Responsive Ad Slot

Slider

DAP TERSUSUN, MELAYU BERGOLAK: SIAPA SEBENARNYA MENGURUS POLITIK NEGARA?


DAP TERSUSUN, MELAYU BERGOLAK: SIAPA SEBENARNYA MENGURUS POLITIK NEGARA?
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Pertelingkahan dalaman dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) wajar dihentikan dengan segera. Kenyataan-kenyataan polemik yang dibawa ke ruang awam termasuk daripada Dato Tun Faisal Ismail Aziz Ketua Penerangan Parti BERSATU, bukan sahaja tidak membantu memperkukuh kesepaduan politik Melayu, malah menjejaskan keyakinan akar umbi terhadap kematangan kepimpinan.

2. Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, ketidaktentuan ekonomi global berterusan dan PRU16 semakin menghampiri, politik jawatan dan konflik dalaman tidak sepatutnya mengatasi tanggungjawab terhadap mandat rakyat.

3. Namun di tengah kekusutan ini, satu perkara jelas, DAP menunjukkan disiplin politik yang jauh lebih tersusun.

4. Pada akhir Februari 2026, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa parti itu akan mengadakan persidangan kebangsaan pada 12 Julai 2026 bagi menentukan sama ada pemimpin DAP wajar terus memegang jawatan eksekutif dalam kerajaan atau melepaskannya. Keputusan ini dibuat selepas prestasi lemah dalam PRN Sabah pada 29 November 2025.

5. Walaupun berdepan kekalahan, kepimpinan DAP segera merujuk perkara itu kepada perwakilan. Ini menunjukkan satu ciri penting,  iaitu parti DAP responsif terhadap tekanan dan sentimen penyokong terasnya.

6. Beberapa bulan sebelumnya, pada 8 Disember 2025, penasihat DAP dan Ahli Parlimen Bagan, YB Lim Guan Eng mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri yang mengandungi sepuluh tuntutan bagi “memulihkan keyakinan rakyat”. 

7. Walaupun dibingkaikan sebagai reform tadbir urus, surat tersebut jelas menunjukkan bahawa DAP tidak teragak-agak menggunakan leverage politiknya dalam kerajaan untuk menekan hala tuju dasar.

8. Rombakan kabinet Disember 2025 menyaksikan DAP mengekalkan portfolio penting dan memperluas penglibatan dalam pentadbiran dengan tambahan lantikan baru Menteri dan Timbalan Menteri dari DAP. 

9. Tidak lama kemudian, cadangan kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur diumumkan. Isu Urban Renewal Act (URA) turut menjadi perbahasan nasional, khususnya berkaitan ambang persetujuan dan perlindungan pemilik minoriti dalam pembangunan semula strata.

10. Isu pengiktirafan UEC kembali dibangkitkan. Perbahasan ini sehingga menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong, satu perkembangan yang jarang berlaku dalam polemik dasar pendidikan.

11. Semua ini menunjukkan satu pola yang konsisten. DAP memperjuangkan agenda yang selari dengan pendirian tradisional parti dalam bidang pendidikan vernakular, reform pentadbiran bandar, pengiktirafan warisan budaya, dan pendekatan kesamarataan kewarganegaraan.

12. Masalahnya bukan pada hak mana-mana komuniti.

13. Masalahnya ialah bagaimana pendekatan tersebut berinteraksi dengan struktur perlembagaan Malaysia. Cadangan seperti pilihan raya Datuk Bandar, pengiktirafan UEC serta beberapa reform pentadbiran lain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu kerana ia dilihat berpotensi mengubah keseimbangan politik bandar dan tafsiran terhadap kerangka konsosiasional yang berkait dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

14. Malaysia bukan negara liberal homogen. Ia dibina atas kompromi konsosiasional iaitu satu keseimbangan antara kesamarataan kewarganegaraan dan pengiktirafan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153.

15. Apabila pendekatan kesamarataan formal ditekan tanpa mengambil kira dimensi sejarah dan struktur sosio-ekonomi, ia menimbulkan kebimbangan bahawa keseimbangan tersebut sedang diuji.

16. Inilah punca sebenar ketegangan bukan soal kebencian kaum, tetapi soal legitimasi struktur. 

17. Ketegangan politik di Malaysia sering muncul bukan kerana permusuhan antara komuniti, tetapi kerana perubahan persepsi terhadap keseimbangan institusi yang selama ini menjadi asas kestabilan negara.

18. Malaysia sejak merdeka beroperasi dalam model konsosiasional yang memerlukan pengurusan keseimbangan antara identiti, ekonomi dan kuasa politik. Apabila mana-mana unsur keseimbangan ini dilihat berubah terlalu pantas, reaksi politik hampir pasti akan muncul.

19. Dalam masa yang sama, parti-parti Melayu kelihatan terperangkap dalam percaturan dalaman. 

20. Tanpa disiplin dan hala tuju yang jelas, ruang politik menjadi tidak seimbang.

21. Ironinya, DAP lebih tersusun mempertahankan kepentingan penyokongnya berbanding parti-parti Melayu mempertahankan agenda struktural Melayu dalam kerangka perlembagaan. 

22. Politik tidak menghukum parti yang memperjuangkan penyokongnya secara konsisten. Politik menghukum parti yang gagal mempertahankan kepentingan penyokongnya sendiri.

23. Persoalannya kini bukan sama ada DAP patut kekal atau keluar.

24. Persoalannya ialah: Adakah konfigurasi politik semasa memperkukuh keseimbangan nasional, atau sekadar menangguhkan konflik persepsi?

25. DAP mungkin melihat dirinya sebagai pembawa reform kesamarataan. Namun dalam sistem konsosiasional seperti Malaysia, reform tanpa pengurusan keseimbangan boleh menghasilkan polarisasi, bukan penyatuan.

26. Dan dalam keadaan ini, penyusunan semula peranan termasuk kemungkinan DAP lebih berkesan sebagai pembangkang strategik, wajar dibincangkan secara rasional.

27. Akhirnya, masa depan negara tidak ditentukan oleh siapa paling lantang bersuara, tetapi oleh siapa paling bijak mengurus keseimbangan.

28. Jika parti-parti Melayu tidak segera memperkukuh kesatuan strategik mereka, maka jurang persepsi akan terus melebar bukan kerana satu parti terlalu kuat, tetapi kerana yang lain gagal bersatu.

Salam hormat, 
Dr Armin Baniaz Pahamin
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo