Responsive Ad Slot

Showing posts with label Hannah Yeoh. Show all posts
Showing posts with label Hannah Yeoh. Show all posts

Mengapa Pilihan Raya PBT Amat Berbahaya dan Perlu Ditolak


1. Cadangan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pemilihan Datuk Bandar, walaupun dibungkus dengan bahasa reformasi dan demokrasi, hakikatnya merupakan manifestasi paling jelas terhadap kebimbangan yang dizahirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu berisiko kehilangan negara. 

2. Isu ini tidak wajar dilihat secara sempit sebagai soal kaedah memilih pemimpin tempatan. Sebaliknya, ia perlu dianalisis sebagai peralihan struktur kuasa dalam sistem kenegaraan Malaysia, yang membawa implikasi besar terhadap keseimbangan perlembagaan, kedudukan sosioekonomi Melayu, dan hubungan antara Persekutuan, negeri serta kerajaan tempatan.

3. Walaupun Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut kerajaan tempatan secara eksplisit, hakikatnya hampir keseluruhan dasar bandar mempunyai implikasi langsung terhadap pelaksanaan peruntukan tersebut. 

4. Dasar perumahan mampu milik, pengeluaran lesen perniagaan kecil, pengurusan tanah, penjaja, serta pembangunan komuniti bandar merupakan instrumen utama mobiliti sosioekonomi Melayu bandar. 

5. Di sinilah Perkara 153 berfungsi secara praktikal, bukan sekadar normatif.Apabila kepimpinan bandar memperoleh mandat melalui pilihan raya, tekanan politik untuk menghapus atau mengecilkan dasar afirmatif akan meningkat, lazimnya atas nama “kesamarataan”, “neutraliti kaum” dan “kecekapan pasaran”. 

6. Dalam konteks ini, Perkara 153 tidak dimansuhkan secara undang-undang, tetapi dikosongkan fungsinya melalui amalan pentadbiran. 

7. Inilah bentuk penghakisan yang paling berbahaya kerana ia berlaku secara senyap, berlapik, dan sukar dicabar melalui mekanisme perlembagaan sedia ada.

8. Lebih penting, cadangan ini bukanlah idea baharu yang lahir secara neutral atau teknokratik. 

9. Ia merupakan misi ideologi jangka panjang parti Democratic Action Party (DAP) yang telah sekian lama diperjuangkan, kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan, dan seterusnya dibawa ke peringkat pelaksanaan dasar melalui kedudukan eksekutif kerajaan.

10. Agenda ini pernah dipromosikan secara terbuka oleh Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan kini diteruskan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan oleh Hannah Yeoh melalui pendekatan yang dilabel sebagai “kajian kebolehlaksanaan”.

11. Hakikat ini perlu ditegaskan kerana ia membuktikan bahawa cadangan pilihan raya PBT dan Datuk Bandar bukanlah reformasi pentadbiran yang bebas nilai, tetapi merupakan kesinambungan agenda politik yang konsisten dan berideologi, yang berhasrat mengubah struktur kuasa tempatan melalui mandat pilihan raya. 

12. Apabila sesuatu cadangan dasar lahir daripada manifesto parti dan diterjemahkan melalui kuasa menteri, ia tidak lagi boleh dianggap sebagai eksperimen akademik atau inisiatif pentadbiran semata-mata. 

13. Ia adalah projek politik yang membawa implikasi perlembagaan, demografi dan keseimbangan kuasa negara.

14. Dalam sistem Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tempatan bukan entiti politik berdaulat. Ia merupakan instrumen pentadbiran yang berfungsi di bawah kuasa kerajaan negeri atau Persekutuan. 

14. Kerajaan tempatan tidak memiliki mandat politik tersendiri, tidak dipilih oleh rakyat, dan tidak direka untuk menjadi medan persaingan kuasa. 

15. Pengenalan pilihan raya PBT atau pemilihan Datuk Bandar secara langsung akan mengubah sifat asas ini.

16. Mandat pilihan raya memberikan legitimasi politik, bukan sekadar legitimasi pentadbiran. 

17. Apabila legitimasi politik ini diwujudkan di peringkat bandar, ia secara langsung mencabar keseimbangan hubungan antara Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan, serta membuka ruang kepada tuntutan autonomi politik bandar yang bercanggah dengan semangat federalisme Perlembagaan.

18. Ancaman terhadap orang Melayu dalam konteks ini bukan bersifat spekulatif atau emosional, tetapi berpunca daripada realiti demografi bandar. 

19. Di kebanyakan bandar utama, orang Melayu bukan kumpulan majoriti dominan dalam konteks pengundian. Dalam sistem pilihan raya, angka menentukan kuasa. 

20. Pilihan raya PBT atau Datuk Bandar akan menyebabkan kepimpinan bandar ditentukan sepenuhnya oleh komposisi pengundi bandar, tanpa sebarang mekanisme imbangan nasional.

21. Akibatnya, orang Melayu berisiko kehilangan kawalan politik dan pentadbiran, termasuk peluang-peluang strategik berkaitan tender, permit, lesen, tanah dan kelulusan, melalui pemilihan Datuk Bandar di pusat-pusat bandar utama. 

22. Ini bukan hujah berasaskan sentimen kaum, tetapi kesan langsung matematik pilihan raya dalam ruang demografi yang tidak seimbang.

23. Atas sebab-sebab inilah, tidak wujud keperluan untuk sebarang kajian lanjut kerana asas perlembagaan, demografi dan struktur tadbir urus telah pun jelas. 

24. Cadangan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan atau pemilihan Datuk Bandar bukan sahaja wajar dipersoalkan, malah perlu ditolak sekeras-kerasnya demi mempertahankan keseimbangan perlembagaan negara, keadilan struktur dalam pentadbiran, serta kelangsungan peranan orang Melayu sebagai teras pembinaan negara.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Kampung Melayu Sungai Penchala sebagai tapak warisan Melayu di Tanah Melayu

 


“Mempertahankan warisan Melayu tidak seharusnya terhad kepada penggazetan kampung tertentu semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar perancangan bandar, pendidikan, seni bina, ekonomi dan pentadbiran negara secara menyeluruh.”
1. Kenyataan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang memberi jaminan untuk memelihara kampung tradisi Melayu khususnya Kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu, wajar diteliti secara lebih mendalam dan kritis.
2. Kenyataan tersebut pada zahirnya kelihatan bersifat inklusif dan progresif, namun pada masa yang sama membangkitkan persoalan asas yang menyentuh akar identiti dan falsafah kenegaraan Malaysia.
3. Pertamanya, Malaysia pada dasar sejarah dan perlembagaan merupakan Tanah Melayu, apakah keperluan sesebuah kampung Melayu digazetkan secara khususnya sebagai “tanah warisan Melayu”.
4. Adakah tindakan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa hanya kawasan tertentu sahaja yang layak diiktiraf sebagai warisan Melayu, sedangkan seluruh tanah air ini terbina atas sejarah, tamadun dan budaya Melayu?
5. Adakah tanah Melayu telah pupus, sehingga hanya beberapa bidang tanah sahaja yang masih “boleh diselamatkan” melalui pengiktirafan rasmi.
6. Ini mencerminkan satu kegagalan struktur dalam mempertahankan identiti asal negara dalam landskap pembangunan moden.
7. Apabila naratif pemeliharaan warisan Melayu ini digerakkan oleh seorang menteri daripada parti DAP, sebuah parti yang secara ideologi dan perlembagaan partinya, sering menekankan konsep kesamarataan ruang dan identiti.
8. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi bahawa tanah air ini sudah ditafsir sebagai sebuah ruang pelbagai kaum yang bersifat neutral, manakala identiti dan elemen Melayu pula dilokalisasikan serta dihadkan kepada “zon-zon tertentu”.
9. Pendekatan sedemikian menyerupai konsep little enclave dalam bandar kosmopolitan, seolah-olah penempatan Melayu atau “Malay town” di Malaysia disamakan dengan Chinatown di Eropah atau negara-negara Barat, bukannya sebagai identiti teras yang membentuk keseluruhan landskap sejarah, budaya dan kenegaraan negara ini.
10. Secara peribadi saya sedih bila kampung tempat tinggal saya sendiri diperjuangkan sebagai “warisan Melayu” oleh seorang menteri bukan Melayu.
11. Ini bukan bersifat perkauman, tetapi dimanakah 16 orang mantan-mantan Menteri Wilayah yang pernah dilantik? Tidakkah mereka berasa malu dengan seorang Menteri DAP yang memperjuangkan pembangunan warisan tapak melayu?
12. Mantan-mantan menteri Melayu telah gagal atau alpa dalam mempertahankan warisan Melayu secara tuntas dan menyeluruh.
13. YB Hannah Yeoh merupakan menteri bukan Melayu yang pertama.
14. with all due respect to YB Hannah Yeoh, Malaysia sebagai Tanah Melayu mempunyai asas warisan Melayu yang jauh melangkaui sempadan kampung, daerah atau negeri.
15. Warisan ini merentasi ruang bandar dan desa, meresap dalam struktur sosial, sistem nilai, bahasa, adat resam dan institusi masyarakat.
16. Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, konsep Tanah Melayu bukan sekadar satu istilah geopolitik, tetapi satu realiti peradaban yang membentuk asas masyarakat Malaysia moden.
17. Tanah ini merupakan ruang sejarah tempat berkembangnya bahasa Melayu, adat istiadat, kepercayaan serta sistem kemasyarakatan Melayu yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
18. Oleh itu, mempertahankan warisan Melayu tidak seharusnya terhad kepada penggazetan kampung tertentu semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar perancangan bandar, pendidikan, seni bina, ekonomi dan pentadbiran negara secara menyeluruh.
19. Malaysia bukan sekadar sebuah nama negara. Ia adalah Tanah Melayu, sebuah tanah yang sarat dengan nilai sejarah, seni bina tradisional, corak kehidupan sosial dan simbol-simbol komuniti Melayu.
20. Dalam era pembangunan bandar yang pesat, mempertahankan warisan ini menuntut lebih daripada pengiktirafan simbolik.
21. Ia memerlukan keberanian politik, kejelasan dasar dan komitmen nasional untuk memastikan identiti Melayu terus dibela dan diperkukuh, bukan sebagai artifak muzium, tetapi sebagai asas hidup kepada masa depan negara.
22. Komitment mempertahankan budaya dan identiti Melayu secara menyeluruh ini tidak mungkin akan dan boleh diperjuangkan oleh DAP wallahu a’lam
© all rights reserved
made with by templateszoo