Ada kehilangan yang kita rasakan sebagai kehilangan seorang tokoh negara. Tetapi ada juga kehilangan yang terasa jauh lebih dekat, seolah-olah kita kehilangan seseorang daripada keluarga sendiri.
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggalkan rasa yang sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata.
Saya mengenali Tun secara agak peribadi. Di sebalik sosok seorang wanita besar yang dikenali dan disanjungi seluruh negara, bagi saya Tun adalah seorang yang sangat lembut, penyayang dan memiliki sifat keibuan yang begitu mendalam.
Setiap kali kami bertemu, antara perkara pertama yang Tun akan tanyakan kepada saya ialah tentang ibu.
Selepas arwah ayahanda saya meninggal dunia, soalan itu menjadi semakin kerap.
“How is your mom? Ibu macam mana?”
Dan hampir setiap kali juga, Tun akan berpesan kepada saya:
“Jaga ibu baik-baik.”
Pesanan yang mungkin kedengaran begitu ringkas. Tetapi apabila ia datang daripada seorang ibu seperti Tun, ia membawa makna yang sangat dalam.
Hari ini, setiap kali saya mengenangkan kata-kata itu, dada terasa sebak. Kerana saya tahu ia bukan sekadar pertanyaan atau pesanan biasa. Tun benar-benar mengambil tahu. Tun benar-benar peduli.
Tun juga beberapa kali berpesan kepada saya tentang Mukhriz.
Tun tahu saya pernah bersama Mukhriz dalam perjuangan politik melalui PEJUANG. Dan sebagai seorang ibu, saya dapat merasakan bahawa di sebalik setiap pesanan Tun itu ada kasih seorang ibu yang sentiasa memikirkan perjalanan dan masa depan anaknya.
“Jaga Mukhriz. He has a soft voice and a good heart”
Pesanan itu dan pesanan-pesanan lain saya tidak akan lupa.
Saya kehilangan seorang insan yang setiap kali bertemu tidak pernah gagal membuatkan saya terasa seperti seorang anak yang ditanya khabar oleh seorang ibu.
Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang besar jasanya. Tetapi Tun Dr Mahathir, anak-anak dan keluarga kehilangan sesuatu yang jauh lebih besar: seorang isteri, ibu, nenek dan tempat bernaung yang telah bersama mereka melalui hampir seluruh perjalanan kehidupan.
Saya hanya mampu membayangkan betapa dalamnya kehilangan itu.
Kepada Tun Dr Mahathir, Mukhriz dan seluruh keluarga, saya, Ibu dan keluarga menzahirkan salam takziah yang sedalam-dalamnya.
Terima kasih Tun, kerana dalam segala kebesaran dan kedudukan Tun, Tun masih sempat bertanya tentang ibu saya.
Terima kasih kerana sentiasa mengingatkan saya supaya menjaganya.
Dan terima kasih atas pesanan-pesanan Tun yang akan saya simpan sepanjang hayat.
Saya akan ingat, Tun.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali, menerima segala amal kebajikannya, melapangkan kuburnya dan menempatkan Allahyarhamah dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beroleh rahmat.
Selamat jalan, Tun.
Selamat jalan, Tun.
Al-Fatihah.
Armın Baniaz Pahamin
30 September 2026

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~