PETALING JAYA: Kerajaan dituntut untuk melaksanakan lima pembaharuan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyelesaikan isu sebenar permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, pembaharuan itu adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Pengawasan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk semak dan imbang.
Katanya, kerajaan dituntut membentangkan Rang Undang-Undang Reformasi Perolehan dan Anti-Rasuah Nasional dan mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas serta bertanggungjawab kepada Parlimen.
“Kerajaan juga dituntut untuk menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh serta merombak semula hubungan Persekutuan -Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir dan pembangunan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armin Baniaz berkata, tuntutan itu dikeluarkan GEM selepas melihatkan bahawa RMK13 yang diumumkan minggu lalu bersifat terlalu banyak retorik dan kurang teliti kerana tidak menyentuh isu-isu penting iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.
Katanya, hal ini disebabkan lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan PPP bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan dalam erti kata lain bukan pelaburan negara.
“Tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang Parlimen.
“Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa Parlimen diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.
“Pada masa sama, kerajaan melaungkan inisiatif AI (Kecerdasan Buatan) Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam, namun tiada penjelasan konkrit mengneai kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera,” katanya.
Tambahnya lagi, RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan kerana ketiadaan klausa kandungan tempatan (local content), mekanisme untuk menyokong Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.
Pada masa sama, katanya, walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi Sumbangan Tunai Rahmah (STR)dan pendidikan percuma namun ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat.
“Ia gagal menangani permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.
“Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu,” katanya.
Terakhir, Armin Baniaz berkata, paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sistem pelantikan kehakiman dan tiada perincian perkongsian kuasa serta hasil dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak.-UTUSAN
Artikel ini pertama dikeluarkan di Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/nasional/2025/08/gem-tuntut-lima-pembaharuan-dalam-rmk13/

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~