Responsive Ad Slot

Showing posts with label Malam Cinta Legasi. Show all posts
Showing posts with label Malam Cinta Legasi. Show all posts

Malam Cinta Legasi: Sebuah Malam Menghargai Perjalanan Tun Dr. Mahathir & Tun Dr. Hasmah


Semalam 24 Ogos, saya berkesempatan menghadiri Malam Cinta Legasi bagi meraikan ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Hasmah, yang berlangsung penuh meriah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Hadirin mula memenuhi ruang dewan sejak jam 6.30 petang, namun saya bersama sahabat Haji Abdul Razak Aziz tiba selepas solat Maghrib. Seorang lagi sahabat, Dato’ Sri Ruslin Hassan, sepatutnya turut serta, tetapi tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke IJN akibat sakit dada. Syafakallah buat Dato’ Sri Ruslin, semoga diberikan kesembuhan yang segera.


Pada malam itu, saya mengenakan Baju Melayu hitam lengkap dengan tanjak. Tanjak ini dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Malam Cinta Legasi Tun Fiqa Mohammad, tetapi akhirnya saya seorang sahaja tetamu yang memakainya. Ini merupakan kali ketiga saya mengenakan tanjak; kali pertama dan kedua dahulu sewaktu saya bersanding. Tanjak hitam bersalut emas ini ditaja oleh sahabat saya Nasrul Amri Samsudin, dari Warisan Cenderawasih Global (No. Pendaftaran: 202303325296 – NS0291642-V).


Perasaan sebak hadir apabila menyaksikan montaj perjalanan hidup Tun Dr. Mahathir yang kini menjangkau usia 100 tahun. Montaj itu disediakan oleh Muniraa Abu Bakar. Begitu banyak detik suka duka perjuangan yang telah beliau lalui demi bangsa dan negara.


Acara dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional dan alunan lagu-lagu klasik, termasuk sebuah lagu ciptaan Tun Fiqa Mohammad berjudul Cinta Ini, Tinggal Di Sini yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada para hadirin.


Saya bertuah dapat duduk semeja dengan beberapa tokoh negara, antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Wira Marzuki Yahya, Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Ibrahim Shah, YB Waytha Moorthy, dan Rafique Rashid. Suasana di meja penuh dengan perbualan bermakna, mengenang sejarah serta membicarakan masa depan bangsa dan negara.


Jamuan makan malam pula amat menyelerakan, dengan pilihan nasi putih atau nasi minyak yang dihidangkan bersama rendang daging, kurma kambing, udang serta pelbagai sayur-sayuran.


Ucapan Tun pada malam itu benar-benar menyentuh hati. Beliau mengimbas kembali zaman mudanya, ketika bangsa Melayu sering dipandang rendah dan dihina oleh pihak British serta bangsa lain. Tun mengakui bahawa beliau tidak dapat menerima penghinaan itu, lalu menjadikan rasa maruah yang tercabar sebagai pemangkin utama perjuangannya. Semangat inilah yang mendorong beliau untuk mengubah nasib bangsa Melayu dan memperkasakan perjuangan agar bangsa ini berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia. 


Pengajaran terbesar daripada Tun adalah bahawa perjuangan bukan sekadar soal kuasa atau kedudukan, tetapi soal maruah bangsa dan harga diri. Walaupun beliau sudah berusia satu abad, semangat perjuangan untuk bangsanya masih terus berkobar. Video penuh ucapan Tun akan saya siarkan kemudian InnSya Allah.


Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan Negarawati di bawah pimpinan Hajjah Bibi Sunita Sukandar Khan, dengan Tun Dr. Mahathir sebagai penaung. Walaupun baru berusia dua tahun, Negarawati telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang menyentuh hati rakyat. Melihat montaj pencapaian Negarawati pada malam itu, saya merasa amat bangga. Bangga kerana pernah terlibat secara tidak langsung sejak penubuhannya, daripada sebuah idea kecil sehingga kini berkembang ke peringkat kebangsaan dan diterima oleh semua lapisan wanita.


Syabas dan tahniah kepada Hajjah Bibi, Tun Fiqa Mohammad serta seluruh barisan jawatankuasa Negarawati. Semoga pertubuhan ini terus maju, membawa aspirasi serta mengangkat jati diri bangsa Melayu ke persada yang lebih tinggi.



















© all rights reserved
made with by templateszoo