Responsive Ad Slot

Slider

KERJASAMA ANTARA GERAKAN EKONOMI MALAYSIA & MARDI CORPORATION DALAM USAHA MERUBAH LANSKAP PERTANIAN MALAYSIA

 

 

FOR IMMEDIATE RELEASE
GERAKAN EKONOMI MALAYSIA - GEM
KENYATAAN AKHBAR

KERJASAMA ANTARA GERAKAN EKONOMI MALAYSIA & MARDI CORPORATION DALAM USAHA MERUBAH LANSKAP PERTANIAN MALAYSIA

1.    Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) mengorak langkahnya dalam memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan keupayaan  MARDI Corporation, sebuah anak syarikat milik penuh Institut Penyelidikan & Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), dalam usaha memberikan nafas baharu sektor pertanian negara.

2.    Sehubungan dengan itu, GEM dan MARDI Corporation telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman untuk menetapkan terma dan syarat untuk penubuhan ladang pertanian campuran pada 26 Mac 2021 dengan disaksikan mantan Perdana Menteri, YB Tun Dr Mahathir Mohamad.

3.    Berkonsepkan penggabungan tanah-tanah pertanian yang menggunakan pertanian campuran berskala besar, usaha ini akan dilakukan dengan nasihat dan kerjasama dari MARDI. MARDI Corporation bakal menawarkan nasihat kepada GEM mengenai konsep, mekanisme dan unjuran pendapatan serta benih yang terbaik untuk memastikan hasil pulangan pertanian secara optimum. Sementara itu, GEM pula akan memberi tumpuan dalam mengenal pasti kawasan-kawasan tanah yang sesuai, perancangan korporat dan pengaturan pembiayaan untuk tujuan tersebut.



4.    Semasa upacara penandatanganan antara dua organisasi itu, Armin Baniaz Pahamin, Presiden GEM menekankan iltizam GEM untuk menguruskan ladang tersebut secara profesional melalui khidmat pakar-pakar dalam bidang pertanian dan mengadaptasi teknologi terkini bagi memastikan pengeluaran hasil tanaman yang lebih memberangsangkan. Projek penggabungan tanah-tanah pertanian sebesar 1,000 ekar ini akan dijayakan melalui sebuah koperasi yang bakal ditubuhkan sebagai ujian konsep. 

5.    Pertanian berskala besar ini akan memberikan impak ekonomi yang lebih baik dengan menggunakan teknologi terkini terutamanya dalam memantau nutrisi tanah, sistem pengairan, penggunaan mesin, kaedah penuaian dan teknologi logistik untuk pengedaran dan pemasaran.

6.    Armin mengulas bahawa amat menyayat hati apabila pihak GEM menerima aduan dan laporan yang mana kebanyakan petani kecil yang merangkumi lebih dari dua pertiga jumlah keseluruhan pekebun di Malaysia, memperoleh pendapatan serendah RM500 sebulan atau kurang. Mereka dilaporkan amat bergantung kepada subsidi dan bantuan pihak kerajaan untuk menyara kehidupan seisi keluarga. Lebih memburukkan keadaan, sebilangan besar petani itu terperangkap dalam hutang sehingga sanggup menggadai tanah bendang yang merupakan mata pencarian mereka.

7.    Usaha yang digerakkan oleh Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) adalah dengan satu tekad mulia iaitu bagi berusaha untuk mengakhiri tragedi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat petani dan peladang luar bandar dengan mana-mana pihak atau badan yang sedia bekerjasama dengannya.

8.    Melalui usahasama dan kaedah penggabungan tanah milik para pekebun kecil kearah konsep pertanian berskala besar, GEM berhasrat untuk menyediakan peluang kepada para petani untuk memperolehi pendapatan tetap yang konsisten berbanding kaedah pendapatan yang diterima buat masa ini.

9.    Sebilangan besar petani kecil di Malaysia masih tergolong dalam kategori B40, sedangkan Malaysia sedang mengimport lebih daripada RM50 bilion hasil pertanian setahun. GEM berkeyakinan melalui strategi dan perancangan yang tepat, negara tidak memerlukan hasil pertanian import dengan jumlah yang terlalu besar.

10.    “Menurut laporan dari Jabatan Perangkaan, dalam 42 komoditi pertanian , hanya 7 jenis buah yang cukup untuk memenuhi permintaan tempatan dan 7 jenis sayuran terpilih sahaja yang mempunyai pengeluaran yang mencukupi untuk permintaan domestik".

11.    Tun Dr. Mahathir yang ikut serta menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu memuji usaha ini dan mengatakan inisiatif ini seharusnya dilakukan 50 tahun yang lalu. Ramai petani kecil tidak memiliki ekonomi skala besar, penyelidikan atau pengetahuan untuk mengoptimumkan hasil pertanian dan GEM dijangka memainkan peranan penting dalam mengubah lanskap tersebut.

12.    Dr. Mahathir juga berkata walaupun semasa zaman penjajah, Inggeris datang ke Malaysia dan menanam getah serta mengusahakan berbagai ladang kerana tanah kita sememangnya subur. Mereka berjaya melakukannya melalui syarikat seperti Guhtrie dan pelbagai organisasi lain melalui pertanian berskala besar. Untuk berjaya, kita harus bersatu dan menghasilkan secara besar-besaran.

13.    Dr Mahathir menambah, “Teknologi dan inovasi MARDI dalam bidang pertanian dan makanan telah diterima sebagai standard emas di banyak Negara di Afrika dan Amerika Latin”.

14.    "Tun Mahathir yakin bahawa 'pengekstrakan nilai' kepakaran dan pengetahuan MARDI oleh MARDI Corporation akan terus meningkatkan taraf dan pendapatan petani di Negara ini".

15.    Zaidi Shahrim, Ketua Pegawai Eksekutif Mardi Corporation menyatakan bahawa, "projek ini akan menggunakan teknologi dan kepakaran dari MARDI yang akan dikemas oleh MARDI Corporation dalam usaha untuk memanusiakan teknologi dan menjadikannya tersedia untuk petani biasa dalam jangka waktu sehari-hari".

16.    Gerakan Ekonomi Malaysia adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan yang diterajui dan dianggotai oleh usahawan-usahawan berpengalaman serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang dengan tujuan untuk memperkasakan produk usahawan tempatan supaya mereka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Industri mikro, kecil dan sederhana adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan menyumbang lebih daripada 40% daripada KDNK Malaysia.

17.    Projek yang di perkasakan oleh GEM ini akan menjadi peneraju dan pendorong kepada agenda transformasi pertanian. Ia bakal membawa kepada peningkatan kecekapan operasi pertanian, pengoptimuman aset dan peningkatan produktiviti. Selain dari pertanian, GEM juga terlibat dalam perindustrian mikro dan ekosistem automotif.

End

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo