HIMPUNAN SOLIDARITI DAULAT TUANKU BUKAN SOAL POLITIK KEPARTIAN, TETAPI SOAL MEMPERTAHANKAN TIANG UTAMA NEGARA
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin
“Apabila institusi Raja mula dipersoalkan secara terbuka selepas sesuatu titah dibuat dengan jelas dan tegas, rakyat tidak lagi boleh berdiam diri. Dalam sistem Raja Berperlembagaan Malaysia, mempertahankan institusi diraja bermaksud mempertahankan kestabilan negara itu sendiri.”
1. Himpunan Solidariti Daulat Tuanku yang bakal berlangsung di Selangor bukan sekadar satu perhimpunan politik biasa. Ia merupakan manifestasi kebimbangan rakyat terhadap trend yang semakin membimbangkan apabila titah institusi diraja mula dipolemikkan, dicabar dan dipersoalkan secara terbuka oleh pihak tertentu.
2.Titah Sultan Selangor telah dizahirkan dengan amat jelas dan tegas. Pendirian baginda berkaitan isu penternakan babi dibuat atas pertimbangan kepentingan rakyat, sumber air, alam sekitar dan keharmonian negeri.
3. Namun malangnya, selepas titah tersebut dizahirkan, masih wujud suara-suara dalam kerajaan yang terus mempolemikkan isu ini seolah-olah titah Sultan boleh diperdebatkan menurut selera politik mereka.
4. Inilah bahaya sebenar politik hari ini.
5. DAP dan beberapa pimpinan dalam Kerajaan Madani kini semakin dilihat bukan sahaja gagal memahami sempadan sensitiviti dalam sistem Raja Berperlembagaan, malah semakin berani menguji had kesabaran rakyat terhadap perkara-perkara yang menyentuh institusi diraja, agama Islam dan asas Perlembagaan negara.
6. Ironinya, UMNO sebagai satu-satunya parti Melayu terbesar dalam Kerajaan Madani, yang selama puluhan tahun mendakwa dirinya benteng orang Melayu dan pelindung institusi Raja-Raja Melayu, kini kelihatan hampir sepenuhnya membisu ketika institusi tersebut dipolemikkan secara terbuka.
7. Sebab itu rakyat perlu hadir berhimpun secara aman dan tertib untuk menyatakan solidariti kepada Sultan Selangor.
8. Rakyat tidak boleh terus berdiam diri apabila institusi utama negara mula dipersoalkan secara terbuka.
9. Ini bukan bermaksud rakyat menolak demokrasi, tetapi ia menunjukkan bahawa rakyat masih memahami asas pembentukan negara ini dan masih menghormati institusi yang menjadi tunjang kestabilan Malaysia sejak merdeka.
10. Lebih penting, himpunan seperti ini perlu dilihat sebagai mesej bahawa rakyat tidak mahu budaya penghinaan terhadap institusi negara menjadi normal dalam masyarakat.
11. Kita boleh berbeza parti politik. Kita boleh berbeza ideologi. Tetapi apabila melibatkan kedaulatan institusi Raja, kestabilan negeri dan keharmonian masyarakat, seluruh rakyat Malaysia harus berdiri bersama mempertahankannya.
12. Perhimpunan ini juga penting untuk menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mampu bersolidariti secara aman di bawah lunas Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara.
13. Dalam keadaan politik negara yang semakin tegang, berpecah dan kehilangan titik persefahaman bersama, institusi diraja kekal menjadi antara benteng terakhir kestabilan yang masih dihormati merentasi parti politik dan kaum.
14. Sebab itu rakyat perlu menyokong himpunan ini.
15. Bukan kerana kebencian terhadap mana-mana kaum atau parti politik.
16. Tetapi kerana negara ini tidak akan kekal stabil apabila penghormatan terhadap institusi Raja mula dipandang ringan, dipersoalkan secara terbuka dan dijadikan bahan polemik politik.
17. Apabila benteng penghormatan terhadap institusi utama negara mula runtuh, yang akan menyusul selepas itu ialah perpecahan, ketegangan dan hilangnya keseimbangan yang selama ini menjadi asas kestabilan Malaysia.
18. Daulat Tuanku.
Daulat Institusi Raja-Raja Melayu.
~ Dr Armin Baniaz Pahamin

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~