1. Pelaksanaan dasar baru Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkenalkan penilaian diagnostik di Tahun 4 serta membuka ruang kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia 6 tahun secara sukarela perlu dikaji dengan teliti.
2. Dari sudut dasar, inisiatif ini berpotensi membawa perubahan positif kepada sistem pendidikan, selaras dengan amalan pedagogi berasaskan data dan kesiapsiagaan awal murid.
3. Namun, sokongan terhadap niat dasar tidak boleh disamakan dengan penerimaan cara pelaksanaan.
4. Rakyat sedia maklum corak pentadbiran Kerajaan MADANI yang cenderung untuk menandatangani, meluluskan dan melancarkan dasar utama tetapi gagal secara konsisten dari segi perancangan, analisis kos-faedah dan kesiapsiagaan pelaksanaan.
5. Corak ini bukan bersifat terpencil, tetapi konsisten merentasi beberapa bidang dasar strategik negara. Pengalaman paling ketara ialah keputusan kerajaan untuk menandatangani Perjanjian Retaliatory Trade dengan Amerika Syarikat (ART Agreement).
6. Perjanjian Art dimeterai tanpa satu proses konsultasi nasional yang telus dan menyeluruh, termasuk dengan industri tempatan, PKS, pakar perdagangan antarabangsa dan Parlimen.
7. Naratif rasmi kerajaan kurang menilai kos peluang (opportunity cost) serta risiko jangka panjang terhadap daya saing ekonomi negara.
8. Kerajaan MADANI cenderung untuk bersetuju dahulu, berfikir kemudian.
9. Sikap yang sama turut dilihat dalam pelancaran beberapa dasar domestik lain, termasuk projek MyKiosk, yang diperkenalkan dengan matlamat membantu peniaga kecil tetapi akhirnya mencetuskan persoalan serius tentang kos, ketelusan perolehan dan kesesuaian reka bentuk dengan realiti lapangan.
10. Dalam konteks inilah dasar pendidikan baharu perlu dinilai dengan lebih kritikal. Sokongan terhadap dasar tidak boleh dipisahkan daripada persoalan kesiapsiagaan pelaksanaan.
11. Dasar pendidikan ini dilaksanakan dengan mentaliti yang sama seperti ART Agreement secara tergesa-gesa, kurang konsultasi mendalam dan bergantung kepada naratif politik. Ini mengundang risiko yang amat besar terhadap kestabilan dan kredibiliti sistem pendidikan negara.
12. Akibat pendekatan sedemikian, kerajaan telah mula menunjukkan tanda-tanda flip-flop dasar.
13. Contohnya, selepas mengumumkan pelaksanaan ujian diagnostik sebagai syarat kemasukan ke Tahun 1 bagi kanak-kanak berumur enam tahun, kerajaan kemudiannya menarik balik dan membatalkan ujian tersebut dalam tempoh yang singkat.
14. Selain itu, dasar kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun juga tidak konsisten sama ada benar-benar bersifat pilihan atau akan menjadi norma baharu sistem pendidikan.
15. Di satu pihak, kerajaan menegaskan bahawa dasar ini bersifat sukarela dan fleksibel. Namun, pada masa yang sama, kenyataan awam yang dikeluarkan seolah-olah memberi gambaran bahawa sistem pendidikan sedang bergerak ke arah penyelarasan menyeluruh, tanpa kejelasan mengenai garis masa, kriteria pelaksanaan dan mekanisme sokongan yang sewajarnya.
16. Dalam isu penilaian Tahun 4 pula, kerajaan pada peringkat awal memberi jaminan bahawa tiada peperiksaan baharu akan diperkenalkan, dan bahawa sistem pendidikan akan terus berteraskan pentaksiran berasaskan sekolah.
17. Namun, pengumuman seterusnya mengenai penilaian diagnostik yang diselaraskan secara pusat, melibatkan subjek-subjek teras, telah mencetuskan persepsi meluas bahawa kerajaan sebenarnya sedang menghidupkan semula budaya ujian berpusat dalam bentuk dan istilah baharu, bertentangan dengan jaminan awal yang telah diberikan.
18. Perubahan istilah daripada “peperiksaan” kepada “diagnostik” juga tidak disertai dengan penjelasan terperinci yang konsisten tentang implikasi sebenar kepada guru dan murid.
19. Skop dan tujuan penilaian Tahun 4 juga tidak dijelaskan sama ada ia bersifat percubaan (pilot), berfasa, atau akan dilaksanakan secara nasional dalam tempoh terdekat.
20. Ketidakpastian ini menambah beban pentadbiran kepada sekolah yang masih bergelut dengan kekangan sumber, sambil menunggu arahan yang sering berubah.
21. Flip-flop dasar seperti ini bukan isu remeh. Dalam pendidikan, ketidaktentuan dasar memberi kesan langsung kepada perancangan sekolah, latihan guru, penyediaan bahan pembelajaran serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem.
22. Ia sekali gus menjejaskan kredibiliti institusi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus reformasi berskala besar.
23. Kesemua perkembangan ini mengesahkan bahawa isu sebenar bukanlah keperluan reformasi pendidikan, tetapi cara reformasi itu digubal dan dilaksanakan.
24. Apabila dasar diumumkan sebelum perancangan dimuktamadkan, konsultasi bermakna dijalankan dan kesiapsiagaan sistem dipastikan, kerajaan akhirnya terpaksa membuat pembetulan demi pembetulan yang menghakis keyakinan awam.
25. Dalam pendidikan, flip-flop dasar bukan sekadar isu komunikasi. Ia memberi kesan langsung kepada perancangan sekolah, latihan guru, penyediaan kurikulum serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem.
26. Pendidikan bukan medan eksperimen dasar yang boleh diperbetulkan dengan penjelasan baharu setiap kali berdepan tentangan awam.
27. Budaya menggubal dasar secara tergesa-gesa dan berasaskan naratif politik mesti dihentikan agar reformasi pendidikan benar-benar dilaksanakan secara berkualiti, berkeadilan dan berpaksikan kepentingan jangka panjang negara.
28. Keberanian sebenar dalam pentadbiran bukan terletak pada kepantasan mengumumkan dasar, tetapi pada kebijaksanaan memastikan sistem benar-benar bersedia sebelum ia dilaksanakan.
29. Masa depan pendidikan negara tidak boleh ditentukan oleh keputusan separuh siap. Dalam soal anak-anak dan generasi akan datang, kehati-hatian bukan tanda kelemahan, sebaliknya merupakan amanah besar yang wajib dipikul oleh setiap pembuat dasar.
Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
