Responsive Ad Slot

Slider

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 1 - PENTADBIRAN BARU UNTUK ATASI GELOMBANG KETIGA COVID-19

 SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 1 - PENTADBIRAN BARU UNTUK ATASI GELOMBANG KETIGA COVID-19  

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1.     Malaysia yang sedang dilanda krisis pandemik wabak Covid-19, krisis kepimpinan dan krisis ekonomi berada dalam situasi yang genting kerana kita diterajui oleh pemimpin yang tidak efektif dan tidak mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Situasi ini bertambah parah kerana tidak ada gabungan parti politik yang boleh membentuk kerajaan dengan majoriti sokongan ahli parlimen yang padu, dominan dan kukuh.  

 

2.     Satu-satunya gabungan yang telah mendapat mandat rakyat dan mempunyai sokongan majoriti yang kukuh tumbang dipertengahan penggal apabila Tan Sri Muhyidin Yassin membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar dari Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan satu kerajaan ‘telur di hujung tanduk, seekor kerbau jantan yang akan berlaga’, seperti kata tokoh wartawan, Dato’ A Kadir Jasin.

 

3.     Sejurus selepas Perdana Menteri dan ahli kabinet kerajaan ‘telur di hujung tanduk’ Tan Sri Muhyidin itu mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasa pada 18 Mac 2020. PKP ini dilaksanakan untuk membendung gejala Covid-19 yang meningkat pada kadar 190 kes baru setiap hari dari merebak. Sama ada PKP pada masa itu merupakan satu kesilapan, atau tidak, ia boleh diperdebatkan. Tetapi hakikatnya perintah kawalan yang sama tidak dipraktikkan dengan peningkatan jumlah kes baru terkini yang lebih membimbangkan, mencapai rekod harian tertinggi 871 kes. Sebagai contoh Gimnasium, padang bola, sukan dan futsal dan makan di restoran juga dibenarkan beroperasi.

 

4.     Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin memaklumkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari akibat PKP bulan Mac itu.

 

5.     Sama ada Muhyiddin telah melakukan satu kesilapan besar tujuh bulan lepas dengan ‘membunuh’ ekonomi negara demi menyelamatkan nyawa atau beliau membuat satu kesilapan besar yang sama sekarang dengan membenarkan jangkitan sehingga mencatat kematian yang meningkat demi menyelamatkan ekonomi. Tetapi hakikat yang Muhyidin tidak boleh menafikan adalah kudetanya (coup) – kudeta Sheraton dan Kudeta Sabah, yang bertanggung-jawab merencat ekonomi, meningkatkan jumlah jangkitan dan menambah kematian.

 

6.     Sementara PKP kerajaan ‘telur diatas tanduk’ ini mungkin boleh dimaafkan kerana tersilap strategi – bunuh lalat dengan meriam – mengakibatkan keadaan ekonomi yang sedang parah menjadi tenat; pada bulan Mac lepas, kerajaan yang kebulur kuasa ini tidak dapat dimaafkan apabila ia melancarkan kudeta kedua untuk merebut kuasa di Sabah yang menyebabkan gelombang ketiga pandemik wabak Covid-19 (rujuk pada carta).

 

 Carta 1: Jumlah Jangkitan Semenjak Kudeta Sabah

 

7.     Gelombang ketiga ini telah meragut 60 nyawa dan mengakibatkan 10,600 jangkitan baru wabak Covid-19. Dalam jangkamasa sebulan semenjak gelombang ke tiga meletus, jumlah jangkitan bertambah lebih dua kali ganda berbanding jumlah jangkitan sepanjang tempoh bermulanya wabak Covid-19.

 

8.     Angka jangkitan wabak Covid-19 dan kadar kematian melonjak tinggi berterusan setiap hari akibat perbuatan tidak bertanggung-jawab Menteri-Menteri dan ahli politik yang berasa dirinya ‘kebal’ dan tidak mahu mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan. Ia diburukan lagi dengan situasi perniagaan dan ekonomi yang tenat dan semakin lingkup. Adalah tidak keterlaluan untuk kita rumuskan Kerajaan pintu belakang ini telah gagal dan tidak dapat mengawal keadaan terutamanya dalam mengawal penularan wabak Covid-19 yang sedang menggila bagaikan ribut.

 

9.     Berbilion-bilion duit rakyat terpaksa disalurkan dalam bentuk geran seperti insentif Penjana dan Prihatin untuk membetulkan keadaan. Geran dan insentif ini memang diperlukan tetapi ianya boleh di belanjakan dengan lebih efektif berbanding dengan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan PN.

 

10.  Kadar pengangguran telah meningkat hampir satu juta dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar. Penganalisis ekonomi menjangkakan pengangguran akan melonjak kepada 2.5 juta pada tahun depan.

 

11.  Kesan ini sebenarnya telah dijangka hasil dari pentadbiran negara yang dilantik dari kalangan ahli-ahli politik atas sebab mahu meraih sokongan dan bukan mengikut kredibiliti mereka dalam mengatasi krisis ekonomi dan pandemik wabak Covid-19. Keperluan negara diketepikan untuk kekal berkuasa.

 

12.  Lantikan ahli-ahli politik yang di sogok dengan jawatan ini terbukti tidak dapat mengatasi masalah krisis ekonomi dan tidak dapat membendung wabak Covid-19. Wakil rakyat telah menjadi satu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk kerajaan kekal berkuasa. Fokus kerajaan tetap untuk kekal berkuasa dan bukan untuk menjaga rakyat dan negara seperti yang diwar-warkan.

 

13.  Kalau di zaman pemerintahan Najib dahulu, Wang adalah Raja (Cash is King), kini trending terbaru, Rasuah adalah Kuasa (bribery is King).

 

14.  Sepertimana krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang ngeri pada tahun 1997, Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri dan kabinet yang boleh menerajui negara kita keluar dari belenggu krisis yang semakin membarah ini.

 

15.  Sebelum keadaan ekonomi dan rakyat menjadi nazak dibawah pimpinan ahli politik yang disogok jawatan, biarlah Dewan Rakyat yang menentukan siapa pemimpin baru dikalangan ahli-ahli parlimen yang betul-betul dapat menyelamat dan menerajui Malaysia keluar dari krisis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi. 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

2
( Hide )
  1. Sepatutnya keputusan PRU14 dimana rakyat telah dengan jelas memberi mandat kepada PH dan semestinya harus dihormati pilihan rakyat itu. Walaubagaimanapun, parti Tun dahulu, yaitu Bersatu telah mengkhianati mandat rakyat dan tubuhkan kerajaan pintu belakang yang bukan pilihan rakyat. Hasil dari rampasan kuasa yang memalukan, negara kini dilanda krisis politik dan rebutan kuasa. Memandangkan PH tersendiri yang masih mendahului dengan bilangan ahli Parlimen, maka PH dengan bilangan majoriti harus dipelawa untuk bentuk kerajaan yang sah mengikuti Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan melalui pintu belakang.🙏

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Saya setuju dengan Saudara Lim WC. Mandat rakyat harus didahulukan.

      Delete

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo