Responsive Ad Slot

Showing posts with label RMK13. Show all posts
Showing posts with label RMK13. Show all posts

GEM tuntut lima pembaharuan dalam RMK13

PETALING JAYA: Kerajaan dituntut untuk melaksanakan lima pembaharuan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyelesaikan isu sebenar permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.


Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, pembaharuan itu adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Pengawasan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk semak dan imbang.

Katanya, kerajaan dituntut membentangkan Rang Undang-Undang Reformasi Perolehan dan Anti-Rasuah Nasional dan mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Kerajaan juga dituntut untuk menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh serta merombak semula hubungan Persekutuan -Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir dan pembangunan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armin Baniaz berkata, tuntutan itu dikeluarkan GEM selepas melihatkan bahawa RMK13 yang diumumkan minggu lalu bersifat terlalu banyak retorik dan kurang teliti kerana tidak menyentuh isu-isu penting iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.

Katanya, hal ini disebabkan lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan PPP bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan dalam erti kata lain bukan pelaburan negara.

“Tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang Parlimen.

“Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa Parlimen diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.

“Pada masa sama, kerajaan melaungkan inisiatif AI (Kecerdasan Buatan) Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam, namun tiada penjelasan konkrit mengneai kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera,” katanya.

Tambahnya lagi, RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan kerana ketiadaan klausa kandungan tempatan (local content), mekanisme untuk menyokong Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.

Pada masa sama, katanya, walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi Sumbangan Tunai Rahmah (STR)dan pendidikan percuma namun ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat.

“Ia gagal menangani permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.

“Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu,” katanya.

Terakhir, Armin Baniaz berkata, paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sistem pelantikan kehakiman dan tiada perincian perkongsian kuasa serta hasil dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak.-UTUSAN

RMK13 rancangan pembangunan yang gagal sentuh jantung krisis

Kerajaan melancarkan RMK13 dengan semangat tinggi bawah tema Melakar Semula Pembangunan, namun ia hanyalah satu lagi rancangan lima tahun yang terlalu banyak retorik, terlalu kurang realiti.

Di sebalik angka besar RM611 bilion, janji 1 juta rumah mampu milik, revolusi AI dan ekonomi Madani, hakikatnya RMK13 mengelak dan tidak menyentuh jantung permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar.

Berikut lima kritikan utama kami terhadap RMK13:

(1) Dana besar, tapi tanggungjawab kecil. Siapa kawal GLIC dan PPP?

Lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan kerjasama awam-swasta (PPP), bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan. Ini bukan pelaburan negara dalam erti kata sebenar, tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang parlimen.

Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa parlimen yang diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.

(2) Revolusi digital tanpa tulang belakang: AI hebat tapi sistem data bocor

Kerajaan melaungkan inisiatif AI Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam. Namun, tiada penjelasan konkrit tentang kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar, atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera.

Transformasi digital tanpa asas keselamatan, literasi teknologi dan kesediaan infrastruktur hanya akan mencipta jurang digital yang lebih luas dan menjadikan golongan B40 dan luar bandar sebagai "kelas bawahan digital" yang terus tertinggal.

(3) Sasaran eksport RM1 trilion tapi tiada dasar nilai tambah tempatan

RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan. Tiada klausa local content, tiada mekanisme untuk menyokong IKS, dan tiada insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.

Akhirnya, kita berisiko kekal sebagai negara pasang dan bungkus, tanpa pemilikan teknologi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, atau peningkatan daya saing tempatan.

(4) Kebajikan disulam tapi tanpa pembaharuan struktural

Walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi STR dan pendidikan percuma, ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat seperti permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan KKM, dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.

Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu.

(5) Mengelak perbahasan teras: institusi lemah, federalisme sempit


Yang paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi. Tiada pengukuhan SPRM, tiada pembaharuan sistem pelantikan kehakiman, dan tiada perincian bagaimana kuasa dan hasil akan dikongsi semula dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak. Belanja besar infrastruktur tanpa reformasi sistem perolehan hanyalah memberi laluan kepada kronisme dan konsesi yang tidak dipertanggungjawabkan.

Gerakan Ekonomi Malaysia menuntut supaya kerajaan:

  1. Menubuhkan jawatankuasa parlimen pengawasan GLIC & PPP untuk semak dan imbang.

  2. Membentangkan RUU reformasi perolehan dan antirasuah nasional.

  3. Mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.

  4. Menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh.

  5. Merombak semula hubungan Persekutuan-Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir urus dan pembangunan tempatan.

RMK13 tak boleh jadi sekadar dokumen cantik ala manifesto 

Rakyat Malaysia telah berkali-kali menyaksikan rancangan yang cantik di atas kertas tetapi gagal dilaksanakan. Peruntukan besar diumumkan, namun kehidupan rakyat tetap sukar. Sudah tiba masanya kita bersuara dengan berani, menolak retorik, dan menuntut pembaharuan yang nyata dan menyeluruh.

Jika RMK13 tidak dikaji semula, ia akan menjadi satu lagi dokumen megah yang gagal dan mungkin RMK terakhir sebelum rakyat hilang keyakinan sepenuhnya terhadap sistem yang sedia ada.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.

Artikel ini pertama di keluarkan di MalaysiaKinihttps://www.malaysiakini.com/news/751101

© all rights reserved
made with by templateszoo