Responsive Ad Slot

Slider

BERSATU PERLU JUJUR, PN PERLU TEGAS


BERSATU PERLU JUJUR, PN PERLU TEGAS
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Polemik mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN) tidak boleh terus dibiarkan tergantung. Secara peraturan, BERSATU mungkin masih menjadi anggota PN selagi belum ada keputusan rasmi badan tertinggi gabungan yang menggantung atau menamatkan keahliannya. Namun, keahlian dalam sesebuah gabungan politik tidak boleh dinilai berdasarkan kedudukan teknikal semata-mata. Ia juga menuntut kesetiaan kepada keputusan bersama, disiplin organisasi dan matlamat politik yang dipersetujui.

2. Contoh paling nyata berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan 2026 apabila BERSATU mengambil keputusan bertanding menggunakan lambangnya sendiri di 24 daripada 36 kerusi DUN setelah rundingan kerusi dengan PN gagal dimuktamadkan. Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan BERSATU bergerak secara solo, malah membawa kepada pertembungan dengan calon PN, termasuk di Serting, Ampangan, Paroi dan Bagan Pinang. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkannya sebagai tindakan bertanding menentang parti sendiri. 

3. Keputusan tersebut mempunyai akibat politik yang nyata. BERSATU gagal memenangi satu pun daripada 24 kerusi yang ditandinginya, malah kehilangan DUN Labu yang dimenangi sebelum itu. Kekalahan ini menunjukkan bahawa tindakan bergerak sendirian bukan sahaja memecahkan kekuatan pembangkang, tetapi turut mengecilkan ruang politik BERSATU sendiri. Dalam pilihan raya, kesetiaan kepada gabungan tidak diukur melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui rundingan kerusi, penggunaan lambang, penyelarasan calon dan kesediaan mengelakkan pertembungan sesama sendiri. 

4. Walau bagaimanapun, prinsip keadilan menuntut supaya BERSATU tidak dihukum hanya berdasarkan kenyataan individu, andaian politik atau tafsiran sebelah pihak. Jika Perlembagaan PN menetapkan proses tertentu untuk menggantung atau menamatkan keahlian sesebuah parti komponen, proses itu wajib dihormati. Sebuah gabungan yang mahu diberikan amanah mentadbir negara mesti terlebih dahulu membuktikan bahawa ia mampu menguruskan pertikaian dalamannya secara teratur, telus dan berperlembagaan.

5. Namun, hak kepada proses yang adil tidak memberikan BERSATU kebebasan untuk mengekalkan kedudukan yang kabur. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membayangkan pembentukan sebuah gabungan politik baharu, tetapi pada masa yang sama menegaskan bahawa BERSATU berhak kekal dalam PN kerana merupakan antara parti pengasasnya. Kedua-dua pendirian ini menimbulkan persoalan yang sah: adakah BERSATU mahu memperkukuh PN atau sedang menyediakan sebuah gabungan alternatif untuk menggantikannya?

6. BERSATU tidak boleh menuntut segala hak sebagai anggota PN, termasuk kedudukan dalam struktur gabungan dan ruang dalam rundingan kerusi, tetapi pada masa yang sama bertindak seolah-olah tidak lagi terikat dengan keputusan dan hala tuju bersama. Hak sebagai parti pengasas bukan lesen untuk bergerak dalam dua arah yang bertentangan. Sebuah parti tidak boleh meletakkan sebelah kaki dalam PN dan sebelah lagi dalam gabungan politik yang sedang dirancangnya sendiri.

7. Jika BERSATU masih mahu kekal dalam PN, parti itu mesti menyatakan komitmennya secara rasmi dan tanpa syarat yang mengelirukan. BERSATU perlu menjelaskan keputusannya bertanding menentang calon PN di Negeri Sembilan, menerangkan kedudukan sebenar cadangan pembentukan gabungan baharu serta memberikan jaminan bahawa tindakan sedemikian tidak akan berulang menjelang PRU16. Komitmen kepada gabungan mesti dibuktikan melalui tindakan, bukannya sekadar tuntutan terhadap hak keahlian.

8. Sebaliknya, jika BERSATU telah memilih untuk membentuk gabungan baharu dan bergerak menggunakan identiti politiknya sendiri, jalan yang lebih jujur dan bermaruah ialah meninggalkan PN secara tertib. Berpisah secara baik jauh lebih terhormat daripada mempertahankan keahlian secara teknikal sedangkan kepercayaan politik, disiplin bersama dan matlamat strategik sudah tidak lagi wujud. Politik matang menuntut keberanian untuk menerima akibat daripada pilihan yang dibuat.

9. BERSATU juga perlu bermuhasabah mengapa hubungannya dengan hampir semua rakan politik utamanya semakin terhakis. BERSATU pernah membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2020 dengan Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri melalui sokongan PAS, UMNO serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Setelah kerjasama dengan UMNO berakhir, PAS kekal sebagai rakan terpenting yang membantu BERSATU membina kekuatan PN. Apabila hubungan dengan PAS turut retak, BERSATU sebenarnya sedang kehilangan paksi utama yang selama ini menopang kedudukan politiknya.

10. Keputusan PRN Johor 2026 sepatutnya menjadi amaran tambahan. PN bertanding di 33 kerusi, termasuk 16 calon BERSATU dan 11 calon PAS, tetapi gagal memenangi satu kerusi pun. Kekalahan itu menunjukkan kelemahan PN yang memerlukan pembaikan menyeluruh, bukannya perpecahan yang lebih besar. Namun, selepas keputusan tersebut, BERSATU memilih untuk bergerak sendiri di Negeri Sembilan dan sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi. Dua keputusan berturut-turut itu memperlihatkan bahawa perpecahan dan kekeliruan strategi tidak menguntungkan BERSATU mahupun pembangkang. Sebaliknya, keadaan tersebut hanya memudahkan lawan politik.

11. Kembali kepada Pakatan Harapan juga bukan penyelesaian yang mudah. Sekiranya BERSATU kembali kepada PH tanpa penjelasan ideologi yang meyakinkan, langkah itu boleh dilihat sebagai bukti bahawa parti tersebut telah kehilangan landasan perjuangan dan hanya bergerak berdasarkan keperluan untuk terus bertahan. Hubungan semula dengan PH, khususnya DAP, juga berisiko menghakis baki sokongan Melayu yang selama ini menjadi asas politik BERSATU.

12. PN pula tidak boleh hanya menunggu BERSATU membuat keputusan. PN perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Disiplin yang bebas, mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memberikan tempoh munasabah kepada BERSATU untuk menjawab isu yang dibangkitkan. Antara perkara yang perlu dijelaskan ialah pertembungan dengan calon PN di Negeri Sembilan, penggunaan lambang sendiri, keputusan bertanding di luar penyelarasan calon PN serta cadangan membentuk gabungan politik baharu.

13. Setelah menilai fakta dan jawapan BERSATU, jawatankuasa tersebut boleh memperakukan tindakan berbentuk amaran, penggantungan atau penamatan keahlian kepada badan tertinggi PN, tertakluk kepada perlembagaan gabungan. Proses ini penting supaya sebarang keputusan tidak dilihat sebagai tindakan balas dendam politik atau percubaan mana-mana parti menguasai PN. Ketegasan mesti disertai keadilan, manakala keadilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan keputusan tanpa batas waktu.

14. Penyelesaian rasmi ini penting bukan semata-mata untuk menentukan nasib BERSATU, tetapi untuk memulihkan disiplin dan kredibiliti PN menjelang PRU16. Rundingan kerusi, penyelarasan jentera, pemilihan calon dan pembentukan strategi bersama tidak mungkin dilakukan dengan berkesan selagi status salah satu parti komponennya terus berada dalam keadaan separuh masuk dan separuh keluar. Pengundi juga berhak mengetahui siapakah yang benar-benar berada dalam PN dan siapakah yang sedang merancang haluan lain.

15. Sudah tiba masanya BERSATU memilih dan PN memutuskan. BERSATU berhak memperoleh proses yang adil, tetapi PN juga berhak menuntut kepastian, disiplin dan kesetiaan daripada setiap parti anggotanya. Politik yang matang bukan sekadar mempertahankan kedudukan berdasarkan peruntukan teknikal, tetapi berani bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri. Tidak boleh ada dua haluan, dua kesetiaan dan dua nakhoda dalam sebuah bahtera yang sama.

Dr Armin Baniaz Pahamin 
27.08.2026
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo