1. Apabila Sultan sudah bertitah, polemik sepatutnya tamat. Tetapi di Selangor, polemik masih berterusan.
3. Yang boleh dibincangkan hanyalah cara pelaksanaan, tempoh peralihan dan pengurusan kesan ekonomi, tetapi bukan lagi prinsip arah dasar itu sendiri.
4. Namun selepas titah tersebut, masih muncul kenyataan politik dan tekanan awam yang cuba membuka semula ruang perbahasan seolah-olah keputusan asas masih boleh dirunding.
5. Ini bukan lagi semata-mata isu penternakan. Ini isu kefahaman terhadap struktur Raja Berperlembagaan dan disiplin pentadbiran negeri.
6. Antara kenyataan yang mencetuskan polemik ialah apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyatakan kerajaan negeri perlu berbincang semula dengan Sultan dan mengemukakan pelan.
7. Kenyataan sebegini memberi gambaran seolah-olah titah Sultan masih boleh dirunding dari segi dasar. Kenyataan seperti ini boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedudukan institusi Raja.
8. Dalam negara Raja Berperlembagaan, pendekatan ini berbahaya.
9. Rundingan boleh berlaku mengenai mekanisme pelaksanaan, tempoh peralihan atau pampasan, tetapi bukan mengenai prinsip arah yang sudah dititahkan.
10. Selain itu, tokoh politik seperti Ronnie Liu dan beberapa suara politik lain turut menimbulkan naratif bahawa penutupan menyeluruh menjejaskan hak komuniti bukan Islam serta kebebasan ekonomi.
11. Hujah ini cuba meletakkan isu ini sebagai konflik hak minoriti atau hak perniagaan. Tafsiran sedemikian tersasar daripada kerangka undang-undang sebenar.
12. Semua aktiviti ekonomi tertakluk kepada lesen, zon guna tanah, kawalan kesihatan awam, peraturan alam sekitar serta keputusan dasar kerajaan negeri.
13. Lesen perniagaan bukan hak kekal; ia adalah kebenaran bersyarat yang sentiasa tertakluk kepada perubahan dasar demi kepentingan awam.
14. Hujah yang sama juga dikemukakan oleh seorang pengamal media sosial Facebook, Ng Wei Teik, yang mendakwa pengharaman penternakan babi di mana-mana wilayah Malaysia memerlukan pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
15. Dakwaan ini tidak tepat dan berpotensi mengelirukan masyarakat. Perkara 8 melindungi warganegara daripada diskriminasi terhadap individu, bukannya memberi hak mutlak kepada mana-mana pihak untuk menjalankan sesuatu perniagaan tanpa kawalan kerajaan.
16. Dalam doktrin perlembagaan Malaysia, kesamarataan membenarkan pengkelasan munasabah selagi terdapat kaitan rasional dengan kepentingan awam seperti kesihatan, alam sekitar atau perancangan guna tanah. Oleh itu, sekatan terhadap sesuatu industri atas alasan dasar negeri bukanlah pencabulan Perkara 8.
17. Tambahan pula, di bawah struktur federalisme Malaysia, hal tanah, pertanian dan kerajaan tempatan berada dalam bidang kuasa negeri.
18. Ini bermakna kerajaan negeri mempunyai kuasa perlembagaan untuk menentukan dasar guna tanah, mengawal aktiviti pertanian dan menetapkan syarat pelesenan.
19. Pelaksanaan dasar sebegini bukan diskriminasi, tetapi fungsi asas pentadbiran negeri dalam melindungi kepentingan awam.
20. Malah kenyataan dari beberapa pimpinan parti seperti MCA yang menekankan keperluan modernisasi, pematuhan teknikal atau penyelesaian berfasa juga pada asasnya menolak pendekatan penghentian menyeluruh secara prinsip.
21. Sekali lagi perlu ditegaskan bahawa dalam struktur pentadbiran negeri, lesen perniagaan adalah kebenaran bersyarat yang boleh diubah, tidak diperbaharui atau ditarik balik apabila dasar negeri berubah demi kepentingan awam.
22. Tekanan juga datang daripada pemain industri dan penternak yang berhujah bahawa pelaburan besar telah dibuat dan penutupan akan menyebabkan kerugian atau muflis.
23. Dari sudut kemanusiaan, kebimbangan ini boleh difahami. Tetapi dari sudut undang-undang pentadbiran, setiap pelabur mengetahui bahawa lesen negeri sentiasa tertakluk kepada perubahan dasar.
24. Risiko perubahan dasar bukan pelanggaran undang-undang; ia sebahagian daripada risiko perniagaan.
25. Apa yang lebih membimbangkan ialah cubaan membingkaikan titah Sultan sebagai konflik kaum atau konflik agama. Naratif ini bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi merosakkan kefahaman rakyat terhadap struktur kenegaraan.
26. Yang perlu difahami oleh semua ahli politik, aktivis dan pengulas media sosial ialah Malaysia bukan negara republik liberal.
27. Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan. Dalam sistem republik, hampir semua perkara menjadi medan pertikaian politik terbuka.
28. Dalam sistem kita, terdapat institusi yang kedudukannya melangkaui pertikaian partisan. Titah Sultan tidak boleh dilayan sebagai kenyataan politik biasa yang boleh ditawar-menawar melalui tekanan lobi atau sentimen awam.
29. Kerajaan negeri kini berdepan ujian sebenar. Jika pelaksanaan dilengah-lengahkan kerana tekanan politik, jika dasar cuba dilembutkan kerana lobi industri, atau jika prinsip cuba dinegosiasikan semula, mesej yang dihantar kepada rakyat amat jelas bahawa tekanan politik boleh mengatasi struktur kenegaraan.
30. Itu preseden yang sangat berbahaya.
31. Hakikatnya mudah. Selepas titah Sultan, perdebatan tentang prinsip arah dasar sepatutnya dianggap selesai dari sudut kenegaraan. Yang tinggal hanyalah soal bagaimana pelaksanaan dibuat secara teratur, berperingkat jika perlu, dan dengan pengurusan peralihan yang adil.
32. Dalam negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan Raja Berperlembagaan, menghormati titah Sultan bukan sekadar pilihan politik. Ia adalah kewajipan kenegaraan.
33. Institusi Raja bukan sekadar simbol sejarah. Ia adalah tiang kestabilan negara.
Salam Hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~