Apabila ideologi DAP melangkaui Perlembagaan Persekutuan
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin
Kenyataan media oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berhubung isu hiasan perayaan serta keperluan “kesamarataan” dalam pelaksanaan dasar perlu diteliti secara lebih mendalam dan diletakkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta realiti struktur ekonomi negara.
Inilah antara masalah utama apabila pemimpin yang berkompaskan ideologi dan perlembagaan parti DAP dilantik dalam jemaah menteri tanpa kefahaman tuntas terhadap asas pembentukan negara dan kontrak sosial.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu memahami bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu cadangan dasar atau polisi sementara.
Sebaliknya satu mandat perlembagaan yang mewajibkan kerajaan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, termasuk dalam aspek ekonomi, pendidikan dan keusahawanan.
Bantuan kepada usahawan Bumiputera bukanlah satu bentuk keistimewaan yang diberi secara sewenang-wenangnya, tetapi hak yang dijamin oleh Perlembagaan untuk membetulkan ketidakseimbangan struktur ekonomi yang wujud sejak sebelum merdeka.
Orang Melayu tidak pernah menafikan hak kaum bukan Bumiputera. Realiti ekonomi Malaysia sendiri membuktikan perkara ini.
Statistik kekayaan dan pemilikan aset menunjukkan bahawa sembilan daripada sepuluh individu terkaya di Malaysia adalah bukan Bumiputera.
Ini jelas menunjukkan bahawa peluang ekonomi untuk kaum lain bukan sahaja terbuka, malah berkembang pesat.
Kenyataan Menteri DAP yang baru dilantik ini telah menidakkan hak Bumiputera apabila semua kaum diletakkan pada kedudukan yang sama tanpa mengambil kira peruntukan khusus Perlembagaan Persekutuan berasaskan kaum, bangsa dan agama.
Data rasmi dan kajian ekonomi menunjukkan gambaran yang membimbangkan.
Setakat tahun 2024, pemilikan Bumiputera dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) hanyalah sekitar 30%, walaupun Bumiputera merupakan majoriti penduduk negara.
PMKS merangkumi hampir 98% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, menyumbang kira-kira 38% kepada KDNK negara dan hampir separuh peluang pekerjaan.
Sektor makanan dan hotel yang sering dijadikan contoh, sememangnya melibatkan ramai usahawan Bumiputera, namun majoritinya berada pada skala mikro dan kecil, beroperasi dengan margin rendah, akses modal terhad dan daya tahan perniagaan yang lemah.
Hakikat ini membuktikan bahawa tanpa sokongan bersasar, usahawan Bumiputera bukan sahaja sukar untuk berkembang, malah berisiko untuk terus ketinggalan dalam rantaian nilai ekonomi.
Kemarahan orang Melayu hari ini bukan berpunca daripada sikap menolak kepelbagaian atau menafikan hak kaum lain. Kemarahan ini lahir apabila hak perlembagaan mereka sendiri dipersoalkan atau diketepikan.
Khususnya oleh menteri yang baru dilantik dan dilihat gagal memahami sensitiviti sejarah, perlembagaan dan struktur ekonomi negara.
Lebih membimbangkan, kemarahan ini turut tertumpu kepada pemimpin Melayu dalam Kerajaan Madani.
Khususnya daripada UMNO, yang dilihat gagal mempertahankan kepentingan usahawan Melayu dan Bumiputera apabila dasar dan kenyataan yang menghakis Perkara 153 mula dinormalisasikan.
Isu ini bukan soal hiasan perayaan semata-mata, tetapi soal hala tuju dasar negara. Malaysia tidak dibina atas asas kesamarataan mutlak, tetapi atas prinsip keadilan berperlembagaan.
Selagi jurang ekonomi Bumiputera masih wujud, selagi itulah sokongan bersasar melalui kementerian seperti KUSKOP bukan sahaja wajar, malah wajib.
Kerajaan yang bertanggungjawab perlu memastikan bahawa setiap kenyataan dasar selari dengan Perlembagaan Persekutuan, menghormati kontrak sosial, dan tidak menambah keresahan dalam kalangan rakyat yang sekian lama memegang amanah untuk mempertahankan kestabilan negara.
Dr Armin Baniaz Pahamin
Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin




