Responsive Ad Slot

REX TAN PERLU DIDAKWA ATAS KESALAHAN PENGKHIANATAN (TREASON)


1. Insiden yang melibatkan wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, yang telah mengemukakan kenyataan dan soalan dalam satu syarahan awam sehingga menyinggung perasaan orang Melayu secara kolektif, merupakan satu kes yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

2. Bagi seorang wartawan, apatah lagi yang membawa identiti sebuah organisasi media nasional, tindakan membuat perbandingan yang menyamakan orang Melayu dengan Yahudi laknatullah yang menindas rakyat Palestin, serta menyamakan rakyat Palestin dengan masyarakat Cina di Malaysia, adalah satu kenyataan yang melampaui batas kewarasan wacana intelektual, tidak bertanggungjawab, dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum yang serius.


3. Perbandingan sedemikian bukan sahaja menghina orang Melayu sebagai kaum teras negara, malah bersifat meremehkan penderitaan sebenar rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan penjajahan, keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang berpanjangan.


4. Dalam masa yang sama, ia turut mengheret masyarakat Cina Malaysia ke dalam naratif geopolitik yang langsung tidak relevan, sekali gus membuka ruang kepada salah faham, sentimen kebencian dan konflik antara komuniti dalam negara.


5. Kenyataan seperti ini tidak boleh dimaafkan sebagai kecuaian bahasa, kesilapan akademik atau keterlanjuran spontan. 


6. Ia mencerminkan kegagalan serius dalam kefahaman sejarah, konteks kenegaraan, sensitiviti antara kaum serta tanggungjawab sivik, khususnya apabila ia datang daripada seorang wartawan yang sepatutnya memahami implikasi sosial dan politik setiap kenyataan awam.


7. Isu ini wajar dilihat sebagai satu kegagalan serius dalam pembentukan kesedaran kenegaraan, yang menuntut penelitian menyeluruh terhadap latar pendidikan, etika profesional, dan kerangka nilai yang membentuk pemikiran individu terbabit, bukan sekadar diselesaikan dengan permohonan maaf atau penjelasan bersifat kosmetik.


8. Cara pemikiran yang dizahirkan oleh Rex Tan, yang berlatarbelakangkan pendidikan UEC, menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pendedahan dan kepekaan terhadap sejarah nasional, jati diri negara serta nilai patriotisme Malaysia.


9. Hal ini berkemungkinan berpunca daripada struktur silibus dan kurikulum UEC yang tidak memberi penekanan mencukupi terhadap pembinaan identiti kebangsaan.


10. Secara prinsipnya, kurikulum UEC tidak diperkukuh secara sistematik dengan elemen teras negara seperti Perlembagaan Persekutuan, sejarah Melayu sebagai kaum teras, institusi kesultanan Melayu, serta proses pembinaan negara bangsa Malaysia. 


11. Ketiadaan penekanan yang seimbang terhadap aspek-aspek ini berpotensi melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik, namun lemah dari segi kefahaman konteks kenegaraan, sensitiviti antara kaum dan tanggungjawab sivik.


12. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar satu badan siasatan bebas ditubuhkan bagi menjalankan kajian menyeluruh terhadap silibus dan kurikulum UEC, khususnya dari sudut kesannya terhadap pembentukan jati diri nasional dan kefahaman sejarah negara. 


13. Sekiranya dapatan kajian menunjukkan bahawa kurikulum tersebut memudaratkan pembangunan kefahaman kenegaraan pelajar, sebagaimana yang terserlah dalam kes ini, maka tindakan tegas termasuk pemansuhan secara menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera demi kepentingan negara.


14. Dalam masa yang sama, satu siasatan rasmi oleh pihak berkuasa perlu dijalankan bagi menentukan sama ada kenyataan Rex Tan melanggar:

  • Undang-undang berkaitan hasutan dan keharmonian awam,
  • Peruntukan jenayah berkaitan ucapan yang mengancam ketenteraman negara,
  • Etika dan tanggungjawab profesional kewartawanan.

15. Walaupun kesalahan pengkhianatan (treason) di bawah undang-undang negara mempunyai ambang pembuktian yang tinggi, prinsip asasnya adalah jelas: 

mana-mana perbuatan yang secara sedar atau cuai mencetuskan kebencian kaum dan menggugat kestabilan negara tidak boleh dipandang ringan atau diselesaikan melalui permohonan maaf semata-mata.


16. Biarlah pihak berkuasa yang berbidang kuasa menentukan tahap kesalahan dan menjatuhkan hukuman sewajarnya berdasarkan undang-undang, bukan sentimen atau tekanan politik. 


17. Hukuman yang dikenakan mesti bersifat maksimum sebagai teladan, khususnya dalam konteks tuntutan pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang secara terbuka membawa agenda “Malaysian Malaysia” sehingga berpotensi menghakis keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.


18. Kenyataan ini bukanlah satu seruan kepada keganasan atau sebarang tindakan di luar kerangka undang-undang. 


19. Sebaliknya, ia merupakan satu tuntutan tegas yang berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang sebagai asas negara, penguatkuasaan prinsip akauntabiliti awam terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya, serta keperluan untuk melindungi maruah semua kaum, khususnya orang Melayu sebagai tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia. 


20. Dalam masa yang sama, tuntutan ini juga menegaskan keperluan agar hukuman maksimum dikenakan sekiranya didapati bersalah, bukan atas dasar dendam atau sentimen, tetapi sebagai pengajaran dan langkah pencegahan supaya perbuatan yang sama tidak berulang dan tidak dinormalisasikan dalam wacana awam negara.


21. Malaysia tidak boleh membina masa depan yang stabil jika penghinaan terhadap mana-mana kaum lebih-lebih lagi oleh aktor media, dibiarkan tanpa tindakan tegas dan berprinsip.


22. Maruah bangsa dan keharmonian negara bukan bahan eksperimen wacana. Ia adalah amanah yang wajib dipertahankan.

Salam hormat,

Dr Armin Baniaz Pahamin

PROGRAM LGBTQ JEJAKA - GLAMPING WITH PRIDE MENCABAR STRUKTUR MORAL DAN KEHARMONIAN NEGARA


1. Kenyataan media oleh Jejaka selaku penganjur program rekreasi Glamping With Pride memperlihatkan bahawa penganjuran dan promosi program tersebut berpotensi bercanggah dengan kerangka perundangan sedia ada, khususnya peruntukan yang mengawal kandungan, perhimpunan dan penyiaran awam.

2. Selain itu, pernyataan mengenai peranan Jejaka sebagai sebuah kumpulan sokongan pemuda queer, gay dan biseksual untuk mewujudkan ruang berani penerimaan diri, bimbingan rakan sebaya dan memperkasakan jaringan sosial, hak dan kesihatan menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang awam. 

3. Aktiviti ini berpotensi menggalakkan normalisasi gaya hidup dan perlakuan yang telah dikawal serta dibataskan oleh undang-undang negara, dan oleh itu wajar tertakluk kepada penelitian serta tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya oleh kerajaan dan badan-badan berkaitan.

4. Malaysia bukan sebuah negara nilai-neutral. Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang dibina atas Perlembagaan, kedudukan agama Persekutuan, dan prinsip moral awam yang menjadi asas kestabilan sosial.

5. Penganjuran program Glamping With Pride yang kemudiannya dibatalkan bukan isu diskriminasi atau kebencian, tetapi manifestasi jelas bahawa negara ini masih berfungsi di bawah kedaulatan undang-undang dan tidak tunduk kepada tekanan ideologi luar. 

6. Isu ini wajar dilihat sebagai isu keselamatan sosial dan kedaulatan perlembagaan, bukan sekadar perbezaan gaya hidup.

7. Dari sudut kerangka perundangan Persekutuan, Kanun Keseksaan melalui Seksyen 377 memperuntukkan bahawa “persetubuhan luar tabii” merupakan suatu kesalahan jenayah. 

8. Peruntukan ini telah digunakan untuk mengawal perlakuan seksual sejenis, khususnya antara lelaki, dengan hukuman yang boleh mencecah sehingga 20 tahun penjara serta sebatan mandatori.

9. Ianya turut direkodkan oleh pelbagai badan pemantau undang-undang antarabangsa seperti Human Rights Watch, Human Dignity Trust dan LSVD⁺ – Verband Queere Vielfalt. 

10. Kedudukan ini menunjukkan bahawa larangan terhadap perlakuan seksual sejenis bukanlah bersifat retorik, tetapi telah termaktub secara nyata dalam undang-undang bertulis negara.

11. Selain itu, di bawah undang-undang Syariah negeri-negeri, yang terpakai kepada orang Islam, perlakuan seksual sejenis serta ekspresi jantina yang bercanggah dengan norma jantina konvensional turut diklasifikasikan sebagai kesalahan. 

12. Enakmen-enakmen jenayah Syariah negeri memperuntukkan hukuman tertentu terhadap perbuatan tersebut, sekali gus menegaskan bahawa larangan ini mempunyai asas undang-undang dwi-sistem, iaitu dalam perundangan sivil dan Syariah.

13. Oleh itu, undang-undang Malaysia dengan jelas melarang bukan sahaja perlakuan seksual sejenis, malah sebarang aktiviti yang mempromosi, memudahcara dan menormalisasikan gaya hidup tersebut dalam ruang awam. 

14. Ini bukan soal orientasi peribadi, tetapi soal perlindungan moral awam, ketenteraman sosial, keselamatan remaja dan keutuhan norma kebangsaan.

15. Sebarang usaha untuk membingkai program seperti Glamping With Pride sebagai “retreat komuniti” tidak boleh menafikan hakikat bahawa penggunaan istilah Pride, struktur promosi dan sifat eksklusif penyertaan telah menjadikannya satu bentuk kempen normalisasi ideologi seksual yang bertentangan dengan undang-undang dan nilai negara.

16. Lebih membimbangkan, sekiranya perkara ini dibiarkan tanpa tindakan yang tegas dan konsisten, ia akan membuka ruang kepada normalisasi acara LGBTQ secara terbuka dalam ruang awam negara. 

17. Perbuatan seperti ini akan menghakis kejelasan dan kepastian undang-undang, melemahkan autoriti perundangan sedia ada, mengancam keharmonian masyarakat majmuk yang dibina atas asas nilai agama dan moral awam, serta menjadikan Malaysia semakin terdedah kepada tekanan dan campur tangan luar yang berpotensi mencabar kedaulatan undang-undang serta kerangka perlembagaan tempatan.

18. Rakyat menuntut Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa tempatan supaya bertindak segera, konsisten dan tanpa kompromi terhadap penganjur Jejaka – Glamping With Pride. 

19. Kerajaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh, mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dan maksimum di bawah undang-undang sedia ada sebagai teladan.

20. Kerajaan juga perlu memastikan tiada sebarang ruang diberikan kepada penganjuran, promosi atau normalisasi acara seumpama ini pada masa hadapan.

21. Kegagalan bertindak bukan sahaja mencemarkan wibawa institusi penguatkuasaan, malah menghakis kedaulatan undang-undang dan menghantar isyarat berbahaya bahawa nilai Perlembagaan boleh diperdagangkan atas nama naratif kebebasan ideologi.

22. Kita mesti menghantar mesej yang jelas! 

23. Undang-undang Malaysia tidak boleh dikompromi. Nilai Perlembagaan tidak boleh dikompromi.

24. Kedaulatan moral negara tidak boleh ditukar dengan naratif kebebasan ideologi.

25. Malaysia bukan medan eksperimen sosial.


26. Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang wajib mempertahankan struktur moral, undang-undang dan keselamatan sosialnya.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Di Mana Suara Pembangkang Selangor.

1. Di manakah ADUN pembangkang Selangor ketika negeri ini sedang ditadbir dalam suasana krisis tatakelola?

2. Di manakah pembangkang apabila kerajaan negeri memperkenalkan dasar-dasar yang semakin tidak munasabah seperti cadangan penternakan babi berskala gergasi, perhimpunan LGBTQ, kemerosotan kebersihan bandar, kelemahan pengurusan sisa pepejal, kegagalan menjaga kepekaan sosial, pencemaran alam sekitar sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat?
3. Dimanakah ketua pembangkang Selangor Dato Sri Azmin Ali?
4. Selangor mempunyai bilangan ADUN pembangkang yang mencukupi untuk memainkan peranan semak dan imbang yang bermakna.
5. Namun dalam banyak isu yang terpaksa ditegur oleh Istana sendiri, rakyat gagal melihat suara pembangkang yang konsisten, lantang dan berprinsip di dalam Dewan.
6. Dalam sebuah negeri yang sedang berhadapan krisis tatakelola, krisis sensitiviti sosial dan krisis keabsahan moral pentadbiran, peranan Ketua Pembangkang bukan sekadar simbolik.
7. Ia adalah jawatan institusi yang memikul amanah besar untuk memimpin suara pembangkang, menyusun strategi semak dan imbang, serta memastikan Dewan Undangan Negeri berfungsi sebagai benteng pertama rakyat.
8. Namun dalam deretan isu besar yang sehingga memaksa Istana sendiri tampil berulang kali menegur Kerajaan Negeri, rakyat tidak melihat kepimpinan pembangkang yang tegas, konsisten dan terancang di dalam Dewan.
9. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, Ketua Pembangkang ialah kompas moral dan strategik pembangkang. Jika kompas itu tidak kelihatan, maka keseluruhan barisan pembangkang akan hilang arah.
10. Apabila Sultan Selangor terpaksa berulang kali menzahirkan teguran terhadap Kerajaan Negeri, itu bermakna mekanisme semak dan imbang legislatif telah gagal berfungsi.
11. Dan kegagalan itu bukan hanya terletak pada pihak eksekutif, ia turut mencerminkan kelemahan peranan pembangkang yang sepatutnya menjadi benteng pertama rakyat dalam Dewan.
12. Tugas ADUN pembangkang bukan sekadar hadir dalam persidangan, berucap atau melontarkan kritikan di luar Dewan.
13. Mereka dipilih untuk membawa suara rakyat ke dalam persidangan rasmi, menyoal EXCO secara terbuka, memaksa penjelasan yang telus, menuntut akauntabiliti pentadbiran serta mempertahankan kesejahteraan rakyat daripada dasar-dasar yang tidak sensitif, tidak telus dan merugikan kepentingan awam.
14. Mereka adalah barisan pertahanan pertama rakyat dalam sistem demokrasi berperlembagaan.
15. Namun dalam isu-isu yang paling dekat dengan kehidupan rakyat seperti bau busuk, pencemaran, banjir kilat, longgokan sampah, sensitiviti agama, ancaman kesihatan, pembangkang dilihat sunyi, lambat, dan tidak konsisten.
16. Rakyat bertanya: Apakah ADUN pembangkang kini sekadar pemerhati, bukan pembela?
17. Apakah mereka telah beralih daripada wakil rakyat kepada sekadar pengulas politik?
18. Apabila Istana terpaksa menjadi suara rakyat, itu menandakan bahawa Dewan Undangan Negeri telah gagal menjalankan fungsi asalnya sebagai institusi yang dipertanggung-jawab dengan kuasa eksekutif.
19. Ini bukan isu politik kepartian. Ini isu amanah perwakilan rakyat.
20. Jika ADUN pembangkang gagal membawa isu-isu rakyat ke dalam Dewan, maka mereka sedang gagal menjalankan mandat rakyat sendiri.
21. Dan dalam sebuah negeri yang sedang berhadapan krisis tatakelola, kegagalan pembangkang bukan lagi satu kelemahan, ia adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
22. Selangor tidak hanya memerlukan kerajaan yang bertanggungjawab.�
23. Selangor memerlukan pembangkang yang berani, berprinsip dan setia kepada rakyat, bukan kepada keselesaan politik.
24. Kerana apabila pembangkang gagal berfungsi, Istana terpaksa menanggung beban yang bukan miliknya.
25. Dan itu adalah kegagalan paling besar dalam sebuah sistem demokrasi berperlembagaan.
Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Tatakelola Kerajaan Selangor gagal, Sultan terpaksa bersuara


Tatakelola Kerajaan Selangor gagal, Sultan terpaksa bersuara
Oleh: Dr. Armin Baniaz Pahamin
1. Selangor kini sedang berhadapan satu krisis tatakelola institusi yang semakin ketara apabila Sultan Selangor terpaksa berulang kali tampil menzahirkan teguran terhadap Kerajaan Negeri dalam isu-isu yang menyentuh kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan sensitiviti sosial.
2. Krisis ini bukan lagi bersifat terasing atau teknikal, tetapi mencerminkan satu realiti yang membimbangkan dan bersifat sistemik, melangkaui persoalan projek, pentadbiran harian dan perbezaan dasar, sebaliknya menandakan keretakan dalam kerangka kebertanggungjawaban pentadbiran negeri.
3. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, Sultan berdiri sebagai institusi pemersatu dan penjaga amanah rakyat, bukan sebagai aktor politik.
4. Oleh itu, apabila Baginda terpaksa tampil menegur keputusan eksekutif, ia merupakan indikator jelas kepada kegagalan serius kerajaan negeri dalam menunaikan tanggungjawab asas tadbir urus, perlindungan kepentingan awam dan penjagaan kesejahteraan rakyat.
5. Dan di Selangor, perkara ini bukan lagi bersifat terpencil atau luar biasa, ia telah berlaku terlalu kerap sehingga membentuk satu pola kegagalan pentadbiran.
6. Di Selangor hari ini, konflik antara Istana dan Kerajaan Negeri bukan lagi sekadar episod, tetapi telah berkembang menjadi satu corak pentadbiran yang sistemik.
7. Isu penternakan babi berskala mega, kemerosotan kebersihan bandar, kelemahan pengurusan sisa pepejal, kecuaian terhadap sensitiviti sosial, ancaman terhadap alam sekitar serta kemerosotan kesejahteraan rakyat, semuanya berkongsi satu ciri yang sama.
8. Kerajaan Negeri membuat keputusan berimpak tinggi tanpa penilaian menyeluruh terhadap kesan sebenar kepada rakyat, sehingga Istana terpaksa tampil sebagai suara yang mempertahankan kepentingan awam.
9. Apabila Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita, mempersoalkan niat, menegur kelulusan, bahkan mencadangkan pemimpin politik ‘tinggal sendiri di kawasan terjejas’, itu bukan simbolik tetapi itu amaran tadbir urus.
10. Ia membawa mesej yang sangat jelas.
11. Kerajaan Negeri tidak lagi memimpin tetapi diheret oleh projek, tekanan kepentingan dan pendekatan teknokratik yang terpisah daripada pengalaman hidup rakyat.
12. Istana menjadi penyeimbang kerana Eksekutif hilang kompas. Institusi Raja tidak sepatutnya menjadi ‘pembetul kesilapan’ pentadbiran.
13. Namun di Selangor hari ini, Istana telah dipaksa memainkan peranan semak dan imbang yang gagal dimainkan oleh Exco dan kepimpinan negeri.
14. Apabila kebersihan bandar merosot, aduan rakyat berleluasa, alam sekitar terancam, dan sensitiviti majoriti Muslim diketepikan, kerajaan negeri tidak tampil sebagai pelindung tetapi sebagai pengurus projek semata-mata.
15. Lalu Tuanku terpaksa bersuara.
16. Ini bukan konflik peribadi. Ini adalah konflik antara amanah pemerintahan dengan kegagalan tatakelola.
17. Masalah Selangor bukan akibat kekurangan projek tetapi Kekurangan akauntabiliti
18. Selangor tidak kekurangan dana. Tidak kekurangan hasil. Tidak kekurangan kepakaran.
19. Yang Selangor sedang kekurangan ialah kepimpinan berteraskan amanah, kepekaan dan kebertanggungjawaban.
20. Dan apabila Istana terpaksa menegur, itu bermakna kerajaan negeri telah gagal memenuhi tanggungjawab asasnya iaitu menjaga kesejahteraan rakyat sebelum menjaga kelulusan projek.
21. Apabila Sultan terpaksa menjadi suara rakyat, ia menandakan kerajaan negeri telah berhenti menjadi pelindung rakyat.
22. Ini bukan isu politik. Ini isu keabsahan moral sebuah pentadbiran.
23. Selangor hari ini tidak memerlukan lebih banyak projek.
Selangor memerlukan kepimpinan yang kembali kepada amanah, adab dan tatakelola.
24. Dan selagi Istana terus terpaksa menegur, selagi itulah Selangor sedang diperintah oleh pentadbiran yang belum layak memegang amanah rakyat.
Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Masa Depan Melayu Ditentukan Oleh Cara Kita Berpolitik


1. Saya dan ramai rakyat berbangsa Melayu berasa amat terkilan dan kesal apabila membaca berita pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

2. Dalam suasana politik Melayu yang semakin rapuh dan terfragmentasi, langkah memecat pemimpin Melayu dari blok pembangkang bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah dalaman parti, malah memburukkan lagi perpecahan sokongan Melayu yang sedia terbelah.

3. Apa yang sedang berlaku dalam Bersatu hari ini bukan lagi soal prinsip atau perjuangan rakyat.
Rakyat, khususnya orang Melayu, hanya mempunyai ruang yang semakin terhad untuk bernaung secara politik.

4. Pada asalnya, orang Melayu berteduh di bawah UMNO. Namun reputasi UMNO hari ini berada pada tahap yang amat merosakkan keyakinan rakyat. Seruan oleh Ketua Pemuda UMNO untuk penyatuan UMNO dan PAS hanyalah mainan politik untuk melepaskan pertuduhan seseorang.

5. Parti itu kini lebih dikenali sebagai parti yang sarat dengan krisis integriti. 

6. Presidennya berdepan puluhan pertuduhan mahkamah (walaupun telah di NFA tetapi persepsi masih kekal), manakala bekas presidennya telah pun menjalani hukuman penjara. 

7. Barisan pemimpinnya pula dilihat menanggung beban moral yang mengikat mereka untuk terus menyokong kerajaan, bukan kerana prinsip, tetapi kerana keterpaksaan politik.

8. Barisan pemimpin umno lain dikhuatiri mempunyai ‘baggage’ dan tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menyokong pemerintah yang memegang mereka seperti tali di hidung lembu.

9. Bersatu muncul sebagai alternatif kepada UMNO. 

10. Namun sejak kebelakangan ini, Bersatu pula dilihat semakin tidak mampu menerima perbezaan pandangan dan teguran dalaman. 

11. Kritikan dijawab dengan hukuman, dan perbezaan pandangan dianggap sebagai ancaman. 

12. Pemecatan tokoh seperti YB Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah, serta penggantungan pimpinan seperti YB Wan Ahmad Fayhsal dan Che’Gu Bard di Port Dickson, telah membentuk persepsi awam bahawa Bersatu kini semakin mengamalkan pendekatan kepimpinan berunsur kuku besi.

13. Parti PAS pula, walaupun telah melalui proses penjenamaan semula, masih dilihat berdepan kesukaran besar untuk diterima sebagai peneraju negara majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya.

14. Akibatnya, rakyat melihat bahawa ruang bernaung politik Melayu semakin menyempit.

15. Setiap kali satu alternatif muncul, ia akhirnya terperangkap dalam konflik dalaman dan perebutan kuasa, bukan membina keyakinan rakyat.

16. UMNO runtuh dari segi moral.

17. Bersatu pula kini kelihatan semakin rapuh dari segi budaya kepimpinan.

18. PAS pula masih bergelut dari segi penerimaan nasional.

19. Maka persoalan sebenar hari ini bukan lagi ‘siapa paling kuat’, tetapi siapa yang paling layak menyatukan.

20. Politik Melayu hari ini bukan kekurangan parti, tetapi kekurangan kebijaksanaan.

21. Kita bukan kekurangan pemimpin, tetapi kekurangan jiwa kepimpinan.

22. Atas kesedaran inilah Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru penyatuan bangsa Melayu melalui konsep Payung Besar iaitu sebuah wadah penyatuan yang melangkaui sempadan parti politik, ideologi dan kepentingan individu. 

23. Ia bukan sebuah parti, bukan juga sebuah platform perebutan jawatan, tetapi ruang bersama tempat orang Melayu kembali berpaut sebagai satu bangsa.

24. Di bawah Payung Besar, setiap individu hadir bukan sebagai pemimpin parti, ahli politik atau ketua NGO, tetapi sebagai orang Melayu yang duduk sama rata, berdiri sama tinggi, dan bebas daripada hierarki kuasa.

25. Apabila semua berada pada aras yang sama, barulah nilai kepimpinan sebenar akan menyerlah melalui keikhlasan, kebijaksanaan dan keupayaan menyatukan, bukan melalui jawatan atau pengaruh.

26. Parti politik hanyalah kenderaan pilihan raya. Ia datang dan pergi.

27. Tetapi bangsa Melayu yang bersatu adalah kuasa sebenar. 

28. Kuasa dominan yang mampu menentukan arah, menang atau kalah seseorang pemimpin dan kerajaan.

29. Apa yang sedang berlaku dalam Bersatu dengan pemecatan demi pemecatan, bukan sekadar tindakan disiplin, tetapi satu isyarat bahawa budaya dalaman parti sedang berubah daripada budaya musyawarah kepada budaya autoritarian. 

30. Apabila parti mula memerintah melalui hukuman, ia tidak lagi memimpin melalui kepercayaan.

31. Lebih membimbangkan, rakyat Melayu kelas pertengahan, profesional dan generasi muda mula menjauh. 

32. Mereka bukan menolak perjuangan Melayu. Mereka menolak cara kita berpolitik.

33. Mereka mahu kestabilan. Mereka mahu rasionaliti. Mereka mahu politik yang tidak memaksa mereka memilih antara dua keburukan.

34. Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama mengingatkan bahawa selagi politik Melayu dikuasai oleh kerakusan kuasa dan perebutan jawatan, orang Melayu akan terus berpecah dan akhirnya melemahkan diri sendiri.

35. Atas sebab itu beliau mencadangkan agar pembangkang tidak menamakan seorang ‘poster boy' atau calon Perdana Menteri lebih awal. 

36. Tidak pernah dan tidak akan wujud seorang tokoh yang diterima semua pihak.

37. Poster boy hanya melahirkan puak, bukan perpaduan, dan membuka ruang kepada sabotaj dalaman sebelum berdepan musuh sebenar.

38. Pendekatan yang lebih matang ialah dengan menyenaraikan beberapa calon Perdana Menteri dari blok pembangkang dan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan untuk memenangi pilihan raya.

39. Selepas kemenangan dicapai, barulah seorang dipilih secara konsensus, berprinsip dan bermaruah.

40. Inilah politik yang menenangkan rakyat, bukan menakutkan mereka.

41. Jika kita gagal belajar dari sejarah, maka sejarah akan mengajar kita melalui kekalahan.

42. Dan jika trend ini berterusan, bukan sahaja Bersatu akan kehilangan pemimpin, tetapi politik Melayu akan kehilangan rakyatnya sendiri.

43. Apabila rakyat pergi, tidak ada lagi yang tinggal untuk dipertahankan. 

44. Bangsa Melayu akan terkubur seperti di Pulau Pinang dan Singapura.

Salam Hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin 
© all rights reserved
made with by templateszoo