Responsive Ad Slot

BERSATU PERLU JUJUR, PN PERLU TEGAS


BERSATU PERLU JUJUR, PN PERLU TEGAS
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Polemik mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN) tidak boleh terus dibiarkan tergantung. Secara peraturan, BERSATU mungkin masih menjadi anggota PN selagi belum ada keputusan rasmi badan tertinggi gabungan yang menggantung atau menamatkan keahliannya. Namun, keahlian dalam sesebuah gabungan politik tidak boleh dinilai berdasarkan kedudukan teknikal semata-mata. Ia juga menuntut kesetiaan kepada keputusan bersama, disiplin organisasi dan matlamat politik yang dipersetujui.

2. Contoh paling nyata berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan 2026 apabila BERSATU mengambil keputusan bertanding menggunakan lambangnya sendiri di 24 daripada 36 kerusi DUN setelah rundingan kerusi dengan PN gagal dimuktamadkan. Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan BERSATU bergerak secara solo, malah membawa kepada pertembungan dengan calon PN, termasuk di Serting, Ampangan, Paroi dan Bagan Pinang. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkannya sebagai tindakan bertanding menentang parti sendiri. 

3. Keputusan tersebut mempunyai akibat politik yang nyata. BERSATU gagal memenangi satu pun daripada 24 kerusi yang ditandinginya, malah kehilangan DUN Labu yang dimenangi sebelum itu. Kekalahan ini menunjukkan bahawa tindakan bergerak sendirian bukan sahaja memecahkan kekuatan pembangkang, tetapi turut mengecilkan ruang politik BERSATU sendiri. Dalam pilihan raya, kesetiaan kepada gabungan tidak diukur melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui rundingan kerusi, penggunaan lambang, penyelarasan calon dan kesediaan mengelakkan pertembungan sesama sendiri. 

4. Walau bagaimanapun, prinsip keadilan menuntut supaya BERSATU tidak dihukum hanya berdasarkan kenyataan individu, andaian politik atau tafsiran sebelah pihak. Jika Perlembagaan PN menetapkan proses tertentu untuk menggantung atau menamatkan keahlian sesebuah parti komponen, proses itu wajib dihormati. Sebuah gabungan yang mahu diberikan amanah mentadbir negara mesti terlebih dahulu membuktikan bahawa ia mampu menguruskan pertikaian dalamannya secara teratur, telus dan berperlembagaan.

5. Namun, hak kepada proses yang adil tidak memberikan BERSATU kebebasan untuk mengekalkan kedudukan yang kabur. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membayangkan pembentukan sebuah gabungan politik baharu, tetapi pada masa yang sama menegaskan bahawa BERSATU berhak kekal dalam PN kerana merupakan antara parti pengasasnya. Kedua-dua pendirian ini menimbulkan persoalan yang sah: adakah BERSATU mahu memperkukuh PN atau sedang menyediakan sebuah gabungan alternatif untuk menggantikannya?

6. BERSATU tidak boleh menuntut segala hak sebagai anggota PN, termasuk kedudukan dalam struktur gabungan dan ruang dalam rundingan kerusi, tetapi pada masa yang sama bertindak seolah-olah tidak lagi terikat dengan keputusan dan hala tuju bersama. Hak sebagai parti pengasas bukan lesen untuk bergerak dalam dua arah yang bertentangan. Sebuah parti tidak boleh meletakkan sebelah kaki dalam PN dan sebelah lagi dalam gabungan politik yang sedang dirancangnya sendiri.

7. Jika BERSATU masih mahu kekal dalam PN, parti itu mesti menyatakan komitmennya secara rasmi dan tanpa syarat yang mengelirukan. BERSATU perlu menjelaskan keputusannya bertanding menentang calon PN di Negeri Sembilan, menerangkan kedudukan sebenar cadangan pembentukan gabungan baharu serta memberikan jaminan bahawa tindakan sedemikian tidak akan berulang menjelang PRU16. Komitmen kepada gabungan mesti dibuktikan melalui tindakan, bukannya sekadar tuntutan terhadap hak keahlian.

8. Sebaliknya, jika BERSATU telah memilih untuk membentuk gabungan baharu dan bergerak menggunakan identiti politiknya sendiri, jalan yang lebih jujur dan bermaruah ialah meninggalkan PN secara tertib. Berpisah secara baik jauh lebih terhormat daripada mempertahankan keahlian secara teknikal sedangkan kepercayaan politik, disiplin bersama dan matlamat strategik sudah tidak lagi wujud. Politik matang menuntut keberanian untuk menerima akibat daripada pilihan yang dibuat.

9. BERSATU juga perlu bermuhasabah mengapa hubungannya dengan hampir semua rakan politik utamanya semakin terhakis. BERSATU pernah membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2020 dengan Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri melalui sokongan PAS, UMNO serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Setelah kerjasama dengan UMNO berakhir, PAS kekal sebagai rakan terpenting yang membantu BERSATU membina kekuatan PN. Apabila hubungan dengan PAS turut retak, BERSATU sebenarnya sedang kehilangan paksi utama yang selama ini menopang kedudukan politiknya.

10. Keputusan PRN Johor 2026 sepatutnya menjadi amaran tambahan. PN bertanding di 33 kerusi, termasuk 16 calon BERSATU dan 11 calon PAS, tetapi gagal memenangi satu kerusi pun. Kekalahan itu menunjukkan kelemahan PN yang memerlukan pembaikan menyeluruh, bukannya perpecahan yang lebih besar. Namun, selepas keputusan tersebut, BERSATU memilih untuk bergerak sendiri di Negeri Sembilan dan sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi. Dua keputusan berturut-turut itu memperlihatkan bahawa perpecahan dan kekeliruan strategi tidak menguntungkan BERSATU mahupun pembangkang. Sebaliknya, keadaan tersebut hanya memudahkan lawan politik.

11. Kembali kepada Pakatan Harapan juga bukan penyelesaian yang mudah. Sekiranya BERSATU kembali kepada PH tanpa penjelasan ideologi yang meyakinkan, langkah itu boleh dilihat sebagai bukti bahawa parti tersebut telah kehilangan landasan perjuangan dan hanya bergerak berdasarkan keperluan untuk terus bertahan. Hubungan semula dengan PH, khususnya DAP, juga berisiko menghakis baki sokongan Melayu yang selama ini menjadi asas politik BERSATU.

12. PN pula tidak boleh hanya menunggu BERSATU membuat keputusan. PN perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Disiplin yang bebas, mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memberikan tempoh munasabah kepada BERSATU untuk menjawab isu yang dibangkitkan. Antara perkara yang perlu dijelaskan ialah pertembungan dengan calon PN di Negeri Sembilan, penggunaan lambang sendiri, keputusan bertanding di luar penyelarasan calon PN serta cadangan membentuk gabungan politik baharu.

13. Setelah menilai fakta dan jawapan BERSATU, jawatankuasa tersebut boleh memperakukan tindakan berbentuk amaran, penggantungan atau penamatan keahlian kepada badan tertinggi PN, tertakluk kepada perlembagaan gabungan. Proses ini penting supaya sebarang keputusan tidak dilihat sebagai tindakan balas dendam politik atau percubaan mana-mana parti menguasai PN. Ketegasan mesti disertai keadilan, manakala keadilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan keputusan tanpa batas waktu.

14. Penyelesaian rasmi ini penting bukan semata-mata untuk menentukan nasib BERSATU, tetapi untuk memulihkan disiplin dan kredibiliti PN menjelang PRU16. Rundingan kerusi, penyelarasan jentera, pemilihan calon dan pembentukan strategi bersama tidak mungkin dilakukan dengan berkesan selagi status salah satu parti komponennya terus berada dalam keadaan separuh masuk dan separuh keluar. Pengundi juga berhak mengetahui siapakah yang benar-benar berada dalam PN dan siapakah yang sedang merancang haluan lain.

15. Sudah tiba masanya BERSATU memilih dan PN memutuskan. BERSATU berhak memperoleh proses yang adil, tetapi PN juga berhak menuntut kepastian, disiplin dan kesetiaan daripada setiap parti anggotanya. Politik yang matang bukan sekadar mempertahankan kedudukan berdasarkan peruntukan teknikal, tetapi berani bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri. Tidak boleh ada dua haluan, dua kesetiaan dan dua nakhoda dalam sebuah bahtera yang sama.

Dr Armin Baniaz Pahamin 
27.08.2026

JANGAN JADIKAN ANNUAR MUSA TERTUDUH MELALUI PERSEPSI


JANGAN JADIKAN ANNUAR MUSA TERTUDUH MELALUI PERSEPSI
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Sejak perkembangan terbaru kes berkaitan konsesi Menara Kuala Lumpur kembali mendapat perhatian, nama Tan Sri Annuar Musa sekali lagi dikaitkan dengan isu ini sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah beliau merupakan individu yang sedang dibicarakan.

2. Hakikatnya, beliau bukan tertuduh dalam kes ini. Pertuduhan yang sedang berjalan melibatkan individu dan syarikat lain yang masih belum dibuktikan bersalah di mahkamah. Dalam isu dakwaan rasuah, fakta undang-undang mesti didahulukan berbanding persepsi politik.

3. Paparan wajah dan nama Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu bersama angka RM7.5 juta berisiko membentuk persepsi bahawa beliau sendiri menerima wang tersebut, sedangkan itu bukan kedudukan pertuduhan yang sedang dibicarakan. Dalam politik, persepsi boleh dibentuk melalui tajuk dan imej, tetapi dalam undang-undang, seseorang mesti dinilai berdasarkan pertuduhan dan bukti.

4. Individu yang didakwa ialah Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, manakala Hydroshoppe turut didakwa sebagai entiti syarikat. Pertuduhan menyatakan bahawa satu tawaran RM500,000 setahun selama 15 tahun, berjumlah RM7.5 juta, didakwa dibuat sebagai dorongan berkaitan proses konsesi Menara KL. Kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan kes masih berjalan.

5. Penting untuk diperjelaskan bahawa Annuar Musa tidak didakwa menerima bayaran tersebut. Pertuduhan terhadap pihak lain menyebut tawaran berkenaan didakwa dibuat melalui pihak ketiga bagi manfaat beliau. Setakat ini, tiada keputusan mahkamah yang mendapati bahawa beliau meminta, bersetuju menerima atau menerima sebarang wang daripada tawaran tersebut.

6. Oleh itu, naratif bahawa beliau “menerima RM7.5 juta” tidak selari dengan pertuduhan sebenar. Jumlah tersebut merujuk kepada nilai keseluruhan tawaran yang didakwa, bukan wang yang terbukti diterima oleh Annuar Musa.

7. Dalam konteks undang-undang, dakwaan bahawa pihak lain cuba menawarkan sesuatu bagi manfaat seseorang tidak boleh secara automatik disamakan dengan penerimaan rasuah oleh orang yang dikatakan bakal menerima manfaat tersebut. Pengetahuan, permintaan, persetujuan dan penerimaan adalah persoalan fakta yang mesti dibuktikan melalui keterangan.

8. Dari sudut pentadbiran pula, konsesi Menara KL bukan ditentukan oleh seorang individu. Ia melibatkan proses kerajaan termasuk Kementerian Komunikasi, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) serta kelulusan di peringkat kerajaan yang lebih tinggi. Ini merupakan proses berlapis dan bukannya keputusan unilateral seorang menteri.

9. Sebagai Menteri Komunikasi ketika itu, Annuar Musa memang mempunyai peranan dalam proses penilaian dan cadangan. Namun, penglibatan pentadbiran tersebut tidak sama dengan mempunyai kuasa mutlak untuk menganugerahkan konsesi, apatah lagi dengan dakwaan menerima rasuah.

10. Beberapa syarikat dilaporkan telah dinilai dalam proses tersebut. Keputusan akhir pula melalui mekanisme kerajaan termasuk UKAS. Ini menunjukkan proses berkenaan tidak tertumpu kepada satu pihak sahaja dan tidak berada di bawah kuasa tunggal Menteri Komunikasi.

11. Sebagai perbandingan, proses RFP Menara KL pada 2024 menunjukkan UKAS membuka tender pada 5 Mac 2024 dan menutupnya pada 5 April 2024 sebelum keputusan diumumkan pada 29 Mei 2024 selepas penilaian lima pembida.

12. Sebaliknya, proses terdahulu selepas TM memutuskan tidak memperbaharui konsesi pada 2021 mengambil masa lebih panjang sebelum diselesaikan pada 2022. Perbandingan ini penting kerana tempoh sesuatu proses, sama ada cepat atau lambat, tidak dengan sendirinya membuktikan wujudnya layanan istimewa atau salah laku.

13. Perbicaraan kes ini dilaporkan akan melibatkan 29 saksi pendakwaan. Namun, jumlah saksi bukan ukuran kesalahan seseorang. Mahkamah akan menilai keterangan, dokumen serta keseluruhan bukti sebelum membuat keputusan.

14. Annuar Musa sendiri telah menyatakan bahawa beliau mungkin dipanggil sebagai saksi. Kedudukan ini perlu difahami dengan jelas: saksi bukan tertuduh. Jika dipanggil, seseorang saksi hadir untuk memberi keterangan dan membantu mahkamah mendapatkan gambaran sebenar, bukan kerana beliau telah didakwa melakukan kesalahan.

15. Berdasarkan pertuduhan yang ada, Annuar Musa tidak didakwa menerima RM7.5 juta, tidak didakwa meminta wang tersebut dan tidak berdepan apa-apa pertuduhan dalam kes ini. RM7.5 juta ialah nilai keseluruhan tawaran yang didakwa dibuat oleh pihak lain.

16. Sekiranya perbicaraan akhirnya menunjukkan bahawa beliau tidak menerima sebarang manfaat, tidak campur tangan secara tidak wajar dan proses kerajaan tetap berjalan mengikut saluran yang sah, maka fakta tersebut berpotensi menjadi penegasan terhadap integriti beliau ketika memegang jawatan, bukan sebaliknya.

17. Prinsip keadilan menuntut agar seseorang tidak dihukum melalui persepsi politik apabila beliau sendiri tidak didakwa dan belum ada dapatan mahkamah bahawa beliau menerima manfaat tersebut. Perbahasan terhadap beliau seharusnya berasaskan dasar, rekod dan fakta, bukannya andaian yang lahir daripada pertuduhan terhadap pihak lain.

18. Annuar Musa bukan tertuduh. Beliau tidak didakwa menerima RM7.5 juta dan tidak didakwa meminta wang tersebut. Yang didakwa ialah pihak lain atas suatu tawaran yang masih perlu dibuktikan di mahkamah. Jangan tukarkan pertuduhan terhadap orang lain menjadi sabitan politik terhadap Annuar Musa.

19. Biarlah mahkamah menentukan berdasarkan bukti. Dalam negara hukum, seseorang tidak boleh dijadikan pesalah hanya kerana gambarnya lebih laku daripada fakta kesnya.

Dr Armin Baniaz Pahamin


20.08.2026

JANGAN SEKADAR MANSUH AUKU, BEBASKAN JUGA CAMPUR TANGAN POLITIK DALAM UNIVERSITI


JANGAN SEKADAR MANSUH AKTA AUKU, BEBASKAN JUGA CAMPUR TANGAN POLITIK DALAM UNIVERSITI
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dinilai secara rasional dan bukan semata-mata mengikut garis politik. 

2. Saya tidak menolak usaha memberikan ruang demokrasi yang lebih luas kepada mahasiswa. Mahasiswa bukan kelompok yang harus ditakuti atau dikongkong daripada berfikir, bersuara dan berorganisasi. Namun, sebuah dasar yang melibatkan struktur asas pendidikan tinggi negara tidak boleh berhenti pada satu pengumuman politik. 

3. AUKU bukan sekadar mengawal kegiatan mahasiswa, tetapi turut menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti awam.

4. Persoalan yang perlu dijawab kerajaan ialah mengapa pemansuhan sebuah akta yang telah berusia lebih lima dekad diumumkan terlebih dahulu sedangkan kerangka selepas AUKU masih belum diperincikan kepada rakyat. 

5. Perdana Menteri mengumumkan bahawa cadangan pemansuhan itu akan dibawa ke Kabinet, manakala mahasiswa sendiri kini menuntut garis masa, proses perundangan dan kerangka pasca-AUKU yang jelas. 

6. Dasar pendidikan tinggi negara tidak seharusnya dibuat dengan pendekatan “umum dahulu, fikir kemudian.” Reformasi yang bertanggungjawab memerlukan kajian, konsultasi, pelan peralihan dan mekanisme tadbir urus yang diketahui sebelum sistem sedia ada dibongkar.

7. Lebih mengelirukan apabila Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan undang-undang baharu yang menyekat atau menekan gerakan mahasiswa selepas AUKU dimansuhkan. 

8. Prinsip kebebasan mahasiswa itu wajar disokong. Tetapi kebebasan mahasiswa dan keperluan mempunyai kerangka undang-undang bagi mentadbir universiti adalah dua perkara berbeza. 

9. Universiti tetap memerlukan struktur kuasa, tatakelola kewangan, mekanisme akauntabiliti, disiplin yang adil serta pembahagian tanggungjawab yang jelas antara kerajaan, lembaga universiti, senat, pentadbiran, akademik dan mahasiswa.

10. Justeru, kerajaan perlu menjelaskan apakah bentuk sebenar tadbir urus universiti awam selepas AUKU dimansuhkan. AUKU bukan sekadar menyentuh kegiatan dan kebebasan mahasiswa, tetapi turut menyediakan sebahagian penting kerangka perundangan bagi pentadbiran universiti, termasuk struktur Lembaga Pengarah Universiti, kedudukan dan kuasa Senat, kepimpinan universiti serta hubungan kuasa antara universiti dengan kerajaan. Siapakah yang akan melantik Naib Canselor? 

11. Bagaimanakah pula Lembaga Pengarah Universiti akan dibentuk? Apakah kedudukan dan kuasa Senat? Sejauh manakah kuasa Menteri Pendidikan Tinggi terhadap universiti akan dikekalkan atau dikurangkan? Dan apakah mekanisme baharu yang akan memastikan autonomi universiti disertai akauntabiliti serta semak dan imbang yang berkesan? 

12. Persoalan-persoalan ini perlu dijawab sebelum kerajaan meminta rakyat menerima bahawa pemansuhan AUKU dengan sendirinya merupakan suatu reformasi menyeluruh.

13. Malah, suara mahasiswa sendiri menunjukkan bahawa mereka tidak mahu pemansuhan AUKU dianggap sebagai hadiah politik daripada mana-mana kerajaan. UMANY menyifatkannya sebagai hasil perjuangan panjang gerakan mahasiswa dan menuntut supaya mahasiswa, ahli akademik, kakitangan universiti serta masyarakat sivil diberikan penglibatan bermakna dalam menentukan sistem baharu. 

14. Sekretariat Mansuh AUKU turut meminta garis masa yang jelas dan kerangka pasca-AUKU. Kerajaan MADANI harus menghormati tuntutan ini. Kebebasan mahasiswa tidak sepatutnya menjadi 
sesuatu yang “diberikan” oleh seorang Perdana Menteri kerana apa yang diberikan oleh kerajaan hari ini boleh ditarik semula oleh kerajaan yang lain pada masa hadapan.

15. Sebab itu reformasi sebenar mestilah lebih besar daripada pemansuhan AUKU. Jika kerajaan benar-benar percaya kepada kebebasan akademik, maka bebaskan juga universiti daripada campur tangan politik kerajaan. Proses pelantikan Naib Canselor dan kepimpinan universiti perlu telus, berasaskan merit dan dilindungi daripada kepentingan politik. 

16. Ahli akademik perlu bebas menjalankan penyelidikan dan mengemukakan pandangan ilmiah tanpa takut terhadap tekanan pentadbiran atau politik. Mahasiswa pula perlu diberikan ruang berorganisasi dan berbahas secara matang selagi tidak melanggar undang-undang negara.

17. Pada masa yang sama, autonomi tidak bermaksud universiti boleh beroperasi tanpa akauntabiliti. Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis sendiri mengingatkan bahawa autonomi mahasiswa perlu datang bersama checks and balances, dan kerangka selepas AUKU perlu memperincikan autonomi universiti, kebebasan akademik serta tadbir urus dengan jelas. 

18. Ini menunjukkan bahawa persoalan mengenai struktur selepas AUKU bukanlah serangan politik pembangkang terhadap kerajaan. Ia adalah persoalan dasar yang sah dan sedang dibangkitkan oleh masyarakat universiti sendiri.

19. Kerajaan seharusnya membentangkan Kertas Putih Reformasi Pendidikan Tinggi Pasca-AUKU sebelum pemansuhan dilaksanakan sepenuhnya. Kertas Putih itu hendaklah memperincikan model tadbir urus universiti, kebebasan akademik, hak mahasiswa, kaedah pelantikan kepimpinan universiti, autonomi kewangan, akauntabiliti terhadap dana awam dan mekanisme semak dan imbang. Ia juga perlu melalui konsultasi terbuka dengan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, alumni, pakar perlembagaan dan masyarakat sivil sebelum dibawa ke Parlimen. 

20. Reformasi yang baik bukan sekadar berani meruntuhkan sistem lama, tetapi mampu menunjukkan dengan jelas sistem yang lebih baik untuk menggantikannya.

21. Saya juga mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan pemansuhan AUKU sebagai satu lagi slogan Reformasi untuk mendapatkan tepukan politik. AUKU telah lama menjadi isu perjuangan mahasiswa dan janji politik pelbagai pihak. Kini apabila kerajaan mempunyai kuasa untuk melaksanakannya, ukurannya bukan lagi pada keberanian membuat pengumuman tetapi pada keberanian menyerahkan sebahagian kuasa kerajaan kepada institusi universiti. 

22. Jika Menteri masih mempunyai pengaruh besar terhadap kepimpinan universiti, jika ahli akademik masih takut bersuara dan jika mahasiswa masih boleh ditekan melalui mekanisme lain, maka pemansuhan AUKU hanya mengubah bentuk tanpa mengubah budaya.

23. Oleh itu, saya tidak mempertahankan AUKU semata-mata kerana kerajaan MADANI mahu memansuhkannya. Tetapi saya juga tidak akan memberikan cek kosong kepada kerajaan atas nama Reformasi. 

24. Kalau benar mahu memansuhkan AUKU, mansuhkan juga budaya campur tangan politik dalam universiti. Berikan kebebasan mahasiswa, lindungi kebebasan akademik dan bina autonomi universiti yang mempunyai semak dan imbang serta akauntabiliti yang kukuh. 

25. Persoalan sebenar bukan lagi sama ada AUKU perlu dimansuhkan. Persoalannya ialah: selepas AUKU dimansuhkan, adakah universiti kita benar-benar akan menjadi lebih bebas, atau hanya nama aktanya yang hilang sedangkan kuasa politik terhadap universiti kekal seperti dahulu?

Dr Armin Baniaz Pahamin
18.08.2026

BERSATU JANGAN TAKUT DENGAN BAYANG-BAYANG SENDIRI


BERSATU JANGAN TAKUT DENGAN BAYANG-BAYANG SENDIRI
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Kebelakangan ini, pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) begitu lantang mempersoalkan kedudukan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah PN telah membuat keputusan untuk menyingkirkan mereka. Pada hakikatnya, soal keahlian BERSATU tidak pernah pun dibincangkan atau diputuskan dalam mana-mana mesyuarat penuh kepimpinan tertinggi PN. Secara formal, BERSATU masih merupakan anggota PN. Setakat ini, belum ada keputusan rasmi Majlis Tertinggi PN yang menamatkan keahliannya. 

2. BERSATU juga perlu bertanya mengapa hubungan mereka dengan rakan-rakan dalam PN sampai ke tahap sekarang. Dalam rundingan kerusi Johor, tidak timbul masalah besar mengenai penyertaan BERSATU. Mereka diperuntukkan 16 kerusi berbanding PAS 11 kerusi. Ruang yang cukup besar telah diberikan untuk membuktikan kekuatan parti. Tetapi akhirnya BERSATU tewas di kesemua 16 kerusi yang ditandingi dan 10 calon kehilangan deposit. Apabila keputusan rakyat sudah begitu jelas, muhasabah sepatutnya bermula daripada prestasi sendiri.

3. Begitu juga di Negeri Sembilan. BERSATU bukan diketepikan daripada awal. Mereka terlibat dalam rundingan kerusi dan wakil mereka turut berada di meja perundingan. Malah apabila BERSATU hadir dengan tiga wakil walaupun keputusan mesyuarat tertinggi PN menetapkan dua wakil bagi setiap parti, kesemua mereka tetap dibenarkan menyertai mesyuarat. Apabila dimaklumkan terdapat perbincangan politik antara PAS dan UMNO, wakil BERSATU sendiri meminta rundingan ditangguhkan bagi membolehkan mereka merujuk kepimpinan parti. Permintaan itu diterima.

4. Keadaan hanya berubah apabila timbul persoalan mengenai kesahihan korum Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Dan perkara ini perlu disebut dengan jelas: persoalan tersebut bukan dibangkitkan oleh PAS atau PN. Ia dibawa kepada ROS oleh Ahli-Ahli Parlimen BERSATU sendiri selepas beberapa pemecatan, penggantungan dan kekosongan dalam kepimpinan tertinggi parti. Maka sebelum menuduh pihak luar mempunyai agenda terhadap BERSATU, parti itu perlu bertanya mengapa pemimpinnya sendiri merasakan perkara tersebut perlu dirujuk kepada ROS.

5. Susulan persoalan itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menulis kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meminta penjelasan mengenai kedudukan tersebut. Ini suatu langkah pentadbiran yang munasabah. Apabila kesahihan badan tertinggi sesebuah parti sedang dipersoalkan, PN tentunya perlu mendapatkan kepastian sebelum meneruskan urusan rasmi yang melibatkan keputusan parti berkenaan. 

6. Namun sehingga tiba masa untuk mesyuarat rundingan berikutnya diadakan, penjelasan yang diminta itu masih belum diterima oleh PN.

7. Dalam keadaan itu, BERSATU tidak dipanggil ke mesyuarat rundingan kerusi berikutnya. Tetapi ia tidak harus disalahertikan sebagai bukti bahawa BERSATU telah dibuang daripada PN. Mesyuarat tersebut bukan mesyuarat untuk menentukan status keahlian BERSATU dan bukan keputusan rasmi untuk menyingkirkan mereka. BERSATU kemudiannya memilih jalannya sendiri dengan bertanding 24 kerusi di Negeri Sembilan menggunakan logo sendiri. Hasilnya, tidak satu pun kerusi berjaya dimenangi, malah 23 daripada 24 calonnya kehilangan deposit.

8. Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa BERSATU telah “gugur secara automatik” juga perlu dilihat dalam konteks politik dan moral, bukan sebagai keputusan rasmi PN. BERSATU sendiri beberapa kali menyatakan kemungkinan membentuk jajaran baharu dan kemudian memilih untuk bertanding secara berasingan, termasuk bertanding di kerusi yang turut melibatkan calon daripada PN atau rakan dalam kerjasama politik PN-BN. Jika sebuah parti bercakap tentang jajaran lain dan kemudian bertanding menentang rakan sendiri, adalah munasabah apabila komitmennya kepada gabungan mula dipersoalkan.

9. Sebab itu agak pelik apabila BERSATU kini membangkitkan soal kuasa veto Presiden PAS dan membawa pertikaian ini kepada ROS. Persoalannya mudah: veto terhadap keputusan yang mana? Setakat ini, tidak ada keputusan rasmi Majlis Tertinggi PN pun yang memecat BERSATU. Pandangan politik seorang Presiden parti tidak dengan sendirinya menjadi keputusan rasmi sebuah gabungan.

10. Muhasabah BERSATU sepatutnya bermula dengan beberapa soalan yang lebih penting. Mengapa Ahli Parlimennya sendiri mempersoalkan korum kepimpinan parti? Mengapa penjelasan yang diminta PN masih belum diterima ketika rundingan hendak diteruskan? Mengapa kesemua 16 kerusi yang ditandingi di Johor kalah? Mengapa 24 kerusi yang ditandingi di Negeri Sembilan juga gagal menghasilkan satu kemenangan? Dan mengapa hubungan dengan rakan-rakan politik semakin sukar? 

11. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini lauh lebih penting daripada mencari siapa yang hendak dipersalahkan dan juga untuk melakar masa depan parti.

12. BERSATU juga perlu memahami bahawa menjadi anggota sesuatu gabungan dan menjadi parti yang relevan dalam gabungan itu adalah dua perkara berbeza. Keahlian mungkin ditentukan oleh perlembagaan dan prosedur, tetapi relevansi politik ditentukan oleh kekuatan di lapangan, keupayaan memenangi kerusi, keyakinan rakan-rakan dan sokongan pengundi. Inilah persoalan yang sepatutnya lebih membimbangkan BERSATU hari ini.

13. BERSATU perlu menerima bahawa politik tidak boleh dibina dengan sentiasa mencari musuh di luar apabila masalah di dalam rumah sendiri belum diselesaikan. Sebelum menuduh PN, PAS atau mana-mana pihak cuba meminggirkan BERSATU, lihat dahulu ke dalam cermin. Muhasabah kepimpinan, perbaiki organisasi, nilai kembali strategi dan dengarlah mesej yang telah disampaikan oleh pengundi. 

14. Jangan sampai BERSATU terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga setiap persoalan yang lahir daripada masalah dalamannya dianggap sebagai konspirasi pihak luar. Keahlian dalam sesuatu gabungan mungkin boleh dipertahankan melalui perlembagaan dan prosedur, tetapi relevansi politik tidak boleh dituntut melalui surat, aduan atau kenyataan media. Ia mesti diperoleh melalui kepercayaan rakan, kekuatan organisasi dan, akhirnya, sokongan rakyat. 

15. Dalam politik, bukan siapa yang paling kuat membuat tuduhan yang menentukan relevansi sebuah parti, tetapi siapa yang masih mendapat kepercayaan rakyat.

Dr Armin Baniaz Pahamin
12.08.2026

KONTRAK THiJARI: DAP DAN PH PERLU MENJAWAB, BUKAN SEKADAR MENAFIKAN


KONTRAK THiJARI: DAP DAN PH PERLU MENJAWAB, BUKAN SEKADAR MENAFIKAN
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Pendedahan mengenai kontrak bernilai kira-kira RM4.53 juta yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji kepada Cyber Village Sdn Bhd bagi pembangunan platform THiJARI pada penghujung tahun 2019 menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan proses perolehan sebuah institusi yang mengurus amanah simpanan lebih sembilan juta pendeposit.

2. Rakyat berhak mengetahui sama ada proses perolehan tersebut benar-benar telus dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

3. Cyber Village mempunyai hubungan sejarah dengan Tony Pua, yang merupakan salah seorang pengasas syarikat itu sebelum meninggalkannya pada tahun 2007. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mendakwa beliau masih memiliki syarikat tersebut atau menerima manfaat daripada kontrak THiJARI pada tahun 2019 tanpa bukti. 

4. Namun, kedudukan beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan ketika kontrak itu diberikan boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan yang sewajarnya diperjelaskan demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti proses tersebut.

5. Persoalan utama bukan sama ada Tony Pua masih mempunyai saham, tetapi sama ada proses perolehan tersebut benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh atau campur tangan politik. Jika terdapat dakwaan bahawa beliau, pejabat Menteri Kewangan atau mana-mana tokoh politik PH mempunyai penglibatan secara langsung atau tidak langsung, dakwaan itu hendaklah disokong dengan bukti dan dijelaskan melalui pendedahan dokumen, bukannya penafian semata-mata.

6. DAP selama ini menampilkan dirinya sebagai parti yang memperjuangkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik. Oleh itu, rakyat berhak mengharapkan standard yang sama diterapkan apabila persoalan timbul melibatkan individu yang mempunyai hubungan dengan kepimpinannya.

7. Prinsip ini seharusnya terpakai kepada semua kerajaan dan semua parti politik. Apabila wang awam atau institusi yang memegang amanah rakyat terlibat, standard ketelusan tidak boleh berubah mengikut siapa yang memegang kuasa.

8. Tabung Haji dan kerajaan perlu mendedahkan kaedah perolehan yang digunakan, syarikat yang dipelawa, kriteria penilaian, markah teknikal dan kewangan, identiti jawatankuasa penilaian serta pihak yang memberikan kelulusan akhir. Hanya dengan ketelusan sedemikian keyakinan pendeposit dapat dipulihkan.

9. Kerajaan juga perlu menjelaskan mengapa Theta Edge Berhad, anak syarikat Tabung Haji yang beroperasi dalam bidang teknologi maklumat, tidak dipilih atau tidak diberikan peranan utama. 

10. Sekiranya terdapat kekangan dari segi kepakaran, kapasiti atau pensijilan keselamatan, penjelasan tersebut wajar didedahkan supaya rakyat memahami asas keputusan tersebut.

11. Penjelasan tersebut penting bagi memastikan keputusan itu benar-benar dibuat berdasarkan merit, keupayaan teknikal dan kepentingan terbaik Tabung Haji.

12. Pada masa yang sama, keselamatan data jutaan pendeposit Tabung Haji tidak boleh dipandang ringan. Rakyat berhak mengetahui bagaimana data mereka dilindungi, di mana ia disimpan, siapa yang mempunyai akses, dan apakah audit keselamatan bebas telah dijalankan bagi memastikan tiada risiko penyalahgunaan.

13. Isu ini tidak seharusnya dipolemikkan atas dasar kaum atau agama. Kepakaran teknologi tidak ditentukan oleh latar belakang pemilik syarikat. Namun sebagai institusi ekonomi umat Islam, Tabung Haji mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan keupayaan teknologi tempatan selagi ia mampu memenuhi keperluan teknikal dan keselamatan.

14. Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya pentadbiran yang meminta rakyat menerima sesuatu keputusan tanpa memberikan maklumat yang mencukupi. Ketelusan tidak boleh menjadi slogan ketika menjadi pembangkang tetapi diketepikan apabila memegang tampuk pemerintahan.

15. Jika benar tiada campur tangan politik, maka tiada sebab untuk dokumen berkaitan proses perolehan ini terus dirahsiakan. Sebaliknya, jika wujud sebarang komunikasi, arahan atau konflik kepentingan yang tidak diisytiharkan, perkara tersebut mesti disiasat secara bebas. 

16. Integriti bukan sekadar slogan politik. Integriti ialah kesediaan untuk membenarkan setiap keputusan diperiksa, dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.

17. Dalam isu yang melibatkan amanah simpanan lebih sembilan juta pendeposit, ketelusan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kewajipan. Jika benar tiada apa yang hendak disembunyikan, maka pendedahan penuh adalah jawapan terbaik.

~ Dr Armin Baniaz Pahamin
07.06.2026

PRN JOHOR DAN NEGERI SEMBILAN: ADAKAH PENYATUAN MELAYU SEDANG MEMBUAHKAN HASIL?


PRN JOHOR DAN NEGERI SEMBILAN: ADAKAH PENYATUAN MELAYU SEDANG MEMBUAHKAN HASIL?
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Keputusan Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan mungkin akan dikenang sebagai detik yang menandakan bermulanya satu fasa baharu dalam politik Malaysia. Jika selama ini perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu dianggap lumrah, kedua-dua pilihan raya ini memberi petunjuk bahawa kerjasama politik yang lebih tersusun mungkin mula menghasilkan kesan yang nyata. Walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad, corak yang muncul wajar diberikan perhatian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.

2. Di Johor, kemenangan besar Barisan Nasional sememangnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk prestasi pentadbiran negeri, kepimpinan, kekuatan jentera serta strategi pilihan raya. Namun, antara faktor yang wajar diberikan perhatian ialah disiplin penyokong Perikatan Nasional, khususnya PAS, yang akur kepada keputusan parti untuk memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi oleh PAS. Dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, disiplin pengundi seperti ini mampu memberi kesan yang signifikan terhadap keputusan pilihan raya.

3. Walaupun tiada data rasmi yang dapat mengukur sejauh mana perpindahan undi tersebut berlaku, corak keputusan di Johor menunjukkan bahawa penyelarasan sokongan antara parti-parti Melayu berkemungkinan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional. Pada masa yang sama, ia memperlihatkan kekuatan organisasi PAS serta keupayaan parti itu menterjemahkan keputusan kepimpinan kepada tindakan yang tersusun di peringkat akar umbi.

4. Negeri Sembilan pula mengukuhkan lagi pemerhatian tersebut. Walaupun keputusan di negeri itu turut dipengaruhi oleh prestasi pentadbiran, calon dan isu-isu tempatan, corak kerjasama politik antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di beberapa kawasan memperlihatkan bahawa usaha mengelakkan perpecahan undi Melayu semakin diterima sebagai satu pendekatan strategik. Jika Johor menjadi petunjuk awal, Negeri Sembilan menunjukkan bahawa pendekatan ini bukan lagi satu kes terpencil.

5. Pada pandangan saya, antara perkembangan politik yang paling menarik sejak beberapa bulan kebelakangan ini ialah usaha penyatuan orang Melayu yang digerakkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama pelbagai tokoh politik dan pertubuhan masyarakat. Walaupun mustahil untuk mengukur sejauh mana pengaruhnya secara statistik, perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan memberi petunjuk bahawa mesej mengenai keperluan mengurangkan perpecahan politik Melayu mungkin mula mendapat perhatian dalam kalangan sebahagian pengundi dan pemimpin politik.

6. Sudah tentu keputusan pilihan raya tidak pernah ditentukan oleh satu faktor sahaja. Prestasi pentadbiran, kredibiliti calon, keadaan ekonomi, isu tempatan dan kekuatan jentera parti turut memainkan peranan yang besar. Namun begitu, corak yang muncul dalam kedua-dua pilihan raya ini memberi asas yang munasabah untuk meneliti sama ada kerjasama politik Melayu sedang memasuki satu fasa baharu yang berpotensi mengubah dinamik politik negara.

7. Pada hemat saya, pemenang terbesar daripada sudut keputusan pilihan raya ialah Barisan Nasional. Kejayaan memperoleh kemenangan yang besar di Johor dan prestasi memberangsangkan di Negeri Sembilan membuktikan bahawa gabungan tersebut masih mempunyai keupayaan untuk meraih keyakinan pengundi apabila menawarkan kepimpinan yang diyakini, pentadbiran yang stabil dan strategi pilihan raya yang berkesan. Hakikat ini diterjemahkan dengan jelas melalui keputusan rasmi pilihan raya.

8. Pemenang dari sudut strategik pula ialah kerjasama politik Melayu. Walaupun ia bukan sebuah parti politik dan kesannya masih terlalu awal untuk diukur secara muktamad, Johor dan Negeri Sembilan memberi petunjuk bahawa usaha mengurangkan pertembungan sesama parti-parti Melayu mula diterjemahkan dalam bentuk kerjasama yang lebih pragmatik. Sekiranya corak ini berterusan, ia berpotensi menjadi antara faktor penting yang membentuk landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.

9. Dalam masa yang sama, PAS muncul sebagai pemenang dari sudut organisasi. Walaupun tidak bertanding di semua kerusi, parti itu memperlihatkan kekuatan jentera, disiplin penyokong dan keupayaan melaksanakan strategi yang diputuskan oleh kepimpinan. Dalam politik, kekuatan sesebuah parti bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi juga melalui keupayaannya mempengaruhi keputusan di kerusi yang tidak ditandinginya.

10. Pihak yang paling rugi dalam pilihan raya ini bukan sekadar Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan politik. Yang lebih besar kerugiannya ialah politik yang bergantung kepada perpecahan undi Melayu. Sekiranya corak kerjasama yang mula kelihatan di Johor dapat diteruskan dan diperluaskan, strategi lama yang memanfaatkan pertandingan sesama parti Melayu mungkin semakin sukar untuk dipertahankan. 

11. Ini merupakan cabaran terbesar Pakatan Harapan kerana buat pertama kalinya mereka berdepan kemungkinan berlakunya penyatuan pengundi Melayu secara lebih tersusun.

12. Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16, semua parti politik perlu mengambil iktibar daripada keputusan ini. Rakyat semakin matang dalam membuat pilihan. Mereka bukan sahaja menilai prestasi dan kestabilan pentadbiran, malah semakin memahami nilai kerjasama strategik dalam menentukan hala tuju negara. 

13. Sekiranya corak yang mula kelihatan di Johor dan Negeri Sembilan benar-benar berkembang menjadi satu gelombang nasional, sejarah mungkin akan mencatat bahawa usaha penyatuan orang Melayu yang dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sekadar satu gagasan politik, tetapi titik tolak kepada penyusunan semula landskap politik Malaysia. Sama ada ia menjadi titik perubahan yang berkekalan atau sekadar fenomena sementara, hanya rakyat yang akan menentukan jawapannya melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum Ke-16.

~Dr Armin Baniaz Pahamin
© all rights reserved
made with by templateszoo