Responsive Ad Slot

Slider

50% EKUITI BUMIPUTERA: JANGAN WARISKAN KEGAGALAN 30% UNTUK 50 TAHUN LAGI


50% EKUITI BUMIPUTERA: JANGAN WARISKAN KEGAGALAN 30% UNTUK 50 TAHUN LAGI
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) berpandangan bahawa cadangan Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan supaya kerajaan mempertimbangkan sasaran jangka panjang pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 50 peratus adalah satu cadangan yang wajar dibincangkan secara serius dan rasional. Cadangan ini tidak seharusnya ditolak hanya kerana sasaran Dasar Ekonomi Baru sebanyak 30 peratus sendiri masih belum berjaya dicapai.

2. Sebaliknya, kegagalan mencapai sasaran 30 peratus selepas lebih lima dekad sepatutnya mendorong kita bertanya persoalan yang lebih besar: adakah masalah sebenar terletak pada sasarannya, atau pada model dan mekanisme pelaksanaannya? Kita tidak boleh terus mewariskan angka 30 peratus daripada satu generasi kepada generasi berikutnya tanpa keberanian untuk menilai mengapa sasaran itu masih belum tercapai.

3. Menurut Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Bumiputera kini membentuk kira-kira 70.5 peratus daripada keseluruhan warganegara Malaysia. Namun, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35 merekodkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera pada hanya 18.4 peratus pada tahun 2020.

4. Lebih membimbangkan, daripada 945 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sehingga tahun 2022, hanya 62 syarikat atau sekitar 7 peratus berada di bawah penguasaan majoriti Bumiputera. Angka ini memperlihatkan jurang yang besar antara kedudukan demografi Bumiputera dengan tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan mereka dalam struktur korporat negara.

5. Justeru, GEM melihat sasaran 50 peratus bukan sebagai tuntutan untuk mengambil hak atau kekayaan mana-mana kaum. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai aspirasi nasional jangka panjang untuk memperbesar penyertaan Bumiputera dalam penciptaan dan pemilikan kekayaan baharu negara. Malaysia perlu membesarkan kek ekonominya supaya nilai kekayaan semua rakyat meningkat, sambil Bumiputera memperoleh bahagian yang lebih besar daripada kekayaan baharu yang dicipta.

6. Pendekatan ini bukan sesuatu yang asing dalam sejarah pembangunan negara. Semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, kerajaan secara aktif membangunkan industri-industri baharu seperti automotif, perkapalan, elektronik, pembuatan berat serta sektor berteknologi tinggi, sambil membuka ruang khusus kepada Bumiputera untuk memiliki, mengurus dan mengambil bahagian dalam sektor-sektor ekonomi yang sedang berkembang.

7. Hasil pendekatan membesarkan ekonomi sambil memperluaskan penyertaan Bumiputera dapat dilihat apabila pemilikan modal saham Bumiputera meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada kira-kira 19.3 peratus pada tahun 1990. Dalam tempoh yang sama, penyertaan Bumiputera dalam kategori profesional dan teknikal meningkat daripada 47.2 peratus kepada 61.8 peratus, manakala penyertaan pada peringkat pentadbiran dan pengurusan meningkat daripada 22.4 peratus kepada 31.3 peratus.

8. Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa penguasaan ekonomi Bumiputera boleh diperkukuh bukan dengan mengecilkan bahagian kaum lain, tetapi dengan mencipta industri, perusahaan dan kekayaan baharu serta memastikan Bumiputera diberikan ruang yang munasabah untuk berkembang bersama-sama dengannya. Persoalan sebenarnya ialah bagaimana Malaysia boleh membina ekonomi yang jauh lebih besar sehingga Bumiputera mampu memiliki sekurang-kurangnya separuh daripada kekayaan baharu yang kita cipta bersama.

9. GEM berpandangan bahawa sasaran 50 peratus boleh dipertimbangkan sebagai aspirasi jangka panjang, tetapi ia mestilah disertai perubahan besar terhadap strategi pembangunan ekonomi Bumiputera. Kerajaan tidak boleh sekadar menaikkan angka sasaran daripada 30 peratus kepada 50 peratus sedangkan pendekatan, institusi dan instrumen yang sama terus digunakan.

10. PuTERA35 sendiri masih menetapkan sasaran peningkatan pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera kepada 30 peratus menjelang tahun 2035. GEM berpandangan sasaran tersebut perlu dilihat sebagai sasaran minimum dalam perjalanan menuju aspirasi yang lebih besar, dan bukannya sebagai titik akhir pembangunan ekonomi Bumiputera.

11. Pada masa yang sama, ukuran kejayaan ekonomi Bumiputera tidak boleh lagi bergantung kepada satu angka pemilikan ekuiti semata-mata. Negara memerlukan ukuran yang lebih komprehensif dengan mengambil kira pemilikan benefisial, penguasaan syarikat, nilai perusahaan, pemilikan aset produktif dan komersial, penyertaan dalam pasaran modal, pemilikan teknologi dan harta intelek, serta sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK.

12. Kita juga perlu membezakan antara pemilikan atas kertas dengan penguasaan ekonomi sebenar. Sebuah syarikat mungkin mempunyai pegangan saham Bumiputera tetapi tidak semestinya dikawal, dikembangkan atau diwariskan sebagai sebuah perusahaan Bumiputera yang berdaya tahan. Atas sebab itu, dasar ekonomi Bumiputera selepas ini perlu beralih daripada budaya pemberian kepada pembinaan kapasiti, skala dan penguasaan.

13. Kita perlu melahirkan lebih ramai pemilik perusahaan, pengasas syarikat teknologi, pengeksport, industrialis, pemilik harta intelek, pengurus dana, pelabur institusi dan syarikat Bumiputera yang mampu menembusi pasaran serantau serta global. Selepas lebih lima dekad, sudah tiba masanya kita melakukan penetapan semula terhadap model pembangunan ekonomi Bumiputera.

14. GEM mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan satu kajian menyeluruh mengenai kedudukan sebenar kekayaan dan penguasaan ekonomi Bumiputera, termasuk pemilikan benefisial, serta membangunkan Indeks Pemilikan dan Penguasaan Ekonomi Bumiputera yang diterbitkan secara berkala dan telus. Berdasarkan data tersebut, kerajaan boleh menetapkan sasaran berperingkat menuju aspirasi 50 peratus, lengkap dengan penanda aras lima tahunan, sektor ekonomi strategik, mekanisme pemantauan bebas serta pertanggungjawaban yang jelas kepada kementerian dan agensi pelaksana.

15. Sasaran yang besar tidak harus ditakuti semata-mata kerana ia sukar dicapai. Jika 30 peratus masih belum tercapai selepas lebih 50 tahun, kita tidak seharusnya mewariskan kegagalan yang sama untuk 50 tahun lagi. Sudah tiba masanya Malaysia menetapkan aspirasi ekonomi Bumiputera yang lebih berani, dengan kejayaan berasaskan penciptaan kekayaan, peningkatan produktiviti, penguasaan industri, pemilikan sebenar dan pembinaan perusahaan Bumiputera yang mampu berdiri serta bersaing tanpa kebergantungan berterusan kepada kerajaan.

DR ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Presiden - Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM)

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo