASEAN-5 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sumber hasil negara boleh ditingkatkan melalui sumber pendapatan yang lain seperti hasil duti eksais dan levi pekerja tanpa membebankan rakyat.

"Kerajaan boleh mengetatkan lagi penguatkuasaan barangan seludup dan levi pekerja asing yang semakin berleluasa. Kerajaan kerugian besar akibat dari barang yang diseludup masuk secara haram.

"Kerugian hasil negara daripada penyeludupan rokok sahaja dianggarkan bernilai RM6 bilion tidak termasuk penyeludupan ubat-ubatan, minuman keras dan lain-lain.

"Walaupun jumlah pekerja asing yang berdaftar melebihi 2.1 juta orang, tetapi jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggarkan mencecah sejuta orang dan ini bukan sahaja menjejas hasil negara tetapi juga bersangkut paut dengan masalah ekonomi, sosial, keselamatan dan ketenteraman," katanya.

Armin menambah, kerajaan mengalami kerugian besar daripada hasil cukai pendapatan, levi dan ekonomi haram yang dijana oleh PATI.

Katanya, levi adalah salah satu dari lima sumber perolehan daripada cukai yang boleh dipertingkatkan untuk menambah hasil negara.

"Pendapatan cukai yang tertinggi adalah daripada cukai yang dikenakan ke atas keuntungan syarikat. Kerajaan harus terus mengutamakan dasar-dasar yang lebih mesra dan memperkasakan syarikat dan perniagaan. Apabila syarikat berdaya saing dan maju, hasil kerajaan akan bertambah.

"Dasar-dasar yang melemahkan syarikat seperti gaji minimum, gaji progresif, penarikan subsidi, kenaikan kadar faedah pinjaman harus diteliti halus sebelum dilaksana dan dikuat kuasa.

Armin berkata, sektor swasta masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik dan apabila keuntungan atau kos operasi syarikat terjejas, pekerja adalah golongan pertama yang akan terkesan apabila syarikat mula mengecilkan saiz.

"Apabila syarikat terpaksa mengecilkan saiz dan pekerja diberhentikan, hasil negara daripada cukai pendapatan juga akan terjejas. 'Snowball effect' akan menjejaskan ekonomi negara dalam perbagai aspek," katanya.

Beliau memberi contoh apabila syarikat gergasi, Panasonic Manufacturing Bhd baru-baru ini mengumumkan untuk mengecilkan operasi di Malaysia dengan menutup dua kilang di Shah Alam begitu juga dengan rangkaian kedai buku Borders yang telah menutup terus operasi di di negara ini.

Artikel ini disiarkan di Berita Harian di https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/06/1116251/cadangan-imf-supaya-opr-dinaikkan-bebankan-rakyat-industri 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo