Responsive Ad Slot

Slider

Pengerusi PN baru harus Menjadi Penyatu dan bukan Calon Perdana Menteri


1. Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026 membuka satu ruang pembaharuan kepimpinan yang amat signifikan dan mesti dimanfaatkan secara matang, strategik serta berlandaskan kepentingan jangka panjang gabungan ini.

2. Perkembangan tersebut turut disusuli dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan lain dalam struktur PN, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN serta jawatan-jawatan berkaitan di peringkat negeri. 

3. Keadaan ini mencerminkan bahawa PN kini berada dalam fasa transisi kepimpinan yang kritikal dan memerlukan kestabilan baharu.

4. Dalam masa yang sama, dinamika dalaman PN yang dipaparkan melalui laporan media menunjukkan keperluan mendesak untuk suatu proses penstrukturan semula kepimpinan yang lebih tersusun, inklusif dan berteraskan konsensus, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

5. Dalam kerangka teori pengurusan gabungan (coalition governance), krisis transisi kepimpinan lazimnya mengundang dua risiko utama, iaitu fragmentasi dalaman yang berpunca daripada perebutan mandat dan perbezaan strategi antara komponen, serta kekaburan naratif kepada akar umbi mengenai arah tuju dan identiti sebenar gabungan.

6. Justeru, PN wajar melantik seorang pengerusi yang bukan sekadar pemegang jawatan, tetapi berfungsi sebagai simbol penyatuan nasional Melayu yang mampu mengurus kepelbagaian kepentingan parti komponen secara adil, seimbang dan berwibawa.

7. Sehubungan itu, saya menyatakan sokongan terbuka agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dipertimbangkan dan dipersetujui melalui konsensus Majlis Tertinggi PN sebagai Pengerusi Baharu Perikatan Nasional.

8. Tun merupakan seorang negarawan yang diiktiraf merentasi generasi. 

9. Wibawa dan pengalaman beliau amat penting untuk memulihkan keyakinan akar umbi, menurunkan suhu ketegangan dalaman, serta mengembalikan disiplin politik dalam kalangan komponen PN.

10. Dalam landskap pembangkang semasa, PN memerlukan seorang arbiter yang tidak dilihat mewakili mana-mana puak atau komponen secara eksklusif. 

11. Seorang pengerusi yang berfungsi sebagai pengimbang lebih berupaya memimpin musyawarah dan membina kesepakatan, bukan memenangi persaingan dalaman.

12. Bagi memantapkan keyakinan semua pihak, cadangan ini wajar disertai dengan satu prinsip yang jelas, iaitu Tun memegang jawatan Pengerusi sebagai penyatu, bukan sebagai calon Perdana Menteri. 

13. Prinsip ini penting bagi mengelakkan persepsi bahawa jawatan pengerusi dijadikan landasan untuk menguasai agihan kuasa atau membina laluan peribadi ke Putrajaya. 

14. Sekiranya Tun bersetuju, satu komitmen awam berhubung perkara ini akan mengukuhkan legitimasi kepimpinan beliau.

15. Gesaan Pemuda PN agar keputusan-keputusan besar dibuat melalui konsensus Majlis Tertinggi PN perlu dijadikan amalan institusi yang berterusan, bukan sekadar reaksi sementara terhadap krisis.

16. Sebagai pengerusi, Tun berperanan memperkukuh tadbir urus dalaman PN supaya setiap parti komponen berasa dihormati, dilindungi dan diberikan ruang yang adil dalam proses membuat keputusan.

17. Lantikan ini berpotensi mengangkat PN sebagai payung besar Melayu yang matang, berdisiplin dan bersatu, serta mampu menyusun kekuatan pembangkang untuk menawarkan alternatif kerajaan yang lebih berwibawa, stabil dan diyakini oleh rakyat.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin


0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo