Pada 29 November 2025, saya bersama rakan saya Dato Sri Khairuddin Abu Hassan telah membuat satu laporan polis mengenai Reciprocal Trade Agreement Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang didakwa ditandatangani oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump. Setakat ini sudah lebih 130 laporan polis telah di failkan di seluruh Malaysia.
Setelah meneliti dokumen rasmi perjanjian tersebut, saya amat bimbang kerana kandungannya memberi kelebihan besar kepada Amerika Syarikat dan membuka risiko besar kepada kedaulatan ekonomi serta keselamatan negara. Antara kebimbangan utama ialah tiada perlindungan terhadap eksport nadir bumi dan mineral kritikal Malaysia, kewajipan mematuhi syarat-syarat yang berat sebelah, dan potensi campur tangan asing dalam dasar ekonomi negara.
Lebih merisaukan, terdapat klausa yang menunjukkan Malaysia perlu merujuk dasar ekonomi dan peraturan tertentu kepada pihak Amerika sebelum membuat keputusan penting yang berkaitan sumber strategik negara. Hal ini menimbulkan persoalan besar dari sudut kedaulatan negara serta kemungkinan berlaku unsur penyalahgunaan kuasa atau pecah amanah dalam mengurus aset kritikal negara.
Isu ekonomi seperti ini tidak hanya menjejaskan kepentingan Bumiputera, tetapi memberi kesan langsung kepada seluruh ekosistem perniagaan dan ekonomi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Apa-apa keputusan yang melemahkan kedaulatan ekonomi negara akan merencatkan peluang pekerjaan, menekan perusahaan kecil dan sederhana, dan menjejaskan daya saing seluruh negara di peringkat global.
Perjanjian ini boleh dibatalkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia ditandatangani. Justeru menjadi harapan kita agar kerajaan membatalkan atau sekurang-kurangnya menyemak semula perjanjian ini secara menyeluruh, termasuk membawanya untuk dibahaskan di Parlimen. Setiap komitmen antarabangsa yang memberi kesan besar kepada ekonomi dan kedaulatan negara wajib melalui proses semak imbang yang telus dan terbuka.
Kita patut berasa malu. Tiada negara lain khususnya negara jiran yang di tekan sepertimana perjanjian yang kita tandatangani.
Saya juga percaya terdapat asas untuk siasatan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan sekiranya perjanjian ini memudaratkan kepentingan negara demi kuasa asing.
Oleh itu, saya memohon agar pihak polis menyiasat Perdana Menteri dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan ART 2025, termasuk pegawai MITI dan Peguam Negara. Rakyat berhak mengetahui sama ada keputusan ini dibuat secara bebas atau di bawah tekanan luar.
Laporan ini saya buat demi mempertahankan kedaulatan negara dan masa depan Malaysia. Tiada mana-mana pemimpin boleh mempertaruhkan keselamatan dan sumber strategik negara tanpa penelitian awam dan semak imbang yang sewajarnya.
Setakat ini, pada pengetahuan saya telah lebih 130 laporan polis difailkan di seluruh Malaysia berkenaan dengan Perjanjian Trump - Anwar.

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~