Responsive Ad Slot

Showing posts with label PSB. Show all posts
Showing posts with label PSB. Show all posts

Ketidakseimbangan Kuasa, Pelanggaran Hak Milik dan Ketiadaan Perlindungan Struktural punca RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu ditolak sekeras-kerasnya


Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dalam bentuk sedia ada merupakan satu bentuk penjajahan moden terhadap pemilik hartanah di negara ini, dan ia mesti ditolak sekeras-kerasnya dengan sebulat suara oleh semua lapisan masyarakat.

 

RUU URA yang dibentangkan oleh kerajaan merupakan satu bentuk penggubalan dasar yang sangat tidak wajar, mencabul prinsip asas Perlembagaan Persekutuan dan mengancam hak pemilikan hartanah rakyat Malaysia. 

 

Usul untuk membolehkan kerajaan mengambil alih bangunan berdasarkan persetujuan hanya 80% daripada pemilik bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, dan 75% bagi bangunan melebihi 30 tahun, amat membimbangkan kerana ia melemahkan prinsip demokrasi pemilikan bersama. Lebih membimbangkan, ambang ini diturunkan kepada hanya 51% untuk bangunan yang diisytihar terbengkalai atau tidak selamat, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan, khususnya pemaju swasta.

 

Undang-undang ini mengheret tafsiran yang longgar terhadap konsep “persetujuan majoriti”, tanpa menyediakan mekanisme pengesahan yang bebas, telus dan bebas tekanan. Konsep konsensus yang digunakan berisiko menghasilkan “consent by coercion” atau persetujuan yang dibuat secara terpaksa dan bukan dengan kefahaman serta kehendak sebenar pemilik. 

 

Tambahan pula, had umur 30 tahun yang ditetapkan sebagai justifikasi pembaharuan bandar adalah tidak masuk akal, kerana kebanyakan bangunan di Malaysia mempunyai jangka hayat struktur melebihi 70 hingga 100 tahun, mengikut taksiran Jabatan Kerja Raya dan amalan kejuruteraan semasa. 

 

Ini menunjukkan bahawa motif di sebalik URA bukanlah pembaharuan sebenar atau demi kepentingan awam, tetapi lebih bersifat pengambilalihan yang menguntungkan kelompok pemaju yang mendapat manfaat luar biasa daripada pemindahan nilai hartanah, manakala pemilik asal hanya menerima pampasan minimum tanpa akses kepada nilai tambah atau pembangunan semula yang dijanjikan.

 

RUU ini juga tidak mengandungi elemen perlindungan penting kepada rakyat seperti ambang persetujuan 100%, pampasan melebihi nilai pasaran semasa, perkongsian keuntungan antara pemilik dan pemaju, jaminan perlindungan kepada mereka yang tidak bersetuju pada fasa awal, serta penguatkuasaan ke atas kelayakan pemaju untuk mengelakkan projek tergendala atau terbengkalai. 

 

Malah, ketiadaan peruntukan untuk mewujudkan tabung penyelenggaraan bangunan atau kemudahan awam membuktikan bahawa RUU ini dibentangkan dengan tergesa-gesa, tanpa kajian impak sosial yang menyeluruh dan tanpa perundingan awam yang bermakna. 

 

Penolakan terhadap Rang Undang-Undang URA bukan sahaja datang daripada pemilik rumah yang terkesan, malah turut disuarakan oleh gabungan luas pertubuhan masyarakat sivil termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Gabungan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Mampan (KLRA+SD), FOMCA, dan Lawyers for Liberty. Penolakan ini turut disokong oleh pelbagai parti politik, kerajaan-kerajaan negeri dalam blok SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), serta Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional merentasi garis parti. Kesemua pihak ini secara konsisten telah memberi amaran keras tentang risiko pengusiran paksa, penguasaan golongan elit, serta eksploitasi sosioekonomi yang terkandung dalam pelaksanaan RUU tersebut.

 

Apa yang lebih membimbangkan ialah penggubalan dasar ini berlaku dalam suasana ekonomi yang sedang mencabar, di mana rakyat sedang berusaha mempertahankan kediaman dan harta terakhir mereka, dan bukannya bersedia untuk dipindahkan demi pembangunan yang meminggirkan mereka.

 

Sehubungan itu, kami menolak sepenuhnya RUU URA ini dan mendesak agar kerajaan menghentikan serta-merta proses pembentangannya di Parlimen. 

 

Sebarang usaha ke arah pembaharuan bandar wajib dilakukan secara inklusif, dengan mematuhi prinsip hak milik, keadilan sosial, kelestarian pembangunan dan penglibatan menyeluruh rakyat terbabit. 

 

Jika benar kerajaan ingin memperbaharui bandar untuk kepentingan rakyat, maka seluruh proses ini mesti dibentuk semula dari awal dengan penyertaan aktif rakyat, bukannya dipaksakan demi keuntungan pemaju. 

 

RUU URA dalam bentuk sedia ada merupakan satu bentuk penjajahan moden terhadap pemilik hartanah di negara ini, dan ia mesti ditolak sekeras-kerasnya dengan sebulat suara oleh semua lapisan masyarakat.



© all rights reserved
made with by templateszoo