Responsive Ad Slot

Slider

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 3 - RASUAH TERBARU MELALUI PERJANJIAN KEYAKINAN DAN PERBEKALAN

SELAMATKAN MALAYSIA BAB 3 - RASUAH TERBARU MELALUI PERJANJIAN KEYAKINAN DAN PERBEKALAN

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Untuk kerajaan membelanjakan duit pembayar cukai, kerajaan perlu membentang satu rang undang-undang atau yang dikenali sebagai Bajet atau Belanjawan Tahunan dalam Dewan Rakyat. Bajet ini akan diperbahaskan sebelum diundi untuk diterima atau ditolak oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. Itulah kaedah perundangan yang mesti dilalui oleh kerajaan bagi membelanjakan wang rakyat atau wang pembayar cukai. Ini dipanggil Rang Undang-Undang Perbekalan atau Supply bill. 

 

2. Apabila undian dibuat dan Rang Undang-Undang ini tidak diluluskan, maka kerajaan tidak ada peruntukan untuk menguruskan negara dan Perdana Menteri Secara moral perlu meletakkan jawatan (kerana tiada peruntukan kewangan dan sebahagian dari bentuk Undi Tidak Percaya) atau beliau juga boleh menasihati KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong untuk membubar parlimen (tetapi ini tidak digalakkandan dan YDPA pun tidak akan bersetuju kerana pandemic Covid-19). Inilah situasi politik dan pentadbiran negara yang kita hadapi sekarang.  

 

3. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijangka akan kalah sewaktu undian untuk meluluskan bajet tahunan pada persidangan parlimen yang bermula pada awal bulan November ini. Gerakan ‘Ceasefire’ atau genjatan politik telah digerakkan dan sedang menjadi trending terkini. Gerakan Ceasefire ialah satu gerakan politik semata-mata untuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin kekal berkuasa.

 

4. Untuk kekal berkuasa, Perdana Menteri yang majoriti mudahnya dipertikaikan, perlu mendapat keyakinan padu dari parti lawan. Sebagai balasan diatas sokongan, parti lawan diberi peruntukan dalam bentuk imbuhan (peruntukan wang) yang telah dimasuk-kira dalam bajet yang akan dibentangkan tetapi disembunyi sebagai kos dibawah satu atau beberapa kategori contohnya kemasyarakatan dan/atau pembangunan. Biasanya peruntukan untuk parti lawan diberi sebanyak 1 juta untuk diagih-agihkan atau diadakan program kemasyarakatan penduduk, di kawasan parlimen yang diwakilinya. Tetapi untuk meluluskan undi terhadap bajet tersebut, peruntukan yang berlipat-ganda dan dianggarkan mampu mencecah 10 juta akan diberi (disogokkan) kepada semua wakil rakyat parti lawan. Ini dipanggil Rang Undang-Undang Keyakinan dan Perbekalan (“Supply and Confidence Bill”).


5. Sama ada peruntukan yang dianggar 10 juta ini sampai ke penduduk di kawasan itu atau masuk poket Yang Berhormat wakil rakyat, wallahualam. Tetapi berpandukan sejarah, kemungkinan besar sebahagiannya akan dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Terutamanya apabila wabak pandemic rasuah juga amat berleluasa pada masa kini.

 

6. Rang Undang-Undang Keyakinan dan Perbekalan ini memang ada dipraktikkan oleh sistem Westminster di United Kingdom. Tetapi sistem politik di United Kingdom amat berbeza dengan sistem kita. Sebagai contoh apabila seorang Perdana Menteri United Kingdom hilang majoriti sokongan, dia dengan sendirinya akan meletakkan jawatan dan ahli-ahli parlimen dari partinya akan memilih Perdana Menteri baru. Sebagai contoh yang terbaik ialah Margaret Thatcher yang meletakkan jawatan dan pemilihan sengit dibuat diantara beberapa calon termasuk Micheal Hesseltine. Pada akhirnya, John Major dipilih menjadi Perdana Menteri baru tanpa perlunya ada undi percaya atau tidak percaya dalam parlimen.

 

7. Kisah terbaru pemilihan dan pertukaran Perdana Menteri di United Kingdom dibawah sistem Westminster ialah perletakan jawatan Perdana Menteri Theresa May yang kemudiannya diganti dengan Boris Johnson yang dipilih dalam pemilihan partinya sendiri tanpa perlu diadakan undi tak percaya dalam ‘House of Common’. Hakikatnya, kalau Perdana Menteri tidak berfungsi atau kurang prestasi atau bertentangan dengan hala tuju parti, partinya sendiri akan menukar Perdana Menteri. 

 

8. Berbeza dengan Malaysia. Perdana Menteri yang secara jelas mengamalkan rasuah ‘Scheme of Things’ terus kekal berkuasa bahkan dipuja puji. Tidak cukup jawatan dalam Kabinet, GLC, agensi-agensi dan badan-badan kerajaan ditawarkan sebagai sogokan kepada wakil-wakil rakyat dari gabungan PN untuk meraih sokongan. Kini, ahli-ahli parlimen parti lawan pula disogok dengan insentif-insentif bagi mengabur mata seseorang wakil rakyat.

 

9. Rang Undang-Undang Keyakinan dan Perbekalan ini ialah satu muslihat untuk meluluskan dan membelanjakan wang rakyat tanpa jalan yang susah. Ia adalah satu rasuah di peringkat tertinggi. Bapa kepada segala jenis rasuah. Segala hujah dan bantahan yang bakal dikemukakan hanyalah lakonan semata-mata tetapi ketika mengundi, semua akan mengundi setuju. Inikah yang rakyat mahu?

 

10. Meluluskan Rang Undang-Undang Keyakinan dan Perbekalan itu sama seperti menghalalkan jenayah Dato Seri Najib Tun Razak yang mencuri wang rakyat dan berbelanja untuk kepentingan sendiri dan menyalurkan sebahagian kepada anak yatim.

 

11. Adakah moral kita telah bankrap sebegini teruk? 

 

12. Saya merayu kepada semua rakyat untuk memberi tekanan kuar kepada ahli parlimen di Kawasan masing masing untuk menolak sama sekali semua jenis rasuah dan pemberian. DAP telah ditubuhkan hampir 60 tahun dan tidak pernah mendapat apa-apa peruntukan dari kerajaan. Tetapi DAP masih berdiri teguh sehingga kini (Malulah sikit). Ini boleh dijadikan teladan untuk menolak rasuah walaupun ia menjejas peluang peruntukan dari kerajaan.  

 

13. Sama-samalah kita membendung gejala pandemik wabak rasuah sebelum keseluruhan wakil wakil rakyat kita termasuk dari parti lawan dijangkiti penyakit yang menjadi barah kepada negara. Selamatkanlah Malaysia. Tukarlah pemimpin.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan Teknologi, e-Dagang dan Mantan Pengerusi & Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo