1. Apabila al-Quran dipijak dan gambarnya disebarkan di media sosial, umat Islam di Malaysia bukan sekadar terasa hati. Mereka melihatnya sebagai satu penghinaan terbuka terhadap agama dan kitab suci yang menjadi asas keimanan mereka.
2. Pihak polis telah bertindak dan individu yang terlibat telah didakwa di mahkamah. Itu adalah langkah yang betul dan wajar dihargai.
3. Namun yang menimbulkan kekecewaan dalam kalangan sebahagian rakyat ialah nada beberapa kenyataan pemimpin kerajaan selepas insiden ini berlaku.
4. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta masyarakat agar tidak terlalu emosional dan turut dilaporkan menyifatkan reaksi sebahagian ummah yang terkesan dengan insiden ini sebagai “melalak”, satu istilah yang dirasai seolah-olah menambah luka kepada perasaan umat Islam yang sudah pun tersinggung dengan penghinaan terhadap kitab suci Quran.
5. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan pula menekankan pendekatan pendidikan dan kesedaran.
6. Apabila kitab suci dipijak secara terbuka dan disebarkan secara kepada umum, adakah reaksi negara sepatutnya hanya berbentuk nasihat dan pendidikan?
7. Dalam masa yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan supaya tindakan tegas berlandaskan undang-undang diambil terhadap perbuatan tersebut, sebagai isyarat jelas bahawa penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan.
8. Titah ini mencerminkan kebimbangan yang turut dirasai oleh rakyat bahawa penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan.
9. Saya berdiri bersama Sultan Pahang, ahli-ahli politik, NGO dan rakyat Malaysia yang menuntut supaya tindakan tegas diambil agar kes ini menjadi pengajaran dan teladan, supaya perbuatan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.
10. Ini bukan soal emosi.
11. Ini soal prinsip.
12. Malaysia adalah negara majmuk yang hanya boleh kekal aman jika setiap agama dihormati.
13. Jika penghinaan terhadap kitab suci dibiarkan atau ditangani dengan terlalu berhati-hati, ia akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat.
14. Rakyat tidak meminta tindakan di luar undang-undang.
15. Rakyat hanya mahu melihat undang-undang ditegakkan dengan tegas apabila maruah agama dihina.
16. Kerana keamanan negara ini tidak dibina atas sikap berdiam diri.
17. Ia dibina atas prinsip saling menghormati yang dipertahankan dengan tegas.
Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
Dr Armin Baniaz Pahamin

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~