Responsive Ad Slot

Slider

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 2 - REALITI SEBENAR AKAN TIBA

 

SELAMATKAN MALAYSIA BAB 2 - REALITI SEBENAR AKAN TIBA

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

1. Realiti yang paling sukar untuk dihadam ialah keadaan ekonomi kita adalah mustahil untuk dipulihkan dalam jangka masa 3-6 bulan. Malah mengikut penganalisa, ekonomi kita mungkin akan menjadi lebih tenat dalam jangka masa 6 bulan.

2. Kita perlu sedar tentang beberapa realiti yang bakal kita hadapi sekarang ini. Realiti pertama ialah periuk nasi kita; samada pekerjaan kita ataupun perniagaan kita akan terjejas dengan perintah kawalan pergerakan untuk membendung penularan pandemik Covid-19. Ini sama sekali akan menjejaskan keupayaan dan kemampuan kita untuk menampung dua perbelanjaan isi-rumah yang terbesar iaitu bayaran pinjaman rumah dan pinjaman kereta. 

3. Yang mengeruhkan lagi keadaan, tempoh 6 bulan moratorium pembayaran ansuran bulanan untuk semua jenis pinjaman samada individu atau perusahaan kecil & sederhana (PKS) telah tamat pada 30 September 2020.  Moratorium yang membolehkan berjuta rakyat Malaysia dan perniagaan untuk menikmati pelepasan sementara, terpaksa mula membayar ansuran pinjaman pada bulan Oktober ini. Pinjaman di bawah moratorium ini berjumlah RM66.6 bilion (sehingga 31 Julai). 

 4. Dalam RM66.6 bilion jumlah pinjaman tersebut, hanya RM23.3 bilion pinjaman dinikmati oleh syarikat-syarikat dan bakinya RM43.3bilion disalurkan kepada individu-individu. Bank Negara Malaysia telah memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan boleh memohon untuk dapatkan moratorium lanjutan bagi tempoh 3 bulan tambahan selepas bulan September. Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas (dipotong), pembayaran ansuran (pinjaman) bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman. 

5. Terdapat 2 permasalahan disini. Pertamanya, berjuta rakyat dan ratusan Syarikat yang sedang menikmati moratorium itu akan pada akhirnya terjejas apabila pembayaran ansuran bulanan itu terpaksa dibayar. Moratorium tersebut hanyalah melambatkan proses pembayaran tetapi pinjaman tetap perlu dijelaskan!  Adakah situasi ekonomi kita akan pulih dalam jangka masa 3 bulan? 6 Bulan? Hakikatnya, Bank tidak akan memberi moratorium sehingga ekonomi pulih sepenuhnya. 

6. Keduanya, permohonan Moratorium yang dipohon oleh syarikat-syarikat hanyalah berjumlah RM23.3 bilion. Ini bermakna, tidak semua perniagaan telah mendapat moratorium pinjaman tersebut. Apabila bantuan disalurkan lebih kepada individu daripada industri, maka industri akan terjejas dan seterusnya memberi kesan lebih drastik apabila pekerja terpaksa di berhentikan bilamana syarikat tersebut mengalami kerugian besar atau terpaksa gulung tikar. 

7. Tempoh pelepasan moratorium pinjaman telah berakhir dan realiti yang menakutkan sedang menanti. 

8. Pada bulan Disember tahun ini juga akan berakhirnya tempoh Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU). Agensi dan Syarikat yang mendapat manfaat subsidi upah tersebut (majikan mendapat subsidi untuk membayar gaji pekerja dengan syarat), perlu memastikan pekerja tersebut tidak boleh dibuang kerja atau dipotong gaji selama 6 bulan.

9. Apabila tempoh PSU itu tamat, nescaya lebih ramai pekerja akan diberhentikan atau terpaksa bekerja dengan potongan gaji. Jumlah pengangguran yang telah hampir 1 juta dijangka akan meningkat dengan mendadak. 

10. Malah, pemberhentian kerja telah pun mula berlaku dengan syarikat gergasi Airasia dimana pengumuman pemberhentian sehingga 10% daripada 24,000 pekerja mereka baru-baru ini. Ini adalah pusingan kedua pemberhentian 2,400 pekerja. Pada awal bulan Jun, 250 kakitangan Airasia telah diberhentikan kerana pandemic Covid-19. Syarikat gergasi Genting Berhad pula telah memberhentikan sejumlah 3,000 pekerja atau 15% dari 20,000 warga kerjanya. 

11. Nasib syarikat Penerbangan Malaysia dan 12,000 pekerjanya masih menjadi tanda tanya sementara syarikat GLC; UEM Sunrise digadai kepada ECO World dengan nilai dan penyusunan semula saham yang akan merugikan rakyat. 

12. Syarikat penerbangan bukanlah satu-satunya sektor yang telah terjejas dengan pemberhentian pekerja dalam jumlah ribuan. Sektor pelancongan, riadah, runcit, perhotelan dan juga harta tanah akan mula menyumbang kepada kehilangan pekerjaan pada skala yang amat besar. Mengikut tinjauan, 60% pekerja di Malaysia tidak mempunyai simpanan dan tidak mampu untuk mencari wang walaupun RM1,000 untuk perbelanjaan bulanan isi rumah. 

13. Ini semua hasil pemberian Kerajaan Perikatan Nasional yang kebulur kuasa, yang menang di negeri Sabah tetapi dalam proses itu, telah menyebarkan virus dari negeri Borneo itu ke seluruh negara. Dari Lapangan terbang Subang, Bank ke hampir semua pusat membeli belah – 1-Utama, Tesco, the Garden, Suria KLCC, Bangsar Shopping Centre, Ikano, the Curve Mutiara Damansara – telah melihat pemanbahan mendadak jumlah kes baru Covid-19. 

14. Tidak seperti krisis kewangan 1997 dibawah Perdana Menteri ke 4, Kerajaan Muhyidin tidak mempunyai kabinet yang kredible dan berpengalaman untuk menangani krisis ekonomi dan Covid-19 . Semua lantikan utama jawatan GLC dan kabinet hanya untuk meraih sokongan demi kepentingan politik. Petronas, buat pertama kali mengumumkan kerugian bersih suku tahunan sebanyak RM21 bilion untuk tempoh yang berakhir pada 30 Jun berbanding keuntungan RM14.7 bilion pada suku yang sama tahun lalu. Syarikat-syarikat GLC lain juga mengalami kerugian dan hutang yang teramat banyak. 

15. Sebagai contoh, Khazanah Holdings, sebuah syarikat dana kekayaan berdaulat (Sovereign Wealth Fund) Malaysia yang kepentingan strategiknya merangkumi syarikat utiliti Tenaga Nasional, syarikat gergasi telekomunikasi Telekom Malaysia, kumpulan harta tanah UEM Sunrise, pengendali telco Axiata Group dan tentu saja, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, telah mencatat hutang bersih RM57.6 bilion pada akhir bulan Mac tahun ini. 

16. Permodalan Nasional Bhd (PNB), salah satu syarikat pengurusan dana terbesar negara juga mencatatkan hutang terkumpul bersih sebanyak RM23.8 bilion. Walaupun mempunyai konglomerat Sime Darby dan syarikat gergasi UMW di bawah naungannya. 

17. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mempunyai empat syarikat tersenarai awam - Affin Bank Bhd, Boustead Plantations Bhd, Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) dan Pharmaniaga Bhd tetapi juga mencatat hutang bersih berjumlah RM7.8 bilion. 

18. Khazanah, PNB dan LTAT adalah GLIC terbesar (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) negara tetapi rekod membuktikan lantikan politik boleh membawa padah. 

19. Hakikat yang nyata, ahli politik yang disogok dengan jawatan tidak akan dapat memulihkan sebuah organisasi dan badan-badan kerajaan. Badan kerajaan pun tidak boleh dipulihkan. Ianya menjadi mustahil apabila seorang Perdana Menteri yang melantik jumlah kabinet terbesar demi meraih sokongan untuk kekal berkuasa namun tidak mendapat faedah dari kabinet itu untuk memulihkan Malaysia dari pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi. 

20. Malaysia amat memerlukan seorang pemimpin berpengalaman yang pernah menangani krisis ekonomi separah ini. Rakyat memerlukan khidmat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali aktif menerajui kerajaan. Untuk memimpin ahli-ahli politik baru yang cendekiawan tetapi kurang pendedahan dalam menangani krisis. 

21. Sehingga kini, Tun Dr Mahathir tidak pernah memberi kata putus tanda bersetuju tetapi rakyat sudah cuak dan tidak dapat menerima politik wang, perbuatan sogok jawatan yang memudaratkan ekonomi kita, permintaan dan syarat-syarat ahli-ahli politik UMNO dan perebutan kuasa yang tiada pengakhiran. 

22. Rakyat memerlukan khidmat Tun Dr Mahathir buat kali terakhir, sekurang-kurangnya sehingga kita terkeluar dari krisis yang ngeri ini. The Last Battle.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo