Retorik Penjimatan RM20 Bilion: Realiti Hutang Negara Semakin Membimbangkan - Politiko.my
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin
Beliau menyandarkan kenyataan tersebut kepada pengurangan kadar pinjaman tahunan kerajaan, iaitu daripada RM100 bilion kepada RM80 bilion. Namun begitu, kenyataan ini menimbulkan pelbagai persoalan apabila diteliti dalam konteks kedudukan fiskal sebenar negara.
Secara zahir, pengurangan jumlah pinjaman tahunan mungkin kelihatan positif, tetapi angka ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada gambaran keseluruhan.
Hakikatnya, jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan telah terus meningkat kepada RM1.632 trilion pada tahun 2024, meningkat jauh daripada RM1.17 trilion pada hujung tahun 2022.
Ini bermakna bahawa sepanjang pentadbiran Datuk Seri Anwar, jumlah hutang negara sebenarnya meningkat lebih RM400 bilion, walaupun kadar pinjaman tahunan dikurangkan.
Lebih membimbangkan, kadar hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal tinggi, iaitu sekitar 70 peratus bagi tahun 2023 dan 2024.
Ini menunjukkan bahawa struktur fiskal negara tidak mengalami pembaikan yang ketara, dan negara masih berada dalam kedudukan fiskal yang rapuh dan berisiko tinggi.
Tambahan pula, jika diteliti dari sudut perundangan, had statutori hutang negara telah dinaikkan kepada 65 peratus daripada KDNK sejak tahun 2021 bagi membolehkan perbelanjaan tambahan semasa pandemik.
Kini, dengan hutang berada pada tahap hampir menyamai atau berpotensi melebihi had ini (jika mengambil kira liabiliti luar bajet dan jaminan kerajaan), negara berada dalam kedudukan yang semakin sempit dari segi ruang fiskal dan keupayaan berbelanja secara berhemah.
Kenyataan Perdana Menteri mengenai penjimatan RM20 bilion juga tidak mengambil kira hutang tersembunyi, seperti liabiliti luar bajet, komitmen pembayaran pembiayaan swasta (PFI), serta jaminan korporat yang ditanggung oleh entiti kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Contohnya, Pembinaan PFI Sdn Bhd sahaja menanggung lebih RM50 bilion hutang, namun ia tidak dikira sebagai sebahagian daripada hutang rasmi negara. Maka, jika semua liabiliti ini diambil kira secara menyeluruh, gambaran hutang negara adalah jauh lebih serius daripada yang dibentangkan kepada rakyat.
Lebih mendesak lagi ialah bagaimana kerajaan menangani defisit dan beban fiskal. Kerajaan dilihat semakin bergantung kepada pemindahan beban kewangan kepada rakyat.
Pelaksanaan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pengenalan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai barangan mewah (LVT), serta pengurangan subsidi bahan api dan elektrik, semuanya menunjukkan bahawa rakyat kini menanggung kesan langsung daripada kegagalan kerajaan mengurus fiskal dengan efisien.
Apa yang lebih mengecewakan ialah kekurangan ketelusan dalam tadbir urus kewangan negara. Tiada pelaporan menyeluruh mengenai kos pembayaran faedah hutang tahunan, komitmen luar jangka, atau penilaian keberkesanan langkah penjimatan kerajaan.
Malah, kenyataan Perdana Menteri kononnya pentadbiran beliau berjaya mengurus hutang dengan cekap dilihat sebagai tidak berpijak pada fakta sebenar.
Hakikatnya, tiada reformasi fiskal yang menyeluruh telah dilakukan. Pengurangan defisit yang diumumkan bukan datang daripada penstrukturan semula kewangan negara, tetapi semata-mata daripada kutipan cukai tambahan dan pemotongan subsidi.
Ini adalah strategi sementara yang menekan rakyat tanpa menyelesaikan punca sebenar ketidakseimbangan fiskal negara.
Sebagai rumusan, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) ingin menegaskan beberapa perkara penting:
Pertama, jumlah hutang negara telah meningkat secara drastik, bukan menurun seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri.
Kedua, dakwaan penjimatan RM20 bilion adalah bersifat separuh benar dan mengelirukan rakyat, kerana ia tidak mengambil kira pertambahan hutang keseluruhan dan liabiliti tidak langsung.
Ketiga, tiada reformasi struktur fiskal yang dilaksanakan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pinjaman.
Keempat, rakyat kini menjadi mangsa kepada kegagalan fiskal kerajaan, melalui kenaikan cukai dan pemotongan subsidi asas.
Kelima, tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan dalam mengurus hutang masih lemah dan perlu dipertingkatkan dengan segera.
Oleh itu, GEM menyeru kerajaan agar menghentikan retorik politik yang mengelirukan rakyat. Apa yang diperlukan sekarang bukanlah permainan angka, tetapi satu pelan fiskal jangka panjang yang mampan, telus dan adil kepada semua lapisan rakyat.
Negara memerlukan reformasi sebenar, bukan sekadar helah statistik untuk menutup kelemahan pentadbiran.
Dr Armin Baniaz Pahamin – Presiden, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM)
Artikel ini pertama dikeluarkan di https://politiko.my/retorik-penjimatan-rm20-bilion-realiti-hutang-negara-semakin-membimbangkan
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~