Responsive Ad Slot

Slider

RAKYAT HARUS MENILAI DASAR EKONOMI PARTI-PARTI POLITIK PADA PILIHANRAYA UMUM KE 15

DASAR-DASAR EKONOMI HARUS MENJADI KEUTAMAAN PADA PILIHANRAYA UMUM.

1. Kuala Lumpur. Pilihanraya Umum ke 15 adalah penentu kepada masa depan ekonomi negara dan rakyat harus peka dan cakna terhadap dasar-dasar dan polisi parti-parti politik. Dasar-dasar ekonomi parti politik harus menjadi keutamaan kepada pengundi semasa pilihanraya umum ke 15 nanti.
2. Dasar-dasar yang akan diperkenalkan dan perlaksanaan dasar tersebut menjadi tunggak kepada struktur ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia kembali sebagai Harimau Asia dan ini hanya boleh tercapai dengan memilih calon Perdana Menteri yang berkemampuan berdasarkan wawasan dan pengalaman.
3. Kemerosotan ekonomi Malaysia semakin tidak terkawal dengan kenaikan harga barangan, matawang yang semakin susut nilai, pengangguran yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin terkebelakang berbanding dengan negara-negara jiran dan negara Asia lain.
4. Walaupun pembangunan ekonomi adalah sasaran tetapi ianya akan lebih bermakna apabila rakyat mendapat manfaat dari pembangunan tersebut. Pembangunan ekonomi sekarang banyak memberi manfaat kepada pelabur luar dan kurang memberi fokus terhadap perlaksanaan dasar- dasar untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berdaya saing.
5. Ini terbukti dengan kemerosotan pemilikan ekuiti Bumiputera dari 23.4% pada 2011 kepada 17.2% berasaskan nilai pasaran tahun 2019. Pegangan asing pula meningkat dari 37.2% kepada 45.5%. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera juga jatuh dari 34.8% kepada 25% (namaan 12.3%). Bukan sahaja bangsa Melayu tetapi rakyat bukan Bumiputera juga tidak mendapat manfaat terutamanya akibat dari perlaksanaan dasar yang lemah.
6. Peratusan pemilikan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12% dan semakin mengecil. Kami risau Tanah Rizab Melayu akan pupus menjelang tahun 2050. Terbaru, tanah rizab Melayu di Kampung Sungai Baru di paksa jual dengan harga yang zalim. Dasar-dasar seperti ini merugikan orang Melayu dan tidak akan memberi manfaat dalam memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu yang semakin miskin di bawah pentadbiran kerajaan Melayu.
7. Peratusan pembabitan Bumiputera dalam berbagai industri juga semakin menguncup. Sebagai contoh, peratusan Bumiputera dalam rangkaian pengedar kereta nasional Proton juga telah jatuh kurang dari 20% dari lebih 60% beberapa tahun yang lepas.
8. Pemilikan Bumiputera dalam perusahaan industri kecil pula berjumlah 37% tetapi 88% dari jumlah itu berada di tahap usahawan mikro iaitu syarikat yang mempunyai jualan kurang dari RM300,000 setahun dan mempunyai kurang dari 5 orang pekerja. Bantuan dan penyampaian bantuan yang lebih efektif dan mudah perlu disalurkan kepada perniagaan mikro untuk mengembang dan melonjakkan mereka ke tahap industri kecil.
9. Malaysia memerlukan reset halatuju ekonomi supaya industri-industri utama negara dapat di manfaatkan kepada lebih banyak usahawan tempatan dan ini hanya boleh berlaku semasa pilihanraya umum ke 15. Rakyat harus lebih cakna dan pandai menilai dasar-dasar Parti Politik semasa pilihanraya dan bukan memilih mengikut nafsu.
10. Yang pasti pemimpin yang korup dan terpalit dengan rasuah harus ditolak sama sekali demi masa depan negara. Parti Pejuang Tanahair ditubuhkan bukan untuk melawan rakyat bukan Bumiputera tetapi untuk melawan pemimpin Melayu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Ini tentunya akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan dan bukan sahaja kepada bangsa Melayu.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti PEJUANG Tanahair
01.08.2022



0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo