Semalam, sebelum menghadiri majlis Bacaan Yassin dan Tahlil Allahyarhamah Tun Dr Hasmah di Masjid Negara, saya berkesempatan bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiahkan senaskhah buku memoir PAHAMIN: Perjalanan Seorang Anak Bangsa.
Ketika itu, Tun baru sahaja selesai makan tengah hari bersama anakanda beliau, Datin Paduka Marina Mahathir, dan cucunya.
Saya berbesar hati dapat menyerahkan sendiri memoir Allahyarham ayahanda kepada Tun, yang turut sudi menyumbangkan Kata Pengantar bagi buku ini.
Sesungguhnya, Tun merupakan antara sumber inspirasi terbesar saya untuk menulis, menyusun dan menyempurnakan memoir peninggalan Allahyarham ayahanda. Sokongan dan kesudian Tun memberikan Kata Pengantar amat besar maknanya kepada saya.
Alhamdulillah, minggu ini proses percetakan telah selesai dan semua tempahan pra-jualan telah pun dihantar kepada pembeli.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dengan membuat tempahan dan membeli buku memoir ini.
Penerbitan edisi pertama ini amat bermakna kerana ia juga merupakan buku pertama hasil usaha penulisan dan penerbitan saya sendiri. Insya-Allah, ia menjadi titik permulaan kepada lebih banyak karya yang bakal menyusul.
Semoga kisah perjalanan hidup Allahyarham Pahamin Ab Rajab, daripada seorang anak desa sehingga berpeluang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara, dapat menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Bagi yang berminat mendapatkan buku memoir ini, boleh klik pautan -> https://www.arminbaniaz.com/p/pahamin.html
Terima kasih atas sokongan semua. Alhamdulillah.
Armin Baniaz Pahamin


No comments
Post a Comment
Stay Tuned~