Responsive Ad Slot

Pengambilalihan IJM perkukuh Kedudukan Strategik Bilionair Sektor Swasta ke atas Aset Negara.


“Pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) akan meletakkan aset-aset infrastruktur kritikal yang digunakan rakyat setiap hari di bawah kawalan seorang bilionair, dengan hanya 10% daripada nilai transaksi dibayar secara tunai.”

1. Isu pengambilalihan IJM oleh Sunway Berhad (Sunway) ini perlu dibantah dan ditentang keras kerana ia bukan urusan niaga korporat yang lurus dan mudah, seperti turun naik harga saham di pasaran. 

2. Ia bukan isu spekulasi pasaran atau penentuan keuntungan semata-mata, sebaliknya melibatkan persoalan struktur pemilikan, pengagihan risiko dan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.

3. IJM bukan sebuah syarikat biasa. Ia memiliki dan mengendalikan aset-aset infrastruktur kritikal negara yang digunakan rakyat setiap hari, termasuk lebuh raya bertol utama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, pelabuhan laut dalam seperti Kuantan Port serta konsesi infrastruktur jangka panjang di dalam dan luar negara.

4. Aset-aset ini menentukan mobiliti harian rakyat, kos logistik negara, kelancaran rantaian bekalan industri dan keselamatan ekonomi nasional.

5. Berapa lama rakyat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, berapa mahal barang sampai ke pengguna, dan siapa yang mengawal pintu masuk perdagangan negara, semuanya berkait langsung dengan aset-aset ini. 

6. Justeru, sebarang perubahan pemilikan dan kawalan terhadap aset strategik ini membawa implikasi yang jauh melangkaui kepentingan pemegang saham.

7. Pengambilalihan IJM menyentuh persoalan asas iaitu siapa yang akan menguasai aset strategik negara, siapa yang dipindahkan untuk menanggung risiko sebenar transaksi, dan siapa yang akhirnya kehilangan pegangan serta kuasa ekonomi secara senyap.

8. Jika pengambilalihan ini berjaya, lebuh raya dan pelabuhan yang digunakan rakyat setiap hari akan berada di bawah kawalan seorang bilionair sektor swasta yang tergolong dalam kelompok sepuluh terkaya di Malaysia.

9. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah dan keluarganya merupakan pemegang saham majoriti Sunway Berhad melalui entiti kawalan, dengan pegangan melebihi 54% saham. 

10. Pegangan ini memberikan beliau dan keluarga pengaruh yang sangat besar terhadap hala tuju strategik, keputusan korporat dan kawalan keseluruhan kumpulan Sunway.

11. Isu sebenar disini ialah penumpuan kuasa ekonomi dan pemilikan strategik ke atas infrastruktur negara yang sepatutnya dinilai melalui lensa kepentingan awam, bukan keuntungan korporat semata-mata.

12. Dalam konteks ini, isu ekuiti Bumiputera tidak boleh dipinggirkan. Pegangan Bumiputera dalam IJM wujud melalui dana-dana awam dan institusi berkaitan kerajaan yang memegang amanah jutaan pencarum. 

13. Ekuiti Bumiputera bukan sekadar angka pemilikan saham, tetapi kedudukan strategik, leverage ekonomi dan pengaruh dalam keputusan jangka panjang.

14. Hakikat yang perlu difahami ialah ekuiti Bumiputera boleh terhakis tanpa satu saham pun dijual, apabila kedudukan strategik itu ditukar menjadi pegangan pasif dalam syarikat Sunway syarikat yang lebih besar dan lebih cair. 

15. Daripada mempunyai pengaruh langsung dalam sebuah syarikat infrastruktur strategik, pegangan tersebut berisiko berubah menjadi pegangan kecil dalam sebuah konglomerat besar dengan keutamaan perniagaan yang berbeza, sekali gus menyebabkan pegangan Bumiputera kehilangan kuasa ekonomi dan pengaruh strategik yang sebenar.

16. Inilah penghakisan senyap yang sah dari sudut teknikal, tetapi pincang dari sudut dasar ekonomi dan keadilan sosial.

17. Struktur transaksi itu sendiri juga menimbulkan persoalan keadilan.

18. Apabila 90% bayaran dibuat dalam bentuk saham dan bukan tunai, risiko pasaran sebenar dipindahkan kepada pemegang saham IJM, termasuk dana-dana yang mewakili kepentingan Bumiputera. 

19. Ini bukan jual beli biasa, tetapi pertukaran risiko yang dipindahkan kepada pihak yang paling lemah dari segi kuasa tawar-menawar.

20. Pemegang saham melabur dalam IJM berdasarkan mandat dan profil risiko IJM, bukan untuk dipaksa menjadi pemegang saham dalam kumpulan lain tanpa persetujuan strategik yang jelas. 

21. Penggabungan entiti besar seperti ini turut berpotensi meningkatkan penumpuan pasaran dalam tender, sub-kontrak, pembekalan bahan, logistik dan perkhidmatan profesional.

22. Kesan langsungnya ialah kuasa tawar-menawar kontraktor G1 hingga G4 dan vendor kecil (yang majoritinya terdiri daripada Bumiputera), menjadi lemah apabila mereka terpaksa berhadapan dengan terma pembayaran yang lebih ketat, margin keuntungan yang semakin tertekan dan akses peluang yang semakin terhad.

23. Konsolidasi kuasa ekonomi akan memusatkan kuasa tawar-menawar, menekan vendor tempatan dan melemahkan ekosistem perniagaan di peringkat akar umbi. 

24. Apabila yang kuat menjadi semakin kuat, yang kecil pula semakin terhimpit.

25. Risiko integrasi operasi juga tidak boleh dipandang ringan.

26. Pengambilalihan berskala besar lazimnya disertai kos tersembunyi seperti kelewatan projek, lebihan kos dan perubahan keutamaan pelaksanaan.

27. Apabila projek awam terganggu, pihak yang akhirnya menanggung kesan dan kos ialah rakyat dan pembayar cukai.

28. Dalam kerangka tadbir urus Malaysia, aset konsesi awam bukan hak mutlak korporat.

29. Perubahan kawalan ke atas aset-aset ini lazimnya memerlukan kelulusan kerajaan kerana kerajaan mempunyai mandat untuk melindungi kepentingan awam, dana rakyat dan infrastruktur kritikal negara. 

30. Oleh itu, kerajaan perlu campur tangan secara tegas untuk menghentikan pengambilalihan aset strategik negara oleh seorang tycoon sektor swasta. 

31. Ini bukan campur tangan politik, tetapi tanggungjawab tadbir urus. Pasaran bebas tidak bermaksud pasaran tanpa tanggungjawab sosial.

32. Atas sebab-sebab ini, transaksi ini tidak wajar sekadar ditangguhkan atau dibaiki secara kosmetik.

33. Masalahnya terletak pada struktur asas transaksi itu sendiri. 

34. Tanpa ujian kepentingan awam yang menyeluruh, tanpa perlindungan jelas terhadap ekuiti Bumiputera dan pemegang saham minoriti, serta tanpa penilaian serius terhadap impak persaingan dan risiko integrasi, transaksi ini akan mewujudkan preseden berbahaya. 

35. Jika transaksi seperti ini dibenarkan, mesejnya jelas bahawa ekuiti Bumiputera boleh terhakis secara sah, senyap dan tanpa pertanggungjawaban.

36. Isu ini bukan soal menolak pelaburan atau pasaran bebas. Ia adalah soal mempertahankan kedaulatan ekonomi negara. 

37. Jika kita gagal mempertahankan pegangan strategik hari ini, generasi akan datang mungkin hanya mewarisi angka dalam laporan kewangan, tetapi kehilangan kuasa sebenar dalam menentukan arah ekonomi negara.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Mengapa Pilihan Raya PBT Amat Berbahaya dan Perlu Ditolak


1. Cadangan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pemilihan Datuk Bandar, walaupun dibungkus dengan bahasa reformasi dan demokrasi, hakikatnya merupakan manifestasi paling jelas terhadap kebimbangan yang dizahirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu berisiko kehilangan negara. 

2. Isu ini tidak wajar dilihat secara sempit sebagai soal kaedah memilih pemimpin tempatan. Sebaliknya, ia perlu dianalisis sebagai peralihan struktur kuasa dalam sistem kenegaraan Malaysia, yang membawa implikasi besar terhadap keseimbangan perlembagaan, kedudukan sosioekonomi Melayu, dan hubungan antara Persekutuan, negeri serta kerajaan tempatan.

3. Walaupun Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut kerajaan tempatan secara eksplisit, hakikatnya hampir keseluruhan dasar bandar mempunyai implikasi langsung terhadap pelaksanaan peruntukan tersebut. 

4. Dasar perumahan mampu milik, pengeluaran lesen perniagaan kecil, pengurusan tanah, penjaja, serta pembangunan komuniti bandar merupakan instrumen utama mobiliti sosioekonomi Melayu bandar. 

5. Di sinilah Perkara 153 berfungsi secara praktikal, bukan sekadar normatif.Apabila kepimpinan bandar memperoleh mandat melalui pilihan raya, tekanan politik untuk menghapus atau mengecilkan dasar afirmatif akan meningkat, lazimnya atas nama “kesamarataan”, “neutraliti kaum” dan “kecekapan pasaran”. 

6. Dalam konteks ini, Perkara 153 tidak dimansuhkan secara undang-undang, tetapi dikosongkan fungsinya melalui amalan pentadbiran. 

7. Inilah bentuk penghakisan yang paling berbahaya kerana ia berlaku secara senyap, berlapik, dan sukar dicabar melalui mekanisme perlembagaan sedia ada.

8. Lebih penting, cadangan ini bukanlah idea baharu yang lahir secara neutral atau teknokratik. 

9. Ia merupakan misi ideologi jangka panjang parti Democratic Action Party (DAP) yang telah sekian lama diperjuangkan, kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan, dan seterusnya dibawa ke peringkat pelaksanaan dasar melalui kedudukan eksekutif kerajaan.

10. Agenda ini pernah dipromosikan secara terbuka oleh Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan kini diteruskan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan oleh Hannah Yeoh melalui pendekatan yang dilabel sebagai “kajian kebolehlaksanaan”.

11. Hakikat ini perlu ditegaskan kerana ia membuktikan bahawa cadangan pilihan raya PBT dan Datuk Bandar bukanlah reformasi pentadbiran yang bebas nilai, tetapi merupakan kesinambungan agenda politik yang konsisten dan berideologi, yang berhasrat mengubah struktur kuasa tempatan melalui mandat pilihan raya. 

12. Apabila sesuatu cadangan dasar lahir daripada manifesto parti dan diterjemahkan melalui kuasa menteri, ia tidak lagi boleh dianggap sebagai eksperimen akademik atau inisiatif pentadbiran semata-mata. 

13. Ia adalah projek politik yang membawa implikasi perlembagaan, demografi dan keseimbangan kuasa negara.

14. Dalam sistem Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tempatan bukan entiti politik berdaulat. Ia merupakan instrumen pentadbiran yang berfungsi di bawah kuasa kerajaan negeri atau Persekutuan. 

14. Kerajaan tempatan tidak memiliki mandat politik tersendiri, tidak dipilih oleh rakyat, dan tidak direka untuk menjadi medan persaingan kuasa. 

15. Pengenalan pilihan raya PBT atau pemilihan Datuk Bandar secara langsung akan mengubah sifat asas ini.

16. Mandat pilihan raya memberikan legitimasi politik, bukan sekadar legitimasi pentadbiran. 

17. Apabila legitimasi politik ini diwujudkan di peringkat bandar, ia secara langsung mencabar keseimbangan hubungan antara Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan, serta membuka ruang kepada tuntutan autonomi politik bandar yang bercanggah dengan semangat federalisme Perlembagaan.

18. Ancaman terhadap orang Melayu dalam konteks ini bukan bersifat spekulatif atau emosional, tetapi berpunca daripada realiti demografi bandar. 

19. Di kebanyakan bandar utama, orang Melayu bukan kumpulan majoriti dominan dalam konteks pengundian. Dalam sistem pilihan raya, angka menentukan kuasa. 

20. Pilihan raya PBT atau Datuk Bandar akan menyebabkan kepimpinan bandar ditentukan sepenuhnya oleh komposisi pengundi bandar, tanpa sebarang mekanisme imbangan nasional.

21. Akibatnya, orang Melayu berisiko kehilangan kawalan politik dan pentadbiran, termasuk peluang-peluang strategik berkaitan tender, permit, lesen, tanah dan kelulusan, melalui pemilihan Datuk Bandar di pusat-pusat bandar utama. 

22. Ini bukan hujah berasaskan sentimen kaum, tetapi kesan langsung matematik pilihan raya dalam ruang demografi yang tidak seimbang.

23. Atas sebab-sebab inilah, tidak wujud keperluan untuk sebarang kajian lanjut kerana asas perlembagaan, demografi dan struktur tadbir urus telah pun jelas. 

24. Cadangan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan atau pemilihan Datuk Bandar bukan sahaja wajar dipersoalkan, malah perlu ditolak sekeras-kerasnya demi mempertahankan keseimbangan perlembagaan negara, keadilan struktur dalam pentadbiran, serta kelangsungan peranan orang Melayu sebagai teras pembinaan negara.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Isu Kuil Haram Adalah Isu Jenayah, Bukan Isu Agama.


“Tiada agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya membina rumah ibadah secara haram
, dan tiada kaum sepatutnya mempertahankan kewujudan rumah ibadah yang dibina bertentangan dengan undang-undang dan ajaran agama mereka sendiri.” 

1. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, isu yang sering dilabel sebagai “kuil haram” kembali menjadi perhatian awam berikutan pertindihan tiga faktor utama yang berlaku secara serentak.

2. Pertama, pertikaian status tanah dan proses kelulusan, termasuk isu pencerobohan tanah, ketiadaan kebenaran merancang, serta penggunaan tanah melalui pajakan atau Temporary Occupation Licence (TOL) yang tidak diperbaharui atau disalahgunakan.

3. Kedua, kontroversi naratif awam, khususnya penggunaan istilah “kuil haram” atau “tokong haram” yang sering dianggap menghakimi, bersifat simplistik, dan berpotensi mencetuskan ketegangan sosial serta polarisasi kaum dan agama.

4. Ketiga, pertembungan dakwaan antara komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri, termasuk isu sensitif berkaitan dakwaan pertindihan tapak surau dan tapak kuil.

5. Walaupun dakwaan sedemikian telah dinafikan oleh pihak berkuasa negeri, ia tetap dimanipulasi sebagai alat mobilisasi emosi di media sosial, sehingga mengaburkan fakta, konteks sebenar dan prinsip undang-undang yang sepatutnya menjadi asas perbincangan.

6. Secara ringkas dan tegas, isu ini bukan isu perdebatan agama. Ia menyentuh perkara yang jauh lebih besar dan fundamental, iaitu maruah komuniti, kedaulatan dan pemilikan tanah, ketegasan penguatkuasaan undang-undang, serta persepsi layanan dua darjat dalam tadbir urus negara.

7. Untuk pengetahuan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, YB Papparaidu Veraman, istilah “kuil haram” atau “rumah ibadah haram” adalah tepat berasaskan undang-undang, khususnya apabila sesebuah struktur dibina tanpa hak milik tanah yang sah, tanpa kebenaran merancang, atau melalui pencerobohan ke atas tanah kerajaan atau tanah persendirian orang lain.

8. Menolak penggunaan istilah ini atas alasan sensitiviti tidak mengubah hakikat undang-undang, sebaliknya berisiko mengaburkan perbezaan antara hak beragama yang dilindungi Perlembagaan dan perbuatan melanggar undang-undang yang tidak pernah dilindungi oleh mana-mana agama atau peruntukan Perlembagaan. Hak beragama tidak termasuk hak untuk menceroboh tanah atau membina struktur tanpa kebenaran sah.

9. Saya cenderung kepada pendirian yang diketengahkan oleh beberapa laporan media arus perdana bahawa isu ini wajar dilihat dan ditangani dari sudut pelanggaran undang-undang serta pencerobohan tanah, dan bukannya ditafsirkan atau dimanipulasi sebagai isu kebencian agama.

10. Pendekatan ini lebih tepat dan selari dengan prinsip rule of law, kerana asas kepada konflik ini ialah kegagalan pematuhan undang-undang tanah dan perancangan, bukannya pertembungan kepercayaan atau ajaran agama.

11. Dalam konteks ini, satu prinsip asas perlu ditegaskan secara jelas dan adil: tiada agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya membina rumah ibadah secara haram, dan tiada kaum sepatutnya mempertahankan kewujudan rumah ibadah yang dibina bertentangan dengan undang-undang dan ajaran agama mereka sendiri. 

12. Semua agama, tanpa pengecualian, menekankan nilai ketaatan kepada undang-undang, keadilan, dan penghormatan terhadap hak pihak lain.

13. Isu ini sememangnya sensitif. Namun sensitiviti tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup mata terhadap pelanggaran undang-undang. 

14. Kita perlu sedar bahawa Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang berteraskan kedaulatan undang-undang, dan kedaulatan tersebut tidak boleh digugat atas nama sentimen, emosi atau tekanan awam.

15. Namun demikian, satu kelemahan serius dalam sistem tadbir urus negara perlu diakui secara jujur. Sehingga kini, tiada statistik rasmi atau kajian menyeluruh pernah dijalankan untuk mengenal pasti jumlah sebenar rumah ibadah yang dibina tanpa kelulusan, sama ada melibatkan kuil, tokong, gereja atau mana-mana rumah ibadah lain.

16. Tiada kementerian, tiada PBT, dan tiada agensi kerajaan pusat yang mempunyai mekanisme pemantauan bersepadu khusus bagi isu rumah ibadah yang melanggar undang-undang atau menceroboh tanah.

17. Kementerian manakah yang sepatutnya bertanggung-jawab? Kementerian Perpaduan? Jika tanggungjawab ini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, maka jelas kementerian tersebut telah gagal sepenuhnya melaksanakan mandatnya secara berkesan.

18. Kekosongan tadbir urus ini telah membenarkan pelanggaran undang-undang berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian tuntas.

19. Lebih membimbangkan, pemantauan dan tindakan tegas hampir tidak pernah diambil secara konsisten terhadap pelanggaran undang-undang dan pencerobohan tanah oleh rumah ibadah.

20. Penguatkuasaan lazimnya hanya berlaku selepas isu tersebut tular atau dipolitikkan, bukannya melalui audit berasaskan undang-undang yang sistematik dan berterusan.

21. Pendekatan reaktif ini bukan sahaja melemahkan kewibawaan institusi penguat kuasa, malah mengukuhkan persepsi bahawa undang-undang dikuatkuasakan secara terpilih.

22. Dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, pencerobohan tanah adalah kesalahan jenayah, tanpa mengira sama ada ia dilakukan atas nama komersial, perumahan atau keagamaan.

23. Undang-undang tanah dan perancangan bandar tidak menyediakan sebarang kekebalan khas kepada mana-mana pihak untuk melanggar peraturan asas negara.

24. Oleh itu, Kerajaan MADANI tidak boleh lagi berlindung di sebalik retorik keharmonian atau sensitiviti untuk mengelak daripada mengambil tindakan.

25. Tindakan jenayah dan tindakan undang-undang wajib diambil terhadap sebarang pencerobohan tanah, termasuk yang melibatkan rumah ibadah, secara tegas, konsisten dan berperlembagaan.

26. Sebarang bentuk toleransi melalui pemberian pampasan bukan sahaja salah dari sudut prinsip undang-undang, malah menjadikan negara ini bersekongkol dalam menghalalkan perbuatan jenayah.

27. Ketegasan ini bukan soal menghukum agama atau komuniti tertentu, tetapi soal mempertahankan kedaulatan undang-undang dan maruah negara

28. Sebuah negara yang membiarkan pencerobohan tanah berterusan, lalu menutupnya dengan pampasan atau alasan sensitiviti, sebenarnya sedang menghalalkan jenayah melalui dasar. 

29. Negara tidak boleh membeli ketenteraman sosial dengan mengorbankan prinsip undang-undang. Keharmonian yang dibina atas toleransi terhadap pelanggaran undang-undang adalah keharmonian palsu, rapuh dan berbahaya.

30. Jika undang-undang terus dikuatkuasakan secara selektif atau dikompromikan demi kepentingan politik jangka pendek, maka yang sedang runtuh bukan sekadar integriti sistem perundangan, tetapi asas kenegaraan dan kewibawaan negara itu sendiri.

Salam hormat.
Dr Armin Baniaz Pahamin

REFORMASI PENDIDIKAN BUKAN ISU NIAT, TETAPI KESIAPSIAGAAN DAN TADBIR URUS KERAJAAN


1. Pelaksanaan dasar baru Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkenalkan penilaian diagnostik di Tahun 4 serta membuka ruang kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia 6 tahun secara sukarela perlu dikaji dengan teliti. 

2. Dari sudut dasar, inisiatif ini berpotensi membawa perubahan positif kepada sistem pendidikan, selaras dengan amalan pedagogi berasaskan data dan kesiapsiagaan awal murid.

3. Namun, sokongan terhadap niat dasar tidak boleh disamakan dengan penerimaan cara pelaksanaan. 

4. Rakyat sedia maklum corak pentadbiran Kerajaan MADANI yang cenderung untuk menandatangani, meluluskan dan melancarkan dasar utama tetapi gagal secara konsisten dari segi perancangan, analisis kos-faedah dan kesiapsiagaan pelaksanaan.

5. Corak ini bukan bersifat terpencil, tetapi konsisten merentasi beberapa bidang dasar strategik negara. Pengalaman paling ketara ialah keputusan kerajaan untuk menandatangani Perjanjian Retaliatory Trade dengan Amerika Syarikat (ART Agreement). 

6. Perjanjian Art dimeterai tanpa satu proses konsultasi nasional yang telus dan menyeluruh, termasuk dengan industri tempatan, PKS, pakar perdagangan antarabangsa dan Parlimen. 

7. Naratif rasmi kerajaan kurang menilai kos peluang (opportunity cost) serta risiko jangka panjang terhadap daya saing ekonomi negara. 

8. Kerajaan MADANI cenderung untuk bersetuju dahulu, berfikir kemudian.

9. Sikap yang sama turut dilihat dalam pelancaran beberapa dasar domestik lain, termasuk projek MyKiosk, yang diperkenalkan dengan matlamat membantu peniaga kecil tetapi akhirnya mencetuskan persoalan serius tentang kos, ketelusan perolehan dan kesesuaian reka bentuk dengan realiti lapangan.

10. Dalam konteks inilah dasar pendidikan baharu perlu dinilai dengan lebih kritikal. Sokongan terhadap dasar tidak boleh dipisahkan daripada persoalan kesiapsiagaan pelaksanaan. 

11. Dasar pendidikan ini dilaksanakan dengan mentaliti yang sama seperti ART Agreement secara tergesa-gesa, kurang konsultasi mendalam dan bergantung kepada naratif politik. Ini mengundang risiko yang amat besar terhadap kestabilan dan kredibiliti sistem pendidikan negara.

12. Akibat pendekatan sedemikian, kerajaan telah mula menunjukkan tanda-tanda flip-flop dasar. 

13. Contohnya, selepas mengumumkan pelaksanaan ujian diagnostik sebagai syarat kemasukan ke Tahun 1 bagi kanak-kanak berumur enam tahun, kerajaan kemudiannya menarik balik dan membatalkan ujian tersebut dalam tempoh yang singkat.

14. Selain itu, dasar kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun juga tidak konsisten sama ada benar-benar bersifat pilihan atau akan menjadi norma baharu sistem pendidikan. 

15. Di satu pihak, kerajaan menegaskan bahawa dasar ini bersifat sukarela dan fleksibel. Namun, pada masa yang sama, kenyataan awam yang dikeluarkan seolah-olah memberi gambaran bahawa sistem pendidikan sedang bergerak ke arah penyelarasan menyeluruh, tanpa kejelasan mengenai garis masa, kriteria pelaksanaan dan mekanisme sokongan yang sewajarnya.

16. Dalam isu penilaian Tahun 4 pula, kerajaan pada peringkat awal memberi jaminan bahawa tiada peperiksaan baharu akan diperkenalkan, dan bahawa sistem pendidikan akan terus berteraskan pentaksiran berasaskan sekolah.

17. Namun, pengumuman seterusnya mengenai penilaian diagnostik yang diselaraskan secara pusat, melibatkan subjek-subjek teras, telah mencetuskan persepsi meluas bahawa kerajaan sebenarnya sedang menghidupkan semula budaya ujian berpusat dalam bentuk dan istilah baharu, bertentangan dengan jaminan awal yang telah diberikan.

18. Perubahan istilah daripada “peperiksaan” kepada “diagnostik” juga tidak disertai dengan penjelasan terperinci yang konsisten tentang implikasi sebenar kepada guru dan murid.

19. Skop dan tujuan penilaian Tahun 4 juga tidak dijelaskan sama ada ia bersifat percubaan (pilot), berfasa, atau akan dilaksanakan secara nasional dalam tempoh terdekat. 

20. Ketidakpastian ini menambah beban pentadbiran kepada sekolah yang masih bergelut dengan kekangan sumber, sambil menunggu arahan yang sering berubah.

21. Flip-flop dasar seperti ini bukan isu remeh. Dalam pendidikan, ketidaktentuan dasar memberi kesan langsung kepada perancangan sekolah, latihan guru, penyediaan bahan pembelajaran serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem. 

22. Ia sekali gus menjejaskan kredibiliti institusi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus reformasi berskala besar.

23. Kesemua perkembangan ini mengesahkan bahawa isu sebenar bukanlah keperluan reformasi pendidikan, tetapi cara reformasi itu digubal dan dilaksanakan. 

24. Apabila dasar diumumkan sebelum perancangan dimuktamadkan, konsultasi bermakna dijalankan dan kesiapsiagaan sistem dipastikan, kerajaan akhirnya terpaksa membuat pembetulan demi pembetulan yang menghakis keyakinan awam.

25. Dalam pendidikan, flip-flop dasar bukan sekadar isu komunikasi. Ia memberi kesan langsung kepada perancangan sekolah, latihan guru, penyediaan kurikulum serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem. 

26. Pendidikan bukan medan eksperimen dasar yang boleh diperbetulkan dengan penjelasan baharu setiap kali berdepan tentangan awam.

27. Budaya menggubal dasar secara tergesa-gesa dan berasaskan naratif politik mesti dihentikan agar reformasi pendidikan benar-benar dilaksanakan secara berkualiti, berkeadilan dan berpaksikan kepentingan jangka panjang negara. 

28. Keberanian sebenar dalam pentadbiran bukan terletak pada kepantasan mengumumkan dasar, tetapi pada kebijaksanaan memastikan sistem benar-benar bersedia sebelum ia dilaksanakan.

29. Masa depan pendidikan negara tidak boleh ditentukan oleh keputusan separuh siap. Dalam soal anak-anak dan generasi akan datang, kehati-hatian bukan tanda kelemahan, sebaliknya merupakan amanah besar yang wajib dipikul oleh setiap pembuat dasar.

Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin

© all rights reserved
made with by templateszoo