1. Pendedahan terbaharu oleh Bloomberg yang mengaitkan dakwaan salah guna kuasa penguatkuasaan, amalan ugutan dalam kes-kes korporat, serta persoalan konflik kepentingan yang didakwa menjalar sehingga ke peringkat tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan isu remeh dan bukan isu yang boleh dipadamkan dengan kenyataan defensif atau pujian politik.
2. Ia menyentuh secara langsung asas keyakinan awam terhadap institusi yang sepatutnya menjadi benteng utama dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
3. Dalam konteks ini, kenyataan Perdana Menteri yang memilih untuk tidak mengambil tindakan, malah mempertahankan dan memuji Tan Sri Azam Baki, menimbulkan kebimbangan serius terhadap komitmen kerajaan kepada prinsip akauntabiliti institusi.
4. Dalam keadaan keyakinan rakyat semakin terhakis, tiada langkah konkrit diumumkan untuk mengaktifkan mekanisme semak dan imbang atau menubuhkan siasatan bebas yang benar-benar diyakini.
5. Rakyat berhak bertanya: mengapa cepat mempertahankan, tetapi lambat menyiasat?
6. Apabila persoalan integriti melibatkan ketua institusi penguatkuasaan tertinggi tidak dirujuk kepada semakan bebas, mesej yang sampai kepada rakyat dan komuniti pelabur ialah wujudnya persepsi perlindungan kuasa, bukan ketegasan tadbir urus.
7. Kritikan ini bukan serangan peribadi. Ia adalah tuntutan prinsip bahawa integriti institusi tidak boleh disandarkan kepada keyakinan politik semata-mata, tetapi mesti ditegakkan melalui proses yang telus, bebas dan berwibawa.
8. Lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa isu yang membabitkan Tan Sri Azam Baki bukan muncul sekali, tetapi berulang dalam bentuk yang menimbulkan pola persoalan awam.
9. Kontroversi mula memuncak pada tahun 2021 apabila laporan kewartawanan tempatan membangkitkan isu pemilikan saham bernilai tinggi dalam syarikat tersenarai, yang mencetuskan persoalan tentang pematuhan kepada peraturan pemilikan saham bagi pegawai awam kanan.
10. Polemik itu berlanjutan hingga 2022 dengan penjelasan berkaitan akaun dagangan saham, diiringi bantahan masyarakat sivil serta perdebatan nasional mengenai standard etika seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM.
11. Walaupun episod tersebut dianggap selesai dari sudut pentadbiran, ia tidak pernah diselesaikan melalui mekanisme semakan bebas yang menyeluruh, menyebabkan persepsi konflik kepentingan kekal berlarutan.
12. Bloomberg turut memperincikan bahawa Tan Sri Azam Baki kekal memegang jawatan merentasi beberapa pentadbiran Perdana Menteri serta menerima lanjutan perkhidmatan beberapa kali, sekali gus menambah dimensi persepsi bahawa kedudukan tersebut semakin kebal daripada akauntabiliti.
13. Kemuncaknya pada Februari 2026, laporan media antarabangsa itu membangkitkan satu lagi isu berkaitan pemilikan 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partners pada suatu ketika, dengan nilai anggaran yang sekali lagi mencetuskan perdebatan tentang pematuhan kepada garis panduan penjawat awam dan keperluan pengisytiharan harta secara telus.
14. SPRM menegaskan bahawa pengisytiharan dibuat melalui saluran rasmi. Namun persoalan integriti tidak hanya berkisar pada pematuhan teknikal, tetapi juga pada persepsi konflik kepentingan yang melekat pada jawatan tersebut.
15. Pada masa yang sama, laporan penyiasatan tersebut mengemukakan dakwaan lebih luas mengenai kemungkinan penyalahgunaan proses siasatan dalam pertikaian korporat. Laporan itu mendakwa dan memberi gambaran bahawa kuasa penyiasatan, tangkapan, reman dan tekanan pendakwaan dimanipulasi dalam pertikaian korporat melibatkan pihak tertentu.
16. Jika dakwaan ini benar, ia amat serius dan menggugat asas kedaulatan undang-undang. Jika tidak benar, ia tetap menuntut penjelasan bebas untuk memulihkan reputasi institusi.
17. Di sinilah persoalan asas timbul: siapakah yang mengawasi pengawas?
18. Negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada penafian dalaman atau penjelasan pentadbiran apabila kredibiliti institusi penguatkuasaan dipersoalkan di peringkat nasional dan antarabangsa.
19. Malaysia memerlukan satu mekanisme yang benar-benar bebas, menyeluruh dan mempunyai autoriti undang-undang serta moral untuk menentukan fakta secara objektif.
20. Oleh itu, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan dengan terma rujukan yang luas bagi meneliti secara forensik isu pemilikan saham, pematuhan peraturan penjawat awam, proses pengisytiharan harta, kemungkinan konflik kepentingan, serta dakwaan salah guna kuasa penguatkuasaan yang dibangkitkan.
21. Dalam keadaan dakwaan melibatkan individu berprofil tinggi dan kepimpinan tertinggi institusi, mekanisme seperti Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) Parlimen tidak lagi memadai.
22. Select Committee bersifat akauntabiliti politik dan bergantung kepada dinamika majoriti Parlimen, tanpa kuasa kuasi-kehakiman untuk mengambil keterangan di bawah sumpah secara menyeluruh.
23. Sebaliknya, RCI mempunyai asas perundangan yang lebih kukuh, kuasa memanggil saksi secara paksa, mengambil keterangan bersumpah serta meneliti dokumen secara forensik.
24. Hanya mekanisme yang mempunyai kebebasan struktur dan autoriti undang-undang seperti ini mampu memulihkan keyakinan rakyat dan komuniti antarabangsa.
25. Penubuhan RCI bukan bermaksud menghukum terlebih dahulu. Ia adalah jalan untuk memulihkan maruah SPRM dan keyakinan rakyat. Jika tiada salah laku, RCI akan membersihkan nama semua pihak secara tuntas. Jika terdapat pelanggaran, tindakan sewajarnya boleh diambil berasaskan fakta.
26. RCI juga memberi ruang yang adil kepada Tan Sri Azam Baki sendiri untuk membersihkan namanya melalui proses yang bebas dan berautoriti, sekaligus mengakhiri polemik yang berpanjangan.
27. Bagi menjamin kredibiliti siasatan dan mengelakkan sebarang persepsi pengaruh terhadap proses penguatkuasaan, Tan Sri Azam Baki wajar direhatkan sementara daripada tugas sepanjang tempoh siasatan dijalankan. Langkah ini bukan penghukuman awal, tetapi amalan tadbir urus yang baik dalam mana-mana institusi yang berdepan dakwaan serius terhadap kepimpinan tertinggi.
28. Inilah satu-satunya jalan untuk menamatkan kitaran kontroversi berulang yang melemahkan keyakinan rakyat serta menjejaskan reputasi Malaysia sebagai negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
29. RCI perlu ditubuhkan segera, bukan untuk memenuhi sentimen politik, tetapi untuk memastikan integriti institusi terpelihara dan kepercayaan awam dipulihkan.
Salam Hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin
Dr Armin Baniaz Pahamin
