Responsive Ad Slot

Slider

Berita Harian: Ugutan negara kuasa besar, ekonomi Malaysia tidak akan terkesan - Penganalisis

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin (kiri) dan Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - Foto FB

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin (kiri) dan Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - Foto FB

Ugutan negara kuasa besar, ekonomi Malaysia tidak akan terkesan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka tidak akan terkesan dengan tekanan dalam bentuk teguran serta ugutan, susulan kenyataan tegas dan konsisten Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dizalimi rejim zionis Israel.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin, berkata Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada telunjuk negara-negara Barat dan harus merapatkan saf dalam kepentingan hal ehwal ekonomi, bersama negara-negara Islam.

Beliau berkata, sekiranya negara Islam bersatu, ia akan lebih menggugat kestabilan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memandangkan negara Islam di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menguasai 17.79 peratus gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

"Ekonomi Malaysia ketika ini terjejas akibat daripada pengurusan dan pentadbiran kerajaan yang tidak cekap. Sebelum peperangan di Palestin, hala tuju ekonomi kita masih tidak menentu 

"Pemulihan ekonomi negara perlu dipandu bukan sahaja dari segi dasar tetapi lebih penting dari segi pelaksanaan dan tadbir urus. Ekonomi Malaysia perlu dipandu dengan memperkenalkan industri baharu yang boleh memperkasa sektor dan industri tertentu yang bakal menjana pendapatan kepada negara bagi jangka pendek dan panjang melalui wawasan yang jelas.

"Peruntukan untuk sektor dan industri yang dipandu perlu disediakan dengan cukup supaya sektor dan industri ini boleh dibangunkan untuk manfaat ekonomi kita pada masa hadapan," katanya kepada BH, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau menerima tekanan dalam bentuk teguran dan ugutan namun menegaskan, negara berkenaan salah pilih orang kerana beliau bukan sosok yang mudah dikawal dan dipengaruhi pihak terbabit.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula berkata, tiada kesan yang ketara terhadap ekonomi negara apabila ugutan sedemikian wujud.

"Ini kerana kerana kebanyakan rakan dagang Malaysia adalah di rantau Asia seperti China, Singapura dan negara-negara ASEAN yang lain, termasuk Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

"Negara kita juga tidak bergantung kepada satu sektor ekonomi sahaja dan tidak bergantung kepada satu rakan dagang sahaja. Ini menyebabkan ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya saing walaupun kita lantang dalam isu Palestin," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kawalan keselamatan khususnya terhadap Perdana Menteri, harus ditingkatkan susulan ugutan berlangsung.

"Menteri Dalam Negeri boleh mempertingkatkan kawalan keselamatan terhadap Perdana Menteri, manakala pegawai imigresen dan keselamatan lain juga harus mengawal pintu sempadan dengan lebih ketat," katanya.

Artikel asal di: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1171909/ugutan-negara-kuasa-besar-ekonomi-malaysia-tidak-akan-terkesan 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo