Responsive Ad Slot

Slider

SELAMATKAN MALAYSIA - SIRI 7: BELANJAWAN IMPIAN


SELAMATKAN MALAYSIA - SIRI 7

BELANJAWAN IMPIAN RAKYAT 2021

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjadi pemangkin kejayaan usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) yang boleh memberi peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan mengurangkan bebanan rakyat, sebuah belanjawan yang baik dan komprehensive perlu dibentangkan. Belanjawan impian itu perlu digubah berdasarkan masalah yang dihadapi rakyat marhaen dan kadar pengangguran yang dijangka meningkat lebih satu juta pada awal tahun 2021.

 

IMPIAN PENGANGGUR, KUMPULAN USAHAWAN MUDA, USAHAWAN KECIL DAN SYARIKAT-SYARIKAT BARU.

 

2. Penawaran pengecualian yuran untuk lesen perniagaan (dari pihak berkuasa tempatan) dan pembaharuan secara automatik bagi yang sedia-ada.

 

3. Menawarkan geran sehingga RM30,000 sebagai modal pendahuluan untuk pengusaha perniagaan dalam talian dari rumah dan/atau membuka gerai untuk berniaga yang memerlukan. Modal tersebut ialah untuk membeli stok dan keperluan asas bagi memulakan perniagaan. Ianya juga boleh digunakan sebagai aliran tunai bagi syarikat-syarikat yang mengalami masalah 'cashflow'.

 

4. Untuk perniagaan yang dijalankan di rumah atau gerai di depan rumah, pihak berkuasa tempatan diminta untuk mengeluarkan dan memudahkan permohonan lesen perniagaan serta menawarkan pengecualian yuran selama 2 tahun.

 

5. Menyediakan latihan percuma untuk khidmat pelanggan, kebersihan dan pengurusan untuk penjaja, pengusaha gerai, perniagaan dalam talian dan di rumah. Kalau kita ke negara jiran seperti Thailand (Bangkok) atau Singapura, tahap profesionalisme dan kebersihan gerai-gerai serta penjaja amatlah di kagumi.

 

6. Pengecualian yuran untuk mendaftar syarikat entreprise (atau syarikat milikan tunggal) bagi 2 tahun pertama untuk menggalakkan penganggur mengambil peluang ini untuk menjadi usahawan dengan kos minimal.

 

7. Pengurangan 50% yuran untuk persiapan dokumen statutori seperti penyerahan laporan Audit, fi untuk ejen cukai, fi kepada setiausaha syarikat dan lain-lain. Yuran yang dikenakan oleh syarikat audit, setiausaha syarikat dan ejen pencukaian menelan belanja beribu-ribu ringgit setiap tahun boleh memudaratkan  daya tahan sesebuah syarikat baru atau yang kurang aktif.

 

8. Melanjutkan tempoh pengecualian denda oleh SSM untuk penyerahan dokumen statutori seperti penyata kewangan dan pemfailan cukai. Walaupun diskaun 85% ditawarkan keatas kompoun RM5,000 yang dikenakan, jumlahnya masih terlampau tinggi untuk sesebuah syarikat yang terkesan dengan keadaan ekonomi dan Covid-19.

 

9. Subsidi sewa sebanyak RM1,000 sebulan kepada semua syarikat yang menyewa kedai dan pejabat untuk menggalakkan daya tahan PKS. Buat masa ini, banyak syarikat-syarikat telah ‘gulung tikar’ dan terdapat hampir 40% kekosongan premis di Lembah Klang.

 

10. Subsidi gaji sebanyak RM1,500 sebulan bersamaan dengan gaji minima untuk sepanjang tahun 2021. Subsidi ini terbuka kepada semua pekerja termasuk pekerja yang baru diambil supaya lebih ramai pekerja boleh direkrut dan mengelak proses pemberhentian kerja.

 

11. Subsidi pengiklanan dalam-talian sebanyak RM6,000 setahun (atau RM500 sebulan) untuk PKS, perniagaan gerai, penjaja, perniagaan dalam talian dan perniagaan dari rumah melalui syarikat-syarikat dan agensi media yang berdaftar dengan MDEC dan dibawah naungan Cradle. Dengan pelaksanaan PKP, ramai pelanggan digalakkan berada dirumah. Subsidi pengiklanan ini dapat membantu memberi daya tarikan yang lebih 'visible' kepada peniaga baru dan kecil. Seterusnya ia dapat meningkatkan jualan.

 

12. Subsidi untuk keperluan sanitasi Covid-19 kepada semua PKS yang mempunyai keuntungan bersih sebelum cukai RM300ribu setahun supaya majikan dapat memenuhi semua syarat SOP Majlis Keselamatan Negara. Banyak syarikat tidak beroperasi kerana tidak mampu memenuhi syarat-syarat yang dikenakan terutama jika terdapat jangkitan wabak di premis pejabat/kedai.

 

13. Pengecualian cukai pendapatan untuk semua syarikat enterprise dan sendirian berhad selama 2 tahun yang mempunyai keuntungan bersih sebelum cukai (PBT) dibawah RM100ribu setahun.

 

14. Moratorium pinjaman sepanjang tahun 2021 untuk semua pinjaman yang diambil oleh syarikat.

 

IMPIAN SETIAP ISI RUMAH DAN RAKYAT

 

15. Untuk meringankan perbelanjaan isi rumah, kerajaan digalakkan memberi pengecualian (atau pengurangan) Cukai Jalan (Road Tax) untuk tahun 2021 bagi sebuah kereta yang bersaiz 1.3cc kebawah untuk setiap warganegara.

 

16. Pengurangan premium insuran kereta sebanyak 50% untuk sebuah kereta setiap warganegara untuk tahun 2021. Akibat dari PKP, kereta yang dimiliki jarang digunakan.

 

17. Pengurangan cukai tanah, cukai pendapatan, cukai pintu dan cukai keuntungan harta tanah bagi golongan B40 dan M40.

 

18. Pengecualian yuran sekolah, yuran kolej dan yuran institut pengajian tinggi awam (IPTA).

 

19. Memandangkan ramai pelajar tidak dapat hadir ke sekolah, kerajaan harus memberi peruntukan kepada sekolah kerajaan untuk menyediakan satu laptop kepada setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan pelajar IPTA supaya semua murid dan pelajar dapat menghabiskan silibus pelajaran melalui pembelajaran dalam talian. 


20. Kementerian patut memberi lebih fokus dan memperkasakan serta menambah 'content' TV Pendididkan untuk kemudahan semua pelajar.

 

21. Melengkapkan infrastruktur fiber-optik internet ke seluruh Malaysia terutamanya di kawasan pendalaman, di Sabah dan di Sarawak supaya semua pelajar dan syarikat kecil mendapat manfaat perkhidmatan dalam talian.

 

21. Menawarkan kembali moratorium pinjaman terutamanya untuk pinjaman kereta dan rumah. Pinjaman-pinjaman ini merupakan dua perbelanjaan terbesar sesebuah keluarga. Tanpa di perkenalkan kembali moratorium ini, nescaya jumlah rakyat yang mungkin bankrap akan bertambah seperti semasa krisis kewangan tahun 1997.

 

22. Untuk memperkukuh kesejahteraan jasmani, kerajaan digalak memberi subsidi kepada warganegara untuk mengambil bahagian dalam senaman dan latihan berkumpulan luaran (outdoor) yang dijalankan oleh pengusaha-pengusaha senaman berkumpulan luaran. 

 

23. Program ini dapat menggalakkan rakyat untuk menjaga kesihatan dan pada masa yang sama, membantu pengusaha senaman berkumpulan yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Subsidi ini terbuka kepada semua pengusaha senaman luaran dan boleh dituntut mengikut jumlah pendaftaran ahli.

 

IMPIAN SEKTOR AUTOMOTIF

 

24. Pengecualian Cukai Jualan kereta (tax holiday) disambung untuk tahun 2021 supaya momentum jualan kereta baru dapat diteruskan. 

 

25. Peratusan kelulusan permohonan pinjaman sewa-beli kereta juga perlu dilonggarkan. Peratusan kelulusan jatuh lebih 20% semenjak pelaksaan PKP.

 

26. Industri automotif merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada jumlah pekerjaan. Jualan kereta baru juga menjadi pemangkin kepada ekosistem automotif termasuk bengkel-bengkel kereta, alat-ganti kereta, jualan kereta terpakai, insuran, aksesori kereta dan kedai-kedai ketuk & cat.

  

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp    

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2   

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW   

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB  

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj    

Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j 

 

    

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo