Responsive Ad Slot

Slider

MASYARAKAT BERBILANG KAUM, SATU IDENTITI KEBANGSAAN BERTERASKAN MELAYU


MASYARAKAT BERBILANG KAUM, SATU IDENTITI KEBANGSAAN BERTERASKAN MELAYU
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Malaysia semakin kerap digambarkan sebagai sebuah negara berbilang kaum, termasuk dalam naratif politik yang diketengahkan oleh Kerajaan MADANI. Gambaran itu benar dari sudut komposisi penduduk, tetapi tidak memadai untuk menerangkan asal-usul, identiti dan susunan perlembagaan negara. Istilah “berbilang kaum” menjelaskan siapa yang menghuni Malaysia, tetapi tidak menjelaskan daripada sejarah dan peradaban apakah negara ini terbentuk. Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, namun kemajmukan itu tidak bermaksud negara ini lahir tanpa akar atau dibina atas asas yang serba neutral daripada sejarahnya.

2. Perbahasan sering menjadi tegang apabila istilah “Tanah Melayu” disebut.  Ada yang menganggapnya sekadar nama lama sebelum pembentukan Malaysia, manakala sebahagian yang lain melihat penggunaannya sebagai cubaan menafikan kedudukan masyarakat bukan Melayu. Kedua-dua tanggapan ini tidak menggambarkan keseluruhan sejarah. Tanah Melayu bukan sekadar nama geografi atau slogan perkauman. Ia merupakan istilah yang merakamkan asal-usul politik, kebudayaan dan peradaban yang membentuk asas negara.

3. Atas dasar itu, Malaysia memerlukan satu identiti kebangsaan yang dikongsi oleh semua warganegara. Identiti tersebut tidak menuntut penghapusan keturunan, agama atau warisan keluarga, tetapi memerlukan setiap warganegara mengasimilasikan identiti awamnya ke dalam kerangka bahasa, sejarah, institusi dan nilai teras negara. Dalam konteks Malaysia, identiti bersama itu tidak boleh dipisahkan daripada peradaban Melayu yang membentuk asas Tanah Melayu dan susunan Perlembagaan Persekutuan.

4. Akar tersebut bermula daripada Tanah Melayu, sebuah wilayah yang telah mempunyai kerajaan, pemerintah, undang-undang, bahasa, adat dan hubungan diplomatiknya sendiri jauh sebelum kedatangan kuasa penjajah. Kuasa British tidak mencipta negeri-negeri Melayu atau institusi Raja-Rajanya. Mereka memasuki wilayah yang telah memiliki susunan politik, masyarakat dan kedaulatan tersendiri, sebelum menyusun semula hubungan antara negeri-negeri tersebut mengikut kepentingan pentadbiran kolonial.

5. Istilah Melayu juga telah wujud jauh sebelum kemerdekaan dan sebelum kelahiran negara moden. Dalam sejarah rantau ini, Melayu bukan sekadar merujuk kepada salasilah keturunan. Ia turut berkembang sebagai bahasa perhubungan, lingkungan kebudayaan, sistem pemerintahan dan sebuah peradaban yang merentasi Semenanjung, Sumatera, Kepulauan Riau, Borneo dan wilayah lain di Alam Melayu. Kekuatan peradaban Melayu terletak pada keupayaannya menerima pengaruh luar, menyesuaikannya dengan nilai tempatan dan membentuk suatu identiti yang tersendiri.

6. Bahasa Melayu menjadi antara unsur utama yang menghubungkan peradaban tersebut. Bahasa ini berkembang melalui kerajaan-kerajaan Melayu dan jaringan perdagangan serantau sebelum mencapai kedudukan penting pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ia digunakan bukan sahaja oleh orang Melayu, tetapi juga oleh pedagang, pendakwah, pentadbir dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Sejak awal, bahasa Melayu mempunyai sifat terbuka dan menyatukan tanpa menuntut semua penuturnya berasal daripada keturunan yang sama.

7. Penyebaran Islam kemudiannya memberikan bentuk yang lebih jelas kepada identiti Melayu. Islam mempengaruhi pemerintahan, undang-undang, bahasa, tulisan, adat, kesusasteraan dan pandangan hidup masyarakat. Hubungan antara Melayu, Islam, bahasa dan adat berkembang selama berabad-abad sebelum sebahagian daripada cirinya diterjemahkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Perkara tersebut mentakrifkan orang Melayu melalui agama Islam, bahasa Melayu, adat Melayu serta syarat kelahiran, pemastautinan atau keturunan tertentu. Takrif “orang Melayu” dari sudut perlembagaan ini perlu dibezakan daripada pengertian peradaban Melayu yang lebih luas.

8. Institusi Raja-Raja pula merupakan kesinambungan kedaulatan negeri-negeri Melayu yang mendahului penjajahan dan pembentukan negara moden. Apabila kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, negara ini tidak dibina dengan menghapuskan institusi tersebut. Sebaliknya, sistem Raja Berperlembagaan diwujudkan dengan menggabungkan warisan pemerintahan negeri-negeri Melayu dengan demokrasi berparlimen. Nama Persekutuan Tanah Melayu sendiri menunjukkan bahawa kemerdekaan bukan permulaan kewujudan negara daripada ruang kosong, tetapi pemulihan pemerintahan sendiri berasaskan sejarah dan institusi yang telah lama wujud.

9. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 kemudiannya memperluas kerangka kenegaraan tersebut dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura, sebelum Singapura berpisah pada tahun 1965. Sabah dan Sarawak bukan sebahagian daripada Tanah Melayu dari sudut geografi dan sejarah politik. Kedua-duanya mempunyai masyarakat asal, sejarah, identiti, kepentingan serta perlindungan perlembagaan tersendiri. Oleh itu, Malaysia hari ini tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan Tanah Melayu, tetapi tidak juga boleh dipisahkan daripada akar sejarah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi salah satu asas pembentukannya.

10. Hubungan antara Tanah Melayu dengan Malaysia mesti difahami secara tepat. Tanah Melayu menerangkan akar sejarah dan peradaban bagi negeri-negeri di Semenanjung serta Persekutuan yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Malaysia pula ialah Persekutuan yang lebih luas, dibentuk pada tahun 1963 bersama Sabah, Sarawak dan Singapura, sebelum Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965. Mengakui sejarah Tanah Melayu tidak menafikan kedudukan Sabah dan Sarawak, sebagaimana menghormati Perjanjian Malaysia 1963 tidak memerlukan sejarah, institusi dan identiti Tanah Melayu dipadamkan. Teras Melayu dalam identiti kebangsaan juga tidak menafikan kedudukan masyarakat asal Sabah dan Sarawak. Sejarah, kebudayaan dan kepentingan mereka merupakan sebahagian daripada pembentukan Malaysia serta diiktiraf secara khusus oleh Perlembagaan.

11. Dalam kerangka inilah istilah “masyarakat berbilang kaum” perlu diletakkan. Malaysia sememangnya dihuni oleh rakyat daripada pelbagai keturunan, agama, bahasa dan kebudayaan. Orang Asli mempunyai sejarah dan kedudukan tersendiri yang wajib dihormati. Masyarakat Cina, India, Sikh, Serani dan komuniti lain pula telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik negara. Kewarganegaraan mereka bukan suatu ihsan sementara, tetapi kedudukan sah yang dijamin oleh Perlembagaan.

12. Namun, kepelbagaian penduduk tidak secara automatik menjadikan Malaysia sebuah negara tanpa identiti teras. Perlembagaan mengakui bahawa Malaysia dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, tetapi tidak mentakrifkan identiti negara semata-mata berdasarkan kemajmukan tersebut. Sebaliknya, kepelbagaian diterima dan dilindungi dalam suatu susunan kenegaraan yang mempunyai teras sejarah serta perlembagaannya sendiri.

13. Susunan ini bukan suatu percanggahan, tetapi keseimbangan perlembagaan yang sengaja dibentuk. Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sambil membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai. Perkara 8 mengiktiraf prinsip kesamarataan di sisi undang-undang, tertakluk kepada pengecualian dan peruntukan khusus yang terkandung dalam Perlembagaan. Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa melarang penggunaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa lain. Perkara 153 pula memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak bersama kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlembagaan tidak memadamkan perbezaan, tetapi mengaturnya dalam suatu kerangka yang dibina daripada sejarah negara.

14. Oleh itu, mengakui akar Melayu bagi Tanah Melayu tidak bererti hanya orang Melayu berhak menentukan masa depan Malaysia. Ia juga tidak menjadikan warganegara bukan Melayu sebagai orang luar. Sebaliknya, pengiktirafan tersebut menuntut tanggungjawab yang lebih besar daripada kepimpinan Melayu. Jika Melayu merupakan teras sejarah dan politik negara, kekuatan Melayu mesti diterjemahkan melalui keadilan, ilmu, integriti, kemajuan dan perlindungan terhadap seluruh rakyat. Kemelayuan akan kehilangan kewibawaannya jika digunakan untuk melindungi penyalahgunaan kuasa, menutup kelemahan tadbir urus atau merendahkan komuniti lain.

15. Asimilasi kenegaraan berteraskan Melayu merupakan tanggungjawab seluruh warganegara, termasuk orang Melayu sendiri. Bagi masyarakat bukan Melayu, asimilasi ini tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman terhadap keturunan atau kebudayaan mereka. Ia bukan tuntutan supaya seseorang menjadi Melayu menurut Perkara 160, memeluk Islam atau meninggalkan bahasa dan adat keluarganya. Asimilasi kenegaraan menyatukan identiti awam rakyat sebagai bangsa Malaysia; ia tidak menyeragamkan seluruh kehidupan peribadi mereka.

16. Dalam ruang rasmi dan kehidupan bersama sebagai warganegara, bahasa Melayu, sejarah Tanah Melayu, institusi Raja-Raja, kedudukan Islam serta nilai kesantunan, permuafakatan dan tanggungjawab yang berkembang dalam peradaban Melayu perlu diterima sebagai teras identiti negara. Kebudayaan keturunan boleh terus diamalkan dalam kehidupan peribadi, kekeluargaan dan kemasyarakatan, tetapi tidak dijadikan asas untuk menafikan, meminggirkan atau menggantikan identiti kebangsaan yang dikongsi bersama.

17. Persoalan sebenar bukan sama ada Malaysia sebuah negara Melayu atau negara berbilang kaum. Pertentangan seperti itu terlalu sempit dan mengelirukan. Malaysia ialah sebuah negara Persekutuan yang berakar pada sejarah dan peradaban Tanah Melayu, serta berkembang dalam suatu kerangka kenegaraan yang lebih luas bersama Sabah dan Sarawak. Negara ini dihuni oleh masyarakat majmuk yang berkongsi kewarganegaraan dan masa depan.

18. Mengiktiraf asal-usul Tanah Melayu tidak menjadikan bukan Melayu sebagai orang luar, sebagaimana menjamin hak seluruh warganegara tidak menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan. Masyarakatnya boleh berbilang keturunan dan kebudayaan, tetapi negara mesti mempunyai satu identiti kebangsaan yang dikongsi bersama. Negara yang memahami akarnya tidak perlu takut kepada kepelbagaian, dan masyarakat yang menikmati keadilan tidak perlu berasa terancam oleh sejarah.

~ Dr Armin Baniaz Pahamin

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo