Responsive Ad Slot

Slider

MADANI Janji Reformasi. Malaysia Dapat Kestabilan Dengan Kos Yang Mahal.


1. Kerajaan MADANI tidak terbentuk hasil kemenangan majoriti tunggal dalam Pilihan Raya Umum 2022. Pilihan raya tersebut menghasilkan Parlimen tergantung.

2. Kerajaan hanya dapat dibentuk selepas rundingan antara parti-parti politik serta pembentukan gabungan perpaduan yang akhirnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat ditubuhkan.

3. Ini bermakna pentadbiran baharu sejak awal lagi berdiri di atas asas kompromi politik dan keseimbangan gabungan, bukan mandat jelas daripada satu blok dominan.

4. Namun rakyat Malaysia pada 2022 tidak sekadar mengundi untuk melihat sistem kekal seperti biasa. Rakyat mengundi dengan harapan akan wujud perubahan sebenar.

5. Rakyat mahukan reformasi institusi, pembetulan ekonomi, serta pemulihan keyakinan terhadap tadbir urus negara selepas tempoh ketidakstabilan politik yang panjang.

6. Kerajaan MADANI tampil dengan naratif besar bahawa ia bukan sekadar mahu mentadbir, tetapi mampu memulihkan kekuatan institusi negara, memperbetulkan trajektori ekonomi dan mengembalikan maruah pentadbiran nasional.

7. Walaupun lahir daripada konfigurasi gabungan yang kompleks, ia tetap dipersembahkan sebagai titik perubahan yang kononnya akan menamatkan era ketidaktentuan politik Malaysia.

8. Lebih dua tahun kemudian, Malaysia memang memperoleh kestabilan politik. 

9. Parlimen tidak lagi bergolak. Kerajaan tidak lagi tumbang secara “tebuk atap” setiap beberapa bulan. Kabinet kekal dan pentadbiran berjalan.

10. Kestabilan memang dicapai, tetapi kestabilan itu datang bersama harga struktur yang semakin jelas.

11. Dalam politik gabungan, kuasa tidak hilang secara dramatik. 

12. Ia berpindah sedikit demi sedikit melalui kompromi yang kelihatan kecil tetapi membawa kesan besar kepada negara. 

13. Pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sejak awal pentadbiran menjadi simbol paling nyata kepada kestabilan berasaskan kompromi kuasa.

14. Ketika pelantikan dibuat, beliau masih berdepan 47 pertuduhan mahkamah yang kemudiannya diberikan pelepasan tanpa pembebasan sebelum kes tersebut dihentikan sepenuhnya.

15. Dari sudut undang-undang, proses berjalan dalam kerangka sedia ada. Namun dari sudut politik, mesejnya jauh lebih besar.

16. Sebuah kerajaan yang dibina atas janji reformasi akhirnya bergantung kepada rakan kuasa yang dibayangi kontroversi undang-undang.

17. Rakyat menilai simbol lebih daripada dokumen mahkamah. Persepsi terbentuk melalui apa yang dilihat, bukan melalui penjelasan teknikal.

18. Di Malaysia Timur, kestabilan kerajaan pusat semakin berkait rapat dengan rundingan kuasa negeri. Rundingan bukan sekadar soal minyak atau gas, tetapi soal bagaimana kuasa ekonomi negara diagihkan dalam landskap politik yang rapuh.

19. Di Semenanjung, realiti pengurusan gabungan menuntut kerajaan menyesuaikan diri dengan pelbagai agenda rakan politik yang membawa kepentingan komuniti masing-masing. 

20. Isu seperti pengiktirafan UEC, pilihan raya kerajaan tempatan, serta pelbagai tuntutan dasar dan peruntukan kewangan sering muncul sebagai bahan rundingan berterusan dalam kerajaan, khususnya oleh DAP. 

21. Dalam masa yang sama, pertikaian berkaitan rumah ibadat, termasuk kuil Hindu di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan, turut menjadi isu politik berulang yang menuntut penyelesaian dan perlindungan kepada komuniti terlibat.

22. Sebaliknya, masyarakat Melayu tidak menuntut apa-apa perkara atau keistimewaan baharu tetapi hanya mempertahankan kedudukan Bumiputera yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menurut persepsi mereka semakin terdedah kepada tafsiran baharu. 

23. Malah, sebahagian masyarakat Melayu melihat keadaan mereka semakin tertekan di bawah pentadbiran MADANI, khususnya berkaitan pendekatan penguatkuasaan terhadap isu yang sering dilabel sebagai 3R (Race, Religion dan Royalty).

24. Pendekatan penguatkuasaan 3R ini mula mendapat perhatian meluas dalam wacana politik nasional sejurus Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Proklamasi Orang Melayu. Proklamasi ini bertujuan membangkitkan isu-isu kebajikan serta cabaran khusus yang dihadapi masyarakat Melayu.

25. Dalam kalangan sebahagian masyarakat, wujud tanggapan bahawa perbincangan terbuka mengenai isu berkaitan kedudukan dan masa depan orang Melayu semakin sukar dilakukan tanpa risiko tindakan.

26. Dalam politik demokrasi, setiap komuniti mempunyai wakil yang mempertahankan kepentingan mereka. Persoalannya, jika orang Melayu sendiri semakin terhad untuk bercakap tentang kedudukan dan kebajikan bangsa mereka, siapakah yang akan memperjuangkannya. 

27. Dalam masa yang sama, parti seperti DAP terus lantang membawa isu komuniti Cina, sementara sebahagian ahli politik India tidak teragak-agak memperjuangkan isu komuniti India dan penganut Hindu. 

28. Maka kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Melayu bukan sekadar retorik, tetapi mencerminkan persoalan asas tentang keseimbangan perwakilan dalam politik negara.

29. Inilah realiti politik kerajaan MADANI hari ini. Setiap parti dalam gabungan kelihatan konsisten membawa agenda komuniti masing-masing, manakala UMNO sebagai parti teras Melayu dalam kerajaan dilihat lemah dalam memperjuangkan isu Melayu secara terbuka, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan sebahagian penyokongnya.

30. Dalam suasana inilah Tun Dr Mahathir Mohamad tampil menyeru penyatuan masyarakat Melayu di bawah satu “payung besar”, dengan menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu di Tanah Melayu perlu diperkukuh dalam menghadapi perubahan landskap politik nasional.

31. Seruan ini muncul dalam suasana kebimbangan sebahagian masyarakat terhadap arah politik semasa.

32. Dari sudut ekonomi, kerajaan boleh menunjukkan angka pertumbuhan, pelaburan dan kestabilan makro. 

33. Semua itu penting, dan tidak boleh dinafikan.

34. Tetapi rakyat marhaen, rakyat biasa tidak hidup dalam laporan ekonomi.

35. Rakyat hidup dengan harga barang, bayaran sewa rumah, kos pengangkutan dan gaji bulanan. 

36. Selagi tekanan kos sara hidup kekal tinggi, selagi itulah angka pertumbuhan ekonomi tidak membawa apa-apa makna.

37. Isu berkaitan kedudukan Bumiputera di bawah Perkara 153 adalah amat sensitif dalam ruang politik gabungan. 

38. Walaupun Perkara tersebut tidak dipinda secara rasmi, tekanan agenda meritokrasi, tuntutan pendidikan tertentu serta wacana keterangkuman yang tidak disertai jaminan dasar yang jelas telah membuka ruang kepada tafsiran baharu terhadap prinsip pemeliharaan hak.

39. Dalam persepsi sebahagian masyarakat, tafsiran ini bukan sekadar perubahan pendekatan, tetapi dilihat berpotensi menghakis kepentingan bangsa Melayu secara perlahan dan tidak langsung.

40. Dalam politik Malaysia, persepsi mengenai kontrak sosial selalunya memberi kesan lebih besar kepada legitimasi berbanding perubahan undang-undang sebenar.

41. Persepsi terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu juga semakin menjadi isu sensitif dalam landskap politik semasa, khususnya apabila wujud tanggapan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong atau Sultan tidak sentiasa diterjemahkan secara jelas dalam tindakan pentadbiran. 

42. Dalam sejarah politik Malaysia, hubungan antara orang Melayu dan institusi Raja-Raja bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan teras kepada struktur kenegaraan. 

43. Polemik kebelakangan ini termasuk isu pelaksanaan titah adendum tambahan Yang di-Pertuan Agong dalam kes Datuk Seri Najib Razak serta perdebatan mengenai pelaksanaan titah Sultan Selangor berkaitan operasi perladangan babi telah menambah sensitiviti awam terhadap garis pemisah antara perdebatan politik dan penghormatan institusi diraja. 

44. Dalam keadaan sedemikian, persepsi bahawa titah diraja tidak diterjemahkan sepenuhnya dalam tindakan pentadbiran mudah mencetuskan reaksi patriotik dalam kalangan masyarakat Melayu serta memberi implikasi terhadap perpaduan nasional.

45. Kerajaan juga tahu subsidi perlu disusun semula. Kerajaan tahu fiskal perlu diperkuat. Tetapi setiap langkah besar dalam reformasi ekonomi membawa risiko politik. Justeru, keputusan sering dibuat secara perlahan dan berhati-hati. 

46. Dalam politik, ini boleh difahami. Tetapi ia juga menunjukkan bahawa kestabilan gabungan kekal menjadi pertimbangan utama melangkaui dasar besar negara.

47. Dalam ekonomi terbuka, persepsi kadang-kadang lebih kuat daripada angka sebenar.

48. Kestabilan politik hari ini pada hakikatnya memastikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tokoh yang menunggu lebih dua dekad sebagai Prime Minister-in-waiting sebelum akhirnya menjadi Perdana Menteri untuk terus kekal di puncak kuasa, sementara gabungan sedia ada mengekalkan pemerintahan.

49. Dalam keadaan sedemikian, kestabilan politik bukan lagi sekadar soal pentadbiran, tetapi soal kelangsungan struktur kuasa.

50. Sebuah kerajaan boleh bertahan lama dengan kestabilan, tetapi hanya perubahan sebenar yang menentukan bagaimana ia akan diingati dalam sejarah.

51. Apabila kompromi politik menjadi asas utama pentadbiran, dasar negara perlahan-lahan berubah daripada visi jangka panjang kepada pengurusan kelangsungan kuasa.

52. Semua ini membawa kepada satu kesimpulan yang sukar dielakkan. Kerajaan MADANI berjaya menstabilkan sistem dan kekal berkuasa. Tetapi kestabilan itu datang dengan kompromi kuasa, rundingan berterusan dan harga politik yang amat mahal.

53. Dalam sejarah negara, kerajaan tidak diingati kerana berjaya bertahan. Kerajaan diingati kerana berjaya mengubah keadaan.

54. Apabila kestabilan tidak lagi menjadi alat reformasi tetapi berubah menjadi matlamat politik, arah masa depan negara bergantung kepada pilihan rakyat. 

55. Adakah Pilihan Raya Umum ke-16 akan menyaksikan perubahan landskap politik melalui penyatuan Melayu di bawah satu payung besar, atau Pakatan Harapan akan terus mengekalkan kuasa?

56. Keputusan kini di tangan rakyat.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo