Responsive Ad Slot

Slider

PENGAMPUNAN BERSYARAT NAJIB - PERJELAS PERINTAH MAHKAMAH, LAKSANA TITAH TANPA LENGAH


PENGAMPUNAN BERSYARAT NAJIB - PERJELAS PERINTAH MAHKAMAH, LAKSANA TITAH TANPA LENGAH
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Sejak 6 November, perhatian ramai tertumpu pada salinan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang beredar di media sosial. Antara perkara yang dipersoalkan ialah frasa “Tinggi Court”, ejaan nama Datuk Seri Najib Razak yang tidak konsisten dan rujukan kepada seksyen undang-undang. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengakui terdapat kesilapan yang ketara, tanpa memperincikannya dalam kenyataan yang dilaporkan.

2. Namun, siapa yang menanggung akibat apabila institusi mengambil masa untuk menyelesaikan kekeliruan itu? Denda RM50 juta telah dibayar pada 6 November, tetapi Najib dilaporkan dibawa semula ke Penjara Kajang pada hari yang sama selepas pelaksanaan tahanan di rumah ditangguhkan.

3. Pada 18 September 2026, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028. Istana Negara menegaskan bahawa syarat pengampunan telah dipenuhi dan perintah itu hanya terpakai kepada kes SRC.

4. Perintah Pengampunan Bersyarat dan Perintah Pelepasan ialah dua dokumen yang perlu dibaca bersama. Yang pertama menetapkan cara baki hukuman SRC perlu dijalani. Yang kedua, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), mengarahkan pelepasan serta-merta selepas pembayaran denda dan turut menyatakan bahawa baki hukuman perlu dijalani secara tahanan di rumah.

5. Jika salinan rasmi mengandungi kesilapan perkeranian seperti yang dilaporkan, mahkamah yang mengeluarkan perintah itu wajar menyemak dan membetulkannya segera. Mahkamah juga perlu memperjelas maksud arahan pelepasan kerana kesan undang-undangnya tidak dapat diselesaikan dengan membetulkan ejaan atau rujukan seksyen semata-mata.

6. Perintah Pelepasan ialah dokumen Mahkamah Tinggi. Ia ditandatangani Timbalan Pendaftar dan membawa kuasa mahkamah. Siapa pun yang menyediakan draf awal, tanggungjawab menyemak, meluluskan dan memeterainya terletak pada pegawai mahkamah.

7. AGC telah menyatakan bahawa ia menghormati titah pengampunan dan memohon penentuan mahkamah tentang kesan Perintah Pelepasan terhadap baki hukuman SRC. Persoalannya ialah sama ada hukuman itu masih berjalan atau telah tamat. Jawapannya penting kerana hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB diperintahkan bermula selepas hukuman penjara dalam kes SRC selesai.

8. Pada hemat saya, tafsiran yang paling selaras dengan titah ialah pembayaran RM50 juta menyelesaikan komponen denda dan memenuhi syarat untuk menjalani baki hukuman SRC di rumah. Bacaan ini memberi kesan kepada kedua-dua arahan dalam Perintah Pelepasan. Najib boleh dilepaskan dari Penjara Kajang untuk meneruskan baki hukuman SRC secara tahanan di rumah.

9. Pendirian Istana Negara bahawa pengampunan itu terhad kepada kes SRC wajar dihormati. Kesan terhadap tarikh permulaan hukuman 1MDB pula bergantung pada penentuan mahkamah tentang status hukuman SRC. Jika mahkamah mengesahkan bahawa hukuman SRC diteruskan secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, pembayaran denda pada 6 November tidak dengan sendirinya mempercepat permulaan hukuman 1MDB.

10. Oleh sebab persoalan ini menentukan di mana Najib menjalani hukumannya, AGC wajar memohon pendengaran segera dan memaklumkan garis masa tindakan itu kepada umum. Sementara menunggu keputusan, pihak berkuasa juga perlu menjelaskan asas undang-undang bagi sebarang penangguhan yang berterusan.

11. Sekiranya tiada halangan undang-undang, Jabatan Penjara perlu melaksanakan tahanan di rumah tanpa lengah. Jika arahan lanjut mahkamah diperlukan, arahan itu hendaklah dipohon segera supaya Najib mendapat kepastian tentang cara baki hukumannya akan dijalani.

12. Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga wajar menyemak tatacara penyediaan dan pengesahan perintah yang memberi kesan langsung kepada tahanan seseorang. Nama, peruntukan undang-undang dan arahan pelaksanaan mesti disemak sebelum perintah dikeluarkan. Semakan itu penting bagi setiap orang yang kebebasannya bergantung pada ketepatan dokumen mahkamah.  

13. Rakyat boleh bersetuju atau tidak dengan pengampunan ini, dan itu ruang perbahasan yang sah. Tetapi apabila titah telah dikeluarkan dan setiap syarat dipenuhi, kecuaian pentadbiran tidak boleh bertukar menjadi hukuman tambahan. Kedaulatan undang-undang bermaksud institusi bertanggungjawab atas kesilapannya sendiri, bukan menyuruh orang lain membayarnya.

Dr Armin Baniaz Pahamin

Penganalisis Politik dan Ekonomi

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo