SELAMATKAN MALAYSIA - SIRI 4

 


SELAMATKAN MALAYSIA – PART 4

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Lima hari lagi 'Countdown' sebelum persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 November 2020.

 

2. Langkah ‘Darurat’ telah gagal. Langkah ‘Rang Undang-Undang Keyakinan dan Perbekalan’ juga kemungkinan besar akan gagal.

 

3. Tujuh belas usul dan resolusi menyokong Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri telah didaftarkan dengan Setiausaha Dewan Rakyat. Perdana Menteri hanya mempunyai majoriti 2 undi semasa pengundian usul pengosongan kerusi YDP Dewan Rakyat dan majoriti 5 undi semasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 pada bulan Ogos lepas.

 

4. Tiga ahli parlimen telah menarik sokongan secara terbuka terhadap Perdana Menteri yang mana dua daripada mereka; YB Bagan Datoh - Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan YB Pekan - Dato Sri Najib Tun Razak menyatakan hal itu melalui surat sokongan kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong. Sungguhpun surat yang tular itu tidak disahkan oleh kedua orang ahli Parlimen itu, ia juga tidak dinafikan oleh mereka. YB Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga telah menarik sokongan melalui surat kepada Yang diPertua Dewan Rakyat untuk menyokong Usul Undi Tidak Percaya yang dikemukakan oleh YB Langkawi.

 

5. Beberapa lagi ahli parlimen dijangka akan menarik sokongan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

 

6. Kerajaan Perikatan Nasional sedar dan mengambil maklum bahawa mereka secara teknikal telah pun kehilangan sokongan dari 3 ahli parlimen ini dan juga bakal kehilangan sokongan dari beberapa ahli parlimen lain dan tentunya akan menyulitkan persidangan Dewan Rakyat terutamanya dalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan, yang dijangka akan di bentang oleh Menteri Kewangan pada 6 November 2020.

 

7. Melalui langkah drastik dengan memohon pengisytiharan darurat telah diambil oleh mereka untuk kekal berkuasa, langkah itu jelas mahu memberikan lebih kuasa kepada Perdana Menteri. Syukur, DYMM SPB Yang diPertuan Agong dan majlis raja-raja menolak cadangan pengisytiharan darurat ini.

 

8. Tan Sri Muhyidin Yasin dan kabinetnya yang cukup besar serta semua lantikan-lantikan politik di agensi, badan kerajaan termasuk GLC patut mengambil langkah yang bertanggung-jawab dengan meletakkan jawatan masing-masing. That would be the honorable thing to do.  Apatahlagi, sebagai seorang yang bermaruah Perdana Menteri ke-8 itu sedar untuk memerintah tanpa majoriti, beliau telah melakukan ‘jenayah’ dengan melanggar Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

 

9. Sementara kita berdepan pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi, perbelanjaan kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat dengan mendadak bagi menampung jumlah kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia. Lantikan ahli politik mengambil alih jawatan-jawatan golongan profesional juga dianggap satu pembaziran yang sepatutnya tidak berlaku.

 

10. Di Itali pada bulan Oktober 2020, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang untuk mengurangkan 37% iaitu 230 jumlah ahli-ahli parlimen dan 37% jumlah Senator bersamaan dengan pengurangan 115 senator. Pengurangan ahli parlimen dan senator itu dilakukan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19. Suatu langkah berani dan amat berbeza berbanding dengan Malaysia.

 

11. Muhyidin harus diganti dengan seorang pemimpin baru. Seorang pemimpin yang berwibawa dan berpengalaman dalam menangani krisis, harus dipilih dari kalangan ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat. Pemilihan pemimpin tersebut mesti di buat secara undian terbuka dan tidak berpihak kepada mana-mana parti atau gabungan. Pemimpin yang dipilih mesti seorang yang berpengalaman dan bukan muka baru yang hanya mempunyai sokongan tetapi tidak ada pendedahan dan pengalaman dalam mengatasi krisis negara.

 

12. Kita telah melihat sendiri bagaimana kartunnya seorang ahli politik bila beliau diberi tanggung jawab menjawat jawatan dalam Kabinet buat pertama kalinya. Kita juga pernah menyaksikan semua “trial and error” seorang Perdana Menteri baru. Lupakah kita sejarah Perdana Menteri ke-5 semasa beliau mula-mula mentadbir sebagai Perdana Menteri? Dan negara kita dipandu sepenuhnya oleh tingkat 4. Lupakah kita bagaimana seorang Perdana Menteri yang memberi dedak untuk meraih sokongan dan kini, seorang Perdana Menteri yang memberi sogokan jawatan.

 

13. Dikala keadaan Negara dilanda krisis pandemik Covid-19 atau sepertimana krisis kewangan dan kegawatan ekonomi tahun 1997; Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri dan kabinet yang boleh menerajui negara kita keluar dari belenggu krisis yang semakin membarah ini.

 

14. Perdana Menteri baru dan sebuah kerajaan perpaduan diperlukan segera untuk memadamkan api krisis yang sedang membara. Jikalau Muhyidin tidak meletak jawatan, Usul Tidak Percaya mesti didahulukan di persidangan parlimen awal bulan November ini. YB Simpang Renggam Dr Maszlee Malek telah mendaftar usul di bawah Peraturan 90(2) mencadangkan agar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang mengutamakan urusan kerajaan digantung oleh Majlis Mesyuarat sehingga selesai usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Yang Berhormat Langkawi terhadap Tan Sri Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh.

 

15. Perdana Menteri baru harus dipilih secara adil melalui undian terbuka ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat supaya pelantikannya tidak lagi diragukan. Pemimpin yang dipilih di dalam Dewan Rakyat kemudiannya dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk dipersetujui dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

 

16. Perdana Menteri baru dan Kerajaan Perpaduan adalah satu-satunya jalan penyelesaian untuk memulihkan Malaysia dari krisis wabak Covid-19, krisis kepimpinan dan krisis ketidaktentuan ekonomi.

 

17. Cadangan Kerajaan Perpaduan pertama sekali diketengahkan oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad, lapan bulan lepas pada bulan Februari 2020. Ini satu cadangan yang bukan diambil dari buku atau cadangan yang dipetik dari langit tetapi cadangan yang telah dikaji sedalam-dalamnya selepas dua kali menerajui Malaysia selaku Perdana Menteri ke-4 dan Perdana Menteri le-7.

 

18. Kempen dan cadangan kerajaan perpaduan ini kembali timbul melalui cadangan Kempen Pause Malaysia, Gerakan Tengku Razaleigh Hamzah dan terbaru, cadangan yang dilontarkan oleh Mantan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

 

19. Hanya melalui pembentukan satu Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang dipilih oleh ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat mampu menangani krisis Covid-19 dan menerajui Malaysia keluar dari krisis ekonomi dan kadar pengangguran yang semakin meningkat. 

 

20. Rakyat tidak sanggup mengambil risiko pelantikan Perdana Menteri baru yang mungkin boleh merosakkan terus masa depan negara. Rakyat memerlukan khidmat Tun Dr Mahathir buat kali terakhir, sekurang-kurangnya sehingga kita terkeluar dari krisis yang ngeri ini.

 

21. Saya menyeru supaya semua ahli-ahli parlimen yang di beri mandat oleh rakyat untuk menyokong pemilihan Perdana Menteri baru dibuat secara terbuka melalui Dewan Rakyat.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan Teknologi, e-Dagang dan Mantan Pengerusi & Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan 

 

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

Comments