Responsive Ad Slot

SELAMATKAN MALAYSIA – SIRI 8: TAN SRI MUHYIDIN YASSIN MESTI DIKEKALKAN

 


TAN SRI MUHYIDIN YASIN MESTI DIKEKALKAN SEBULAT SUARA KERANA ‘JASA’ BELIAU

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

  

1. Dalam sejarah Malaysia, hanya kerajaan Perikatan Nasional yang duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak. Semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Perdana Menteri (PM-8), beliau tidak pernah kelihatan berehat, sentiasa bekerja keras di padang golf mengambil risiko jangkitan Covid-19 untuk berbincang, merancang dan mengatur strategi demi  kesejahteraan rakyat.

 

2. Beliau berhempas pulas sehingga sanggup mengambil alih dan menggalas tanggungjawab menyelesaikan masalah terbesar negara sebagai Perdana Menteri sehingga sanggup memanipulasi sokongan majoriti yang dipersembahkan kehadapan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.

 

3. PM-8 telah berjaya meningkatkan integriti kerajaan yang dipimpinnya dan memastikan kebebasan kehakiman sehingga Dato’ Sri Najib Razak didapati bersalah dalam mahkamah untuk semua tujuh pertuduhan. Akibatnya, Dato Sri Najib dihukum dengan kehidupan selesa di kediamannya, terus bebas bersuara dan bebas untuk kemana-mana. Beliau juga diberi kemewahan perlindungan polis (police escort) untuk berkempen di PRK Slim dan PRN Sabah. Tidak ada rekod yang seorang penjenayah pernah menderita disiksa sebegitu rupa.

 

4. PM-8 tidak gentar bersemuka dengan ahli-ahli parlimen dalam sesi Dewan Rakyat yang lepas khususnya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga yang ditunda selama 2 bulan. Beliau tidak takut berbahas dalam persidangan Dewan Rakyat bulan Jun itu namun semua ahli parlimen dipaksa membisu tidak boleh berkata-kata. Barangkali terlampau teruja dengan kebijaksanaan PM-8. Hanya KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong yang bersuara bertitah.

 

5. Beliau hanya tahu berkhidmat, tidak reti bermain politik tetapi bijak memanipulasi mandat rakyat dan hanya menawan kerajaan persekutuan bersama 5 negeri sahaja iaitu Negeri Kedah, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.

 

6. Beliau seorang yang tegas dan menggunakan rotan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan berjaya membuatkan wabak Covid-19 merebak dari 10,000 pesakit kepada 30,000 pesakit positif.

 

7. PM-8 seorang pemimpin demokrasi yang terunggul. Kerana beliau, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dapat dipilih tanpa sebarang undian dalam Dewan Rakyat yang mulia.

 

8. Sementara ahli politik lain hanya memberi sumbangan wang, laptop dan makanan, PM-8 memberi kekebalan dari undang-undang kepada ‘rakyat’ yang memerlukan.

 

9. PM-8 sangat bermurah hati dan membentuk saiz ahli jemaah kabinetnya yang sangat besar supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada 70 orang rakyat. Hal ini sangat  berbeza dengan Perdana Menteri sebelumnya, yang kedekut dan hanya melantik hampir setengah sahaja dari ahli Jemaah Kabinet PM-8.

 

10. PM-8 seorang pemurah, mengorban dana negara yang sedang tenat, berjuta-juta ringgit untuk menampung gaji ahli Jemaah kabinet yang terbesar. Tan Sri Muhyidin juga menyumbang kepada ekonomi ‘rakyat’ dengan membeli-belah kerusi-kerusi ahli DUN di Sabah dan seterusnya menjadikan ahli-ahli Parlimen dan DUN sebagai satu komoditi yang boleh diperdagangkan.

 

11. PM-8 dan kabinetnya cukup mantap dan dipercayai ramai. Sehingga mencatat rekod dalam sejarah Malaysia dimana KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong buat julung-julung kali menolak nasihat seorang Perdana Menteri untuk pengisytiharan darurat.

 

12. Menteri-menteri lantikan PM-8 memang terpilih dari kalangan cendekiawan. Seorang Menteri memberi nasihat kepada para isteri untuk memimik suara Doraemon dirumah supaya suami terhibur dan terpesona manakala Menteri Kesihatan memberi nasihat untuk membunuh kuman Covid-19 dengan minum air panas dan ‘sunbathing’ berjemur dibawah kepanasan matahari. Seorang lagi menteri mengajak rakyat untuk meluangkan masa bermain Tik Tok.

 

13. PM-8 sangat prihatin dan sensitif kepada situasi rakyat sehingga sanggup mengisytiharkan darurat untuk melindungi pekerja-pekerja lantikan dalam Kabinet, ketua-ketua agensi kerajaan dan GLC. Supaya mereka tidak dibuang kerja dan dapat mengelak kenaikan jumlah pengangguran.

 

14. PM-8 sanggup mengorbankan diri untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri lebih dari 2 penggal dan menarik balik Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan tempoh lantikan seseorang Perdana Menteri.  

 

15. PM-8 berhutang dan berbelanja berpuluh bilion ringgit supaya kadar pengangguran dapat dinaikkan kepada 800,000 dari jumlah asal 650,000. Satu pencapaian yang mesti di contohi.

 

16. Sokonglah Bajet 2021 dan berilah peluang kepada Perdana Menteri ke-8 dan kerajaan Perikatan Nasional untuk memelihara Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet yang terbesar serta pertingkatkanlah jumlah hutang negara supaya negara kita terus maju, rakyat dapat hidup makmur dan aman tanpa pekerjaan.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp    

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2   

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW   

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB  

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj    

Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j

 

SELAMATKAN MALAYSIA - SIRI 7: BELANJAWAN IMPIAN


SELAMATKAN MALAYSIA - SIRI 7

BELANJAWAN IMPIAN RAKYAT 2021

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjadi pemangkin kejayaan usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) yang boleh memberi peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan mengurangkan bebanan rakyat, sebuah belanjawan yang baik dan komprehensive perlu dibentangkan. Belanjawan impian itu perlu digubah berdasarkan masalah yang dihadapi rakyat marhaen dan kadar pengangguran yang dijangka meningkat lebih satu juta pada awal tahun 2021.

 

IMPIAN PENGANGGUR, KUMPULAN USAHAWAN MUDA, USAHAWAN KECIL DAN SYARIKAT-SYARIKAT BARU.

 

2. Penawaran pengecualian yuran untuk lesen perniagaan (dari pihak berkuasa tempatan) dan pembaharuan secara automatik bagi yang sedia-ada.

 

3. Menawarkan geran sehingga RM30,000 sebagai modal pendahuluan untuk pengusaha perniagaan dalam talian dari rumah dan/atau membuka gerai untuk berniaga yang memerlukan. Modal tersebut ialah untuk membeli stok dan keperluan asas bagi memulakan perniagaan. Ianya juga boleh digunakan sebagai aliran tunai bagi syarikat-syarikat yang mengalami masalah 'cashflow'.

 

4. Untuk perniagaan yang dijalankan di rumah atau gerai di depan rumah, pihak berkuasa tempatan diminta untuk mengeluarkan dan memudahkan permohonan lesen perniagaan serta menawarkan pengecualian yuran selama 2 tahun.

 

5. Menyediakan latihan percuma untuk khidmat pelanggan, kebersihan dan pengurusan untuk penjaja, pengusaha gerai, perniagaan dalam talian dan di rumah. Kalau kita ke negara jiran seperti Thailand (Bangkok) atau Singapura, tahap profesionalisme dan kebersihan gerai-gerai serta penjaja amatlah di kagumi.

 

6. Pengecualian yuran untuk mendaftar syarikat entreprise (atau syarikat milikan tunggal) bagi 2 tahun pertama untuk menggalakkan penganggur mengambil peluang ini untuk menjadi usahawan dengan kos minimal.

 

7. Pengurangan 50% yuran untuk persiapan dokumen statutori seperti penyerahan laporan Audit, fi untuk ejen cukai, fi kepada setiausaha syarikat dan lain-lain. Yuran yang dikenakan oleh syarikat audit, setiausaha syarikat dan ejen pencukaian menelan belanja beribu-ribu ringgit setiap tahun boleh memudaratkan  daya tahan sesebuah syarikat baru atau yang kurang aktif.

 

8. Melanjutkan tempoh pengecualian denda oleh SSM untuk penyerahan dokumen statutori seperti penyata kewangan dan pemfailan cukai. Walaupun diskaun 85% ditawarkan keatas kompoun RM5,000 yang dikenakan, jumlahnya masih terlampau tinggi untuk sesebuah syarikat yang terkesan dengan keadaan ekonomi dan Covid-19.

 

9. Subsidi sewa sebanyak RM1,000 sebulan kepada semua syarikat yang menyewa kedai dan pejabat untuk menggalakkan daya tahan PKS. Buat masa ini, banyak syarikat-syarikat telah ‘gulung tikar’ dan terdapat hampir 40% kekosongan premis di Lembah Klang.

 

10. Subsidi gaji sebanyak RM1,500 sebulan bersamaan dengan gaji minima untuk sepanjang tahun 2021. Subsidi ini terbuka kepada semua pekerja termasuk pekerja yang baru diambil supaya lebih ramai pekerja boleh direkrut dan mengelak proses pemberhentian kerja.

 

11. Subsidi pengiklanan dalam-talian sebanyak RM6,000 setahun (atau RM500 sebulan) untuk PKS, perniagaan gerai, penjaja, perniagaan dalam talian dan perniagaan dari rumah melalui syarikat-syarikat dan agensi media yang berdaftar dengan MDEC dan dibawah naungan Cradle. Dengan pelaksanaan PKP, ramai pelanggan digalakkan berada dirumah. Subsidi pengiklanan ini dapat membantu memberi daya tarikan yang lebih 'visible' kepada peniaga baru dan kecil. Seterusnya ia dapat meningkatkan jualan.

 

12. Subsidi untuk keperluan sanitasi Covid-19 kepada semua PKS yang mempunyai keuntungan bersih sebelum cukai RM300ribu setahun supaya majikan dapat memenuhi semua syarat SOP Majlis Keselamatan Negara. Banyak syarikat tidak beroperasi kerana tidak mampu memenuhi syarat-syarat yang dikenakan terutama jika terdapat jangkitan wabak di premis pejabat/kedai.

 

13. Pengecualian cukai pendapatan untuk semua syarikat enterprise dan sendirian berhad selama 2 tahun yang mempunyai keuntungan bersih sebelum cukai (PBT) dibawah RM100ribu setahun.

 

14. Moratorium pinjaman sepanjang tahun 2021 untuk semua pinjaman yang diambil oleh syarikat.

 

IMPIAN SETIAP ISI RUMAH DAN RAKYAT

 

15. Untuk meringankan perbelanjaan isi rumah, kerajaan digalakkan memberi pengecualian (atau pengurangan) Cukai Jalan (Road Tax) untuk tahun 2021 bagi sebuah kereta yang bersaiz 1.3cc kebawah untuk setiap warganegara.

 

16. Pengurangan premium insuran kereta sebanyak 50% untuk sebuah kereta setiap warganegara untuk tahun 2021. Akibat dari PKP, kereta yang dimiliki jarang digunakan.

 

17. Pengurangan cukai tanah, cukai pendapatan, cukai pintu dan cukai keuntungan harta tanah bagi golongan B40 dan M40.

 

18. Pengecualian yuran sekolah, yuran kolej dan yuran institut pengajian tinggi awam (IPTA).

 

19. Memandangkan ramai pelajar tidak dapat hadir ke sekolah, kerajaan harus memberi peruntukan kepada sekolah kerajaan untuk menyediakan satu laptop kepada setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan pelajar IPTA supaya semua murid dan pelajar dapat menghabiskan silibus pelajaran melalui pembelajaran dalam talian. 


20. Kementerian patut memberi lebih fokus dan memperkasakan serta menambah 'content' TV Pendididkan untuk kemudahan semua pelajar.

 

21. Melengkapkan infrastruktur fiber-optik internet ke seluruh Malaysia terutamanya di kawasan pendalaman, di Sabah dan di Sarawak supaya semua pelajar dan syarikat kecil mendapat manfaat perkhidmatan dalam talian.

 

21. Menawarkan kembali moratorium pinjaman terutamanya untuk pinjaman kereta dan rumah. Pinjaman-pinjaman ini merupakan dua perbelanjaan terbesar sesebuah keluarga. Tanpa di perkenalkan kembali moratorium ini, nescaya jumlah rakyat yang mungkin bankrap akan bertambah seperti semasa krisis kewangan tahun 1997.

 

22. Untuk memperkukuh kesejahteraan jasmani, kerajaan digalak memberi subsidi kepada warganegara untuk mengambil bahagian dalam senaman dan latihan berkumpulan luaran (outdoor) yang dijalankan oleh pengusaha-pengusaha senaman berkumpulan luaran. 

 

23. Program ini dapat menggalakkan rakyat untuk menjaga kesihatan dan pada masa yang sama, membantu pengusaha senaman berkumpulan yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Subsidi ini terbuka kepada semua pengusaha senaman luaran dan boleh dituntut mengikut jumlah pendaftaran ahli.

 

IMPIAN SEKTOR AUTOMOTIF

 

24. Pengecualian Cukai Jualan kereta (tax holiday) disambung untuk tahun 2021 supaya momentum jualan kereta baru dapat diteruskan. 

 

25. Peratusan kelulusan permohonan pinjaman sewa-beli kereta juga perlu dilonggarkan. Peratusan kelulusan jatuh lebih 20% semenjak pelaksaan PKP.

 

26. Industri automotif merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada jumlah pekerjaan. Jualan kereta baru juga menjadi pemangkin kepada ekosistem automotif termasuk bengkel-bengkel kereta, alat-ganti kereta, jualan kereta terpakai, insuran, aksesori kereta dan kedai-kedai ketuk & cat.

  

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp    

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2   

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW   

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB  

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj    

Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j 

 

    

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 6 - DESAKAN PENGELUARAN KWSP, KEGAGALAN KERAJAAN

Picture credit to TVsarawak.com

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 6 - DESAKAN PENGELUARAN KWSP, KEGAGALAN KERAJAAN

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Keluhan rakyat semakin terdesak sehingga rayuan di lihat bukan sahaja merata-rata di media sosial bahkan permintaan terus ke PM-8. Beban perit semakin dirasai. Rakyat sanggup merayu untuk dibenarkan pengeluaran wang mereka dari tabung simpanan masa depan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini satu rayuan yang amat menyayat hati.

 

2. Bantuan puluhan bilion ringgit yang telah disalurkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya bertindak sebagai 'Panadol' yang hanya memberi kelegaan sementara tetapi beban yang dipikul rakyat, bertambah berat.

 

3. Punca sebenar masalah itu tidak berjaya diatasi. Masalah terbesar negara adalah terletak pada keberkesanan pengurusan dan kelancaran pentadbiran krisis. Krisis lanjutan sedia ada berpunca dari kegagalan pelaksanaan dan penguatkuasaan untuk membendung pandemik Covid-19. Krisis yang menular seperti minyak disimbah ke api bermula dari sifat tamak kuasa tiga individu serangkai; Tan Sri Muhyidin Yasin (PM-8), Dato Seri Azmin Ali dan Dato Seri Hamzah Zainuddin.

 

4. Tak kala rakyat patuh arahan untuk duduk rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, tiga Serangkai tersebut yang masih baru sahaja mengambil alih Kerajaan Persekutuan secara haram pada bulan Mac lepas; terus bergerak menawan negeri Kedah, Johor, Melaka, Perak dan cubaan untuk mengambil alih Sabah. Cubaan tersebut terus mencetus gelombang ketiga pandemik Covid-19. Kerakusan kuasa terbaru itu telah meragut berpuluh nyawa dan lebih dari 20,000 rakyat dijangkiti Covid-19.

 

5. Untuk kekal berkuasa, tiga serangkai ini menunda persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang sepatutnya bermula pada 9 Mac 2020. Sidang parlimen itu ditunda ke hari Isnin 18 Mei 2020 bagi memberi mereka masa tambahan untuk mendapatkan sokongan yang tidak dimiliki.

 

6. Apabila parlimen dapat bersidang pada 18 Mei 2020, PM-8 tidak membenarkan ahli-ahli parlimen dari bersuara. PM-8 berselindung dibelakang Covid-19 untuk mengelak ahli parlimen mempersoalkan sokongan majoriti palsu yang dipersembahkan kepada Agong. Hanya DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang membuka persidangan parlimen bagi tahun 2020. Dengan itu, tiada sesiapa yang boleh bersuara mempertikaikan kedudukan PM-8. Beliau sekali lagi terlepas.

 

7. Majlis Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 telah berlangsung pada 2 September. Dalam jangkamasa 5 bulan itu, tiga serangkai terus membeli sokongan melalui sogokan jawatan dengan terbentuk kabinet yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Ahli parlimen yang tidak mendapat jawatan dalam kabinet di sogok dengan jawatan dalam agensi dan badan kerajaan termasuk GLC.

 

8. Berapakah perbelanjaan negara menampung 71 ahli kabinet tersebut sedangkan rakyat mengikat perut terumbang-ambing kerisauan sehingga sanggup merayu untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

 

9. Hasil dari sogokan jawatan tersebut yang menelan belanja berjuta-juta ringgit wang rakyat, maka PM-8 berjaya hanya mendapat majoriti 2 undi di parlimen untuk meluluskan usul pengosongan jawatan YDP Dewan Rakyat dan majoriti 5 undi semasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan. Wang rakyat dipergunakan untuk kepentingan Politik.

 

10. Kini Majlis Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung pada 2 November. Untuk menyelamatkan diri lagi, PM-8 telah cuba untuk mengisytiharkan darurat supaya beliau sekali lagi dapat terlepas. Malangnya cubaan kali ini gagal. Pertama kalinya kudeta beliau gagal dan pertama kalinya dalam sejarah Malaysia DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat seorang Perdana Menteri.

 

11. Nasihat dan cadangan PM-8 terdapat banyak kelemahan terutamanya kerana fokus beliau terbukti untuk kepentingan politik dan bukan untuk kesejahteraan rakyat.

 

12. Dari penangguhan mesyuarat pertama dan persidangan mesyuarat pertama yang berselindung di belakang Covid-19, mesyuarat kedua yang di belanjakan berjuta ringgit untuk meraih sokongan majoriti lebih 2 undi. Mesyuarat ketiga yang cuba dielak melalui pengisytiharan ‘Langkah Darurat’ tetapi gagal. Kini PM-8 cuba berselindung di belakang DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang menitah belanjawan harus disokong sebulat suara.

 

13. Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga yang akan berlangsung dalam 48 jam, satu belanjawan yang tidak masuk akal dijangka akan dibentangkan untuk membeli sokongan parti lawan pada 6 November. Rakyat menaruh sepenuh harapan kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih untuk memperhalusi dan meneliti belanjawan tersebut. Belanjawan tersebut perlu disalurkan sebagai pemangkin industri yang boleh memberi peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan mengurangkan bebanan dan bukan hanya insentif berupa ‘panadol’ semata-mata.

 

14. Selamat hari minggu dan kepada semua ahli-ahli parliment; selamat bersidang.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan 

 

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj 

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 5 - KERAJAAN PERPADUAN PENYELESAIAN KRISIS


SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 5 - KERAJAAN PERPADUAN PENYELESAIAN KRISIS

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1.    Kadar pengangguran telah dicatatkan hampir mencecah 1 juta dan dianggar akan meningkat dengan lebih mendadak pada tahun hadapan. Sekitar jalan masuk ke rumah saya di Sungai Penchala, kelihatan banyak penjaja-penjaja baru menjual makanan, buah-buahan, sayur-sayuran, air, burger dan pelbagai lagi. Ia tanda rakyat sudah semakin terdesak mencari pendapatan alternatif. Di kawasan lain, pramugara yang kehilangan pekerjaan pula membuka gerai menjual kuew teow goreng.

2.    Ada juga kenalan membawa masuk dan menjual ikan bilis dari Sabah dengan membuka bonet kereta di tepi jalan untuk mencari rezeki yang halal. Beliau kehilangan kerja.



3.    Kita bukan sahaja dilanda masalah pengangguran, tetapi sektor hartanah juga amat terjejas. Prestasi pasaran harta tanah kediaman mencatatkan penurunan mendadak pada separuh pertama 2020 (H1 2020) berbanding tempoh yang sama tahun lalu (H1 2019). Hartanah kediaman tidak terjual terus meningkat dengan jumlah 31,661 unit siap dibina tidak terjual. Setiap pemaju tanah menggunakan pinjaman bank untuk menyiapkan projek perumahan. Setiap rumah tidak terjual akan mengeringkan aliran tunai sesebuah syarikat dengan pembayaran faedah kepada bank.

4.    Hartanah komersial mengalami masalah penghunian dengan hanya 74.3% dari 22.95 juta meter persegi (2,548 bangunan) mempunyai penghuni. Ini, sebelum penambahan 2.25 juta meter persegi lagi dari 48 bangunan baru yang akan siap dan dilancarkan tidak lama lagi. Dimerata tempat kita melihat pelekat iklan ‘untuk disewa/dijual’ ditampal di rumah, kondominium, rumah-kedai dan ruang pejabat yang kosong.

5.    Walaupun hartanah komersial atau kediaman kosong dan tiada penyewa, pemilik terpaksa membayar ansuran pinjaman kepada bank. Dengan prestasi ekonomi negara yang menguncup pada kadar 17.1%, dikhuatiri pemilik hartanah terpaksa melelong jual hartanah mereka untuk mengelak dari diisytiharkan bankrap oleh bank. Ramai penyewa juga menamatkan perjanjian sewa apabila bisness mereka terjejas akibat keadaan ekonomi dan sesetengah mereka menyahut cadangan kerajaan untuk bekerja dari rumah.

6.    Sektor automotif secara keseluruhan juga terjejas dengan keadaan ekonomi yang merudum dan akibat Covid-19. MAA menyasarkan prestasi jualan kereta baru akan jatuh tahun ini sebanyak 22% kepada 470,000 unit daripada 604,000 unit pada tahun 2019.

7.    8 juta peminjam individu dan syarikat yang mendapat manfaat dari moratorium pinjaman kini terumbang-ambing. Kesan ketara akan dirasai pada awal tahun 2021.

8.    70 menteri kabinet telah dilantik dan hampir seratus pengurusan tertinggi agensi, badan kerajaan dan GLC telah ditukar. Tetapi keadaan semakin bertambah parah bukan sebaliknya.

9.    Rakyat mengambil maklum dan taat dengan titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong supaya satu kerjasama perpaduan dibentuk. Titah Tuanku adalah untuk semua ahli Dewan Rakyat menyokong usul belanjawan tanpa mengira parti atau berpihak kepada kepentingan politik, seumpama satu endorsement atau sokongan kepada kerajaan perpaduan.

 

10.    Konsep kerajaan perpaduan ini pertama kalinya dicadang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Februari lalu. Kini, ramai penganalisa politik seperti Associate Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Mantan YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin, pengamal undang-undang dan veteran-veteran politik juga telah memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan.

11.    Permintaan kami rakyat marhaen supaya pucuk pimpinan diterajui oleh seorang yang berpengalaman dalam menangani krisis sedahsyat ini. Dalam sejarah Malaysia, hanya seorang pemimpin sahaja yang pernah menyelamatkan Malaysia dari krisis yang mampu meranapkan ekonomi Malaysia dan hampir dijajah oleh IMF.

12.    Tiuplah semboyan untuk Tun Dr Mahathir kembali menerajui satu kerajaan perpaduan demi masa depan negara. Sekurang-kurangnya sehingga wabak pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dapat diatasi dan Parlimen dapat dibubarkan.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan 

 

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

 

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 4 - HARAPAN PADA UNDIAN AHLI DEWAN UNTUK PEMILIHAN PM-9

 


SELAMATKAN MALAYSIA PART 4 - HARAPAN PADA UNDIAN AHLI DEWAN UNTUK PEMILIHAN PM-9

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Lima hari lagi 'Countdown' sebelum persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 November 2020.


2. Langkah ‘Darurat’ telah gagal. Langkah ‘Rang Undang-Undang Keyakinan dan Perbekalan’ juga kemungkinan besar akan gagal.

 

3. Tujuh belas usul dan resolusi menyokong Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri telah didaftarkan dengan Setiausaha Dewan Rakyat. Perdana Menteri hanya mempunyai majoriti 2 undi semasa pengundian usul pengosongan kerusi YDP Dewan Rakyat dan majoriti 5 undi semasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 pada bulan Ogos lepas.

 

4. Tiga ahli parlimen telah menarik sokongan secara terbuka terhadap Perdana Menteri yang mana dua daripada mereka; YB Bagan Datoh - Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan YB Pekan - Dato Sri Najib Tun Razak menyatakan hal itu melalui surat sokongan kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong. Sungguhpun surat yang tular itu tidak disahkan oleh kedua orang ahli Parlimen itu, ia juga tidak dinafikan oleh mereka. YB Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga telah menarik sokongan melalui surat kepada Yang diPertua Dewan Rakyat untuk menyokong Usul Undi Tidak Percaya yang dikemukakan oleh YB Langkawi.

 

5. Beberapa lagi ahli parlimen dijangka akan menarik sokongan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

 

6. Kerajaan Perikatan Nasional sedar dan mengambil maklum bahawa mereka secara teknikal telah pun kehilangan sokongan dari 3 ahli parlimen ini dan juga bakal kehilangan sokongan dari beberapa ahli parlimen lain dan tentunya akan menyulitkan persidangan Dewan Rakyat terutamanya dalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan, yang dijangka akan di bentang oleh Menteri Kewangan pada 6 November 2020.

 

7. Melalui langkah drastik dengan memohon pengisytiharan darurat telah diambil oleh mereka untuk kekal berkuasa, langkah itu jelas mahu memberikan lebih kuasa kepada Perdana Menteri. Syukur, DYMM SPB Yang diPertuan Agong dan majlis raja-raja menolak cadangan pengisytiharan darurat ini.

 

8. Tan Sri Muhyidin Yasin dan kabinetnya yang cukup besar serta semua lantikan-lantikan politik di agensi, badan kerajaan termasuk GLC patut mengambil langkah yang bertanggung-jawab dengan meletakkan jawatan masing-masing. That would be the honorable thing to do.  Apatahlagi, sebagai seorang yang bermaruah Perdana Menteri ke-8 itu sedar untuk memerintah tanpa majoriti, beliau telah melakukan ‘jenayah’ dengan melanggar Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

 

9. Sementara kita berdepan pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi, perbelanjaan kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat dengan mendadak bagi menampung jumlah kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia. Lantikan ahli politik mengambil alih jawatan-jawatan golongan profesional juga dianggap satu pembaziran yang sepatutnya tidak berlaku.

 

10. Di Itali pada bulan Oktober 2020, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang untuk mengurangkan 37% iaitu 230 jumlah ahli-ahli parlimen dan 37% jumlah Senator bersamaan dengan pengurangan 115 senator. Pengurangan ahli parlimen dan senator itu dilakukan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19. Suatu langkah berani dan amat berbeza berbanding dengan Malaysia.

 

11. Muhyidin harus diganti dengan seorang pemimpin baru. Seorang pemimpin yang berwibawa dan berpengalaman dalam menangani krisis, harus dipilih dari kalangan ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat. Pemilihan pemimpin tersebut mesti di buat secara undian terbuka dan tidak berpihak kepada mana-mana parti atau gabungan. Pemimpin yang dipilih mesti seorang yang berpengalaman dan bukan muka baru yang hanya mempunyai sokongan tetapi tidak ada pendedahan dan pengalaman dalam mengatasi krisis negara.

 

12. Kita telah melihat sendiri bagaimana kartunnya seorang ahli politik bila beliau diberi tanggung jawab menjawat jawatan dalam Kabinet buat pertama kalinya. Kita juga pernah menyaksikan semua “trial and error” seorang Perdana Menteri baru. Lupakah kita sejarah Perdana Menteri ke-5 semasa beliau mula-mula mentadbir sebagai Perdana Menteri? Dan negara kita dipandu sepenuhnya oleh tingkat 4. Lupakah kita bagaimana seorang Perdana Menteri yang memberi dedak untuk meraih sokongan dan kini, seorang Perdana Menteri yang memberi sogokan jawatan.

 

13. Dikala keadaan Negara dilanda krisis pandemik Covid-19 atau sepertimana krisis kewangan dan kegawatan ekonomi tahun 1997; Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri dan kabinet yang boleh menerajui negara kita keluar dari belenggu krisis yang semakin membarah ini.

 

14. Perdana Menteri baru dan sebuah kerajaan perpaduan diperlukan segera untuk memadamkan api krisis yang sedang membara. Jikalau Muhyidin tidak meletak jawatan, Usul Tidak Percaya mesti didahulukan di persidangan parlimen awal bulan November ini. YB Simpang Renggam Dr Maszlee Malek telah mendaftar usul di bawah Peraturan 90(2) mencadangkan agar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang mengutamakan urusan kerajaan digantung oleh Majlis Mesyuarat sehingga selesai usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Yang Berhormat Langkawi terhadap Tan Sri Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh.

 

15. Perdana Menteri baru harus dipilih secara adil melalui undian terbuka ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat supaya pelantikannya tidak lagi diragukan. Pemimpin yang dipilih di dalam Dewan Rakyat kemudiannya dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk dipersetujui dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

 

16. Perdana Menteri baru dan Kerajaan Perpaduan adalah satu-satunya jalan penyelesaian untuk memulihkan Malaysia dari krisis wabak Covid-19, krisis kepimpinan dan krisis ketidaktentuan ekonomi.

 

17. Cadangan Kerajaan Perpaduan pertama sekali diketengahkan oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad, lapan bulan lepas pada bulan Februari 2020. Ini satu cadangan yang bukan diambil dari buku atau cadangan yang dipetik dari langit tetapi cadangan yang telah dikaji sedalam-dalamnya selepas dua kali menerajui Malaysia selaku Perdana Menteri ke-4 dan Perdana Menteri le-7.

 

18. Kempen dan cadangan kerajaan perpaduan ini kembali timbul melalui cadangan Kempen Pause Malaysia, Gerakan Tengku Razaleigh Hamzah dan terbaru, cadangan yang dilontarkan oleh Mantan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

 

19. Hanya melalui pembentukan satu Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang dipilih oleh ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat mampu menangani krisis Covid-19 dan menerajui Malaysia keluar dari krisis ekonomi dan kadar pengangguran yang semakin meningkat. 

 

20. Rakyat tidak sanggup mengambil risiko pelantikan Perdana Menteri baru yang mungkin boleh merosakkan terus masa depan negara. Rakyat memerlukan khidmat Tun Dr Mahathir buat kali terakhir, sekurang-kurangnya sehingga kita terkeluar dari krisis yang ngeri ini.

 

21. Saya menyeru supaya semua ahli-ahli parlimen yang di beri mandat oleh rakyat untuk menyokong pemilihan Perdana Menteri baru dibuat secara terbuka melalui Dewan Rakyat.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan Teknologi, e-Dagang dan Mantan Pengerusi & Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan 

 

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB
© all rights reserved
made with by templateszoo