Responsive Ad Slot

Showing posts with label Perjanjian ART 2025. Show all posts
Showing posts with label Perjanjian ART 2025. Show all posts

Laporan Polis Berhubung Perjanjian Anwar-Trump ART 2025


Pada 29 November 2025, saya bersama rakan saya Dato Sri Khairuddin Abu Hassan telah membuat satu laporan polis mengenai Reciprocal Trade Agreement Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang didakwa ditandatangani oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump. Setakat ini sudah lebih 130 laporan polis telah di failkan di seluruh Malaysia.

Setelah meneliti dokumen rasmi perjanjian tersebut, saya amat bimbang kerana kandungannya memberi kelebihan besar kepada Amerika Syarikat dan membuka risiko besar kepada kedaulatan ekonomi serta keselamatan negara. Antara kebimbangan utama ialah tiada perlindungan terhadap eksport nadir bumi dan mineral kritikal Malaysia, kewajipan mematuhi syarat-syarat yang berat sebelah, dan potensi campur tangan asing dalam dasar ekonomi negara.


Lebih merisaukan, terdapat klausa yang menunjukkan Malaysia perlu merujuk dasar ekonomi dan peraturan tertentu kepada pihak Amerika sebelum membuat keputusan penting yang berkaitan sumber strategik negara. Hal ini menimbulkan persoalan besar dari sudut kedaulatan negara serta kemungkinan berlaku unsur penyalahgunaan kuasa atau pecah amanah dalam mengurus aset kritikal negara.


Isu ekonomi seperti ini tidak hanya menjejaskan kepentingan Bumiputera, tetapi memberi kesan langsung kepada seluruh ekosistem perniagaan dan ekonomi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Apa-apa keputusan yang melemahkan kedaulatan ekonomi negara akan merencatkan peluang pekerjaan, menekan perusahaan kecil dan sederhana, dan menjejaskan daya saing seluruh negara di peringkat global.


Perjanjian ini boleh dibatalkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia ditandatangani. Justeru menjadi harapan kita agar kerajaan membatalkan atau sekurang-kurangnya menyemak semula perjanjian ini secara menyeluruh, termasuk membawanya untuk dibahaskan di Parlimen. Setiap komitmen antarabangsa yang memberi kesan besar kepada ekonomi dan kedaulatan negara wajib melalui proses semak imbang yang telus dan terbuka.


Kita patut berasa malu. Tiada negara lain khususnya negara jiran yang di tekan sepertimana perjanjian yang kita tandatangani.


Saya juga percaya terdapat asas untuk siasatan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan sekiranya perjanjian ini memudaratkan kepentingan negara demi kuasa asing.


Oleh itu, saya memohon agar pihak polis menyiasat Perdana Menteri dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan ART 2025, termasuk pegawai MITI dan Peguam Negara. Rakyat berhak mengetahui sama ada keputusan ini dibuat secara bebas atau di bawah tekanan luar.


Laporan ini saya buat demi mempertahankan kedaulatan negara dan masa depan Malaysia. Tiada mana-mana pemimpin boleh mempertaruhkan keselamatan dan sumber strategik negara tanpa penelitian awam dan semak imbang yang sewajarnya. 


Setakat ini, pada pengetahuan saya telah lebih 130 laporan polis difailkan di seluruh Malaysia berkenaan dengan Perjanjian Trump - Anwar. 

Perjanjian Perdagangan MAS-AS: Jimat RM12 bilion, jerut leher RM1 trilion


Perjanjian Perdagangan MAS-AS: Jimat RM12 bilion, jerut leher RM1 trilion

Malaysia Gazette - 29 October 2025


KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Reciprocal Trade Agreement) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 wajar dipersoalkan daripada sudut kepentingan nasional, rasionaliti ekonomi dan keseimbangan strategik serantau.


Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, penurunan tarif timbal balas terhadap barangan Malaysia daripada 25% kepada 19% atau pengurangan sebanyak 6% hanya memberi penjimatan kasar kira-kira RM11.9 bilion setahun
berdasarkan nilai eksport semasa (RM 198.65 bilion × 6 %).


Tambah beliau, berdasarkan Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade), jumlah dagangan dua hala Malaysia–AS bagi tahun 2024 mencecah RM 324.91 bilion, dengan nilai eksport Malaysia ke AS sebanyak RM 198.65 bilion, menjadikan Amerika Syarikat rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.


“Jumlah penjimatan ini adalah terlalu kecil untuk diberi komitmen dagangan gergasi dengan jumlah hampir RM1 trilion yang kita perlu tanggung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Pada 26 Oktiber lalu, AS dan Malaysia mencapai persetujuan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, yang akan memberi akses pasaran belum pernah berlaku sebelum ini kepada pengeksport kedua-dua negara.


Menurut kenyataan kedua-dua buah negara,  terma utama Perjanjian Perdagangan Timbal Balas itu membabitkan komitmen di pihak Malaysia untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang besar bagi eksport barangan perindustrian dari AS.


Perjanjian tersebut meliputi perolehan 30 pesawat dengan opsyen pembelian tambahan 30 lagi, pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data dengan nilai dianggarkan AS$150 bilion pembelian sehingga lima juta tan setahun gas asli cecair (LNG) bernilai sehingga AS$3.4 bilion setahun pembelian arang batu dan produk serta perkhidmatan telekomunikasi bernilai AS$204.10 juta dan pelaburan dana modal di AS sebanyak AS$70 bilion.


Menurut Armin Baniaz, selain daripada pembelian pesawat Boeing dan LNG perjanjian tersebut membabitkan pelaburan besar dalam sektor semikonduktor, pusat data dan komponen aeroangkasa bernilai lebih AS$150 bilion.


Katanya, adakah Malaysia mampu menanggung beban kewangan sebesar itu ketika Malaysia Aviation Group (MAG) sendiri masih mencatat kerugian dan belum pulih sepenuhnya selepas penstrukturan semula.


Beliau turut mempersoalkan dari mana sumber dana pembelian ini akan diperolehi jika bukan daripada suntikan kerajaan menggunakan wang rakyat.


Sementara Armin Baniaz mempersoalkan pembelian LNG dari AS dan  berkata, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama gas asli cecair (LNG) dunia, adakah logik untuk Malaysia membeli LNG bernilai RM16 bilion setahun (AS$3.4 bilion).


“Malaysia merupakan pengeksport LNG kelima terbesar di dunia. Perjanjian seperti ini tidak menggambarkan strategi ekonomi berasaskan daya saing, tetapi lebih menyerupai perangkap ekonomi yang memihak kepada kuasa besar,” ujarnya.


Katanya, komitmen pembelian secara besar-besaran yang mengalirkan keluar rizab negara tidak memberi manfaat kepada industri tempatan.


Armin Baniaz memberitahu, perjanjian itu juga mengehadkan ruang Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang strategik seperti China atau negara yang banyak menawarkan kerjasama tanpa tarif tinggi dan dengan nilai tambah lebih besar kepada sektor tempatan.


Jelasnya,  Malaysia bukan sahaja menanggung kos ekonomi, tetapi juga kehilangan kebebasan membuat dasar perdagangan yang berdaulat untuk memenuhi tekanan perjanjian bilateral.


“Daripada dijerut leher dengan komitmen dagangan bernilai hampir RM1 trilion, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sepatutnya mengambil peluang kepimpinan ini untuk memimpin rundingan
secara konsensus bersama negara-negara ASEAN lain,” katanya.


Berikutan itu, beliau berkata, sdalah wajar bagi kerajaan untuk menyemak kembali kandungan perjanjian ini dan membahaskannya di Parlimen, supaya setiap komitmen dagangan yang dibuat tidak memudaratkan ekonomi negara dan kekal selaras dengan kepentingan nasional. – MalaysiaGazette

Artikel asal di: https://malaysiagazette.com/2025/10/29/perjanjian-perdagangan-mas-as-jimat-rm12-bilion-jerut-leher-rm1-trilion/ 



© all rights reserved
made with by templateszoo